Sunday, March 31, 2013

Kisah Kita - Bab 26

taken from here 


Lima minit selepas Mia keluar, Iqram, Hamdan dan Firdaus datang melawat Muiz. Makcik Kartika meminta diri untuk pulang bersama Encik Muqri yang sejak dari semalam tidak pulang ke rumah.

“Makcik datang dengan teksi tadi. Ni alang-alang papa kamu nak balik, baik makcik tumpang sekali” kata Makcik Kartika sambil tersenyum kearah rakan-rakan Muiz yang bersalaman dengan Encik Muqri dan kemudiannya dengannya.

“Papa balik sekejap sebab nak bersihkan badan ye Muiz?” Muiz hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Tangan papanya dicapai dan dicium. Encik Muqri tersenyum memandang Muiz.

“InsyaAllah petang nanti makcik datang bawa makan malam kamu ye?” kata Makcik Kartika sambil melangkah keluar bersama Encik Muqri.

“Bro, kau okay ke tak ni?” tanya Hamdan sebaik sahaja selepas mereka duduk.

“Kau tengok aku maintain maksudnya aku okay la ni” jawab Muiz sambil ketawa.

“Muiz kita nak minta maaf” kata Iqram sambil menundukkan muka ke lantai. Rasa bersalahnya terhadap Muiz tidak berkurangan.

“Ek eleh. Kau ni kenapa? Alhamdulillah aku selamat la. Tak payahlah kau rasa bersalah pulak!” marah Muiz apabila Iqram masih menyalahkan diri.

“Alhamdulillah kau selamat Muiz, semalam terkejut beruk kitorang bila tahu kau accident. Nak-nak lagi time kitorang sampai Mia dah nak belasah si Iqram ni nasib baiklah Hamdan sempat tahan kalau tak aku rasa Iqram pun masuk ICU sekali” ujar Firdaus panjang lebar.

“Hah?! Hahahaha...weh aku rasa Mia tu bukan betul-betul nak belasah kau Iqram. Kalau betullah, Hamdan pun tak boleh nak halang dia. Kau lupa ke Hamdan dulu kau pernah kalah lawan silat dengan Mia?” Muiz masih ketawa membayangkan Iqram yang masuk ICU kerana dibelasah Mia.

“Haah. Mia tu lain sikit dari perempuan lain. Dulu lebam biji mata aku kena tumbuk dengan Mia. Seminggu jugaklah nak surut lebam aku tu sampai mak aku ingat aku kena buli kat sekolah” kata Hamdan sambil ketawa.

 Iqram memandang tidak percaya kearah Hamdan. Hamdan yang berbadan tegap ni pun boleh lebam dibelasah Mia inikan pula dirinya yang sememangnya tak setegap Hamdan.

“Nasib baiklah aku tak join korang. Kalau tak aku mesti dah patah-patah tulang aku dikerjakan Mia” tambah Firdaus sambil ketawa. Muiz, Mia dan Hamdan merupakan ahli persatuan silat yang aktif disekolah. Muiz memegang jawatan presiden dan Mia pula timbalan presiden. Dia pula hanya ahli persatuan renang dan kelab catur yang cukup kena dengan jiwanya.

“Err tapi kita rasa Mia mesti tak nak jumpa kita buat masa sekarang” wajah Iqram mula mendung mengenangkan Mia yang kini benci dengannya.

“Hmm aku tak tahulah. Mia tu kalau benda yang ada kaitan dengan aku dia memang susah sikit nak maafkan” Muiz sememangnya buntu memikirkan kerenah adiknya itu.

“Tak apalah Muiz. Dah memang salah kita.” Muiz hanya memandang simpati kearah Iqram. Pintu yang dibuka dari luar itu mengejutkan empat sahabat itu.

Mia terkejut apabila melihat rakan-rakan abangnya berada didalam bilik abangnya. Dia meletakkan ayam goreng KFC untuk Muiz diatas meja dan dia terus meninggalkan bilik abangnya.

Iqram hanya memandang sepi kearah Mia yang langsung tidak mempedulikan kehadirannya. Hatinya pedih namun dia terpaksa menerima hakikat yang kini dia merupakan penyebab abang kesayangan Mia sakit jadi dia memang layak dibenci!

“Marah lagilah tu. Kau tak payah nak terasa sangat dengan dia ye?” Muiz berkata sambil memandang Iqram.

“Oh lupa nak beritahu, Mia ikut aku ke London.” Pengumuman Muiz itu mengejutkan rakan-rakannya.

“SPM dia macam mana?” tanya Firdaus. Iqram dan Hamdan masih dalam keadaan terkejut dan sedang memproses maklumat yang baru diterima mereka.

“Dia ambil sebagai calon luar la tu” terang Muiz.

“Tapi..” Iqram tidak dapat menghabiskan ayatnya. Muiz hanya memandang pelik kearah rakannya itu.

“Mia kalau dah buat keputusan, papa aku pun tak boleh kata apa. Aku ni pun dah tak tahu nak pujuk dia macam mana” jelas Muiz. Mereka bertiga hanya menganggukkan kepala. Tahu sangat dengan sikap keras kepala Mia.

Mia membawa diri ke taman diperkarangan hospital. Hatinya masih sakit apabila melihat kelibat Iqram didalam bilik abangnya tadi. Benci apabila melihat Iqram masih berani menunjukkan muka dihadapannya walaupun setelah dimarahinya semalam.

“Ni adik Muiz kan?” Mia terus memandang kearah suara yang menegurnya. Doktor muda itu hanya tersenyum memandang Mia yang sedang duduk dibangku taman. Kelihatan beberapa orang pesakit sedang menjalani fisioterapi ditaman itu.

“Oh Doktor Hariz” Mia tersenyum kearah penyelamat abangnya itu. Papanya yang bercerita kepadanya tentang doktor muda yang baik dan berjaya merawat abangnya semalam.

“Boleh saya duduk?” tanya Doktor Hariz. Mia menganggukkan kepala sambil memberi ruang kepada doktor muda itu untuk duduk.

“Apa nama adik?” tanya Doktor Hariz lagi. Mia Hana memandang doktor muda itu sambil tersenyum.

“Mia Hana” jawab Mia pendek.

“Saya panggil Hana boleh?” tanya Doktor Hariz. Mia memandang pelik kearah doktor muda itu. Selalunya orang lain akan terus memanggilnya dengan panggilan ‘Mia’.

“Kenapa bukan Mia?” tanya Mia. Doktor Hariz hanya tersenyum.

“Sebab maksud nama Hana itukan kebahagiaan dan rezeki tanpa kepayahan? Setiap kali orang menyebutnya bagaikan satu doa buat Hana” terang Doktor Hariz sambil tersenyum lagi kearah Mia.

‘Doktor ni murah sungguh dengan senyuman’ getus hati Mia sambil memandang kearah doktor muda itu.

“Oh macam tu. Terima kasih ye Doktor Hariz” kata Mia sambil membalas senyuman Doktor Haris.
               
“Panggil saya Hariz sajalah. Saya pun nak panggil awak Hana” Doktor Hariz memberi cadangan kepada Mia Hana. Dia memang lebih senang apabila orang lain memanggilnya dengan namanya sahaja.

“Apa pula maksud Hariz tu?” tanya Mia dengan rasa ingin tahu. Dia berasa seronok apabila berborak dengan doktor ni. Hilang perasaan marahnya tadi.

“Maksud Hariz adalah pemelihara” jawab Doktor Hariz sambil memandang kearah Mia. Sempat dia mengagumi ciptaan Allah disebelahnya. Jaraknya dengan Mia memang agak jauh namun tidak menghalangnya dari melihat kesempurnaan Mia. Mia yang sedang leka melihat pesakit menjalani fisioterapi tidak sedar yang dirinya diperhatikan oleh doktor muda itu.

“Baiklah Hana saya nak masuk periksa keadaan abang awak sekejap. Nak ikut saya sekali?” ajak Doktor Hariz. Mia menganggukkan kepala.

“Berapa umur Hana?” tanya Doktor Hariz ketika mereka sedang berjalan menuju ke bilik Muiz.

“16 tahun. Hariz?”

“Saya dah tua dah, 24 tahun” jawab Doktor Hariz sambil ketawa kecil. Mia turut ketawa memikirkan yang doktor itu terasa dirinya tua walaupun baharu berumur 24 tahun.

“Beza lapan tahun dengan Hana kan?” kata Doktor Hariz lagi. Mia hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum kearah doktor muda itu.

“Selagi tak lebih 10 tahun saya rasa okay kot” Doktor Hariz tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Mia.

“Err apa yang okay nya Hariz?” tanya Mia sambil memandang kearah Doktor Hariz yang hanya tersengih.

“Tak ada apalah” kata Doktor Hariz sambil membuka pintu bilik Muiz sebaik sahaja tiba dibilik Muiz. Dia mempelawa Mia masuk dulu. Lagak Doktor Hariz itu membuatkan Muiz dan sahabat-sahabatnya terkejut. Pertama terkejut macam mana Mia boleh masuk sekali dengan Doktor Hariz. Kedua terkejut dengan keadaan Mia yang semakin ceria.
“Abang, Hariz nak periksa abang sekejap” kata Mia sambil mengambil tempat ditepi abangnya. Muiz ternganga apabila adiknya membahasakan doktor muda itu dengan nama sahaja.

“Hariz?” soal Muiz sambil memandang pelik kearah Mia.

“Oh Hana dah jadi kawan saya sekarang. Jadi dia boleh panggil saya Hariz” jawab Doktor Hariz sambil memeriksa keadaan Muiz.

“Hana?” soal Muiz lagi. Terasa pening kepala apabila disumbatkan dengan maklumat-maklumat yang agak pelik baginya.

“Maksud nama Hana itu baik jadi saya cadang nak panggil Hana dengan panggilan tu” jawab Doktor Hariz lagi. Dia mencatatkan sesuatu didalam buku notanya dan terus memasukkan buku itu kedalam lab coatnya.

Keadaan Iqram, Firdaus dan Hamdan sama seperti Muiz yang pening dengan maklumat-maklumat pelik. Mereka yang sudah lama kenal dengan Mia Hana pun tak boleh begitu senang rapat dengan Mia inikan pula doktor yang baharu sahaja Mia kenal dalam masa sehari.

Mia tersenyum senang dengan penjelasan Doktor Hariz kepada abangnya.

“Baiklah Muiz. Esok kalau selepas MRI scan dan keadaan kamu okay, dalam dua, tiga hari macam tu kamu dah boleh balik dah” jelas Doktor Hariz. Muiz hanya mengangguk. Dia sebenarnya masih bingung dengan hubungan adiknya dan doktor muda dihadapannya kini.

“Hana, ikut saya sekejap” arah Doktor Hariz sambil melangkah menuju ke muka pintu bilik Muiz. Mia terus mengikut doktor muda itu.

“Nah nombor telefon saya. Kalau rasa nak cerita apa-apa ke, bosan ke telefon la saya” kata Doktor Hariz sambil menghulurkan nombornya kepada Mia. Mia turut mengeluarkan kertas dan menulis nombor telefonnya dan memberikannya kepada doktor itu. Doktor Hariz tersenyum gembira apabila mendapat nombor telefon gadis itu. Mia terus masuk ke bilik abangnya setelah Doktor Hariz hilang dalam pandangan.

‘Doktor yang baik’ getus hati Mia sambil tersenyum. Dia tidak sedar yang banyak mata-mata yang memandang pelik kearahnya.

Kisah Kita - Bab 25

taken from here  


Encik Aqif mendapatkan Iqram yang masih setia menunggu di pintu bilik kecemasan. Dia hanya meninggalkan tempat duduknya bila tiba waktu solat dan untuk membersihkan diri.

“Qayyum, mari balik.” Ajakan Encik Aqif hanya dibalas dengan gelengan dari Iqram.

“Iqram, kamu baliklah. Biar uncle sahaja yang tunggu disini” pujuk Encik Muqri apabila Iqram masih enggan meninggalkan tempat duduknya. Mia sudah disuruhnya pulang tadi bersama Hamdan dan Firdaus. Anak gadisnya itu masih dalam keadaan marah dan tak boleh langsung bertentang mata dengan Iqram.

“Tak. Selagi Muiz tak keluar selagi itu Qayyum nak tunggu” jawab Iqram sambil memandang ayah dan Encik Muqri. Matanya merah kerana terlalu banyak menangis.

“Baiklah. Ayah balik dulu” kata Encik Aqif. Iqram bangun lalu menyalami tangan ayahnya.

“Muqri, kalau ada apa-apa jangan lupa telefon saya” pesan Encik Aqif kepada Encik Muqri. Encik Muqri hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum tawar dia mengiringi Encik Aqif ke kereta.

“Saya minta maaf sangat-sangat. Disebabkan kecuaian anak saya, anak Muqri yang terima padahnya” kata Encik Aqif setelah jauh mereka tinggalkan Iqram.

“Dah takdir Allah, Aqif. Kita doakan sahaja yang Muiz selamat” Encik Muqri menepuk-nepuk bahu Encik Aqif. Tak henti-henti dia berdoa didalam hati supaya anaknya selamat.

“Muqri, biar saya tanggung kos perubatan Muiz untuk kurangkan sedikit rasa bersalah yang membebankan saya ni” Encik Muqri hanya menganggukkan kepala. Dia tahu yang Encik Aqif berasa bersalah dengan apa yang menimpa Muiz.

“Baiklah. Tapi kalau itu yang Aqif mahukan” jawab Encik Muqri. Encik Aqif hanya tersenyum tawar. Muqri bukan orang sembarangan dan memang tak akan menuntut ganti rugi dari keluarganya kerana dia memang terlebih mampu untuk membayar kos perubatan Muiz. Tetapi Encik Aqif berasa itu adalah tanggungjawabnya dan dia patut menanggung kos perubatan Muiz kerana Muiz kemalangan dek kecuaian anaknya.

“Baiklah kirim salam saya kat Risa. Kesian dia balik seorang diri tadi” kata Encik Muqri.

“InsyaAllah. Nanti saya sampaikan” balas Encik Aqif lalu masuk kedalam keretanya. Enjin dihidupkan dan dia mengangkat tangan kepada Encik Muqri  lalu meninggalkan perkarangan hospital. Encik Muqri masuk semula ke kawasan bilik kecemasan setelah kereta Encik Aqif hilang dari pandangan.

Setibanya didepan bilik kecemasan, kelihatan doktor dan beberapa orang jururawat keluar dari bilik dimana Muiz dimasukkan tadi. Iqram terus berdiri untuk mendapatkan doktor yang merawat Muiz.

“Doktor macam mana dengan anak saya?” tanya Encik Muqri yang sudah berada ditepi Iqram.

“Alhamdulillah. Anak encik kini stabil dan kami akan menjalankan peperiksaan lanjutan  untuk memastikan tiada kesan-kesan sampingan yang lain” ujar doktor itu sambil tersenyum kearah Encik Muqri.

“Alhamdulillah” ucap Encik Muqri. Iqram mengucapkan syukur. Dia berasa lega kerana Muiz kini selamat.

“Terima kasih doktor.” Doktor yang bernama Hariz itu hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.

“Sama-sama. Ini kehendak Allah, saya cuma jalankan tugas saya sahaja” kata Doktor Hariz. Encik Muqri mengangguk faham.

“Baiklah saya minta diri dulu ya encik” kata Doktor Hariz sambil berlalu meninggalkan Encik Muqri dan Iqram.

“Alhamdulillah. Iqram, Muiz dah selamat. Kamu jangan risau lagi ya?” Encik Muqri senyum sambil menepuk-nepuk bahu Iqram.

Iqram yang masih menangis hanya mengangguk-anggukkan kepala. Dia berasa lega tapi dalam masa yang sama dia berasa bersalah kerana mengakibatkan sahabat baiknya cedera. Mia pula masih marah kepadanya. Dia tidak tahu bila masa yang sesuai untuk dia meminta maaf dengan Mia.

I’m going to London with Muiz” tegas Mia sambil memandang papanya yang sedang mengelap badan Muiz.  Encik Muqri tersentak lalu memandang tepat kearah Mia.

What? How about your SPM?” tanya Encik Muqri. Mia hanya diam sambil menundukkan kepala.

“Mia nak ambil SPM sebagai calon luar” jawab Mia. Dia terus duduk disisi katil Muiz sambil meraih tangan abangnya dan diletakkan dipipinya.

“Mia nak jaga abang” jelas Mia lagi. Matanya sudah mula bergenang. Encik Muqri berasa serba salah sama ada untuk mengikut kemahuan anaknya atau tidak.

“Mia, grandpa dan grandma kan ada untuk jaga abang? Mia nak tinggalkan papa seorang diri kat Malaysia ni ke?” pujuk Encik Muqri lagi. Mia hanya tunduk sambil menangis tersedu sedan disebelah Muiz.

“Mia?” Muiz terjaga apabila terasa tangannya basah. Mia mengangkat muka memandang kearah abangnya yang kelihatan lemah. Tangan dan kaki kiri Muiz patah dan kepalanya berjahit lima belas jahitan.

“Abang dah sedar? Papa abang dah sedar!” Mia terjerit gembira apabila melihat abangnya mula sedarkan diri. Dia terus menekan butang memanggil doktor untuk melihat keadaan abangnya.

“Iqram macam mana?” tanya Muiz kepada Mia. Muka Mia berubah apabila nama Iqram keluar dari mulut Muiz. Muiz cuba untuk bangun. Encik Muqri terus mengucapkan syukur apabila Muiz sudah mula sedar.

“Tak payah tanya pasal dia” kata Mia sambil membantu Muiz untuk duduk. Dia menaikkan sedikit katil abangnya. Encik Muqri memandang tajam kearah Mia yang masih berdendam.

“Mia kenapa cakap macam tu?” marah Encik Muqri. Mia hanya mencebik sambil duduk disebelah Muiz.

“Haah Mia. Kenapa marah sangat dengan Iqram ni?” tanya Muiz yang masih bingung.

“Dialah punca abang accident! Kalau ikut cakap Mia hari tu mesti tak jadi macam ni kan?” balas Mia. Encik Muqri hanya menggelengkan kepala. Tak sangka anaknya itu keras hati.

“Mia, salah abang juga sebab abang yang ajak dia hari tu” terang Muiz. Mia hanya mendiamkan diri. Baginya Iqram tetap bersalah dan memang Iqram punca abangnya kini terlantar dihospital.

Tiba-tiba pintu bilik itu dikuak.
“Maaf, saya nak buat sedikit pemeriksaan keatas anak encik” kata Doktor Hariz sambil tersenyum. Jururawat yang masuk bersamanya terus memeriksa tekanan darah Muiz. Mia berundur memberi ruang kepada Doktor Hariz dan jururawat itu memeriksa abangnya.

“Doktor Hariz, abang saya macam mana?” tanya Mia kepada Doktor Hariz. Tag nama doktor itu dilihatnya sebelum menyebut nama doktor muda itu.

“Alhamdulillah keadaan Muiz semakin baik. InsyaAllah petang ni kita jalankan ujian MRI untuk memastikan tiada kecederaan dalaman lain didalam otak Muiz” jawab Doktor Hariz sambil tersenyum memandang Mia. Mia hanya mengangguk.

“Encik Muqri, setujukan kami jalankan MRI scan pada Muiz?” tanya Doktor Hariz. Jururawat lelaki yang bernama Fahmi itu memaklumkan tekanan darah Muiz kepada Doktor Hariz dan Doktor Hariz hanya tersenyum.

“Tentu sahaja saya setuju” balas Encik Muqri sambil mengiringi Doktor Hariz yang sudah selesai memeriksa keadaan anaknya. Jururawat itu turut mengekori Doktor Hariz keluar dari bilik Muiz.

“Abang, Mia nak ikut abang ke London” Mia membuka bicara setelah hanya dia dan Muiz didalam bilik itu.

“Eh Mia, buat apa? Tunggu la sampai habis SPM dulu okay?” kata Muiz sambil memandang kearah adiknya.

“Mia tak nak! Mia nak ikut abang. Nak jaga abang!” balas Mia yang sudah mula menangis. Muiz mengusap perlahan kepala adiknya yang sudah menangis dan menyembamkan muka dikatil Muiz.

“Abang tahu tak masa abang accident semalam Mia rasa dunia macam nak kiamat dah? Mia rasa macam nak bunuh Iqram bila dapat tahu yang dia sebabkan abang accident tapi Mia masih ingat Allah dan dosa pahala. Mia ada abang je dalam dunia ni. Lupa ke dulu waktu abang tinggalkan Mia dan pergi London? Mia rasa dah tak mahu hidup lagi sebab mama dah tak ada, papa pun tak pedulikan kita dan abang pula tinggalkan Mia sorang dengan datuk dan nenek. Abang rasa abang adil ke dengan Mia bila abang tak nak bagi Mia nak ikut abang sekarang?” Mia menghamburkan apa yang tersimpan rapi didalam hatinya sejak dulu lagi. Mukanya sudah basah dengan air matanya.

Muiz terkedu apabila melihat keadaan Mia yang sangat tertekan. Tak sangka adiknya masih terluka dengan tindakan Puan Rose yang membawanya ke London dahulu. Dia mencapai tangan adiknya memaksa Mia memandang kearahnya.

“Baiklah Mia ikut abang okay? Abang pun tak sanggup nak tinggalkan Mia kat Malaysia ni tanpa abang sebenarnya” kata Muiz sambil tersenyum kearah Mia. Mia pada mulanya kurang percaya apabila abangnya memberikan persetujuan namun setelah Muiz mengangguk dia terus memeluk kuat abangnya.

“Err Mia, abang sakit ni” tegur Muiz. Badannya terasa sengal apabila dipeluk kuat oleh Mia.

“Sorry..” Mia terus tersenyum sambil meleraikan pelukannya.
“Mia, abang laparlah” rengek Muiz kepada adiknya. Memang dia terasa lapar sejak dia sedar tadi.

“Abang nak makan apa?” tanya Mia sambil memandang Muiz yang sudah tersengih.

“Abang tak nak makanan hospital, Mia belikan KFC boleh?” ujar Muiz sambil menayangkan gigi.

“KFC? Buat penatlah makcik masak untuk Muiz ni” kata Makcik Kartika yang tiba-tiba muncul dimuka pintu bilik Muiz.

“Makcik Tika! Masak apa untuk Muiz?” tanya Muiz sebaik sahaja Makcik Kartika menutup pintu bilik.

“Makcik masak sup ayam dan sayur campur je. Kamu tu kan orang sakit” kata Makcik Kartika sambil tersenyum kearah Muiz.

“Alah, nak ayam goreng” rajuk Muiz sambil memuncungkan bibir. Mia tersenyum melihat telatah abangnya yang seperti kanak-kanak kecil.

“Kejap ye, Mia pergi beli” Muiz terus tersenyum gembira apabila adiknya bersetuju untuk membelikannya ayam goreng.

Saturday, March 23, 2013

Kisah Kita - Bab 24

taken from here 

Sudah dua minggu peperiksaan SPM berakhir. Muiz kini bersiap sedia untuk terbang ke Kota London. Puan Rose dan Mr. Russel sudah menguruskan segala persiapan untuk Muiz sambung belajar disana. Mereka juga menggalakkan Muiz untuk mencari universiti yang berhampiran dengan kediaman mereka supaya Muiz tidak perlu tinggal di asrama. Muiz hanya menurut kerana dia tahu mereka bimbang akan masalah sosial yang melanda dikalangan remaja apabila jauh dari pengawasan ibubapa dan dia tahu datuk dan neneknya mahukan yang terbaik untuknya. Dia akan mengambil A-level dan terus meneruskan pengajiannya di Kota London. Dalam masa yang sama dia akan mempelajari selok-belok dunia perniagaan dari datuknya.

Puan Risa dan Encik Aqif sibuk menyediakan makanan untuk majlis barbecue dihalaman rumah mereka. Muiz, Mia, Hamdan dan Firdaus turut datang membantu mereka. Sengaja Puan Risa mengadakan majlis ini untuk meraikan Muiz yang bakal ke London. Encik Muqri dan Makcik Kartika turut dijemput untuk memeriahkan majlis. Majlis itu turut disertai oleh beberapa rakan-rakan sekolah Muiz dan Mia.

“Rasa segan pula apabila Risa yang buat majlis untuk anak saya. Sepatutnya saya yang buat majlis” kata Encik Muqri. Malu rasanya apabila anaknya diraikan oleh orang lain.

“Eh anak-anak Muqri tu kami dah anggap macam anak kami sendiri. Jadi tak mengapalah kalau saya buat majlis” balas Puan Risa sambil tersenyum kearah Encik Muqri. Encik Aqif hanya mengangguk setuju.

“Terima kasih Risa. InsyaAllah seminggu sebelum Muiz bertolak, saya nak buat majlis doa selamat. Nanti Aqif dengan Risa datanglah ye?” ajak Encik Muqri bersungguh-sungguh.

“InsyaAllah” balas Encik Aqif dan Puan Risa serentak.

“Okay dah siap mari serbu!” laung Muiz dari tempat membakar. Berpeluh-peluh dia dan Hamdan membakar ayam, ikan dan daging. Mia menyediakan air bersama Makcik Kartika manakala Iqram dan Firdaus bertugas menyusun atur meja dan kerusi.

Selain barbecue, terdapat makanan lain yang disediakan untuk santapan tetamu. Ada spaghetti, nasi goreng, kuehteow, mee dan beraneka jenis kek. Kebanyakannya disediakan oleh Puan Risa dan Makcik Kartika. Mia hanya membantu apa yang patut sahaja. Kedua –dua wanita itu amat cekap didapur memang berbeza benar dengan Mia.

Sementara itu di zon ‘pembakaran’,
“Muiz nanti ajar kita bawa motosikal boleh?” pinta Iqram apabila dia menolong Muiz mengangkat ayam yang sudah siap dibakar.

“Lah kau tak tahu bawa motor ke? Patutlah dah boleh ambil lesen pun kau tak pergi ambil” balas Muiz sambil mengetawakan Iqram. Dia dulu diajar oleh arwah datuknya Haji Hashim ketika umurnya baharu berusia 11 tahun. Arwah datuknya sengaja mengajar awal sebab mahu Muiz senang bila mengambil lesen. Sememangnya ajaran arwah datuknya dulu memang berkesan sebab dia lulus dengan senang ketika ujian JPJ dahulu.

“La gelak pula. Nak ajar ke tak nak?” Iqram geram apabila diketawakan oleh Muiz. Muiz kalau boleh gelak memang susah nak berhenti.

“Yelah-yelah aku ajar. Nak aku ajar bila?”

“Esok petang boleh?”

“InsyaAllah boleh je” Muiz terus tersengih kearah Iqram. Tak sangka ada juga budak lelaki yang tak reti bawa motor.

“Kau tahu tak yang Mia yang nampak lembik tu pun reti bawa FZ8 aku tu?”

“Biar betul?!” Iqram sedikit terjerit. Dia sememangnya tidak menyangka yang Mia boleh membawa motosikal berkuasa tinggi Muiz. Dia tahu yang Mia bukan budak perempuan yang lembik kerana Mia sering mewakili sekolah untuk acara seni mempertahankan diri dan dia sendiri pernah menyaksikan flying kick yang dibuat Mia ketika terkurung bersama dengan gadis itu didalam setor dulu. Tapi motor besar tu...

“Kenapa? Tak percaya? Adik aku tu bawa motor aku tu  seminggu lepas dia dapat lesen motor dia” terang Muiz. Masih teringat adiknya merayu supaya dia meminjamkan FZ8nya. Pada mulanya dia ragu-ragu namun setelah didesak secara berterusan, dia terus bersetuju. Mia memang cekap mengendalikan FZ8 miliknya walaupun baharu pertama kali menunggang motor itu membuatkan Muiz tidak kisah setiap kali adiknya ingin menggunakan motornya.

“Okay esok kita datang rumah Muiz” kata Iqram. Muiz mengangguk sambil tersengih dengan gelagat teruja Iqram. Apa punya budak da..


Keesokan harinya, Iqram bersiap sedia untuk ke rumah Muiz. Ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah kawannya itu. Selama ini bukan mereka tidak pernah mengajak Iqram namun Iqram sering menolak kerana berasa malu dan kalau tiada apa-apa urusan mustahak dia sememangnya lebih suka bersantai dirumahnya sendiri. Terasa berdebar pula untuk bersemuka dengan Encik Muqri. Semalam dia sudah berkenalan dengan papa Muiz dan Mia. Pada mulanya dia ingatkan mat salleh mana yang salah masuk majlis rupa-rupanya lelaki mat salleh itu adalah papa kawan baiknya. Patutlah muka Muiz dan Mia nampak lain sedikit dari muka Melayu biasa.

“Qayyum! Dah siap ke belum? Ayah dah nak keluar ni” laung Encik Aqif dari tingkat bawah.

“Sudah ayah! Sekejap!” Iqram terus keluar dari bilik dan terus turun ke tingkat bawah. Kelihatan ayahnya sudah masuk kedalam kereta dan menghidupkan enjin. Dia terus menyalami mamanya dan masuk kedalam kereta.

“Bersiap macam nak pergi meminang anak orang je Qayyum ni” usik Encik Aqif. Iqram hanya ketawa sambil menggelengkan kepala.

Mereka tiba dihadapan Teratak Damai selepas 10 minit perjalanan.

“Baiklah ayah nak terus ke tempat kerja ni. Nanti petang ayah ambil.” Iqram mengangguk sambil mencium tangan ayahnya.

Muiz sudah bersedia menunggunya ditempat parkir motosikal. Iqram terpegun apabila melihat kediaman Muiz dan Mia. Teratak Damai, memang padan dengan namanya. Mia tersenyum apabila melihat kedatangan Iqram. Dia terus ke dapur untuk menyediakan minum petang untuk mereka.

“Okay aku ajar kau cara bawa honey aku dulu okay? Kalau terus bawa baby ni kang mahu ke longkang” gurau Muiz. Iqram ketawa apabila mendengar nama gelaran motor-motor sahabatnya itu.

“Okay nah kunci. Cuba start motor ni” Iqram terus menyambut kunci yang dihulurkan Muiz kepadanya. Dengan sekali percubaan, motosikal itu berjaya dihidupkan. Dia tersenyum bangga kearah Muiz.

“Sebenarnya kalau kau tekan butang starter ni pun dah boleh hidup motor ni” kata Muiz sambil ketawa berdekah-dekah. Tak sangka Iqram menggunakan cara tradisional untuk menghidupkan motornya itu. Iqram memandang geram kearah Muiz yang suka sangat mengetawakan orang.

“Hihi..jangan marah. Okay sekarang cuba masukkan gear dan pulas minyak perlahan-lahan” arah Muiz dengan muka sedikit serius. Iqram memasukkan gear dan motosikal mula bergerak. Dia berlatih membawa motor didalam laman sahaja. Selepas 15 minit, Iqram sudah pandai mengawal dan mula yakin untuk membawa motosikal tanpa bantuan Muiz.

“Jom cuba bawa atas jalan raya” cadang Muiz.

“Eh boleh ke? Kita tak ada lesen lagi ni?” balas Iqram yang takut-takut tapi mahu.

“Alah tak apa. Sekejap je. Kau bawa, aku bonceng kat belakang. Kejap aku ambilkan helmet” Muiz terus masuk kedalam rumah untuk mengambil helmet. Mia memandang risau kearah Iqram.

“Abang, bahayalah. Iqram baru sangat belajar bawa motor ni” tegur Mia. Entah kenapa dia berasa tidak sedap hati apabila abangnya mahu mengajar Iqram membawa motor diatas jalan raya.

“Tak apalah. Abangkan ada kat belakang dia. Jangan risaulah” kata Muiz. Mereka terus keluar dari halaman Teratak Damai setelah lengkap memakai topi keledar.

“Okay Iqram bawa macam kau bawa kat rumah aku tadi.” Iqram hanya mengangguk. Pada mulanya dia berasa takut namun setelah beberapa ketika dia mula yakin dan mula membawa laju.

“Jom pergi jalan besar nak?” cadang Iqram. Muiz bersetuju. Fikirnya jalan besar pun bukannya ada banyak kenderaan waktu-waktu sekarang. Iqram membelok di persimpangan untuk ke jalan besar.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Muiz mencadangkan mereka berpatah balik dan Iqram bersetuju. Sedang Iqram ingin membelok, tiba-tiba sebuah kereta meluru laju kearah mereka. Iqram yang gagal mengawal motosikal bertembung dengan kereta itu. Muiz terpelanting ke bahu jalan dan Iqram terseret diatas jalan raya.

“Muiz!” jerit Iqram apabila dia melihat sahabatnya terkulai layu di tepi pembahagi jalan. Dia cepat-cepat bangun tanpa mempedulikan kecederaannya dan menuju kearah Muiz. Pemandu kereta tadi turut turun melihat.

“Tolong bawakan ke hospital! Tolong!” Iqram sudah mula menangis apabila melihat Muiz tidak sedarkan diri. Darah membuak-buak keluar dari kepala Muiz. Pemandu kereta itu terus mengangkat Muiz dan membawa mereka ke hospital berdekatan.

Muiz dimasukkan ke bilik kecemasan. Iqram terus menelefon Mia dan ayahnya. Selesai menelefon dia duduk sambil menangis memikirkan keadaan Muiz. Mereka pasti tidak akan terlibat dalam kemalangan jika dia tidak ke jalan besar. Muiz pasti tidak akan cedera jika dia bertegas tidak mahu membawa motosikal diatas jalan raya.

“Adik, mari bersihkan luka adik dulu” tegur seorang jururawat apabila melihatkan Iqram masih tidak berhenti menangis sejak tiba dihospital itu tadi. Pemandu kereta itu tadi sudah pun beredar setelah menghantar mereka. Dia meninggalkan kad namanya kepada Iqram. Dia ingin bergegas ke tempat lain. Iqram membiarkan jururawat lelaki itu membersihkan lukanya. Lukanya tidak dalam dan tidak seserius kecederaan Muiz.

“Iqram! Abang macam mana?” tanya Mia cemas sebaik sahaja sampai di hospital. Dia terkejut dengan keadaan Iqram yang sedang dibersihkan lukanya oleh jururawat lelaki itu.

“Muiz dalam bilik kecemasan. Dia kritikal” Iqram menjawab sambil menangis. Jururawat lelaki itu terus meninggalkan Iqram setelah selesai tugasannya sempat juga dia menepuk-nepuk bahu Iqram sebagai tanda memberi semangat.

“Semua salah kita! Kita yang ajak Muiz pergi jalan besar! Semua salah kita” Iqram mula menjerit-jerit menyalahkan dirinya sendiri. Mia terkejut dengan pengakuan Iqram. Mukanya mula memerah menahan marah. Sudah hilang rasa simpatinya kepada lelaki dihadapannya ini.

“Kau?!!” jerit Mia. Dia ditahan Hamdan yang kebetulan baharu sampai bersama Firdaus ketika dia hendak meluru memukul Iqram. Hampir luruh jantungnya apabila mengetahui yang abangnya kemalangan dan kini dia berdepan dengan penyebab abangnya cedera.

“Aku benci kau!!!” jerit Mia sambil meronta-ronta. Hamdan memperkemaskan pegangannya. Hamdan terus membawa Mia jauh dari bilik kecemasan apabila ditegur oleh jururawat bertugas.

Iqram bagaikan hilang daya apabila mendengarkan yang kini dia dibenci oleh gadis itu.

‘Ah memang semua salah kita. Maafkan kita Mia’ bisik Iqram didalam hati sambil menangis melutut diatas lantai. Firdaus terus memeluk Iqram sambil menenangkan sahabatnya itu.

“Kita sama-sama doakan Muiz selamat ye Iqram?” Firdaus terus menarik Iqram bangun. Dibawanya Iqram kembali ke tempat duduknya tadi.

Encik Muqri, Encik Aqif dan Puan Risa tiba 10 minit selepas itu. Encik Muqri menenangkan Iqram apabila Iqram meraung-raung meminta maaf kerana mengakibatkan Muiz terlibat dalam kemalangan.

“Ini semua qada’ dan qadar. Iqram doakan Muiz selamat. Nanti kita buat solat hajat ye?” kata Encik Muqri. Didalam hatinya dia berdoa supaya anaknya selamat. Dia tidak sanggup kehilangan insan yang disayanginya lagi namun dia akur dengan takdir Allah.

Friday, March 22, 2013

Kisah Kita - Bab 23

taken from here 


Sambutan Hari Guru tahun ini memang meriah. Banyak booth jualan yang dibuka oleh pelajar-pelajar yang menjual cenderamata untuk diberikan kepada guru-guru sebagai tanda penghargaan. Persembahan dari para pelajar juga amat dinanti-nantikan oleh guru-guru. Tahun lepas mereka cukup terhibur dengan persembahan dari pelajar-pelajar senior dan mereka harap tahun ini mereka dapat menyaksikan persembahan yang setara atau lebih hebat.

Para pelajar berkumpul didalam dewan upacara setelah menerima pengumuman. Upacara persembahan Hari Guru akan bermula. Mereka duduk mengikut kelas masing-masing dan diasingkan pelajar lelaki dan perempuan.

Setelah selesai bacaan doa dan  ucapan perasmian dari pengetua, pengerusi majlis memulakan majlis dengan menjemput guru-guru naik ke atas pentas. Guru-guru mula menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’ dengan penuh bersemangat lalu meraih tepukan gemuruh dan standing ovation dari para pelajar. Selesai persembahan dari guru-guru, persembahan dari pelajar terus bermula. Persembahan tarian tradisional dari pelbagai kaum yang dipersembahkan oleh pelajar tingkatan satu, dua dan tiga turut meraih tepukan gemuruh. Pelajar tingkatan empat pula mendeklamasikan sajak dan membuat sketsa komedi ala-ala rancangan Maharaja Lawak. Persembahan dari tingkatan empat itu tak lain tak bukan dikepalai oleh Emir dan disertai oleh beberapa pelajar dari kelas 4 Beta dan 4 Gamma.

Tiba-tiba lampu dewan dimatikan dan bunyi hilaian ketawa kedengaran. Para pelajar mula panik namun mereka berasa lega apabila lampu sorot dipasang dan dihalakan ditengah-tengah pentas. Muiz keluar dengan memakai T-shirt dan seluar jean. Ditangannya kanannya ada sejambak bunga mawar dan ditangan kirinya mikrofon.

Guys, are you ready to rock?!” laung Muiz tiba-tiba. Laungannya disambut dengan sorakan dari para pelajar. Lagaknya seperti bintang rock. Pengetua dan guru-guru lain hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tahu sangat dengan perangai pelajar cemerlang tetapi nakal mereka itu.

Sebaik sahaja muzik dimainkan, pelajar-pelajar terus meledak ketawa. Mana tidaknya. Bukan lagu rock yang dimainkan tapi lagu pop yeh yeh ‘Bibir Mesra Jiwa Parah’. Muiz dengan selambanya terus menyanyikan lagu itu dengan penuh perasaan dengan tarian pop yeh yehnya. Belum sempat lagu itu dihabiskan, Mia meluru keatas pentas dan merampas mikrofon dari abangnya. Aksi Mia itu menarik perhatian ramai pelajar ada juga bunyi siulan nakal dari pelajar lelaki kedengaran. Sebaik sahaja mikrofon bertukar tangan, lagu ‘Fukai Mori’ dari Do As Infinity kedengaran. Mia mula menyanyi lagu berbahasa Jepun itu dengan fasih lantas membuatkan para pelajar dan guru-guru ternganga. Tak sangka Mia yang anti-sosial itu kini menyanyi dihadapan mereka. Habis korus pertama, Muiz pula merampas mikrofon dari Mia dan menyanyikan lagu ‘Same Direction’ dari Hoobastank. Sekali lagi para pelajar dan guru tergamam. Terdetik di hati mereka, adakah dua beradik ini sedang bergaduh?

Nyanyian bertenaga dari Muiz membuatkan para pelajar dan guru teruja. Selesai sahaja nyanyian Muiz. Mia mengambil satu lagi mikrofon dan menyanyikan lagu ‘Two is Better Than One’ bersama-sama Muiz. Para pelajar turut menyanyi bersama-sama dengan mereka. Tamat persembahan mereka. Muiz terus memberikan sejambak bunga mawar itu kepada guru kelasnya. Guru-guru yang lain turut diberikan bunga mawar dan sebatang pen Parker sebagai tanda penghargaan. Mia turut membantu Muiz mengagihkan bunga dan pen itu kepada semua guru. Perlakuan dua beradik itu sangat mengharukan guru-guru.

Iqram yang masih terkejut dengan persembahan Muiz dan Mia tak menyangka yang begitu hebat perancangan Muiz sehinggakan dia pun hampir ternganga apabila melihat Mia menyanyi. Tak pernah pun dia melihat Mia keluar membuat latihan seperti Emir dan rakan-rakannya yang lain. Tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan nyanyian live dari Mia. Dia ternampak Firdaus dan Hamdan keluar dari dibelakang pentas. Dia yakin yang Firdaus dan Hamdan turut terlibat dalam rancangan Muiz.

‘Muiz..Muiz..” getus Iqram tersenyum sambil menggelengkan kepala.


Seminggu sebelum Hari Guru.
“Mia kena tolong abang juga! Abang nak persembahan tahun ni paling gempak yang abang pernah buat okay?” pujuk Muiz. Mia menyilangkan tangan memeluk tubuh sambil memandang geram kearah Muiz. Suka hati sahaja abangnya menyuruh dia menyanyi untuk persembahan Hari Guru. Dia memang tak suka berdiri dikhalayak ramai. Sebab itulah dia sering menolak untuk mewakili sekolah untuk apa-apa acara kecuali acara seni mempertahankan diri kerana dia hanya perlu menumpukan tumpuannya pada lawannya sahaja.

“Mia tak nak! Abang tahu kan Mia tak suka?” jawab Mia sambil menjeling kearah Muiz.

“Tolonglah abang Mia. Kalau Mia tolong abang, abang akan tunaikan apa saja permintaan Mia” rayu Muiz. Melihatkan Muiz yang sudah merayu membuatkan Mia tidak sampai hati untuk menolak permintaan abangnya. Tapi..dia memang malu dan tak mahu berdiri dikhalayak ramai.
               
“Mia tak suka berdiri didepan ramai orang. Mia takut” jelas Mia. Dia kasihan dengan abangnya tapi siapa pula yang nak kasihankan dia jika dia tiba-tiba kaku diatas pentas nanti? Pasti dia akan diketawakan.

“Jangan risau, abang ada sekali atas pentas tu masa Mia menyanyi. Mia anggap mereka tu patung-patung yang boleh bergerak sudah” kata Muiz yang cuba menyakinkan Mia.

“Patung yang  boleh bergerak?” Mia cuba membayangkan muka pelajar-pelajar versi patung yang akhirnya membuatkan dia tergelak sendiri. Muiz hanya tersenyum melihat perilaku adiknya.

“Baiklah Mia setuju. Tapi kali ni je okay?” Mia harap betul keputusannya kali ini.

“Macam inilah adik abang!” Muiz terus memaut bahu Mia. Muiz terus menerangkan tentang perancangannya pada Hari Guru nanti. Mia mendengar dengan teliti kerana dia tahu abangnya memang tak suka mengulang semula arahan yang diberikan.

“Jadi Firdaus dan Hamdan akan tolong kita kawal muzik” jelas Muiz. Mia menganggukkan kepala.

“Hadiah untuk semua cikgu tu abang dah siapkan?” tanya Mia.

“Dah. Bunga tu abang dah tempah sejak dari sebulan lepas sebab takut nanti ada masalah dengan stok kedai. Pen pun baru sampai semalam. Abang nak balut je nanti. Mia tolong abang ye?” Mia terus mengangguk setuju. Abangnya memang ada ciri-ciri pemimpin yang baik dan sangat bijak dalam merancang terasa bangga pula mempunyai abang seperti Muiz walaupun Muiz suka mengusiknya.

“Boleh je tak ada masalah” jawab Mia.

“Tapi untuk pen ni rasanya tak payah balutlah sebab dah cukup cantik dah kotak dia” kata Mia sambil membelek-belek kotak pen Parker yang nampak elegan itu.

“Tapi abang rasa nak balut sebab takut nanti orang ingat abang menunjuk-nunjuk” balas Muiz. Wajah Muiz nampak gusar. Dia memang tak suka dilabel riak atau menunjuk-nunjuk.

“Abang, pedulikan apa orang nak kata. Bagi je macam ni. Lagi pun buat apa membazir beli pembalut hadiah yang lepas tu dibuang walaupun kita balut secantik mana” jelas Mia. Muiz mengangguk setuju.

“Baiklah tak payah balut. Kita bagi terus lepas persembahan jadi tak adalah murid lain sempat tengok dan nak jealous ke apa” ujar Muiz bersemangat. Dia sudah membayangkan betapa gempaknya Hari Guru tahun ini dimindanya.


Sambutan Hari Guru itu tamat pada pukul 12 tengahari. Mia dan Muiz menuju ke kantin untuk mengisi perut. Dari jauh kelihatan Firdaus, Hamdan dan Iqram sedang duduk di sebuah meja disitu.

“Muiz, Mia, marilah makan sekali” pelawa Firdaus.

“Sekejap ye. Kami pergi beli makanan dulu” jawab Muiz. Muiz dan Mia terus menuju ke kaunter kantin untuk membeli makanan. Mereka membeli nasi ayam dan kembali ke meja dimana tiga sahabat tadi menjamu selera.

“Muiz rancangan kau tahun ni memang gempaklah! Terkejut aku dengan Firdaus bila kau minta kitorang kawal muzik dan bawa hadiah belakang pentas hari ni” Hamdan memulakan bicara sebaik sahaja dua beradik itu melabuhkan punggung setelah mencuci tangan.

“Biasalah. Mia ni pun aku baru beritahu minggu lepas. Nasib baik dia setuju kalau tak mesti tak gempak” balas Muiz sambil menyuapkan nasi ayam kedalam mulutnya. Terasa lapar sebab dia bersarapan sedikit sahaja pagi  tadi kerana terlalu gementar.

“Tapi tak boleh blah lah idea kau main rampas-rampas mikrofon atas pentas dengan Mia. Kitorang ingat korang ni nak bergaduh ke apa atas pentas tu” kata Firdaus sambil tergelak mengingatkan acara rampas merampas dua beradik ini tadi.

“Tu lah kita terkejut gila bila tengok Mia tiba-tiba naik atas pentas siap menyanyi lagi lepas tu” Iqram berkata sambil memandang kearah Mia yang sudah menunduk malu tetapi masih menyuap nasi ayam kedalam mulut. Lapar sangatlah tu..

“Saja aku buat gempak tahun ni sebab ni persembahan terakhir aku untuk cikgu-cikgu kat sini.” Muiz menghabiskan suapan nasi ayamnya. Gara-gara lapar, laju benar dia makan hari ini.

Kata-kata Muiz itu mengingatkan Mia yang abangnya akan meninggalkan dia tak lama lagi. Hatinya berasa sayu namun dia terpaksa melepaskan abangnya pergi kerana itu merupakankehendak Muiz sendiri. Muiz bagaikan faham dengan kegusaran dihati Mia. Dia menepuk-nepuk bahu adiknya sambil mengangkat pinggan makanannya yang kosong lalu diletakkan kedalam besen yang tersedia.

‘Mia kau kena kuat!’ pujuk hati Mia sendiri.

Wednesday, March 20, 2013

Kisah Kita - Bab 22

taken from here 

“Mia, jom!” ajak Emir setelah tamat waktu persekolahan.

“Jom mana Emir?” Tanya Iqram. Hatinya kurang senang apabila Emir mengajak Mia entah ke mana.

“Oh kami nak pergi beli barang untuk projek Fizik. Sementara tu boleh pergi dating sekali” kata Emir sambil tersengih.

“Mengarut. Dah jom” Mia terus mengangkat begnya. Dia sudah memaklumkan kepada abangnya yang dia akan keluar membeli barang bersama Emir. Walaupun Muiz seperti tidak suka namun dia terpaksa melepaskan Mia pergi demi tugasan Fizik Mia.

“Kau nak pergi beli kat mana?” tanya Iqram lagi.

“AEON Jusco. Senang banyak kedai dalam tu.” Emir sudah mula mengatur langkah untuk pergi.

“Tunggu. Biar aku dengan Jun Hong ikut sekali. Kebetulan kami pun nak cari bahan-bahan juga” kata Iqram. Dia terus memanggil Jun Hong dan memberitahu tentang rancangannya. Nasib baik Jun Hong tiada perancangan lain kalau tidak mahu buntu Iqram mencari idea untuk mengikut Mia dan Emir.

“Bagus juga pergi ramai-ramai” kata Mia sambil melangkah keluar dari kelas.

“Kacau orang nak dating je kau ni” Emir berkata sambil memuncungkan mulut.

Dating? Since when Mia setuju nak dating dengan kau?” kata Jun Hong sambil ketawa mengejek kepada Emir.

Emir menunjukkan muka tidak puas hati kepada Jun Hong.

‘Haih apek ni kang ada juga yang makan kasut saiz 9’ getus Emir dalam hati.


Mereka berempat menaiki bas untuk ke AEON. Sebaik sahaja naik ke dalam bas, Iqram cepat-cepat mencari tempat duduk. Mia mengambil tempat disebelah Iqram setelah Iqram menepuk-nepuk tempat duduk yang kosong disebelahnya sambil memandang kearah Mia. Kebetulan sudah tiada tempat kosong yang lain.

“Haih kat luar pun Mia kena duduk sebelah kau ke?” sindir Emir apabila melihat perlakuan Iqram.

“Habis tu? Dah kata bini kita. Betul tak cakap abang?” gurau Iqram sambil tersengih kearah Mia. Emir menayangkan muka geli-geleman apabila mendengar Iqram membahasakan dirinya abang. Mia hanya menjeling geram kepada Iqram.

‘Datang dah virus nakal dia’ bisik Mia didalam hati.

“Okaylah Abang Iqram, disebabkan kau gelarkan diri kau abang, sila bayar tambang untuk kami semua” kata Emir sambil ketawa. Jun Hong turut mengangguk tanda setuju.

“Tak ada hal. Meh kita bayarkan” Iqram mengeluarkan dompetnya apabila konduktor bas menghampiri mereka.

“AEON empat orang” kata Iqram kepada konduktor tersebut lalu membayar tambang mereka semua.

“Weh kami bergurau sahajalah Iqram. Biar kami ganti semula duit tu” kata Jun Hong. Dia sudah tidak sedap hati apabila Iqram membayar tambang untuk mereka. Sesungguhnya dia hanya bermain-main setuju dengan cadangan Emir tadi.

“Eh tak apalah. Kita ikhlas nak bayarkan” Iqram tersenyum apabila melihat muka gelabah Jun Hong. Emir hanya tersengih.

“Terima kasih ye Abang Iqram” ucap Emir dan Jun Hong sambil menayang gigi konon comel.

“Sama-sama adik-adik. Ni bini abang tak ucap terima kasih ke?” usik Iqram kepada Mia yang sedang termenung memandang jauh ke luar tingkap.

“Huh? Terima kasih” jawab Mia spontan yang terkejut dengan teguran Iqram.

“Hah..mengaku pun bini abang” kata Iqram sambil ketawa berdekah-dekah. Seronok dapat mengenakan Mia. Baharu dia tahu perasaan seronok mengusik Mia yang selalu dinikmati oleh Muiz selama ini. Serentak itu dia juga dapat merasakan jurusan tangan ketam yang berbisa yang ditakuti oleh Muiz.


 Suasana kelas 4 Alpha sangat sunyi pagi ini. Masing-masing menumpukan perhatian kepada soalan harian Matematik Tambahan yang tersedia dipapan putih kelas mereka.

“Assalamualaikum.” Iqram memberi salam sambil duduk ditempatnya. Mia menjawab salam sambil tersenyum kearah Iqram.

“Aik senyum semacam je pagi ni? Ada apa-apa ke?” tanya Iqram. Mia masih tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia kemudiannya menyiapkan latihan Matematik Tambahan hariannya. Sekejap lagi masa Matematik Tambahan dan cabutan undi yang mengerunkan pelajar 4 Alpha akan berlaku sebentar sahaja lagi..jeng..jeng..jeng.

“Okay nombor 10, 20 dan 40! Sila keluar selesaikan soalan di papan putih sekarang!” arah Mr. Teh sambil memeluk tubuh selepas mencabut undi. Cabutan undi ini memang tidak dinanti-nantikan oleh sesiapa pun kerana ianya sangat menakutkan. Siapa yang silap akan disuruh berdiri sehingga tamat satu masa pembelajaran. Ini merupakan peraturan Mr. Teh yang mahukan pelajarnya sentiasa bersedia dan cekap dalam matapelajaran yang diajarnya.

“Baik masa dah tamat! Sila duduk.” Mr. Teh memeriksa jalan kerja dan jawapan murid-muridnya dipapan putih itu.

“Siapa yang buat soalan nombor dua?” tanya Mr. Teh dengan suara yang garang.

“Saya cikgu.” Emir menjawab sambil berdiri tegak menghadap Mr.Teh.

“Ini sudah salah! Sila buat pembetulan dan jumpa saya waktu rehat nanti!” Mr. Teh yang sememangnya ditakuti oleh ramai pelajar dan ayat ‘sila jumpa saya’ bagaikan satu sumpahan kepada sesiapa yang menerimanya baik di depannya ataupun di dalam buku latihan. Setiap kali pelajar 4 Alpha menerima buku latihan yang sudah diperiksa oleh Mr. Teh, mereka akan memeriksa sama ada mereka menerima ayat sumpahan itu atau tidak.

Muka Emir sudah bertukar warna dan dia terpaksa berdiri sehingga tamat satu masa. Iqram dan Mia memandang Emir dengan pandangan simpati tetapi tak boleh memandang lama. Mr. Teh tak suka jika ada pelajar yang tak menumpukan perhatian, menguap ataupun bercakap ketika dia mengajar. Waktu subjuk Matematik Tambahan memang merupakan waktu seksaan untuk kelas 4 Alpha.

Tamat sahaja masa Matematik Tambahan, Iqram terus mendekati Emir.

“Emir okay tak ni?” tanya Iqram. Dihulurnya sekotak air laici kepada Emir. Kebetulan dia membeli sekotak air laici di koperasi sebelum waktu Mr. Teh tadi.

“Okay je. Aku ni lemah sikit subjek ni jadi aku dah biasa dah tapi macam mana pun masih terasa gerun nak jumpa Mr. Teh waktu rehat nanti” jawab Emir sambil tersenyum tawar.

“Emir, awak duduk sebelah dengan best student Add Math tahu? Kenapa tak ada tanya?” kata Jun Hong sambil menepuk bahu Emir.

“Bila masanya aku nak tanya? Kau tu busy memanjang. Kalah PM!” balas Emir sambil menyiku lengan Jun Hong.

“Oh ya ka?” Jun Hong hanya tersengih menayang gigi.

“Alah kalau Jun Hong tak ada tanya je la kat Mia dengan kita. Kitorang pun okay juga dalam subjek ni” kata Iqram. Dia memang ikhlas mahu menolong Emir.

“Okaylah kawan. Lain kali aku tanya korang ye? Harapkan PM ni tunggu PRU tahun depanlah gamaknya” sengaja Emir menyindir Jun Hong. Jun Hong memang sibuk. Disamping menjadi ketua kelas, Jun Hong juga menjawat jawatan presiden untuk semua kelab yang disertainya. Namun pelajarannya tidak pernah terabai. Jun Hong merupakan saingan hebat Mia dalam merebut takhta pelajar cemerlang sekolah.

Waktu rehat sudah tiba, Emir keluar setelah meninggalkan ‘wasiat’ kepada Jun Hong dan rakan-rakan lain. Drama sebabak oleh Emir membuatkan kelas 4 Alpha bergegar dengan gelak ketawa sehingga pelajar dari kelas 4 Beta menjenguk ke kelas mereka.

“Iqram” panggil Mia sambil melambaikan tangan kearah Iqram.

‘Hihi bini ajak makan sekali ke?’ bisik hati Iqram sambil tersenyum nakal kearah Mia.

“Ye Mia. Kenapa panggil kita ni? Kita nak pergi makan dengan Muiz lah” kata Iqram sambil menayangkan muka mengejar masa.

“Oh ye ke? Tak apalah” kata Mia sambil beredar menuju kearah perpustakaan.

“Eh sekejap. Kita gurau jela. Kenapa Mia”

‘Tahu pun menggelabah’ bisik hati Mia.

“Jom pergi kat tempat Einstein.” Iqram terus mengikut Mia. Tahu sangat tempat Einstein yang dimaksudkan Mia. Tak lain tak bukan belakang bangunan sekolah, tempat dimana dia dan Mia menjaga Einstein dulu.

“Happy birthday kawan!” ucap Muiz, Hamdan dan Firdaus yang sudah sedia menunggu disitu. Iqram tersenyum melihat muka teruja rakan-rakannya. Muiz dengan penuh semangat menyanyikan lagu hari jadi seorang diri. Yang lain hanya menggelengkan kepala melihat gelagat Muiz yang terlebih teruja.

“Nah tadi aku siap minta kebenaran makcik kantin untuk simpan kek kau dalam peti ais diorang. Tak tahu la kot-kot ada bau ikan” gurau Muiz sambil menghulurkan sekotak Strawberry cheesecake kepada Iqram. Mulanya dia ingin membeli kek coklat tetapi setelah diterangkan oleh Mia yang Iqram tak suka coklat, Muiz menukarkannya dengan kek keju.

Iqram menyambut huluran kek itu dengan berhati-hati. Dia meletakkan kotak kek itu diatas meja yang sudah dilapik dengan kertas surat khabar. Dibukanya kotak kek yang lutsinar itu dan dia memotongkan kek itu kepada beberapa bahagian dan dibahagi-bahagikan kepada rakan-rakannya.

“Eh, eh birthday boy pula yang kena buat kerja. Nasib kau lah Iqram” gelak Muiz sambil mengambil kek yang sudah dipotong itu. Strawberry cheesecake memang kek yang paling digemari oleh Muiz.

Mereka berempat duduk makan kek dibelakang bangunan sekolah itu sambil memandang jauh kearah padang sekolah.

“Lagi berapa bulan lagi kami kat sini. Lepas ni tinggal Iqram dengan Mia je” kata Firdaus sambil menyuap kek ke dalam mulutnya. Matanya masih tertancap kearah padang bola yang hijau lagi mendamaikan.

“Lepas ni korang nak sambung belajar di mana?” tanya Iqram. Dia ingin tahu juga perancangan masa depan rakan-rakannya.

“Aku nak sambung belajar dan balik ke London” jawab Muiz sambil tersenyum kearah Mia.Dia tahu adiknya pasti terkejut dengan keputusannya. Dia sebenarnya sudah lama merancang untuk sambung belajar dan tinggal sementara di London setelah dia tamat sekolah menengah.

“Aku pula tunggu tawaran dulu. Kalau ada peluang, aku pun nak sambung di luar negara” jawab Hamdan.

“Aku pun sama macam Hamdan. InsyaAllah kalau ada rezeki, aku ke luar negara” Firdaus menjawab sambil tersenyum.

“Iqram dah merancang nak ke mana selepas ini?” tanya Firdaus.

“Kita nak sambung belajar tapi tak pasti lagi dalam bidang apa. Mungkin kejuruteraan ataupun arkeologi” terang Iqram. Dia sememang masih tidak tahu bidang yang patut dipilih selepas tamat sekolah menengah.

“Mia macam mana?” tanya Iqram kepada Mia yang senyap sejak tadi.

“Mia pun tak tahu lagi” Mia terus bangun dan mengambil sesuatu dari begnya.

“Nah ni hadiah hari jadi untuk Iqram. Harap Iqram suka” kata Mia sambil menghulurkan sebuah kotak putih yang berbalut reben merah. Iqram menyambut huluran Mia dengan senyuman lebar. Ini merupakan hadiah kedua dari Mia kepadanya.

“Ni pula hadiah dari kami bertiga. Kitorang tak tahu nak beri apa jadi ambil jela. Ikhlas dari senior kau!” sengaja Muiz menekankan perkataan senior itu tadi. Iqram menyambut pemberian seniornya itu dengan gembira.

‘Ah mesti rindukan diorang ni nanti’ getus Iqram dalam hati.

“Haah, tahun ni kau join tak persembahan Hari Guru, Muiz?” tanya Hamdan kepada Muiz.

“Hei acara wajib aku kot. Mengumpul peminat-peminat baru dan tunjuk bakat” seloroh Muiz. Dia memang sering diminta oleh guru-gurunya untuk membuat persembahan tetapi tahun ni dia ada rancangan baik punya. Nak tahu? Tunggu Hari Guru~




Tuesday, March 19, 2013

Kisah Kita - Bab 21

taken from here 

Petang itu mereka melawat Iqram selepas solat Asar. Firdaus dan Hamdan turut mengikut dua beradik itu. Mereka datang dengan menaiki kereta Firdaus. Firdaus yang lahir pada awal bulan Januari memang beruntung dapat mengambil lesen awal dan lebih bermakna lagi apabila ibubapa Firdaus turut menghadiahkan kereta Perodua Myvi SE kepadanya.

Myvi SE yang berwarna Ivory White itu berhenti betul-betul dihadapan rumah Iqram. Mereka terus keluar dari perut kereta dan memberi salam. Kelihatan Puan Risa keluar menyambut mereka dengan wajah yang gembira sambil menjawab salam.

“Mari parking kereta tu kat dalam. Auntie bukakan pagar.” Firdaus masuk kedalam kereta dan menghidupkan semula enjin. Mia, Muiz dan Hamdan terus bersalaman dengan Puan Risa.

“Ayah belum balik ye mama?” tanya Muiz sebaik sahaja melabuhkan punggung diatas sofa. Mia mengambil tempat disebelah abangnya tetapi dia terus berdiri apabila melihat mama Risanya menatang dulang berisi jug air dan gelas.

“Biar Mia buat mama” Mia terus menyuruh mama Risa duduk. Puan Risa tersenyum dengan perlakuan Mia yang sopan itu.

"Ayah kamu outstation. Minggu depan baru balik." jawab Puan Risa

“Hamdan, Firdaus korang tak payah nak tayang muka pelik okay? Mama dengan ayah Iqram ni dah ambil kitorang jadi anak diorang walaupun bukan secara rasmi” jelas Muiz yang hampir meledak ketawa apabila melihat Hamdan dan Firdaus tercengang apabila mendengar dia dan Mia memanggil Puan Risa dengan panggilan ‘mama’. Serentak mereka mengangguk apabila mendengar penerangan Muiz.

“Iqram macam mana Auntie?” tanya Firdaus sambil mengambil gelas berisi air oren yang terhidang dihadapannya.

“Alhamdulillah dah baik sikit dari pagi tadi. Tadi suhunya 40°C tapi nasib baik lepas Zohor tadi auntie check suhunya dah turun 38°C. Takut kalau panas sangat boleh kena sawan budak tu” terang Puan Risa yang ternyata kelihatan risau dengan demam panas anaknya.

“Doktor cakap apa auntie?” tanya Hamdan pula. Risau pula dengan keadaan sahabatnya.

“Doktor cakap kalau demam teruk lagi esok, dia suruh auntie bawa pergi hospital sebab takut virus” Mia terus memegang tangan mama Risanya untuk memberi sedikit kekuatan. Puan Risa memandang Mia sambil tersenyum tawar.

“Kalau kamu semua nak tengok Qayyum, silalah naik ke biliknya di tingkat atas. Dia tu macam mana pun mesti nak kena rehat didalam bilik sendiri. Tadi auntie suruh dia baring kat bilik bawah ni senang untuk auntie tengok tapi dia tak nak sebab dia nak baring dikatil sendiri katanya” ujar Puan Risa.

“Mari mama bawakan ke bilik Qayyum” kata Puan Risa sambil menarik tangan Mia. Muiz tersengih melihat Mia yang malu-malu. Puan Risa meninggalkan mereka dihadapan bilik Iqram. Sengaja dia ingin mereka berbual dengan lebih selesa.

“Assalamualaikum Iqram! Kami datang nak beraya” gurau Muiz sambil menolak perlahan pintu bilik Iqram.
“Waalaikumussalam. Mari la masuk. Duduk-duduk, kejap lagi kita jamu kuih” balas Iqram dengan gurauan. Tahu sangat Muiz yang kuat bergurau memberi salam.

Iqram yang ketika itu sedang terbaring lemah menggagahkan diri apabila melihat kawan-kawannya datang melawatnya. Spontan dia tersenyum apabila melihat Mia yang malu-malu masuk kedalam biliknya.

“Maaflah bilik kita bersepah sikit. Tak sempat nak kemas pagi tadi. Pening sangat rasanya” kata Iqram apabila melihat rakan-rakannya terpaksa mengangkat buku sekolahnya yang diletakkan diatas sofa. Buku-buku itu sebenarnya dia keluarkan dari beg dengan tujuan untuk mengemas buku untuk esok tapi tak sempat dia menyudahkannya dia berasa pening yang teramat sangat.

“Eh tak apalah. Dah lebih kurang bilik Mia je” usik Muiz. Mia yang malu terus mencubit abangnya. Mui menjerit kesakitan dek penangan jurusan tangan ketam Mia.

“Sakitlah! Abang tinggal nanti!” marah Muiz.

“Tak apa, kita bukan naik motor hari ni. Firdaus boleh hantar Mia” jawab Mia sambil memberikan senyuman sinis kepada abangnya yang sudah memuncung geram.

“Firdaus drive ke hari ni?” tanya Iqram.

“Haah baru je dapat lesen” jawab Firdaus sambil tersenyum ke arah Iqram.

“Einstein mana?” tanya Mia tiba-tiba. Terkejut Iqram apabila Mia bertanyakan tentang Einstein. Dia sebenarnya berasa sedikit terkilan kerana Mia melebihkan Einstein walaupun dalam keadaan dia yang sedang sakit ini.

“Dia main-main kat bawah kot. Selalu kita biarkan dia bergerak bebas.” Iqram menjawab tanpa memandang kearah Mia.

“Eh Mia ni, kucing tu juga dia tanya. Pagi tadi bukan main risau dengan Iqram sampai sanggup nak datang sini naik teksi kalau abang tak nak bawa. Ni alih-alih dah jumpa tanya pasal kucing tu pula” sengaja Muiz membocorkan rahsia adiknya apabila melihat Iqram seperti berjauh hati dengan Mia.

“Abang!” marah Mia. Mukanya membahang apabila melihat Iqram yang sudah tersenyum memandangnya. Mia hanya menunduk malu apabila Iqram tak puas-puas merenung kearahnya. Wajah Iqram sempat ditelitinya tadi. Pipi dan bibir Iqram yang memerah akibat demam panas nampak comel dimatanya.

‘Ah sewel kau Mia, orang tu tengah sakit lagi kau fikir bukan-bukan’ Mia memarahi dirinya sendiri.

“Kau apasal redah hujan semalam Iqram? Punyalah banyak tempat berteduh lagi mau redah ka?” marah Hamdan. Terasa geram pula memikirkan kawannya itu sakit disebabkan meredah hujan lebat. Memang lebat sungguh hujan semalam sehingga dia pun singgah berehat disurau sementara menunggu hujan berhenti.

“Err saja je kita nak balik cepat” jawab Iqram. Gerun apabila Hamdan yang bersuara garau itu memarahinya.

“Hamdan, budak ni tengah sakit lagi kau nak lemahkan semangat dia ke? Bawa bersabar.” Firdaus menegur perbuatan Hamdan yang agak kasar itu. Dia turut berasa gugur jantungnya setiap kali Hamdan menengking. Suara garau Hamdan itu memang mengerunkan.

“Hihi..sorry. Sakit hati bila tengok kau lemah macam ni. Lain kali janganlah nak meredah hujan sangat kalau sistem imun tu tak cukup kuat. Lagipun hujan sekarang ni banyak bahan kimia dek pencemaran udara” nasihat Hamdan.

Iqram terharu dengan perhatian yang diberikan oleh rakan-rakannya itu.

“Terima kasih sebab sudi datang melawat kita. Kita pun dah sihat sikit jadi insyaAllah esok kita pergi sekolah” Iqram terus mengukirkan senyuman manis kepada rakan-rakannya.

“Ala small matter la kawan. Ni kau jangan lupa makan ubat yang doktor beri dan minum banyak air” Muiz memberi nasihat sambil menepuk-nepuk bahu Iqram.

“Mia, ada apa-apa ke kat sekolah hari ni?” tanya Iqram sambil memandang Mia.

“Hari ni ada pembahagian kumpulan untuk projek Fizik. Cikgu yang tentukan kumpulan. Mia sekumpulan dengan Emir dan Iqram pula dengan Jun Hong” jelas Mia. Iqram hanya menganggukkan kepala. Walaupun terasa sedikit cemburu namun dia cepat-cepat menghapuskan perasaan itu kerana itu yang membuatkan hubungan dia dan Mia menjadi teruk. Lagipun bukan Mia yang memilih untuk sama kumpulan dengan Emir.

“Tak boleh tukar ke Mia?” tanya Muiz.

“Tak boleh sebab cikgu yang tentukan. Budak perempuan lain dah ada pasangan sendiri”  Muiz turut mengangguk. Dia tidak selesa apabila adiknya sekumpulan dengan lelaki. Lebih-lebih lagi kerja secara berpasangan.

“Baiklah Iqram, aku rasa kami dah kena gerak dah ni. Lagipun kau perlukan rehat yang banyak. Kami minta diri dulu ye” kata Firdaus sambil bangun dari sofa. Dia bersalam dengan Iqram diikuti dengan Muiz dan Hamdan. Mia hanya memandang dari tepi.

“Mia kalau nak tinggal sini pun tak apa kan Iqram?” gurau Muiz apabila melihatkan adiknya yang masih berdiri tegak memandang Iqram. Tanpa sedar Iqram mengangguk namun cepat-cepat dia menggelengkan kepala.

Mia yang sudah mencubit abangnya. Hanya tersenyum melihat aksi Iqram yang menggelabah.

‘Hehehe..penangan demam panas la tu’ getus Mia dalam hati.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...