Thursday, March 7, 2013

Kisah Kita - Bab 6

taken from here
Bulan Februari mula menjelma, tidak sangka yang sudah sebulan Iqram disini. Mia masih dengan perangai sejuk bekunya. Hubungan diantara mereka memang tiada progres sepanjang sebulan ini. Abang Mia, Muiz masih menjadi senior yang dihormati olehnya disamping Firdaus dan Hamdan. Mereka sering menghabiskan waktu rehat bersama-sama sehinggakan digelar Flower 4 atau dipendekkan F4 disekolah ini dek penampilan mereka yang segak.

"Iqram, macam mana Mia dalam kelas?" Entah mengapa terbuka pula hati Muiz untuk bertanyakan perihal adiknya kepada Iqram.
"Macam biasa la Muiz. Dia tak bergaul pun dengan rakan sekelas yang lain" jelas Iqram yang semakin pelik dengan perangai Mia yang langsung tidak mahu bergaul dengan rakan sekelasnya. Jangan katakan rakan sekelas, satu sekolah ini pun rasanya dia tidak mahu.
"Mia memang macam tu kan dari dulu? Kenapa sekarang baru kau nak tanya Muiz?" Hamdan tiba-tiba sahaja menyampuk. Dari pandangan matanya, Mia cukup sempurna namun sikap Mia yang dingin membataskan pergaulan mereka. Mia hanya bercakap apabila Muiz bersamanya dan tidak mempedulikan orang lain.
"Aku bukan apa, aku risau takut dia akan terus macam tu bila aku dah tamat tingkatan lima nanti. Perangai dia tu bakal menyusahkan diri dia sendiri. Menyesal pula aku suruh dia jangan lompat darjah masa PTS dulu. Kalau tak mesti dia dah selamat tamat sekolah sekali dengan aku" Panjang lebar Muiz menerangkan kekusutannya kepada rakan-rakannya. Hamdan dan Firdaus merupakan sahabat yang sentiasa bersama dengannya sejak dari tingkatan satu lagi. Pada mulanya dia juga seperti Mia. Dia langsung tidak mempedulikan orang lain sejak berpindah sekolah. Namun kebaikan Firdaus dan semangat setiakawan Hamdan membuatkan dia merubah persepsi terhadap rakan sekelasnya yang lain. Dia bernasib baik apabila Firdaus dan Hamdan tidak jemu-jemu memberi nasihat dan galakan kepadanya.
"Muiz aku rasa kita patut tolong la adik kau tu" ujar Firdaus memberi cadangan.
"Macam mana?" Bukan tidak pernah Muiz menasihati adiknya, tetapi, Mia tetap dengan pendiriannya.

"Abang jangan risau. Mia takkan mati kalau tak berkawan dengan mereka semua" ucap Mia suatu hari apabila dia menasihati Mia. Ternyata Mia masih terkesan dengan kenangan pahitnya dahulu.

"Iqram. Sekarang ni kau yang paling selalu dengan dia kan?" Iqram hanya mengangguk apabila Firdaus bertanya kepadanya.
"Kerja berkumpulan pula dia buat macam mana?", tanya Firdaus lagi.
"Selalunya kita yang carikan kumpulan untuk Mia. Selepas tugas dibahagikan, Mia terus menyiapkan bahagian dia dan membuat semakan terakhir sebelum tugasan dihantar" Teringat Iqram tentang tugasan subjek Biologi yang memerlukan empat orang ahli. Iqram mengajak Mia menyertainya kerana dia tahu Mia pasti tiada kumpulan dan secara kebetulan kumpulan mereka kekurangan seorang ahli. Hasil kerja Mia sangat sempurna sehinggakan kumpulan mereka mendapat markah penuh dalam tugasan itu. Sejak dari itu, setiap kali ada kerja berkumpulan, dia akan melakukan dengan Mia, Jun Hong dan Emir.
"Tak apalah Muiz, kita doa-doakan supaya dia berlembut hati dan mula berkawan dengan orang lain. Tapi kalau diantara kita yang ada apa-apa cadangan jangan malu-malu nak utarakan" Firdaus menamatkan perbualan apabila loceng tamat waktu rehat berbunyi.

Kelas 4 Alpha riuh dengan suara pelajar-pelajarnya yang bergembira kerana guru-guru bermesyuarat. Pengawas yang bertugas pula sudah habis daya menyuruh mereka senyap tetapi masih tidak berjaya. Mia mula mengangkat buku latihan dan buku rujukan. Cadangnya dia ingin ke perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran atau lebih spesifik lagi melarikan diri dari keadaan kelas yang tidak ubah seperti pasar pagi.
"Mia, nak ikut" Iqram teringat misi yang perlu dijalankan sebagai rakan Muiz. Jadi dia mesti selalu mengikut rentak Mia.
Mia hanya mengangguk. Iqram memberitahu pengawas yang bertugas yang mereka ingin ke perpustakaan.
"Hei ke perpustakaan ke keluar dating?" soal pengawas yang bernama Luqman itu. "Kami ingin mengulangkaji di perpustakaan, jika kamu rasa kami menipu, kamu boleh datang menjenguk setiap lima minit, itupun kalau kamu rajinlah" jawab Iqram yang geram apabila dia dituduh oleh Luqman. Sengaja dia menggunakan bahasa formal dengan pengawas yang berlagak bagus itu.
"Iqram! Kami pun nak ikut!" Jun Hong dan Emir terus mengambil buku dan mengikut Iqram dan Mia keluar dari kelas.
"Malas aku nak menatap wajahmu yang kurang handsome itu" laung Emir yang sengaja menyindir Luqman yang kelihatan berang apabila mereka berempat keluar dari kelas.

Didalam perpustakaan, kelihatan Muiz bersama Hamdan dan Firdaus sedang mengulangkaji di satu sudut yang agak tersembunyi. Mia terus duduk disebelah abangnya diikuti oleh Iqram, Jun Hong dan Emir.
"Eh Mia bawa kawa-kawan la" tegur Firdaus ramah.
Mia cuma memandang sepi kearah Firdaus. Firdaus yang terasa malu terus menyiku Muiz.
"Mia, mereka ni kawan-kawan Mia kan?" Muiz terus bertanya. Tidak sanggup dirinya dihentam dengan siku tajam Firdaus.
"Mereka sekelas dengan Mia" Mia menjawab pendek sambil membuka buku latihannya. Hari ini dia ada kerja sekolah subjek Kimia dan Bahasa Melayu. Tanpa membuang masa, dia terus membuat kerja sekolahnya. Pantang sungguh jika dia terpaksa menyiapkannya dirumah kerana baginya rumah adalah tempat untuk dia berehat dengan secukupnya.
Iqram, Jun Hong dan Emir terus membuat kerja sekolah mereka apabila melihat Mia yang cukup bersemangat menulis diatas buku latihannya.
"Mia macam mana nak buat soalan ni?" Konsentrasi Mia terganggu apabila Emir bertanyakan tentang soalan subjek Kimia. Semua mata tertumpu ke arah Mia dan Emir.
"Sila tengok jadual berkala. Dari situ kau boleh dapat jawapan" Sesungguhnya mereka semua tidak sangka yang Mia akan menjawab soalan Emir.
"Haahlah" Emir terus menulis jawapan diatas buku latihannya. Dalam hatinya dia berasa gembira apabila Mia melayannya.

"Iqram Qayyum, lambat kamu balik hari ni?!" laung Puan Risa dari dalam rumah. Iqram yang baharu sahaja sampai dipagar rumahnya terkejut dengan pertanyaan mamanya.
'Isk mama ni macam nak bagi pengumuman kat satu taman ni yang aku baru balik' getus Iqram dalam hati.
"Maaf mama tadi Qayyum siapkan kerja sekolah dulu disekolah dengan kawan-kawan, tu yang lambat" jawab Iqram sambil mencium tangan mamanya.
"Oh kalau macam tu tak apalah, mama ingat kamu merayau merata-rata"
"Qayyum nak merayau pergi mana lagi mama oii? Kecil je pun tempat ni" Iqram tersenyum memikirkan sikap paranoid mamanya.
"Baguslah kalau kamu tak merayau. Qayyum, tadi nenek kamu telefon bertanyakan kamu sesuai ke tidak sekolah kat sini?"
"Eh dah sebulan Qayyum kat sini baru nenek nak tanya? Nenek..nenek"
Iqram teringat akan neneknya yang membesarkannya apabila mama dan ayahnya bekerja di luar negara. Apabila mama dan ayahnya pulang ke Malaysia, neneknya memberikan pelbagai alasan supaya Iqram terus tinggal bersamanya. Kini neneknya semakin aktif dengan aktiviti warga emas dikawasan perumahannya.
"Kalau kamu nak tinggal dengan mama dan ayah kamu pergilah. Nenek pun dah makin busy sekarang" Ternganga Iqram apabila neneknya menyuruh dia pulang ke pangkuan mama dan ayahnya dengan gaya yang begitu selamba.
"Betul ni nenek?"
"Yelah kamu tak nampak ke nenek busy hari-hari? Tak ada masa lah nak layan kamu lagi. Tak payahlah kamu risaukan nenek sebab Mak Long, Mak Ngah dengan Mak Usu kamu pun ada dekat-dekat sini" Nampak sangat nenek nekad nak suruh dia pulang ke pangkuan mama dan ayah.
"Sure ni nenek?"
"Kejadahnya? Surelah! Kamu duduk sini pun menghabiskan beras nenek je"
"Errk?! Nenek!!"
"Hehehee..nenek gurau je. Kamu ni lawak sungguhlah. Dahlah nenek ada aktiviti Taichi lepas Asar ni. Kamu nak join?"
"Tak mahulah, nanti kita tertidur pula kat sana. Buat naya je" Pernah sekali Iqram mengikut neneknya melakukan aktiviti Taichi diwaktu pagi. Tidak sampai 10 minit Iqram tersenguk-senguk mengantuk dek pergerakan perlahan aktiviti Taichi. Pak Jusoh, jiran neneknya dengan selambanya berdengkur. Boleh pula orang tua itu tidur berdiri.
"Pak Jusoh ada join tak nenek?" sengaja Iqram mengusik neneknya. Dia tahu yang Pak Jusoh giat mengurat neneknya sejak kematian datuknya lima tahun yang lepas.
"Entah. Orang tua tu selalu sangat tertidur. Jurulatih tak bagi dia datang sebab takut dia terjatuh masa tertidur ke apa"
"Hehee..tahu-tahu aje nenek ni ye? Ada apa-apa ke?" Serentak itu telinga Iqram dipiat neneknya.
"Nenek..sakit..sakit.."
"Seronok sangat kamu mengacau nenek kan? Nak lagi?"
"Tak nak..tak nak..nenek lepaslah"
"Hmm sedap kan? Kacau la nenek lagi" sindir nenek sambil berlalu meninggalkan Iqram.
 Iqram memegang telinganya yang memerah akibat dipiat neneknya. Bukan sebelah tetapi kedua-dua belah telinganya. Nenek memang ganas!




No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...