Friday, March 8, 2013

Kisah Kita - Bab 8

taken from here
Muqri Hakim berasa sayu sebaik sahaja tiba di perkarangan rumahnya.
'Sayang, abang dah pulang' bisik Muqri didalam hati. Rumah rekaan arwah isterinya cukup cantik dan sempurna untuknya. Rumah yang menyimpan seribu kenangan indah bersama arwah isterinya, Maisarah.

"Abang cantik tak pelan rekaan untuk rumah kita?" Maisarah terus menunjukkan pelan rekaannya kepada suami kesayangannya. Muqri yang sedang membaca tidak meneruskan pembacaannya, isterinya lebih memerlukan perhatiannya sekarang.
"Cantik sayang, ni dah berapa hari tak tidur semata-mata nak siapkan pelan?" tanya Muqri sambil mengusap kepala isterinya dengan penuh kasih sayang. Isterinya hanya tersengih menayangkan barisan giginya yang putih.
"Mai dah lama sangat berhajat nak reka rumah untuk keluarga kita. Sekarang kalau ditakdirkan dijemput Allah pun tak apa sebab Mai puas hajat Mai dah tercapai" kata Maisarah sambil tersenyum memandang pelan rumah idamannya.
"Sayang! Kenapa cakap macam tu?" Kata-kata Maisarah membuatkan Muqri tersentak. Tak sanggup rasanya mendengar apabila isterinya membangkitkan soal kematian.
"Ya Allah, abang ni kenapa? Bukankah wajib bagi umat Islam untuk mengingati mati?" jawab Maisarah. Tangan suaminya dibawa ke pipinya lalu dia memandang tepat kearah mata Muqri.
"Abang, jika ditakdirkan Mai pergi dulu, Mai nak abang tahu yang Mai bahagia bersama abang."
Muqri terus memeluk erat isterinya. Penyakit isterinya semakin hari semakin membimbangkan hatinya.
"Sayang, kita pergi hospital esok?" Muqri cuba memujuk isterinya. Dia tahu isterinya tidak suka duduk di hospital. Bau-bauan hospital cukup dibenci oleh isterinya sehinggakan Maisarah sanggup melahirkan Muiz dan Mia dirumah dengan bantuan bidan dan doktor peribadinya.
"Tak mahulah Mai. Abang, Mai cadang nak guna tanah lot yang kita beli hari tu untuk dijadikan tapak rumah kita ni. Mai dah bincang dah dengan kontraktor, kata mereka rumah kita boleh siap dalam masa paling lama pun empat bulan" Maisarah cuba mengalihkan perhatian Muqri. Dia memang bencikan bau-bauan hospital. Dulu dia sering menghabiskan masanya di hospital dek kerana penyakitnya lalu menyebabkan bauan tersebut lekat pada badannya.
"Bila Mai bincang dengan mereka?" Muqri tahu isterinya sengaja mengelak apabila berbicara tentang hospital.
"Lepas Zohor tadi, Mai ada telefon abang. Tapi Kendall beritahu Mai yang abang meeting, tu yang Mai pergi sendiri" jelas Maisarah. Dia kenal sangat dengan setiausaha suaminya, Kendall, gadis berketurunan Bugis yang jujur dan lemah lembut. Kendall baru sahaja bernikah dengan Zahid, akauntan di syarikat suaminya. Cinta Kendall terhadap Zahid menyebabkan gadis itu sanggup memeluk agama Islam dan dia bernasib baik kerana kedua-dua belah keluarga merestui hubungan mereka.
"Baiklah. Nanti abang akan bincang balik dengan diorang" Memang Muqri sudah memperuntukkan sejumlah wang untuk digunakan untuk membina rumah impian Maisarah. Dia sebenarnya tidak kisah berapa pun jumlah wang yang diperlukan. Janji impian isterinya tercapai.

"Mama! Mia dah lapar!" Mia anak kedua mereka tiba-tiba menerjah masuk kedalam kamar beradu mereka.
"Mia, hari itu mama pesan apa?" Lembut teguran Maisarah terhadap anak keduanya. Bukan apa, anak kecil seperti Mia harus sentiasa dinasihati dan ditegur apabila melakukan kesalahan supaya lekat didalam sanubari mereka.
"Opps, lupa. Assalamualaikum mama, papa. Mia dah lapar ni, bila kita boleh makan? Abang Muiz pun dah lapar" Mia memperbetulkan intonasinya. Disebabkan tidak sabar menunggu dia menerjah masuk tanpa memberi salam dan intonasinya tadi boleh dikatakan tidak beradab.
"Pandai anak papa dan mama ni, okay lulus. Jom hari ini papa belanja makan di luar" Muqri tersenyum sambil mendukung Mia. Anak perempuannya ini memang manja dengan mereka. Muiz pula nakal tetapi bersikap over-protective terhadap adiknya itu. Anak-anaknya ini menambahkan seri dalam kehidupan sehariannya.
"Eh Mia ni, dah besar pun nak papa dukung ke? Dah la berat!" tanya Muiz apabila melihat papanya turun dari tangga sambil mendukung adiknya.
"Abang dengki!" kata Mia sambil menjelir lidah ke arah Muiz.
"Muiz pun nak papa dukung sekali ke?" tanya Muqri.
Muiz hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia terus berlari kearah mamanya.
"Tak apa, abang ada mama!" Muiz terus memeluk pinggang mamanya sambil memandang sinis kearah muka adiknya yang sudah masam.
Maisarah hanya tersenyum melihat gelagat suami dan anak-anaknya. Sungguh, dia memang bahagia berkahwin dengan Muqri Hakim.

Maisarah dan Muqri Hakim. Kisah percintaan mereka tidak sama seperti anak-anak muda yang lain. Maisarah mengenali Muqri ketika dia sedang mebuat bantahan bersama aktivis-aktivis yang lain terhadap projek binaan syarikat Muqri yang bakal merosakkan ekosistem di Pulau Perhentian.
"Hentikan projek binaan ini demi generasi akan datang!" Lantang laungan Maisarah yang berada di barisan depan pasukan tunjuk perasaan itu didepan syarikat Muqri. Aktivis-aktivis lain turut mengulang semula laungan Maisarah sebagai tanda sokongan. Mereka sanggup berkampung dihadapan syarikat ini sehinggalah pihak syarikat keluar berunding dan membatalkan niat mereka untuk membina hotel lima bintang di Pulau Perhentian.
"Err saudari, boleh saya tahu apa yang berlaku ni?" Muqri yang baharu sahaja pulang dari bertemu dengan klien syarikat terkejut apabila melihat sekumpulan manusia membuat tunjuk perasaan dihadapan syarikatnya. Sengaja dia tidak mengenalkan dirinya kepada wanita dihadapannya kerana dia ingin menyiasat punca utama mereka berkumpul.
"Begini encik, kami ni semua aktivis Kelab Pencinta Alam Sekitar. Kami melakukan tunjuk perasaan untuk membantah projek syarikat ini yang hendak membina hotel lima bintang di Pulau Perhentian. Kita semua tahu yang ekosistem Pulau Perhentian memang sentiasa terjaga sejak dari dulu. Kami tidak mahu disebabkan keuntungan dunia, khazanah alam semulajadi ini tidak dapat dinikmati oleh anak cucu kita. Lagipun tapak projek itu merupakan habitat kepada beberapa spesis terancam" terang wanita itu panjang lebar.
Muqri terpegun dengan penerangan wanita dihadapannya. Pada mulanya dia mencadangkan projek itu kepada lembaga pengarah apabila dia melihat potensi projek memberikan keuntungan kepada syarikatnya sehinggakan dia terlupa tentang hal yang lebih penting, habitat flora dan fauna di pulau itu.
"Apa nama saudari?" tanya Muqri. Hatinya kuat mengatakan gadis ini merupakan gadis yang istimewa.
"Maisarah Binti Hashim. Kenapa encik?" Maisarah mengutuk dirinya sendiri kerana terlalu mudah sangat memberi namanya. Selalunya dia tidak akan begitu senang memperkenalkan diri kepada orang yang tidak dikenali tetapi entah kenapa lancar sangat mulutnya memberi nama kepada jejaka dihadapannya.
"Saya Muqri Hakim, pemilik syarikat ini. Baiklah Maisarah, saya akan meninjau semula kawasan projek dan akan menilai semula sama ada projek ini akan diteruskan atau tidak" Maisarah tidak menyangka yang jejaka dihadapannya ini merupakan pemilik syarikat yang kian membangun di ibu kota, Morse Holding Sdn Bhd. Sangkanya mesti pakcik-pakcik tua yang memiliki syarikat ini.
"Cik Maisarah, ni kad saya. Hubungi saya jika ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu" Kad bisnesnya dihulurkan kepada Maisarah. Maisarah terus mengambil kad bisnes yang dihulur Muqri.
"Boleh berikan saya nombor telefon Cik Maisarah?" Gugup Muqri menuturkan ayat itu. Dia berdoa didalam hati supaya gadis itu dengan rela memberikan nombor telefonnya. Maisarah ternyata terkejut dengan permintaan Muqri itu.
'Aik..ini sudah lain. Nak bagi ke tak nak?' fikir Maisarah. Dipandangnya tepat kearah mata Muqri yang sedang berdiri tegak. Lagaknya bagaikan sedang menyanyi lagu kebangsaan.
"Err Cik Maisarah?" Muqri berasa tidak selesa apabila Maisarah memandang lama kearahnya.
"Baiklah, ni kad saya" Maisarah terus menghulurkan kad bisnesnya kepada Muqri. Muqri menyambut kad bisnes Maisarah dengan senyuman lebar.
'Alhamdulillah dapat juga! Arkitek rupanya' getus Muqri didalam hati. Hampir meledak ketawa Maisarah apabila melihat gelagat Muqri yang bagaikan kanak-kanak mendapat gula-gula.
Lima hari selepas pertemuan itu berlaku, syarikat Muqri membatalkan projek binaan hotel lima bintang tetapi mengantikan dengan projek pembinaan chalet ala small cottage di Pulau Perhentian. Kali ini dia memastikan tiada kerosakan yang dilakukan pada flora dan fauna di kawasan itu. Dua minggu selepas mengenal hati budi Maisarah, keluarga Muqri menghantar rombongan meminang kepada keluarga Maisarah dan mereka disatukan sebulan selepas itu. Genap setahun usia perkahwinan mereka, hidup mereka diserikan dengan kelahiran Muiz Haikal dan disusuli dengan kelahiran Mia Hana.

Namun impiannya untuk sehidup semati bersama-sama dengan Maisarah tidak berkesampaian, Maisarah meninggal dunia akibat penyakit jantungnya. Jantung Muqri bagaikan turut terhenti apabila melihat Maisarah yang sudah terbaring kaku. Hidupnya mula menjadi tidak teratur. Sengaja dia menyibukkan diri dengan membangunkan syarikatnya. Anak-anaknya juga tidak lagi dipedulikan. Entah kenapa hatinya sakit apabila melihat kedua-dua anaknya. Rupa paras mereka yang banyak mengikut Maisarah membuatkannya hampir menjadi gila setiap kali melihat mereka. Walaupun begitu, jauh disudut hatinya dia amat menyayangi permata-permata yang ditinggalkan oleh Maisarah kepadanya.
'Muiz, Mia. Maafkan papa' rintih Muqri dalam diam.
Beg kerjanya dicampak keatas katil dan bagasinya diletakkan ditepi almari. Muqri memandang sepi kearah potret keluarganya. Potret yang diambil sebulan sebelum Maisarah meninggal dunia iaitu pada ulangtahun perkahwinannya yang ke-8. Wajah gembira ahli keluarganya yang kini hanya tinggal kenangan. Muiz dan Mia semakin jauh dari dirinya sejak isterinya meninggal dunia.
'Aku perlu kembalikan kegembiraan ini. Maisarah mesti sedih jika aku masih terperangkap didalam dunia yang penuh kedukaan yang aku cipta sendiri' Azam Muqri dalam diam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...