Saturday, July 27, 2013

Kisah Kita - Bab 50

taken from here  

Mia mendapatkan Syazrina yang sedang menunggunya di bangku pusat membeli belah. Wajah sahabatnya yang keletihan akibat menemaninya membeli belah dipandang simpati. Dia bukan selalu membeli belah tapi sekali membeli mahu penuh bonet kereta.

“Maaf ye Rin penat temankan Mia.” Mia menghulurkan air mineral kepada sahabatnya itu. Syazrina menyambut huluran Mia dengan senyuman penat.

“Tak apalah Mia bukan selalu pun aku dapat temankan kau. Ada apa-apa lagi nak beli ke?” tanya Syazrina sebelum meneguk air mineral.

“Tinggal kasut je Rin. Rasanya nak beli 10 pasang” kata Mia selamba. Tersedak Syazrina mendengarkan kuantiti kasut yang ingin dibeli oleh Mia. Mia ketawa besar melihatkan reaksi Syazrina sambil mengurut-urut belakang sahabatnya itu.

“Rin, Mia gurau je. Dah habis shopping dah pun. Jom, Mia belanja makan” pelawa Mia lalu menarik tangan Syazrina yang memandang geram ke arahnya.

“Isy bakal mak budak ni main-main pula! Nasib baik mengandung, kalau tak mau je aku lesing” Mia hanya tersengih menayang gigi apabila melihat Syazrina membuat aksi mahu melesingnya.

“Hehe macam boleh je budak kecik ni” Syazrina memandang pelik ke arah Mia. Sejak akhir-akhir ini sahabatnya ini suka sangat menyakatnya dan kuat bergurau.

“Mia, pelik betul aku dengan gejala mengandung kau ni. Makin sengal perangai.” Meletus ketawa Mia dengan kenyataan Syazrina tadi.

“Entah la Rin. Jom makan, saya laparlah” rengek Mia sambil menarik tangan Syazrina masuk ke dalam restoren di dalam pusat beli-belah itu. Syazrina hanya menggelengkan kepala dan menurut langkah Mia.

Setelah mengambil tempat duduk dan membuat pesanan. Mia mengeluarkan sebuah kotak dari dalam beg tangannya lalu menghulurkannya kepada Syazrina. Syazrina yang terkejut hanya terkaku, langsung tidak menyambut huluran Mia itu.

“Rin, ni untuk awak” Mia menarik tangan Syazrina. Memaksa Syazrina untuk mengambil kotak itu darinya. Mahu tak mahu, Syazrina terpaksa mengambil kotak tersebut.

“Apa ni? Birthday aku lambat lagi.” Syazrina membelek-belek kotak empat segi yang berbalut cantik itu dengan perasaan berbaur. Gembira tapi dalam masa yang sama, dia serba salah untuk menerima hadiah tanpa sebab.

“Ni hadiah sebab selalu ada bila saya perlukan awak. Hadiah kecil je Rin, saya harap awak suka.”

Syazrina hanya memandang kotak hadiah itu dengan pandangan kosong. “Mia, aku temankan kau sebab aku ikhlas nak jadi sahabat kau dunia akhirat. Aku tak perlukan hadiah atau apa-apa untuk balas jasa aku ke apa.”

Mia terdiam mendengarkan kata-kata Syazrina. Sungguh, dia berasa terharu dan bersyukur kerana Allah memberikannya seorang sahabat yang baik. Tambahan pula Syazrina sanggup menjadi sahabatnya dunia dan akhirat. Mia meraih tangan Syazrina lalu mengenggam tangan sahabatnya itu. Matanya sudah mula bergenang. Syazrina yang perasan akan perubahan wajah Mia mula kaget.

“Rin, hadiah ni saya memang ikhlas nak bagi kat awak. Dah lama saya beli benda ni tapi saya tak ada sesiapa yang nak saya hadiahkan sebab saya tak ada kawan. Sekarang saya dah ada awak sebagai sahabat, jadi saya harap awak terima hadiah dari saya ni.”

Mata Syazrina mula bergenang. Hatinya yang keras mula lembut setelah mendengar kata-kata Mia. Perlahan dia memegang lembut tangan Mia.

“Baiklah aku terima. Terima kasih Mia” Syazrina menghadiahkan senyuman manis buat Mia.

“Eh, Mia! Rin!” Syazrina dan Mia pantas menoleh ke arah suara yang teruja menyebut nama mereka itu.

“Oh Nabila ingatkan siapa tadi.” Mia dan Syazrina bangun dari duduk mereka lalu mempelawa Nabila menyertai mereka. Nabila tersenyum lebar setelah mengambil tempat disebelah Mia. Nasib baik Mia dan Syazrina memilih tempat yang boleh memuatkan empat orang.

“Korang shopping ke? Sampai hati tak ajak” ujar Nabila pura-pura merajuk. Syazrina menjongketkan sebelah kening ala-ala Ziana Zain mendengarkan kenyataan sengal Nabila.

“Eh, apasal nak salahkan kitorang? Bukan kau cakap kau ada appointment dengan wedding planner ke hari ni? Tu yang aku tak ajak” balas Syazrina. Nabila ketawa mengekeh melihatkan muka cemberut Syazrina.

“Hehehe..saje je gurau. Ni aku baru lepas abis jumpa dengan si Jah dengan Jemah la ni. Kebetulan aku rasa bosan, tu yang aku masuk sini jalan-jalan. Seronok gila terserempak dengan korang kat sini” Nabila memesan makanan apabila pelayan restoren itu menghantar pesanan Mia dan Syazrina.

“Oh macam mana progress?” tanya Mia sambil menghulurkan airnya kepada Nabila. Agaknya Nabila mesti kehausan. Nabila menyambut huluran Mia dengan senyuman. Dia menyedut sedikit air Mia lalu menghulurkan semula air itu kepada Mia.

So far, okey je.”

“Kalau dahaga lagi ambil jela air Mia ni. Jangan segan-segan ye Nabila?” Mia meletakkan gelas airnya ditengah-tengah antara dia dan Nabila supaya Nabila tidak kekok untuk mengambil airnya jika Nabila berasa dahaga.

“Terima kasih Mia.”

Selepas beberapa minit, makanan yang dipesan Nabila sampai. Mereka bertiga galak berbual tentang kehamilan Mia dan majlis perkahwinan Nabila yang bakal menjelang disamping menikmati makanan yang dipesan. Perbualan mereka turut berselang-seli dengan gelak ketawa. Perangai gila-gila Nabila dan Mia makin terserlah setelah mereka semakin selesa berbual bersama-sama. Syazrina hanya menggelengkan kepala dan sekali-sekala turut ketawa melihatkan gelagat kedua-dua sahabatnya itu.

“Hai seronok nampak?” Dengan pantas Syazrina menoleh ke arah suara sumbang yang menganggu perbualan mereka bertiga.

‘Siapa pula barbie doll ni?’ fikir Syazrina dalam hati.

“Hai dah lupa dekat I ke? Mentang-mentang dok berulit dengan jantan-jantan kaya! I Tanya, girlfriend Jim!” Dengan muka bongkak Tanya memperkenalkan dirinya kepada Syazrina yang memandang selamba ke arahnya.

“Hmm rasanya aku ingat kot. Kau nak apa?” tanya Syazrina dengan muka malas. Memang dia malas pun nak melayan perempuan yang pakai baju sendat macam sarung nangka. Nasib baik kurus kalau tak mahu tersembul lemak-lemak.

“You boleh tanya I nak apa? You sepatutnya dah tahu apa yang I nak dari you!” bentak Tanya dengan suara yang sudah naik satu oktaf.

“Bingit telinga aku. The hell you want from me Tanya?!” Pantang Syazrina apabila ada yang menengkingnya sesuka hati. Hatinya sudah mula dirasuk amarah.

“Rin, sabar,” pantas Mia menenangkan Syazrina yang sudah mula berdiri berdepan dengan Tanya.

“Rin, siapa perempuan gila ni?” sinis Nabila bertanya. Matanya memandang Tanya dari atas ke bawah. Menyampah dengan perangai tak semengah mana perempuan dihadapannya ini.

“You ni pula siapa? Suka hati panggil I perempuan gila!” Meluru Tanya menolak bahu Nabila yang berdiri berhadapan dengannya. Makin menyirap darah Syazrina melihatkan Nabila yang terdorong ke belakang dek tolakan Tanya. Argh kasihan sahabatku!

“Tanya! Aku tanya kau dari tadi. Apa yang kau nak dari aku??!” jerit Syazrina. Matanya sudah memerah menahan marah yang semakin membuak-buak. Lagi sedikit sahaja dia sudah mahu mempraktikkan ilmu mempertahankan yang dipelajarinya dulu kepada perempuan sombong itu.

Tanya mula kecut perut. Wajah Syazrina yang berang cukup membuatkan dia berasa terancam. Namun misinya harus diteruskan juga. Tengku Hazeem mesti dipisahkan dari perempuan tomboy ini!

“I nak you lupakan Tengku Hazeem! Dia milik I dan you tak layak untuk dia!” Syazrina hampir terlopong. Kerana Tengku Hazeem, perempuan ini dengan suka hati memarahinya dan memalukannya di hadapan Mia dan Nabila.

“Dia bukan milik kau ataupun aku. Jadi kenapa kau nak bising kat sini? Kalau kau nak sangat dengan dia, pergi jumpa dengan dia bukan aku faham!” tengking Syazrina. Dia sudah tak peduli akan mata-mata manusia yang memandang ke arah mereka kini. Pucat lesi muka Tanya setelah ditengking Syazrina. Gadis itu nampak sahaja kecil tapi bila marah kalah singa.

“A..apa-apa pun I tak mahu nampak dengan Jim lagi. Kalau I nampak, siap you!” Tanya dengan tergesa-gesa meninggalkan Syazrina. Tak mahu dia berlama-lama dengan perempuan tomboy itu.

Syazrina memerhatikan Tanya yang makin jauh dari mereka dengan geram. Sakit hati dengan perangai berlagak perempuan itu.

“Hmm macam-macamlah perempuan tu Rin, kacau je” marah Nabila sambil menyedut straw minumannya.

“Nampaknya Hazeem ni kira hot stuff jugalah sebab ada perempuan sanggup gaduh nak kan dia” gurau Mia. Sengaja Mia mahu menghidupkan suasana ceria semula.

“Lantaklah dia hot stuff ke apa. Aku kawan je dengan mamat tu. Apasal perempuan histeria tu nak warning bagai kat aku. Tak faham aku!” keluh Syazrina. Setelah solat istikharah, dia yakin yang Hazeem bukan untuknya tapi lelaki itu tidak mahu mengalah dan masih mencuba untuk memikatnya.

“Rin, manusia ni memang susah nak duga. Apa-apa pun Rin sabar ye? Kalau dia kacau Rin lagi, beritahu kami. Biar kami lesing dia okey?” pujuk Mia dengan gurauan. Syazrina mula tersenyum membayang Mia yang sedang memboyot melesing Tanya si Kerempeng.

“Hah, budak ni bayangkan apa tu?” tegur Nabila. Syazrina hanya tersengih lalu menggeleng-gelengkan kepala.

“Baiklah jomlah kita balik. Nabila datang dengan apa ni?” tanya Mia prihatin.

“Oh saya nak tunggu Hamdan. Lepas Asar nanti dia datang jemput” jawab Nabila. Merah mukanya apabila Mia dan Syazrina sudah memandangnya dengan wajah nakal. Meletus ketawa Mia dan Syazrina melihatkan reaksi malu-malu Nabila.

“Baiklah. Kami balik dulu la ye. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Nabila tersenyum melihat Mia dan Nabila yang penuh kedua-dua tangannya dengan beg kertas. Shopping sakan rupanya kedua-dua sahabatnya itu. Dia menghantar pesanan ringkas kepada Hamdan mengingatkan tunangnya untuk menjemputnya nanti. Risau jika Hamdan terlupa yang mereka ingin ke klinik untuk membuat ujian HIV petang ini. Bibirnya menguntum senyum memikirkan yang mereka bakal disatukan tak lama lagi. Kini layanan Hamdan terhadapnya juga semakin baik. Rasa bahagia meresap masuk ke jiwanya setiap kali mengingatkan lelaki itu.


Keesokan harinya, Syazrina yang sudah tidak tidur selepas Subuh mengemas halaman rumahnya. Rutin paginya sejak dia duduk dirumah. Bukan apa, dia tidak suka jika bondanya yang penat bekerja terpaksa mengemas rumah. Tiba di kotak peti surat dihadapan rumahnya, Syazrina mengeluarkan kunci peti surat dari dalam poket seluarnya. Surat-surat dibawa keluar dari peti itu sebelum dia mengunci semula peti surat rumahnya dan dia terus melangkah masuk ke dalam rumahnya.

Syazrina meletakkan surat-surat itu diatas meja lalu mengasing-asingkan surat abang-abangnya dan bil-bil. Sampul surat bersaiz A4 tanpa alamat diantara timbunan surat-surat lain mengamit perhatian Syazrina. Segera dia membuka sampul surat tersebut untuk mengetahui isi kandungan sampul surat misteri itu.

“Astaghfirullahalazim!” Tanpa sedar Syazrina mencampak isi kandungan sampul surat misteri itu. Tindakan refleks itu terjadi apabila dia terlihat gambar-gambar tidak senonoh Hazeem. Syazrina mengutip semula gambar-gambar itu dengan berhati-hati. Dia menyelak satu-satu gambar yang menampilkan aksi-aksi mesra Hazeem dengan beberapa orang perempuan dengan perasaan berbaur. Cepat-cepat dia beristighfar untuk mengusir prasangka. Mungkin ada yang cuba mengenakan Hazeem dengan menghantar gambar-gambar sebegini kepadanya. Pantas dia mencapai telefon pintarnya dan mendial nombor Hazeem. Perkara sebegini bukan boleh dibuat main kerana ianya melibatkan maruah lelaki itu.

“Assalamualaikum Hazeem, kau free tak petang ni? Kita jumpa?” Syazrina meletakkan telefon setelah Hazeem bersetuju untuk berjumpa dengannya. Gambar-gambar tadi dimasukkan semula ke dalam sampul surat tidak beralamat itu dengan penuh tanda tanya. Siapa yang mahu memperdajalkan Hazeem? Sebelum ini gambarnya dan Muiz, kini gambar Hazeem dalam keadaan yang sangat memalukan. Syazrina mengemas semula surat-surat yang berselerak dan memasukkannya ke dalam bekas meletakkan surat mengikut nama pemilik surat. Hasil kerja pertukangan Alangnya ketika tingkatan empat masih digunakan sehingga kini. Setiap daripada mereka mempunyai pigeon hole dengan tag nama dari kayu. Walaupun sudah lama, namun bekas tersebut tetap utuh dan masih cantik.


Petang itu, Hazeem menjemput Syazrina setelah pulang dari kerja. Gadis itu hanya mendiamkan dan hanya menjawab sepatah apabila dia memulakan prbualan cukup menyeksakan jiwanya. Tiba di taman permainan berdekatan dengan kawasan perumahan Syazrina, Hazeem memberhentikan kereta. Syazrina turun lalu melangkah menuju ke bangku yang berdekatan. Hazeem hanya mengekor Syazrina dengan penuh tanda tanya. Pelik dengan perangai Syazrina hari ini.

“Hazeem, aku tak tahu nak cakap macam mana. Baik kau tengok sendiri” Syazrina mengeluarkan sampul surat itu lalu menghulurkannya kepada Hazeem. Hazeem menerimanya dengan muka yang penuh tanda tanya.

“Astaghfirullalalazim” Hazeem melepaskan dengusan kasar. Mukanya diraup berkali-kali untuk menenangkan dirinya.
               
“Aku tak tahu siapa yang hantar kat aku. Aku rasa orang yang sama hantar gambar aku dengan Muiz kat kau dulu” ujar Syazrina dengan tenang. Wajah Hazeem dipandang sekilas. Simpati dengan dugaan yang menimpa lelaki ini.

“Jadi mesti kau ingat aku ni lelaki yang teruk kan? Memang tak layak untuk gadis baik-baik macam kau. Macam tu?” soal Hazeem sinis. Gambar-gambar zaman kegelapannya dipandang geram. Hazeem mengoyakkan gambar-gambar yang cukup memalukannya dihadapan gadis yang dicintainya. Argh gadis itu tak mungkin akan menyukainya, lelaki yang terpalit dengan dosa!

“Apa kau cakap ni Hazeem? Relaks dulu. Aku tak cakap apa-apa lagi yang kau melenting kenapa? Sekarang ni aku rasa baik kau siasat siapa yang dajalkan kau ni bukan marah aku faham?” keluh Syazrina.

“Lagi satu, aku ikhlas kawan dengan kau. Jika kau masih buat hal yang macam dalam gambar tu, aku harap kau bertaubat. Jika kau perlukan pertolongan, aku sedia nak tolong kau Hazeem.” Ikhlas Syazrina menuturkan kata-kata sehingga membuatkan Hazeem tergamam. Reaksi gadis itu cukup tenang dan langsung tidak merendah-rendahkan dirinya.

“Terima kasih Rin. Aku sangka kau mesti bencikan aku bila tahu pasal kisah silam yang aku sendiri nak lupakan tapi alhamdulillah kau tak begitu. Tak apalah nanti aku akan uruskan hal ni. Terima kasih sebab percayakan aku” ucap Hazeem dengan wajah yang mendung.


“Tak ada apalah. Tadi aku pun pening tak tahu macam mana nak cakap dengan kau sebab takut kau marah. Fuh lega..dah hantar aku balik. Kau kang mau stuck dalam jammed petang-petang macam ni” Syazrina bangun dari duduknya lalu menuju ke kereta Hazeem. Hazeem hanya menggelengkan kepala dengan telatah Syazrina. Dalam hatinya, dia nekad untuk menawan hati gadis selamba ini.

Saturday, July 20, 2013

Kisah Kita - Bab 49

taken from here  

Iqram mengeluarkan baju-baju dari bagasinya. Kepulangannya tidak dimaklumkan kepada Mia dengan niat mahu mengejutkan isterinya. Hadiah untuk Mia telah pun dia sorokkan di dalam almari baju mereka.  Iqram meletakkan baju-baju kotornya ke dalam bakul dengan siulan riang. Gembira dapat pulang awal dan petang nanti dia akan ke Teratak Damai untuk membuat kejutan kepada isterinya. Dia sudah pun mengajak Muiz untuk berkomplot dengannya dan semestinya abang ipar merangkap sahabat baiknya memang senang sahaja memberi kerjasama.

Iqram mengangkat bakul yang berisi pakaian kotor itu ke bilik membasuh di tingkat bawah. Puan Risa yang kebetulan bercuti tersenyum melihat gelagat anak lelakinya yang bakal menjadi seorang ayah.

“Seronok nampak Qayyum?” Puan Risa mendekati Iqram yang sedang memasukkan baju-baju kotornya ke dalam mesin baju.

“Mestilah seronok nak buat surprise kat Mia” Iqram tersengih lalu menutup penutup mesin baju setelah dia menyelesaikan tugasnya.

“Hmm yela..yela..malam ni kamu tidur sana ke?” tanya Puan Risa lalu bergerak menuju ke dapur. Dia ingin menyediakan kek untuk minum petang nanti.

“InsyaAllah. Lama tak jumpa dengan papa dan Muiz” Iqram membuka peti ais lalu mengeluarkan sekotak air soya. Puan Risa memandang pelik ke arah Iqram.

“Eh Qayyum, kamu bukan tak suka air soya ke?” soal Puan Risa lalu duduk bertentangan dengan Iqram yang sudah pun menuang air soya itu ke dalam gelas.

“Entah tekak Qayyum rasa nak minum soya sekarang. Mama buat kek apa tu?” Iqram meneguk air soya setelah membaca doa. Air soya memang bukan air yang disukainya sejak dahulu lagi. Lebih-lebih lagi dia membaca artikel yang lelaki tak elok meminum air soya kerana kandungan estrogen dari kekacang itu.

“Kek coklat. Hari tu ada staff mama bagi resepi Chocolate Cheesecake. Ni mama nak try buat la ni” jawab Puan Risa sambil tangannya cekap mengeluarkan bahan-bahan untuk membuat kek dari dalam kabinet dapur.

“Dengar macam sedap. Nanti mama simpankan sikit untuk Mia ye? Mia tu suka kek coklat” Iqram bangun mengangkat gelas yang sudah kosong ke sinki. Dari dahulu lagi dia dididik untuk membasuh pinggan dan cawannya sendiri. Sedangkan ayahnya sendiri membasuh pinggan sesudah makan.

“Ye nanti mama simpan untuk menantu kesayangan mama tu” balas Puan Risa dengan senyuman. Semalam dia sudah keluar membeli-belah bersama-sama Mia. Seronok membeli barang-barang persedian untuk ibu mengandung. Mereka turut melihat pakaian-pakaian bayi namun tidak membeli kerana masih awal.

“Okeylah mama, Qayyum naik atas dulu. Nak rehat sekejap sebelum Asar” Entah mengapa badannya cepat letih sejak kebelakangan ini. Kerjanya di Pulau Redang berjaya diselesaikan dengan cepat kerana tak tahan lama-lama berjauhan dengan isteri tercinta.

Tiba di bilik tidur, Iqram merebahkan tubuhnya diatas katil. Tadi dia sempat juga mengemas bilik tidur sebelum pergi mencuci baju. Bukan apa, dia mahu isterinya berasa gembira melihat bilik tidur yang telah dikemas rapi apabila Mia pulang ke sini. Tak sampai lima minit berbaring, dia sudah terlena.


Mia memandu keretanya masuk ke perkarangan Teratak Damai. Makcik Kartika yang sedang asyik berkebun dipandang nakal. Dengan perlahan Mia mendekati Makcik Kartika dan..

“Ahai..cik mek molek!” Mia sudah ketawa terbahak-bahak melihat reaksi latah Makcik Kartika. Sebelum ini tidak pernah pula dia melihat Makcik Kartika melatah. Nasib baik Makcik Kartika tak bergelek macam M.Daud Kilau hehehe..

“Ya Allah bakal mak budak ni! Sempat lagi mengacau makcik” bebel Makcik Kartika dengan tangan yang sudah mencekak pinggang.

“Assalamualaikum makcik. Tadi Mia tengok makcik ralit sangat tu yang membuak-buak perasaan nak mengacau.hehe” Mia tersengih menayangkan barisan giginya yang putih suka dapat mengacau wanita yang setia bekerja dengan keluarganya sejak dia kecil.

“Waalaikumussalam. Hah baru nak bagi salam. Dah pergi masuk, Muiz dengan papa kamu baru je balik. Makcik ada buat karipap yang kamu nak tu, kejap lagi makcik goreng okey?” Mia sudah tersenyum lebar mendengarkan Makcik Kartika ada membuat karipap untuknya. Pagi tadi dia mengidam hendak makan karipap kentang. Malangnya Makcik Kartika hanya menyediakan donat dan kuih lapis untuk sarapan.

“Wah bestnya! Mia nak pergi mandi dulu. Nanti bila makcik dah goreng panggil Mia ye?” Makcik Kartika mengangguk dengan senyuman. Gelagat Mia yang teruja cukup menyenangkan hatinya. Sepanjang tujuh tahun Muiz dan Mia ke London, dia amat merindui mereka berdua. Dia cukup bertuah kerana setiap kali Datuk Muqri melawat mereka di London, Datuk Muqri akan membawanya sekali.

Mia mendaki tangga ke tingkat atas Teratak Damai dengan perasaan gembira. Tak sabar mahu menikmati karipap yang bakal digoreng oleh Makcik Kartika nanti. Cepat-cepat Mia menuju ke bilik tidurnya.

Surprise!” Ternganga mulut Mia apabila melihat suaminya berada di dalam bilik tidurnya. Iqram hampir ketawa apabila melihat gelagat tidak percaya Mia.

“Abang! Bila balik?” Mia segera mendapatkan Iqram yang masih tersenyum. Iqram memeluk Mia yang sudah hampir dengannya.

“Pagi tadi, rindu sangat dengan sayang tu yang abang balik cepat” Iqram mengetatkan pelukannya. Rasa macam tak mahu lepas je. Memang lepas ini dia tak mahu ambil projek jauh-jauh.

“Ye ke? Bukan seronok ke tengok aweks comel lote kat sana?” pertanyaan Mia yang berbaur cemburu itu membuatkan Iqram tersenyum.

“Sayang, apa yang ada kat depan abang ni pun dah terlebih comel buat apa abang nak tengok orang lain? Lagipun abang sibuk kerja dan tempat kerja abang tu seorang perempuan pun tak ada sayang” jelas Iqram. Matanya memandang tepat ke dalam kolam mata Mia. Sesungguhnya dia rindu pada isterinya.

Mia sudah mula tersenyum mendengarkan kata-kata Iqram. Dia mengemaskan pelukan pada suaminya.

“Abang, ingat tak Mia ada cakap yang Mia ada berita gembira untuk abang?” Iqram mengelus pipi Mia lalu menghadiahkan ciuman pada pipi isterinya.

“Hmm abang. Mia mengandung” Iqram terdiam seketika mendengarkan kata-kata Mia. Tidak sampai 10 saat dia sudah melompat kegirangan.

“Alhamdulillah! Dah berapa lama?” tanya Iqram lalu memeluk kembali isterinya.

Three weeks. Abang ni tadi buat Mia takut je” Mia menampar perlahan lengan Iqram. Tadi dia ingatkan suaminya tidak suka dengan berita gembiranya.

“Hehehe..tadi otak abang tengah proses maklumat tu yang slow sikit” balas Iqram lalu mencium pipi Mia bertalu-talu.

“Eii..abang ni. Dah, Mia nak mandi ni. Makcik Kartika ada buat karipap, sekejap lagi kita boleh turun makan”ujar Mia lalu melonggarkan pelukannya. Iqram hanya tersengih melihat Mia yang sudah masuk ke dalam bilik mandi.

“Sayang, abang turun bawah dulu ye” jerit Iqram di luar pintu bilik mandi.

Okay” balas Mia dari dalam bilik mandi. Bunyi pancuran air yang agak kuat membuatkan dia turut terjerit.


Iqram menuju ke ruang tamu Teratak Damai. Muiz yang sedang duduk berehat tersenyum dengan kehadiran Iqram.

“Assalamualaikum bakal bapak budak” ucap Muiz setelah Iqram duduk dihadapannya.

“Waalaikumussalam bakal bapak saudara” jawab Iqram lalu ketawa bersama-sama Muiz. Nakal sahabatnya itu memang tak pernah berkurangan.

“Suka la tu dapat balik awal. Nasib baik dah siap kerja kat sana kalau ada delay aku rasa mau kau dengan Mia sama-sama meroyan” kata Muiz lalu ketawa panjang berjela. Iqram turut ketawa mendengarkan ayatan sengal Muiz.

“Yela. Ala orang tak kahwin lagi mana tahu” balas Iqram dengan senyuman herot. Muiz membaling bantal kecil ke arah Iqram.

“Cis kurang ajar kamu Hang Jebat! Mahu sahaja beta pancung kepala tuan hamba!” ujar Muiz yang sudah berdiri diatas kerusi sambil mencekak pinggang.

“Tuanku, umur tuanku semakin lanjut. Patik sarankan tuanku mencari isteri secepat mungkin” balas Iqram sambil melutut ala-ala pendekar dihadapan Muiz.

“Jangan sampai beta murka Hang Jebat. Pantang beta jika ada yang cuba mengarah beta!” Muiz yang masih merasakan dirinya raja membuatkan Iqram hampir tergelak.

“Adakah tuanku akan mendengar kata ayahanda sultan?” Datuk Muqri yang muncul tiba-tiba mengejutkan Iqram dan Muiz. Malu apabila lakonan sengal mereka ditonton oleh Datuk Muqri.

“Err papa baru sampai ke?” Muiz dan Iqram segera mendapatkan Datuk Muqri untuk bersalaman.

“Apa papa papa? Ni ayahanda sultan nak bagi titah kat anakanda Putera Muiz Haikal Al-Shah, anakanda perlu membawa pulang bakal isteri anakanda secepat mungkin. Kalau tidak biar ayahanda yang carikan calon untuk anakanda” Muiz menelan liur mendengarkan titah ayahanda Sultan Muqri Hakim.

“Papa, jodoh pertemuan di tangan Allah” dengan selamba Muiz menuturkan ayat skema untuk melepaskan diri. Bukan apa, ada yang dia suka pun dia tidak pasti yang dia mencintai gadis itu atau tidak.

“Yela tu papa tahu tapi kita sebagai manusia ni pun kena berusaha lepas tu barulah tawakal. Dah jom makan, tadi papa nampak ada karipap kat dapur” ujar Datuk Muqri sambil berlalu menuju ke dapur.

“Tunggu!!!” jeritan Mia dari arah tangga mengejutkan mereka semua.

“Jangan makan tanpa Mia!” Mia berlari anak menuju ke arah mereka bertiga.

“Sayang apa lari-lari ni? Jatuh nanti macam mana?” marah Iqram. Tangannya sudah mencekak pinggang. Bukan apa, takut jika isterinya jatuh lalu tercedera dahlah tengah mengandung.

“Hehehe..baik” Mia memeluk lengan Iqram dengan manja. Tahu yang suaminya risaukan dirinya dan kandungan yang dibawanya.

“Hmm yela lain kali berhati-hati ye sayang” Iqram memimpin tangan Mia menuju ke dapur Teratak Damai. Muiz dan Datuk Muqri hanya tersenyum memerhatikan pasangan itu.

“Tak jealous ke Muiz?” soal Datuk Muqri tiba-tiba.


Jealous sikit” jawab Muiz lalu mereka ketawa berdekah-dekah. Iqram dan Mia menunduk malu apabila merasakan yang diri mereka sedang diketawakan. Makcik Kartika yang sedang menggoreng karipap hanya tersenyum dengan gelagat majikannya. Jiwanya berasa bahagia dengan suasana petang itu.

Tuesday, July 16, 2013

Kisah Kita - Bab 48

taken from here  

Sudah lapan hari Iqram di Pulau Redang dan selama Iqram disana, Mia tinggal bersama-sama Datuk Muqri dan Muiz di Teratak Damai. Datuk Muqri yang pada mulanya agak terkejut dengan kehadiran Mia di Teratak Damai ternyata gembira dengan kedatangan Mia lebih-lebih lagi Iqram membenarkan anaknya tinggal di situ sementara Iqram bertugas di Pulau Redang.

Telefon pintar yang berbunyi dibiarkan oleh Mia seketika sebelum menjawabnya. Sengaja dia ingin mengusik pemanggil yang sudah diketahui identitinya.

“Assalamualaikum, sayang? Kenapa lambat angkat telefon?” panggilan video yang dibuat oleh Iqram diangkat Mia dengan sengihan.

“Waalaikumussalam, saje je nak usik abang...hehe” Iqram sudah menayangkan muka cemberut setelah mendengar jawapan nakal isterinya itu. Bukan senang dia mahu menghubungi Mia dek kesibukannya di Pulau Redang. Mia pula kadangkala tidak dapat menjawab panggilannya apabila berada di bilik pembedahan atau masa konsultansi bersama pesakit.

“Ala, abang janganlah merajuk dengan Mia” Mia mula risau setelah agak lama Iqram mendiamkan diri. Wajah Iqram yang kelat membuatkan Mia tidak senang duduk.

“Abang? Jangan macam ni, nak Mia terbang pergi Redang ke apa?” Iqram sudah mula tersenyum apabila terdengar Mia mahu ke Pulau Redang. Alangkah bagusnya jika isterinya berada disampingnya sekarang.

“Kalau Mia betul-betul datang sini kan best” Mia menghadiahkan senyuman manis buat suaminya. Dia juga kalau boleh tidak mahu berjauhan dengan Iqram namun urusan kerjanya tidak membenarkannya untuk bercuti sekarang.

“Tu la, nak je duduk kat sana dua,tiga hari dengan abang tapi tak boleh cuti sekarang. Jadual Mia agak padat minggu ni” tutur Mia hampa, air mata sudah mula bergenang di kolam mata Mia. Iqram mula panik melihatkan Mia yang sudah mula mahu menangis. Sejak akhir-akhir ini isterinya terlalu sensitif dan mudah menitiskan air mata.

“Eh sayang jangan nangis-nangis. Lagi enam hari insyaAllah abang balik, abang ada beli hadiah untuk Mia” ujar Iqram dengan nada ceria. Iqram cuba menukar mood namun ternyata gagal apabila melihat Mia sudah basah dengan air mata. Aduilah bini..

“Sayang, dah la tu. Susah hati abang bila tengok sayang asyik nangis je bila abang telefon. Kalau tak berhenti nangis, abang tak mahu call la macam ni” ugut Iqram dengan harapan Mia berhenti menangis. Namun percaturannya gagal apabila semakin kuat esakan tangis isterinya.

“Abang tak sayang Mia!” Mia sudah meraung hiba mendengarkan kata-kata Iqram yang tidak mahu menghubunginya lagi. Nasib baik di berada di dalam bilik pejabat yang tertutup kalau tak mahu haru juga kakitangan IJN menyaksikan drama hibanya.

“Ah sudah. Astagfirullahalazim sayang, abang cakap je tadi. Mia tahukan abang rindu Mia? Tu yang abang call dan buat video call hari-hari. Mia jangan nangis lagi ye? You know I love you right?” Tangisan Mia mula berkurang setelah dipujuk Iqram.  Bibirnya mula mengukir senyum apabila Iqram mengucapkan ayat-ayat cinta berulangkali untuk memujuknya.

“Ha..senyum pun isteri abang. Habis merah mata dengan hidung sayang sampai geram pula abang tengok..hehe” usik Iqram setelah Mia berhenti menangis. Mia ketawa kecil dengan usikan suaminya. Tahu sangat mesti wajahnya berserabai sekarang. Padan muka! Siapa suruh nangis?

“Mesti tak cantik kan muka Mia sekarang?” Iqram menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju.

Nope, you’re always beauty. Okay sayang got to go. InsyaAllah malam nanti abang call lagi okey? I love you sayang, assalamualaikum” Iqram mematikan talian setelah Mia menjawab salamnya. Senyuman Mia makin melebar setelah mendapat panggilan video dari suaminya. Rindunya pada suaminya semakin sarat dari hari ke hari. Sebelum ini, Iqram tidak pernah berjauhan dengannya lebih dari seminggu.

Pintu biliknya yang diketuk menghentikan lamunannya. Seorang jururawat bernama Yuki masuk setelah dia memberikan kebenaran.

“Doktor Mia, doktor ada patient pukul 3 nanti” beritahu Yuki dengan senyuman tidak lekang dibibir. Dia menghulurkan rekod pesakit kepada Mia dengan cermat. Mia turut menghadiahkan senyuman buat Yuki yang sering membantunya.

Okay thanks Yuki. Anything else?” Mia membelek rekod pesakit yang dihulur oleh Yuki. Dia mencatatkan beberapa maklumat penting didalam buku notanya sebagai rujukan.

“Tak ada doktor” Yuki meminta diri meninggalkan bilik Mia setelah selesai urusannya. Mia meneruskan kerjanya dan hanya meninggalkan bilik apabila tiba masa konsultansi dengan pesakitnya.



Setelah tamat konsultansi, Mia mencapai telefon pintarnya lalu menghubungi Syazrina. Sudah seminggu juga dia tidak bertemu dengan sahabat baiknya itu. Setelah beberapa ketika, Syazrina menjawab panggilan Mia dengan suara yang lemah.

“Assalamualaikum Rin, awak sakit ke? Kenapa lain sangat suara awak ni” tanya Mia dengan perasaan bimbang. Risau juga kalau sahabat baiknya ini sakit.

“Waalaikumussalam, oh Mia. Entahlah, badan aku rasa seram sejuk dari pagi. Tadi aku dah makan dah Panadol tapi macam tak ada effect je kat badan aku” Syazrina yang mula batuk-batuk menambahkan lagi kerisauan Mia.

“Tak ada sesiapa kat rumah ke Rin?” tanya Mia lagi.

“Tak ada. Aku sorang-sorang je ni. Bonda aku balik kampung sebab ada sedara aku meninggal. Aku tak ikut sebab rasa lemah je badan ni” balas Syazrina lemah.

“Rin, lepas kerja saya datang rumah awak ye? Kita pergi klinik” cadangan yang berbentuk arahan daripada Mia itu dipersetujui oleh Syazrina. Mia segera menunaikan solat Asar setelah mematikan talian.

Mia mengemas barang-barangnya apabila sudah tamat waktu bekerjanya. Dia perlu bergegas ke rumah Syazrina. Perasaan risaunya semakin menebal memikirkan sahabatnya keseorangan di rumah.


Setengah jam kemudian, Mia tiba di perkarangan rumah Syazrina. Syazrina yang sedang menunggu di luar rumah, berjalan ke kereta Mia dengan lemah. Sebaik sahaja Syazrina duduk di kerusi penumpang, Mia melekapkan tangannya didahi Syazrina.

“Panasnya Rin. Awak dah makan Panadol berapa kali?” soal Mia dengan nada risau. Syazrina yang tampak pucat itu hanya tersenyum nipis dengan gelagat Mia.

“Aku makan dua kali dah” jawab Syazrina lalu memejamkan mata. Sakit kepalanya makin menjadi-jadi.

“Awak tidur dulu ye? Sampai klinik nanti saya kejutkan” Mia jatuh simpati melihatkan Syazrina yang selalunya ceria menjadi selemah ini. Keretanya dipandu dengan laju dengan harapan cepat sampai ke klinik. Nasibnya baik kerana tiada kesesakan lalulintas sepanjang perjalanan.

Tiba di klinik, Mia mendaftarkan nama Syazrina di kaunter. Keadaan klinik yang lengang itu melegakan Mia. Setelah menunggu lima minit, Syazrina dipanggil masuk dan Mia hanya menunggu di luar. Ketika menunggu, Mia berjalan-jalan di sekitar klinik dek kebosanan. Matanya tertancap pada iklan ujian kehamilan yang dilekatkan dipapan notis klinik.

“Err nurse, boleh tak saya nak buat pregnancy test sekarang?” tanya Mia kepada seorang jururawat di kaunter.

“Boleh puan, puan isi borang ni dulu” Mia mengisi borang yang diberi lalu memberikan semula kepada jururawat tadi. Setelah mengisi borang, Mia membuat ujian air kencing.

“Baiklah puan, sekejap lagi doktor akan panggil masuk” kata jururawat tadi setelah mengutip sample air kencingnya. Mia hanya mengangguk sambil berdoa yang hasilnya positif. Perubahan emosi dan haid yang sudah terlewat menguatkan sangkaan yang dia mengandung namun dia pasrah jika dia masih belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata.

Syazrina yang sudah keluar dari bilik doktor duduk lesu disebelahnya. Wajah sahabatnya yang pucat amat merisaukan Mia. Tak sampai 15 minit, Mia dipanggil masuk ke bilik doktor.

“Assalamualaikum Puan Mia, datang seorang sahaja ke?” soal doktor muda yang bernama Asyraf itu.

“Waalaikumussalam, tak saya datang dengan kawan saya yang demam tadi tu” jawab Mia sambil tersenyum.

“Baiklah puan, alhamdulillah hasil ujian menunjukkan puan positif mengandung. Kandungan puan dah memasuki usia tiga minggu. Buat masa ni saya cadangkan puan tidak melakukan aktiviti lasak dan banyakkan berehat” terang Doktor Asyraf.

Mia mengucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana doanya selama ini dimakbulkan Allah. Dia sudah tidak sabar untuk memaklumkan berita gembira ini kepada suaminya. Mia keluar dari bilik doktor dengan wajah yang berseri-seri. Sehinggakan Syazrina berasa pelik dengan perubahan wajah Mia tadi rasanya Mia nampak sugul.

“Mia, kenapa?” tanya Syazrina lalu bangun dari tempat duduknya. Tadi dia sudahpun mendapatkan ubat dari kaunter.

“Alhamdulillah Rin, saya mengandung” ujar Mia dengan gembira. Syazrina yang turut berasa gembira lantas memeluk tubuh Mia. Bersyukur kerana impian sahabatnya kini sudah tercapai.

“Alhamdulillah, dah berapa minggu?” Syazrina memegang perut Mia yang masih kempis.

“Dah tiga minggu Rin, patutlah emosi saya macam pelik-pelik sikit sejak akhir-akhir ni” jawab Mia dengan senyuman tidak lekang dibibir.

Perbualan mereka terhenti apabila nama Mia dipanggil oleh jururawat di kaunter. Mia dibekalkan beberapa jenis ubatan seperti asid folic, vitamin B Complex, vitamin C dan Feromed. Setelah membayar harga ubatan, Mia melangkah keluar dari klinik itu dengan perasaan yang gembira dan tak sabar untuk memaklumkan berita gembira ini kepada Iqram dan ahli keluarga yang lain.


Tiba di Teratak Damai, Mia segera memberi salam dan mencari abang dan papanya. Muiz dan Datuk Muqri yang sedang duduk beristirehat di ruang tamu terkejut apabila Mia berlari mendapatkan mereka.

“Abang!” Mia memeluk Muiz dengan erat sebaik sahaja dekat dengan abangnya itu.

“Eh Mia apasal ni?” tanya Muiz dengan muka cemas. Risau jika ada yang mengejar adiknya. Pelukan Mia dilonggar.

“Abang, papa..Mia mengandung!” ujar Mia dengan penuh teruja. Berita yang dibawa oleh Mia disambut gembira oleh Datuk Muqri dan Muiz. Serentak mereka mengucap syukur ke hadrat Illahi.

“Iqram dah tahu ke Mia?” tanya Datuk Muqri setelah anaknya itu duduk disebelahnya. Mia memeluk papanya dengan manja.

“Belum lagi, Mia nak bagi surprise dekat dia..hehehe” jawab Mia dengan sengihan lebar.Datuk Muqri menggeleng-gelengkan kepala dengan gelagat anaknya.

“Aduilah nak jadi mak orang pun manja semacam” usik Muiz lalu duduk disebelah adiknya. Patutlah adiknya sensitif sejak kebelakangan ini rupa-rupanya sudah ada isi. Mia menjelirkan lidah kepada Muiz tanda protes.

“Hmm Muiz, ni Mia dah nak ada baby. Bila lagi kamu ni?” soal Datuk Muqri tiba-tiba. Mia turut memandang abangnya dengan pandangan nakal.

“Sampai kucing bertanduk pun Muiz tak akan mengandung papa” jawab Muiz lalu ketawa berdekah-dekah. Seronok dapat mengenakan papanya dan Mia yang kononnya nak menjeratnya dengan soalan perkahwinan. Hehehe see the leg la!

“Ceh main-main pula budak ni. Haih janganlah anak kamu ikut perangai bapa saudara dia ni. Mengarut je kerjanya” bebel Datuk Muqri. Mia hanya tersenyum dengan gelagat papa dan abangnya.

“Mia naik atas dulu ye? Belum solat Maghrib lagi” Mia meminta diri meninggalkan Muiz dan Datuk Muqri di ruang tamu. Segera dia menaiki tangga ke tingkat atas Teratak Damai. Tiba sahaja di bilik, Mia menukar pakaian dan mengambil wuduk. Tanggungjawabnya pada Yang Esa ditunaikan dengan perasaan yang penuh bersyukur.


Iqram yang baru pulang dari masjid duduk merehatkan diri dibirai katil. Tangannya mencapai telefon pintar miliknya. Entah kenapa rindunya kepada isterinya semakin meluap-luap setelah mendengar tazkirah di masjid tentang keluarga bahagia.

“Assalamualaikum sayang” ucap Iqram sebaik sahaja Mia menjawab panggilannya. Seperti biasa dia membuat panggilan video kepada isterinya.

“Waalaikumussalam abang” Mia yang baru sahaja habis mengaji masih lagi bertelekung kelihatan sungguh cantik di mata Iqram.

“Cantiknya isteri abang. Baru lepas solat ke?” tanya Iqram dengan senyuman dibibir. Mia turut membalas senyuman suaminya.

“Taklah Mia baru lepas mengaji la abang sayang” balas Mia lalu membuka telekungnya.

“Mia, abang ada berita gembira ni. InsyaAllah abang boleh balik awal sebab kerja abang dah nak siap..hehehe” Iqram menyampaikan berita gembiranya itu dengan wajah yang cukup teruja. Tak sabar untuk pulang ke pangkuan isteri tercinta.

“Alhamdulillah. Bestnya..Mia pun ada berita gembira untuk abang tapi Mia tak nak beritahu sekarang..hehehe” Mia tersengih lalu menayangkan barisan giginya yang putih.

“Ala tak aci la macam ni! Abang dah beritahu berita gembira abang! Mia tak adil!” rajuk Iqram dengan mulut yang sudah memuncung kalah itik. Mia hanya ketawa dengan reaksi suaminya.

“Aci kat India. Hehehe..tak apa abang balik dulu baru Mia beritahu okay? Okaylah abang, papa dah panggil turun tu. We love you Iqram Qayyum, muah! Assalamualaikum” Mia menamatkan panggilan setelah Iqram menjawab salam. Tadi dia sudah pun menelefon memberitahu keluarga mertuanya tentang kehamilannya dan meminta mereka merahsiakan hal ini kepada Iqram. Nasib baik mereka sanggup berkomplot dengannya. Telekungnya tadi disangkut pada penyangkut di dinding. Segera dia turun ke tingkat bawah untuk turut sama makan malam bersama keluarganya yang tak lama lagi akan bertambah.

Monday, July 15, 2013

Kisah Kita - Bab 47

taken from here  

Iqram yang baru pulang dari kerja segera naik ke tingkat atas banglo untuk bertemu dengan isterinya. Hari ini dia menerima perkhabaran yang kurang indah dari orang atasannya. Dia perlu ke Pulau Redang selama dua minggu untuk memantau dan menyelesaikan beberapa kerja di sana. Tiba di bilik mereka,  Mia yang baru sahaja menamatkan bacaan Al-Qurannya menghadiahkan senyuman manis kepadanya.

“Sayang, abang ada hal nak cakap ni” tutur Iqram setelah Mia bersalam dan mengucup tangannya. Intonasi suara Iqram yang agak serius itu sedikit sebanyak membuatkan Mia risau. Mia mengambil tempat disebelah Iqram yang sudah duduk di sofa.

“Abang kena pergi Pulau Redang lagi Sabtu minggu ni” Wajah Mia mula keruh. Sudah lama dia tidak berenggang dengan suaminya dan kini suaminya bakal meninggalkannya lagi untuk satu tempoh masa.

“Berapa lama kena pergi abang? Seminggu ke?” tanya Mia lalu memeluk lengan Iqram. Sejak akhir-akhir ini dia selalu ingin bermanja dengan suaminya sehinggakan dia sendiri pun berasa pelik dengan perubahan dirinya. Nasib baik Iqram suka dengan perubahannya dan memanjakannya mengalahkan kanak-kanak pun ada.

“Dua minggu, sayang” Mia segera melepaskan lengan Iqram. Mukanya mula membahang menahan marah.

“What?! Two weeks!” Mia segera bangun dari tempat duduknya dan mengambil telefon pintarnya yang terletak di meja tepi katil mereka. Iqram yang risau dengan reaksi Mia hanya mengekori Mia dari belakang. Sebaik sahaja Mia mahu mendial nombor Datuk Muqri, Iqram terus merampas telefon pintar milik Mia.

“Sayang kenapa call papa ?” cemas Iqram merampas telefon pintar Mia. Entah apa yang merasuk Mia sehinggakan isterinya memberi reaksi sebegini.

“Mia nak cakap dengan papa! Nak tanya kenapa suruh suami Mia outstation lama-lama?! Mia tak suka!” bentak Mia sambil cuba merampas kembali telefon pintarnya dari tangan Iqram namun segera Iqram menghalang. Air matanya mula bergenang di kolam matanya.

“Sayang, abang pergi kerja. Projek ni penting untuk syarikat papa jadi nak tak nak abang kena pergi sana juga” Iqram cuba menerangkan dengan cara lembut. Mia yang sudah basah dengan air mata segera ditarik ke dalam pelukannya. Mia yang tidak rela dipeluk menolak tubuh Iqram sehingga suaminya terdorong kebelakang .

                “Sayang janganlah macam ni. Abang janji lepas ni abang minta papa jangan hantar abang outstation lama-lama ye? Dah jangan nangis” Iqram mendekati semula isterinya dan mengesat air mata Mia dengan jarinya. Mia masih menangis hanya membiarkan perlakuan suaminya. Hatinya masih sakit dan tidak rela ditinggalkan.

“Abang nak mandi dan solat. Tadi abang tak sempat solat kat office” Iqram meninggalkan Mia setelah menghadiahkan kucupan di pipi Mia. Sebaik sahaja Iqram masuk ke dalam bilik mandi, Mia menulis nota pendek dan melekatkannya di cermin meja soleknya. Dia segera menukar pakaian dan mengenakan tudung. Selepas lima minit, Mia keluar meninggalkan banglo keluarga Iqram.


Kereta Jaguar milik Mia meluncur laju masuk ke perkarangan Teratak Damai. Muiz yang sedang memandikan ‘honey’ dan ‘baby’ miliknya turut terkejut dengan kedatangan mengejut Mia. Makin risau apabila melihat wajah adiknya basah dengan air mata.

“Mia kenapa ni” Muiz segera mendapatkan adiknya yang lenjun dengan air mata.

“Abang..Iqram nak tinggalkan Mia” Mia memeluk tubuh Muiz yang tidak berbaju. Sudah menjadi kebiasaan abangnya untuk membasuh motor-motornya tanpa pakaian. Tabiat yang tak boleh diubah sejak dahulu lagi. Naik juling mata anak dara Uncle Ravi yang suka mengendap Muiz ketika zaman persekolahan dahulu.

Muiz mula dikuasai perasaan marah. Tangannya mengepal penumbuk, mahu sahaja dia membelasah Iqram jika Iqram berada didepannya sekarang. Suka-suka hati nak tinggalkan adik kesayangan dia!

“Iqram nak tinggalkan Mia dua minggu” Muiz mula memandang pelik ke arah Mia. Dia cuba memproses kata-kata Mia yang agak terbelit-belit.

“Mia cuba cerita elok-elok kat abang. Meh masuk dalam dulu” Muiz menarik tangan Mia masuk ke dalam rumah mereka. Makcik Kartika agak panik apabila melihat wajah Mia yang basah dengan air mata namun hanya mendiamkan diri apabila Muiz memberikan isyarat mata.

“Okey sekarang cerita kat abang apa yang dah jadi ni” Muiz memeluk bahu Mia yang masih menangis. Terhenjut-henjut bahu Mia menahan tangis yang macam tak reti-reti nak berhenti.

“Iqram kena pergi outstation kat Pulau Redang. Dah la dua minggu! Mia nak ikut pun tak boleh sebab kerja. Abang suruh la papa hantar orang lain. Mia tak nak tidur sorang-sorang” selesai sahaja menuturkan apa yang terbuku di hati, Mia menyambung sesi menangisnya. Muiz menepuk dahi apabila mendengarkan cerita sebenar. Mahu sahaja dia ketawa namun segera ditahan kerana takut adiknya semakin kuat pula menangisnya.

“Ya Allah, abang ingatkan apa la tadi. Mia, Iqram pergi sana sebab projek tu memerlukan Iqram untuk berada di sana. Projek ni penting untuk syarikat kita dan Iqram merupakan orang kepercayaan papa untuk projek ni. Sepatutnya Mia bangga sebab papa percaya pada kebolehan Iqram untuk handle projek yang menelan belanja berjuta-juta ringgit ni. InsyaAllah projek ni akan menaikkan nama syarikat kita di mata dunia sebab ini merupakan projek usahasama dengan beberapa buah syarikat dari luar negara” terang Muiz panjang lebar. Pipi mulus adiknya diusap lembut. Mia memeluk pinggang Muiz dan menganggukkan kepalanya tanda faham dengan penjelasan Muiz.

“Tapi dua minggu tu lama sangat. Mia tinggal sini dengan abang dengan papa boleh?” Wajah Mia yang mengharap itu membuatkan Muiz serba-salah.

“Mia, abang memang suka kalau Mia tinggal kat sini tapi apa-apa pun kena minta izin Iqram. Kalau Iqram benarkan baru Mia boleh tinggal kat sini selama dia outstation tu nanti” Mia mengangguk namun masih memeluk pinggang Muiz. Sudah lama dia tidak bermanja dengan abangnya ini.

Bunyi kereta yang memasuki perkarangan Teratak Damai mengejutkan dua beradik ini. Muiz segera bangun untuk menyambut tetamu yang hadir.

“Assalamualaikum. Muiz, Mia menangis lagi ke?” tanya Iqram sebaik sahaja keluar dari keretanya. Muiz menyambut kedatangan sahabatnya itu dengan sengihan.

“Waalaikumussalam. Baru je berhenti. Kau ni la adik aku pun tak boleh handle” Muiz memeluk bahu Iqram yang nampak kusut itu.

“Bukan apa. Tadi ingatkan dah okey tu yang kita tinggalkan sekejap sebab nak mandi dan solat. Sekali lepas solat baru perasan Mia tinggalkan note cakap balik sini siap warning jangan menyibuk nak jemput dia tu yang kita panik tu” terang Iqram sambil mengikut Muiz masuk ke dalam rumah. Kelihatan isterinya yang sedang membelek majalah motor milik Muiz langsung tidak memalingkan muka ke arahnya. Merajuk sangatlah tu.

“Ek eleh Mia, tadi bukan dah okey ke? Iqram datang ni, Mia tak reti nak sambut suami ke apa?” tegur Muiz setelah melihat Mia buat tidak tahu dengan kehadiran Iqram. Mia meletakkan semula majalah diatas meja lalu menjeling tajam ke arah abangnya.

“Dah, tak payah nak jeling abang. Pergilah buat air untuk Iqram ni” Mia bangun dari duduknya dan terus menuju ke dapur. Geram abangnya tidak menyebelahinya yang ingin merajuk dengan Iqram sekarang.

“Hmm budak tu nak merajuk dengan kau la tu. Pepandailah kau pujuk” kata Muiz setelah kelibat Mia hilang dari pandangan. Bukan dia tidak mahu menyebelahi adiknya tapi baginya masalah rumahtangga lebih baik diselesaikan oleh pasangan itu sendiri.

“Tak apa nanti kita pujuk” balas Iqram lalu duduk setelah dijemput oleh Muiz. Tidak sampai lima minit, Mia kembali dengan menatang gelas dan satu jag jus mangga. Dia meletakkan dulang itu diatas meja lantas berlalu meninggalkan Iqram dan abangnya.

Iqram hanya memandang isterinya yang sudah berlari menaiki tangga dengan pandangan sayu. Namun dia sudah memasang tekad untuk memujuk isterinya hari ini juga. Muiz hanya menggeleng kepala dengan gelagat pasangan ini.

Setelah berborak ala kadar dengan Muiz, Iqram meminta izin untuk bertemu Mia di tingkat atas. Muiz hanya ketawa dengan gelagat Iqram yang kadangkala sopan tak tentu hala. Buat apa nak minta izin sedangkan mereka kini sudah satu keluarga?

Iqram membuka pintu bilik Mia dengan perasaan bedebar-debar. Bimbang isterinya itu masih marah dengannya. Mia yang sedang menggunakan laptop untuk melayari internet hanya memandang sekilas ke arah Iqram.

“Sayang marah lagi ke?” Iqram mendekati Mia yang masih tidak mempedulikannya. Iqram melabuhkan punggung disebelah Mia lalu mencapai tangan isterinya. Mia hanya diam tak terkutik apabila tangannya sudah berada didalam genggaman Iqram.

“Sayang, abang minta maaf okey? InsyaAllah lain kali abang minta uruskan projek yang dekat-dekat sini tak pun projek yang tak perlukan abang outstation lama-lama okey? Janganlah merajuk lagi” Kedua-dua tangan Mia dikucup dan dibawa ke dadanya. Mia yang pada mulanya hanya mendiamkan diri memandang tepat ke arah Iqram.

“Janji?” Mia memandang terus ke kolam mata Iqram. Iqram membalas pandangan isterinya dengan senyuman manis.

“InsyaAllah, abang janji” balas Iqram lalu memeluk isterinya. Lega apabila Mia turut membalas pelukannya.

“Abang, Mia nak minta izin tinggal kat sini bila abang pergi outstation nanti boleh? Mia dah lama tak balik sini” Mia mengelus lengan suaminya. Iqram mengangguk memberikan persetujuan. Dia tahu isterinya berasa sunyi kerana mama, ayah dan neneknya bukan selalu ada dirumah.

“Okey, abang nanti kat sana selalu-selalu la call Mia ye?” Iqram mengetatkan pelukannya menarik Mia rapat kepadanya.

“InsyaAllah, abang akan selalu call. Kalau rindu tahap max, abang buat video call, kalau tahap tak tahan abang terbang balik sini..hehehe” ujar Iqram sambil mencium ubun-ubun Mia. Dia menarik nafas lega kerana rajuk isterinya tidak berpanjangan.

Wednesday, July 10, 2013

Kisah Kita - Bab 46

taken from here  

Porsche 911 GT3 meluncur masuk di perkarangan rumah teres dua tingkat milik keluarga Syazrina. Kebetulan pintu pagar terbuka maka Muiz mengambil keputusan untuk menghantar Syazrina terus ke muka pintu. Kan betul-betul menjamin keselamatan? Kelihatan kelima-lima abang Syazrina sedang duduk beristirehat di luar rumah. Muiz terus mematikan enjin dan keluar dari kereta. Syazrina hanya menggelengkan kepala lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Malas nak menyertai kumpulan abangnya dan Muiz kerana pasti dia akan menjadi mangsa usikan mereka.

“Assalamualaikum The Megats” ucap Muiz dengan senyuman melebar, seronok berjumpa dengan abang-abang Syazrina yang sekepala dengannya. Dia berkenalan dengan mereka ketika kenduri Mia dan Iqram dahulu dan terus menjalinkan persahabatan dengan abang-abang Syazrina yang sempoi ini.

“Waalaikumussalam, ceh kau rupanya Muiz. Ingatkan anak jutawan mana sesat masuk rumah kami ni. Tapi memang betul pun..hahaha” Megat Syazrul menyambut kedatangan Muiz dengan senang hati. Muiz anak orang berada namun tidak sekali pun dia melihat Muiz bangga dengan kedudukannya membuatkan dia senang bergaul dengan Muiz.

“Abang Rul ni, yang jutawan tu papa bukan aku. Eh korang cuti-cuti ni duduk rumah je ke?” Muiz mengambil tempat disebelah Megat Syazrin. Megat Syazril yang sememangnya agak pendiam meminta diri untuk masuk ke dalam rumah sebentar. Muiz hanya menghantarnya dengan senyuman.

“Ala biasa la kami ni kalau balik sini memang lepak kat rumah je la. Kenapa kau nak ajak kami keluar ke?” tanya Megat Syazrin. Muiz tersengih memandang Megat Syazrin yang sebaya dengannya.

“Jom keluar esok nak? Korang pun ada kat sini sampai esok je kan?” Muiz mengutarakan cadangan sambil memikirkan tempat-tempat menarik. Megat Syazril keluar dengan membawa air dan biskut. Tahu sangat kalau mereka berborak memang lama.

“Eh susah-susah je Abang Ril” Muiz yang segera mengambil dulang yang ditatang oleh Megat Syazril dan diletakkan di meja kayu dihadapannya.

“Susah pebenda? Meh la makan malam kat sini. Hari ni bonda aku masak gulai tempoyak ikan patin. Kau suka kan?” pelawa Megat Syazril lalu duduk di tempat kosong bersebelah Megat Syazriz. Adiknya itu sibuk bermain PSP dan sejak tadi dia hanya menyampuk apabila perlu.

“Err okey. Dah lama aku tak makan gulai tempoyak ikan patin. Kira langkah kanan la aku hari ni. Terima kasih ye sudi ajak aku” Dirumahnya, Makcik Kartika jarang sekali memasak hidangan itu kerana papanya tidak suka dengan bau tempoyak.

“Berbalik kepada rancangan kau tadi. Nak keluar pergi mana Muiz? Sunway Lagoon?” Megat Syazrizal yang sedang membaca membuntangkan matanya kepada Megat Syazrul. Ingat mereka kanak-kanak ke nak pergi Sunway Lagoon? Sungguh tak mencabar.

“Along, takkan kita yang dah tua bangka ni nak pergi Sunway Lagoon? Buat malu jela” bangkang Megat Syazrizal dengan muka tidak puas hati. Dalam ramai-ramai, dia seorang sahaja yang berani membangkang apabila berdepan dengan Megat Syazrul.

“Aku gurau jela. Aku pun malu nak pergi sana, dahlah buat tambah dosa je tengok makhluk-makhluk yang pakai tak cukup kain” Megat Syazrul menggeleng-gelengkan kepala, kali terakhir dia ke Sunway Lagoon adalah ketika umurnya belasan tahun kerana mengikut rombongan sekolah. Sepanjang di sana, dia beristighfar dan hanya duduk berehat bersama guru-guru pengiring. Sedih melihat ramai remaja Islam memakai pakaian mandi yang tidak menutup aurat dan sememangnya nampak sendat.

“Dah tak payah nak pecah kepala. Aku nak ajak pergi mandi air terjun kat Batang Kali korang okey tak?” Muiz meneguk air teh yang dihidang oleh Megat Syazril.

“Okey!” jawab mereka berlima serentak dengan muka teruja. Muiz hanya tersengih melihat keletah The Megats.

“Oh ye, kau hantar Acu balik kan tadi Muiz? Kau keluar pergi mana dengan adik aku tu?” soal Megat Syazriz tiba-tiba. Muiz hampir tersedak dengan soalan tak boleh blah Megat Syazriz.

“Aku terjumpa dia dekat Pavi tadi Abang Riz, risau pula fikir budak tu balik sorang jadi aku ajak la tumpang aku” Megat Syazriz mengangguk faham.

“Thanks sebab tumpangkan adik kami tu. Budak tu boleh je kalau nak suruh kami ambil tapi biasalah dia tu kononnya nak berdikari, last-last kau juga yang hantar dia” ujar Megat Syazrizal sambil tangannya mencapai biskut marie.

“Tadi pun mula-mula dia macam tak mahu tapi bila aku cakap tak apa baru budak tu setuju” tanpa sedar, Muiz turut berjangkit dengan Megat Syazrizal dengan membahasakan Syazrina sebagai ‘budak’ tapi memang Syazrina lagi muda daripadanya.

“Siapa budak?” Syazrina yang muncul tiba-tiba di belakang Muiz membuatkan Muiz tersentak. Dengan baju t-shirt labuh kuning dipadankan dengan seluar putih dan tudung berwarna kuning cair, Syazrina nampak cantik dimata Muiz. Wajah Syazrina yang agak kelat sedikit pun tidak menjejaskan kecantikan asli gadis itu.

“Err..kau..kau la budak! Kau kan lagi muda dari kami semua” tergagap-gagap Muiz menjawab. Kuat sangat pesona budak kasar ni. Dia beristighfar untuk menenangkan jiwanya yang berkocak.

“Suka hati kau je. Aku nak ucap terima kasih sebab tolong hantar aku. Bonda suruh kau makan malam kat sini dan sekejap lagi bonda balik” Syazrina berlalu masuk semula ke dalam rumah setelah menyampaikan pesanan bondanya. Malu untuk bertentang mata lama-lama dengan Muiz.

“Macam apa je budak tu. Hah, tu bonda pun dah keluar arahan maka confirm kau makan sini malam ni. Boleh kita solat jemaah sekali karang” ajak Megat Syazrizal. Muiz mengangguk setuju, lagipun papanya tiada dirumah dan dia tak sabar untuk menikmati gulai tempoyak ikan patin yang dimasak oleh bonda The Megats.



Hazeem mendengus kasar sebaik sahaja membuka sampul surat yang baru diterimanya tadi. Sampul surat yang kosong tak beralamat itu rupa-rupanya mempunyai isi yang cukup melukakan hatinya. Gambar-gambar Syazrina bersama dengan anak jutawan yang terkenal di Malaysia itu dicampak ke dinding. Segera dia mencapai telefon pintar dan mendial nombor Syazrina. Dia mahukan penjelasan dari gadis itu.

“Assalamualaikum, kita keluar. Aku ambil kau sekarang” panggilan ditamatkan tanpa sempat Syazrina menjawab apa-apa. Hazeem beristighfar untuk menyingkirkan perasaan marah dan cemburunya yang meluap-luap. Gambar-gambar yang dicampak dikutip semula dan diletakkan semula ke dalam sampul surat tadi. Apa-apa pun penjelasan dari Syazrina mesti dituntut dan dia mengharapkan gadis itu tiada sebarang hubungan dengan anak jutawan itu.

Tidak sampai 20 minit, Hazeem tiba dihadapan pintu pagar rumah Syazrina. Syazrina yang sudah sedia menunggu, meloloskan diri ke dalam Lamborghini milik Hazeem. Wajah kelat Hazeem dipandang sekilas.

“Assalamualaikum, kau nak bawa aku pergi mana ni?” tanya Syazrina setelah hampir lima minit berlalu tanpa kata antara dia dan Hazeem.

“Waalaikumussalam, nanti kau tahulah” balas Hazeem dingin. Matanya langsung tidak memandang Syazrina dek masih sakit hati dengan gambar-gambar yang diterima tadi. Syazrina menjungkitkan kedua-dua belah bahunya bagai menyatakan ‘apa-apa jela’.

Tiba di Tasik Titiwangsa, Hazeem memarkirkan keretanya dan terus keluar dari kenderaannya. Syazrina yang terpinga-pinga dengan kelakuan Hazeem hanya mengekori pemuda itu dari belakang.

“Kau terus terang dengan aku, apa hubungan kau dengan anak lelaki Datuk Muqri?” Hazeem membuka bicara setelah agak lama mendiamkan diri. Syazrina yang ralit memerhati permandangan tasik tersentak dengan soalan Hazeem.

“Dia abang Mia merangkap kawan kepada abang-abang aku. Kenapa?” jawab Syazrina setelah menenangkan diri seketika.

“Kau suka dia?” Hazeem terus bertanya tanpa berselindung. Hatinya berdebar-debar menantikan jawapan dari gadis yang sudah mula mendapat tempat dihatinya.

“Aku senang dengan peribadi dia. Kalau kau tanya aku cintakan dia atau tak, aku tak ada jawapan” Syazrina membalas sambil melemparkan pandangan ke arah tasik.

“Apa perasaan kau terhadap aku?” soal Hazeem lagi. Syazrina hanya mampu tersenyum dengan soalan Hazeem itu.

“Aku anggap kau sebagai sahabat yang punya minat yang sama dengan aku” Hazeem memejam mata menahan kesakitan didada setelah mendengar jawapan Syazrina. Sakitnya tidak tergambar dengan kata-kata.

“Jadi tiada perasaan cinta untuk aku?” Hazeem melepaskan keluhan yang berat. Matanya memandang wajah sisi Syazrina yang nampak tenang.

“Ada perasaan sayang ikhlas untuk seorang sahabat” Lega Syazrina setelah meluahkan perasaannya kepada Hazeem.

“Rin, tak mungkin ke kau pupuk perasaan sayang tu kepada cinta?” soal Hazeem dengan nada mendesak. Syazrina mati kutu apabila melihatkan wajah Hazeem yang kusut. Lain yang diharap, lain pula yang jadi.

“Aku...” belum sempat Syazrina menghabiskan kata-kata. Hazeem sudah memberikan isyarat ‘tutup mulut kau’.

“Tak apa aku beri kau masa dan dalam masa yang sama aku akan cuba pikat kau ikut cara aku” putus Hazeem dengan semangat berkobar-kobar. Dia tak akan sekali-kali melepaskan gadis sebaik Syazrina.

“Okey” balas Syazrina lemah. Dia tidak sanggup melukakan hati sahabatnya lagi, dalam masa yang sama dia berdoa supaya Hazeem ditemukan dengan gadis yang mencintai sahabatnya itu.

“Hmm, sebenarnya ada orang hantar gambar-gambar kau dengan anak jutawan tu kat aku” terang Hazeem setelah lama membisu.

“Gambar? Gambar apa?” hampir luruh jantung Syazrina memikirkan kemungkinan gambar superimpose yang selalunya menjatuhkan maruah orang yang terkena.

Hazeem berlari semula ke keretanya untuk mengambil sampul surat yang diterimanya pagi tadi. Tidak sampai dua minit dia sudah kembali berdiri disebelah Syazrina.

“Nah aku dapat pagi tadi, tu yang buat aku hangin” jelas Hazeem lalu menghulurkan sampul surat berisi gambar itu kepada Syazrina. Tanpa membuang masa, Syazrina meneliti setiap gambar yang merakamkan dia dan Muiz di Pavilion semalam. Gambar apabila Muiz menanyakan pendapatnya tentang tali leher sehinggalah dia menaiki kereta Muiz diteliti dengan senyuman dibibir. Hatinya lega kerana ianya bukan gambar superimpose.

“Nasib baik bukan superimpose. Aku terserempak dengan dia semalam kat Pavi. Dia ajak aku tumpang balik sebab risau aku balik sorang-sorang” Syazrina menerangkan hal yang sebenarnya tanpa dipinta oleh Hazeem. Dia tidak suka jika ada yang berprasangka dengannya.

“Aku ingatkan kau lebih suka Porsche dari Lamborghini” Syazrina memandang tajam ke arah Hazeem. Kata-kata Hazeem yang sinis tadi cukup menyakitkan hatinya. Cepat-cepat dia beristighfar menyingkirkan perasaan marahnya.

“Aku lebih sukakan Buraq” balas Syazrina dengan nada yang sinis juga. Buraq tunggangan Nabi Muhammad S.A.W ternyata lebih hebat jika nak dibandingkan dengan Porche atau Lamborghini. Tersentak Hazeem dengan jawapan Syazrina yang sememangnya tak dijangka.

“Maaf jika kau terasa. Hmm dahlah, mari aku belanja kau minum” Hazeem beredar menuju ke restoren Arab di tasik itu. Syazrina hanya mengekor Hazeem yang sudah jauh ke hadapan. Hatinya sedikit terubat apabila Hazeem sudah memohon maaf. Siapa dia untuk tidak memaafkan Hazeem sedangkan Nabi Muhammad S.A.W yang mulia pun mengampunkan kesalahan umatnya.

“Hmm Hazeem aku rasa orang yang hantar gambar-gambar tu mesti ada niat tak baik kat kau” ujar Syazrina tiba-tiba. Hazeem hanya menjungkitkan bahu tanda tak peduli.


“Aku tak boleh halang orang nak buat jahat kat aku tapi aku cuma boleh berdoa supaya dijauhkan dari hasad dengki dan kekejaman orang lain” jawab Hazeem dengan muka selambanya. Syazrina hanya tersenyum dengan kata-kata Hazeem. Benar kata sahabatnya yang kita tak dapat menghalang namun kita masih boleh berdoa supaya Allah melindungi kita dari sebarang kejahatan.

Monday, July 8, 2013

Kisah Kita - Bab 45

taken from here  

Hampir seminggu sejak Mia kehilangan Einstein, kini keadaan emosinya semakin pulih. Jika sebelum ini dia akan menangis setiap kali melihat akan sangkar tempat tidur Einstein tapi kini dia sudah boleh membiasakan diri. Mujur ada Iqram yang sering memberikan nasihat dan kata-kata semangat. Sangkar Einstein telah pun dia hadiahkan kepada anak jirannya yang baru berjinak-jinak untuk membela kucing.

Mia membaca buku novel bertemakan Islam kesukaannya sambil ditemani alunan ayat-ayat suci Al-Quran. Jiwanya berasa tenang dan dia suka dengan suasana sebegini. Sedang dia khusyuk membaca, telefon pintarnya miliknya berbunyi minta diangkat. Bibir Mia mengukir senyum apabila melihat nama pemanggil yang tertera diskrin telefon.

“Assalamualaikum Rin, sihat?” Rindunya kepada gadis kasar itu sememangnya tak tergambar dek kata-kata. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Syazrina.

“Waalaikumussalam, Mia. Alhamdulillah sihat. Weh lama gila kita tak jumpa, jom keluar!” Mahu sahaja Mia bersetuju namun apa-apa pun dia harus meminta izin suaminya. Sudah menjadi kewajipannya sebagai isteri untuk meminta izin suami sebelum melangkah keluar dari rumah. Kebetulan Iqram tiada dirumah kerana terpaksa bekerja pada hari Sabtu.

“Rin, saya tanya Iqram dulu ye? Apa-apa saya call awak balik” balas Mia dengan lembut, tidak mahu sahabatnya itu terluka jika dia tidak berjumpa dengan Syazrina.

“Okey..okey. Apa-apa kau call aku balik ye Mia. Assalamualaikum” Mia meletakkan telefon setelah menjawab salam Syazrina. Dengan kadar segera, Mia mendial nombor telefon Iqram. Senyumannya makin lebar apabila Iqram memberikan keizinan untuk dia keluar bertemu dengan Syazrina. Lagipun Iqram mungkin pulang lewat petang.

Setelah memaklumkan kepada Syazrina yang dia mendapat keizinan, Mia lekas menukar pakaian. Jubah longgar berwarna hitam dipadankan dengan tudung berwarna turqoise lembut menjadi pilihan Mia. Bersederhanalah ketika berpakaian, nasihat ketua usrahnya dahulu sering bermain didalam mindanya. Jam baru menunjukkan pukul 10 pagi, sudah menjadi tabiatnya untuk keluar awal dan balik awal. Kunci keretanya dicapai dan dimasukkan ke dalam tas tangan.

“Eh Mia, nak pergi mana?” tegur Puan Risa yang sedang menonton televisyen bersama Encik Aqif dan Hajah Suraya.

“Mia nak keluar dengan Rin mama. Mia dah beritahu abang tadi. Mama, ayah dengan nenek tak keluar ke hari ni?” Mia mengatur langkah menuju ke tempat istirehat mereka.

“Sekejap nanti mungkin. Nenek ada kelas tadarus, mama dengan ayah pula nak keluar pergi beli barang dapur. Mia nak pesan apa-apa?” jawab Encik Aqif dengan senyum yang tersunging dibibir. Duit belanja untuk beli barang dapur telah diberi oleh Iqram pagi tadi. Anaknya memang seorang yang bertanggungjawab dan tidak lokek. Puas dia menolak namun Iqram tetap memberi duit belanja kepadanya tiap-tiap bulan.

“Tak ada kot. Baiklah mama, ayah, nenek. Mia pergi dulu ye? InsyaAllah Mia balik sebelum Asar” Mia mengapai tangan Puan Risa, Encik Aqif dan Hajah Suraya untuk bersalaman.

“Jaga diri baik-baik ye sayang?” Sempat Hajah Suraya memberi nasihat kepada Mia.

“InsyaAllah nenek. Nenek pun jaga diri ye” lantas Mia mengucup kedua-dua belah pipi Hajah Suraya. Nenek Iqram sudah dianggap seperti neneknya sendiri. Rindunya pada Puan Rose mula menebal. Sudah lama dia tidak berhubung dengan orang tua itu.

Tiba dirumah Syazrina, Mia memberi salam. Syazrina yang sudah bersiap menjawab salam dan terus masuk ke dalam kereta Mia.

“Kita nak pergi mana ni?” tanya Mia setelah keretanya meninggalkan perkarangan rumah teres dua tingkat itu.

“Midvalley tak pun Pavilion. Kau pilihlah aku tak kisah. Oh ye ada sorang lagi nak join kita ni” Wajah Syazrina yang teruja dipandang pelik oleh Mia.

“Dah tak payah nak pandang semacam. Nabila nak join kita. Kau okey kan?” Mia segera menguntum senyum. Tunang Hamdan merangkap bekas rakan sekelas yang dahulunya kurang disenanginya tapi kini dia gembira dengan perubahan Nabila.

“Okey je. Lagipun Nabila kan kawan saya juga. Dia tunggu mana?” Syazrina melepaskan nafas lega. Haru juga jika Mia tidak menyenangi Nabila.

“Kat stesen LRT depan tu. Kita ambil dia dulu ye?” Mia mengangguk setuju lalu membelok masuk ke persimpangan stesen LRT. Kelihatan Nabila sudah pun menunggu mereka.

“Adik manis, sini! Sini!” Syazrina menjengukkan kepalanya dari tingkap kereta memanggil Nabila dengan gaya abangla. Mia hanya menepuk dahi dengan gelagat sahabatnya yang sememangnya agak memalukan kerana terdapat ramai manusia yang sedang menunggu di stesen itu.

“Oit adik masam! Awak ni la memalukan sungguh” Nabila yang sudah mendekati mereka mencubit pipi Syazrina geram. Malu pun ada.

“Hehehe..kau tunggu apa lagi masuklah” Nabila membuka pintu belakang kereta Jaguar merah milik Mia.

“Maaflah menyusahkan Mia kena jemput saya” Nabila memulakan bicara sebaik sahaja melabuhkan punggung di tempat duduk belakang.

“Eh tak susah la. Kebetulan saya jemput si Rin jadi angkutlah sekali..hehe” tutur Mia sopan. Nabila tampak manis dengan blaus labuh berwarna pink dan seluar slack berwarna putih dipadankan pula dengan tudung berwarna krim.

“So kita pergi Pavi jela, dari sini ke Pavi dekat sikit” ujar Syazrina memberi cadangan.

“Okey” jawab Mia dan Nabila serentak.

Tiba di Pavilion, mereka bertiga mengambil tempat di cafe Subway. Syazrina memesan steak and cheese manakala Nabila dan Mia memesan chicken teriyaki dan Subway melt.

“Oh ye Rin, nampak macam penting sangat hal yang awak nak cakap sampai pagi-pagi lagi dah telefon. Cer cerita sikit” Nabila memulakan bicara, pelik juga kerana selalunya Syazrina hanya menghantar SMS tapi hari ini siap terus telefon. Mia yang tidak tahu hujung pangkal menumpukan perhatiannya kepada Syazrina dan Nabila.

“Err..macam ni. Hari Sabtu lepas aku pergi jumpa mak ayah si Hazeem. Hazeem nak hubungan serius dengan aku tapi dengan serius aku tak tahu perasaan aku kat mamat tu. Bagi aku perasaan aku kat dia tu macam biasa-biasa je” Syazrina meluahkan segala yang terbuku didada.

“Oh dah sampai jumpa mak ayah ni gerenti Hazeem serius dengan awak Rin. Awak ada buat solat istikharah?” tanya Mia lalu memandang wajah Syazrina. Syazrina hanya mengangguk.

“Dah dua hari aku buat tapi aku tak dapat apa-apa petunjuk. Tak apa nanti aku buat lagi. Tapi aku dapat rasakan yang dia bukan untuk aku” tambah Syazrina dengan wajah yang agak kusut.

“Baiklah, kalau macam tu awak beritahu elok-elok dekat Hazeem yang awak tak boleh nak serius dengan dia” Nabila sudah mula memberi nasihat. Dahulu dia pernah juga mahu putus asa dengan cintanya kepada Hamdan namun setelah solat isytikarah, dia pasti Hamdan memang untuknya.

“Saya rasa awak cuba istikharah seminggu dulu. Walaupun tak dapat petunjuk, tapi kalau keputusan yang kita buat tu betul, hati kita akan tenang selepas itu” Mia menepuk perlahan bahu Syazrina. Tak pernah dia melihat gadis itu kusut sehingga sebegitu.

“Okey, thanks. InsyaAllah aku usahakan. Oh ye Mia macam mana honeymoon? Ada berita baik tak?” Mia sudah menunduk malu. Syazrina sudah menayangkan sengihan nakalnya. Eh mana budak yang bermuram durja tadi?

“Alhamdulillah best. Masih kami usahakan. Sila doakan ye sahabat-sahabat sekalian” Mia menguntum senyum. Sudah banyak kali soal anak ditanya oleh mereka-mereka disekelilingnya. Paling kerap bertanya tak lain tak bukan abangnya, Muiz sehinggakan Mia menyuruh Muiz kahwin.

“Persiapan kahwin awak pula macam mana Nabila?” Sengaja Mia mengalih topik. Nabila yang bakal disatukan dengan Hamdan tampak makin berseri-seri.

“Alhamdulillah okey. Thanks sebab kenalkan Jah dengan Jemah dekat saya. Mereka sangat proffesional dan saya suka dengan cara mereka walaupun agak sadis” Nabila melemparkan senyuman kepada Mia. Jah dan Jemah yang sering bergaduh memang memeningkan kepala namun apabila bab kerja, mereka sangat proffesional dan hasilnya sangat memukau.

“Sadis sebab tengok Jemah kena tampar ke Nabila? Diorang memang macam tu tapi kerja bagus” Mia hampir tergelak mengingatkan gelagat Jah dan Jemah.

Wedding planner yang hari tu ke Mia? Diorang memang lawak gila. Aku yang kasar ni pun terkedu tengok keganasan si Jah tu..hahaha” Syazrina menambah. Gelagat perancang perkahwinan yang sangat kelakar tapi proffesional itu menjadi topik bualan mereka sehingga makanan yang dipesan sampai.


Syazrina berjalan-jalan di Tokyo Street dengan perasaan berbaur. Tadi Mia meminta izin untuk pulang awal setelah Iqram menelefonnya. Tiba-tiba pula Iqram balik awal jadi mahu tak mahu Mia terpaksa pulang kerana ingin keluar bersama Iqram. Nabila pula sudah berjanji dengan Hamdan untuk mencari barang-barang untuk dijadikan hantaran. Kini tinggallah dia seorang diri di pusat beli-belah yang kononnya paling mewah di Malaysia.

Puas berjalan di Tokyo Street dan membeli mochi, Syazrina turun ke tingkat bawah. Matanya tertancap pada seorang lelaki yang asyik memerhatikan kemeja yang diperagakan di luar kedai.

“Muiz! Buat apa kat sini” Syazrina berjalan mendekati Muiz yang turut terkejut dengan kehadirannya.

Shopping la apa lagi! Kau?” Muiz membelek koleksi tali leher yang dipamerkan di kedai itu.

“Tadi baru lepas sesi girl’s talk dengan Mia dan Nabila. Sekarang dua-dua dah balik. Tinggal aku jela” Syazrina baru perasan yang terdapat dua beg kertas ditangan Muiz. Satu beg kertas Padini dan satu lagi Giorgio Armani dan sekarang mereka berada betul-betul di kedai Ovadia & Sons. Tak sangka abang Mia ini merupakan jejaka metroseksual.

“Dah puas membelek aku? Kau tak shopping ke?” Muiz tersengih melihat muka Syazrina yang bagaikan tersedar dari lamunan.

“Gila perasan! Taklah aku saja jalan-jalan tenangkan fikiran. Banyak kau shopping Muiz” Syazrina pasti yang mukanya memerah. Sengaja dia menukar topik. Entah kenapa debaran didalam dadanya semakin kuat apabila mata Muiz merenung tajam ke dalam kolam matanya sambil tersenyum.

“Biasa je. Mana lagi lawa?” tanya Muiz sambil menunjukkan dua helai tali leher yang dipilihnya.

“Warna biru ni” jawab Syazrina dengan yakin. Muiz mengangguk dan terus menyerahkan tali leher yang dipilih Syazrina kepada jurujual yang setia menanti.

“Muiz, macam mana tolak cinta seorang lelaki?” Ringan benar mulut Syazrina bertanyakan tentang halnya kepada Muiz. Muiz yang baru lepas membayar harga tali leher tersentak dengan pertanyaan tiba-tiba gadis dihadapannya ini.

“Kenapa? Ada yang cakap sukakan kau ke? Nak tolak senang tapi nak menjaga hati tu yang payah Rin” Muiz berjalan perlahan disamping Syazrina yang tampak gusar. Mungkin gadis itu memerlukan pandangan seorang lelaki.

“Berterus teranglah walaupun kenyataan ini akan melukakan lelaki yang suka kat kau tapi lebih baik daripada kau berpura-pura suka dekat dia” Muiz melabuhkan punggung di bangku yang terletak di hadapan kedai menjual anak patung. Syazrina hanya tegak berdiri memandang Muiz yang menayangkan muka serius.

“Aku pun rasa macam tu tapi aku sebenarnya pun tak pasti perasaan aku kat dia” Syazrina melepaskan pandangan kepada beberapa orang remaja yang hanyut dengan dunia mereka. Bergaya kalah model diatas pentas peragaan.

“Istikharah dan tawakal” Muiz bangun dari duduknya dan meneruskan perjalanannya.

Thanks Muiz” Syazrina berjalan beriringan dengan Muiz namun masih terdapat jarak diantara mereka.

“Kau dah nak balik dah ke?” tanya Muiz dengan muka selamba.

“Haah. Kang lambat kang mau kena lesing dengan bonda aku” balas Syazrina dengan senyuman.

“Aku hantar kau jela. Kau okey tak?” Risau pula Muiz memikirkan yang Syazrina pulang ke rumah seorang diri. Apa gunanya lelaki jika tidak melindungi kaum wanita.

“Err tak menyusahkan kau ke?” tanda Syazrina serba salah, dia bukannya rapat sangat dengan abang Mia dan dia berasa seperti telah menyusahkan dua beradik itu.

“Susah apa? Bukan aku kayuh basikal pun” Muiz membalas dengan ketawa kecil. Syazrina sudah mula menguntum senyum. Hatinya berasa tenang disamping Muiz dan dia dapat rasakan yang ada perasaan lain mula berputik untuk abang Mia ini.

“Okey, thanks Muiz. Dahlah tadi pun Mia yang jemput aku. Sekarang kau pulak yang hantar aku balik. Segan la pula”

“Nak segan apa? Bukan aku tak kenal kau. Dahlah asyik berborak sampai esok pun kita tak bergerak dari sini” Muiz mengatur langkah ke tempat parkir kenderaan diikuti oleh Syazrina.


Sampai sahaja di kereta, Porsche 911 GT3 hadiah dari Mr Russel dihidupkan dengan bacaan bismillah. Syazrina yang hanya memerhati sejak tadi kagum dengan Muiz yang sempat membaca doa naik kenderaan sebelum kereta itu laju meninggalkan ruang parkir kenderaan. Dalam diam dia amat menyenangi tingkahlaku Muiz.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...