Friday, March 15, 2013

Kisah Kita - Bab 16


taken from here 
Seperti yang dijanjikan Iqram, setiap pagi Mia menerima MMS gambar Einstein dari Iqram. Muiz yang tidak tahu menahu tentang perkara itu berasa pelik apabila Mia sering tersenyum tiap-tiap pagi.

“Mia, sekarang ni makin gembira je abang tengok. Ada apa-apa ke?” Muiz bertanya sambil menuangkan susu Good Day kedalam gelasnya.

Mia menunjukkan gambar Einstein kepada abangnya sambil tersengih. Sudah banyak koleksi gambar Einstein yang disimpan didalam telefon pintarnya. Semuanya dihantar oleh Iqram setiap pagi tanpa jemu.

“Oh patutlah, ni mesti Iqram yang hantar kan?” Muiz tahu yang sekarang Einstein tinggal bersama Iqram dan Iqram sudah tidak membawa kucing itu ke sekolah lagi sejak sebulan yang lalu. Dia tahu kerana Iqram sudah memaklumkan kepadanya tetapi dia tak tahu pula hobi baharu Iqram, menghantar MMS kepada Mia.

“Abang petang nanti kita pergi rumah Iqram boleh? Mia nak jenguk Einstein” Mia malu-malu mengajak abangnya ke rumah Iqram. Sudah lama dia tidak berjumpa Einstein. Terasa rindu pula kepada kucing kesayangannya itu.

“Mia tak boleh pergi sendiri ke?” Sengaja Muiz menguji adiknya itu.

“Tak naklah. Kalau abang ada hal kita pergi lain kali jela” Mia kecewa apabila abangnya menghampakan permintaannya. Dia tidak mahu ke rumah Iqram tanpa abangnya. Lebih-lebih lagi hari ini merupakan hari Sabtu, tentu sekali ibubapa Iqram ada dirumah. Dia berasa malu dan takut kerana tidak biasa melawat rumah orang lain.

“Boleh je. Abang saja gurau tadi” kata Muiz sambil tersengih ke arah Mia sambil tangannya laju menyapu jam diatas roti bakar. Mia yang geram terus merampas roti abangnya itu lalu dimasukkan ke dalam mulut.

“Mia! Roti special abang!” Mia menjelirkan lidah sambil berlari mengelilingi meja makan apabila abangnya mula mengejar.

“Muiz! Mia! Apa ni main kejar-kejar dalam rumah ni?” tegur papa mereka yang baru sahaja turun dari tangga.

“Mia ni papa! Dia ambil roti special Muiz!” Muiz mengadu kepada papanya sambil memuncungkan mulutnya.

“Ala roti je kot. Abang ni mengada-ada la!” Sindir Mia sambil mengunyah roti special Muiz itu.

“Roti tu special sebab dia bahagian paling atas dalam buku roti. Abang letak mentega, blueberry dan mentega kacang dengan nisbah 1:1:1. Apa Mia tahu” rajuk Muiz.

Muqri yang mendengar penjelasan Muiz terus ketawa berdekah-dekah. Tak sangka anak terunanya merajuk hanya kerana roti yang siap ada nisbah bahan.

“Dah la tu Muiz, Muiz boleh ambil bahagian paling bawah buku roti. Kan sama juga? Pasal nisbah tu, papa rasa kamu seorang je yang tahu buat.” Muqri memujuk anak terunanya dengan mengeluarkan roti dan meletakkannya diatas pinggan lebar. Diambilnya bahagian paling bawah dan diberikannya kepada Muiz.

“Abang nak merajuk juga dengan Mia. Abang tak nak bawa Mia petang ni.” Muiz geram kerana Mia memperlekehkan roti specialnya tadi. Bukan senang dia nak mengikut nisbah yang diciptanya sendiri.

“Mia nak pergi mana petang ni?” tanya Muqri kepada anaknya.

“Mia nak pergi jenguk kucing Mia. Sekarang ni Einstein ada dengan kawan Mia. Petang ni Mia ingat nak ajak abang temankan Mia pergi rumah dia” jelas Mia dengan nada yang sedih. Sedih abangnya merajuk hanya kerana roti.

Muiz digamit rasa bersalah apabila melihat adiknya bersedih.

‘Haish apa la aku ni. Pasal roti pun nak merajuk ke’ Muiz berbisik didalam hati.

“Kalau Mia nak, papa boleh tolong hantarkan.” Muqri menawarkan diri menghantar Mia ke rumah kawannya.

Mia berasa lega apabila papanya menawarkan diri namun dalam masa yang sama dia berasa gelisah apabila memikirkan dia seorang sahaja yang akan berdepan dengan keluarga Iqram.

“Eh tak apalah papa. Biar Muiz je yang pergi dengan Mia. Lagipun kawan Mia tu, kawan Muiz juga. Muiz pun nak pergi jumpa dia” kata Muiz sambil memandang kearah papanya. Muqri terus mengangguk setuju.

“Abang dah tak merajuk lagi?” Mia terus mendekati Muiz. Muiz terus mencubit geram pipi adiknya.

“Now we’re even” Muiz terus tersengih apabila Mia memandangnya geram sambil mengosok pipinya.


Assalamualaikum Iqram. Mia & abang nk dtg rumah Iqram dlm pkl 5 nanti. Iqram ada kt rumah x?

SMS daripada Mia itu dibacanya berulang kali. Iqram tersenyum gembira apabila Mia memberitahu yang dia mahu kerumahnya. Dengan pantas dia membalas SMS Mia. Dia tidak mahu gadis itu tertunggu-tunggu.

Waalaikumussalam. InsyaAllah kita ada je kt rumah. Mia dtg jela kita tggu.

Selesai menghantar mesej, Iqram terus mengemas biliknya. Dari tadi, selepas solat Dhuha, dia hanya berbaring sambil bermain dengan Einstein. Selesai mengemas bilik, Iqram turun ke bawah untuk memaklumkan kedatangan Mia kepada mama dan ayahnya.

“Mama, petang nanti kawan Qayyum nak datang. Mama masak something untuk dia boleh?” tanya Iqram sebaik sahaja dia melihat mamanya didapur.

“Oh boleh je. Mama pun cadang nak buat kek lobak merah lepas Zohor nanti. Memang rezeki dia hari ini” jelas Puan Risa. Teruja sangat dia melihat anak terunanya itu mengkhabarkan tentang kehadiran rakannya itu.

“Kawan yang bagi Qayyum kucing tu ke?” tanya Encik Aqif yang tiba-tiba muncul dari arah pintu laman belakang.

“Haah. Dia datang dengan abang dia petang nanti” jawab Iqram sambil tersenyum kearah ayahnya. Mesti ayahnya baharu lepas berkebun di laman. Hobi masa lapang ayahnya itu memang bagus kerana keluarganya tidak perlu membeli daun pandan, daun kunyit, cili, daun kari dan sebagainya. Memang ada sahaja tumbuh-tumbuhan itu dilaman rumahnya. Disebabkan rumahnya di lot tepi, laman rumahnya agak luas sehinggakan ayahnya membina sebuah pondok kecil disitu.

“Bahan-bahan untuk kek tu cukup ke mama? Kalau tak cukup biar Qayyum pergi beli.” Terasa begitu bersemangat Iqram apabila membayangkan yang Mia dan Muiz akan datang hari ini. Dia mahu memberikan yang terbaik buat kedua-dua beradik itu.

“Cukup. Amboi Qayyum ni, sekarang baru pukul 10 pagi dah semangat macam ni? Ni entah khusyuk ke tidak karang waktu Asar nanti.” Puan Risa mengusik anaknya yang begitu bersemangat.

“InsyaAllah khusyuk” balas Iqram malu-malu.

‘Hehehe..nampak sangat ke excited?’ Iqram tersenyum sendiri.

“Eh senyum pula dia, Risa nampaknya petang ni kita dah dapat tengok bakal menantu kita” gurau Encik Aqif apabila melihat Iqram tersenyum-senyum. Terasa kelakar pula dia melihat telatah anak terunanya itu.

“Hmm banyaklah abang punya bakal menantu. Si Qayyum ni baru 16 bukan 26 tahun abang oii” balas Puan Risa tersenyum sambil menggelengkan kepala. Tahu sangat suaminya hanya bergurau.

“Mana ada banyak. Satu je. Qayyum ni jela anak kita. Kenapa awak nak mengandung lagi ke?” Spontan Puan Risa mencubit pinggang suaminya. Encik Aqif hanya ketawa sambil berlalu menuju ke bilik mandi. Terasa melekit badannya setelah penat berkebun.

Iqram tersenyum bahagia melihat telatah mama dan ayahnya. Dia bersyukur kerana Allah mengurniakannya ibubapa yang baik. Walaupun dia sering terasa kesunyian namun dia bahagia kerana mama dan ayahnya sentiasa menyayanginya.

‘Tapi bagus juga kalau mama nak mengandung lagi. Hehehe..’  bisiknya dalam hati.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...