Tuesday, March 5, 2013

Kisah Kita - Bab 1

taken from here 
"Hoi jalan tu pandang depan! Mata kau letak kat mana hah?!"
Terasa sakit dibahagian punggung Iqram yang jatuh terduduk akibat momentum perlanggaran dengan lelaki dihadapannya.
"Maaf", itu sahaja yang dapat dibalas Iqram dengan muka berkerut-kerut menahan kesakitan.
"Maaf? Itu je yang kau boleh cakap? Nampak sangat tak ikhlas!" tempik lelaki itu. Mukanya memerah menahan kemarahan lagaknya bagai Iqram melakukan kesalahan yang besar.
"Weh dah la tu! Bukan kau yang jatuh, dia yang jatuh terduduk sebab terlanggar dengan kau, kau pula yang lebih-lebih ni kenapa?" tegur seorang lelaki yang mungkin merupakan kawan kepada lelaki tadi.
"Kau okay ke tak ni? Nama aku Firdaus. Kau budak baru ye? Patutlah tak pernah nampak".
Firdaus menghulurkan tangan membantu Iqram bangun.
"Terima kasih Firdaus. Ye kita baru je pindah kat sini. Nama kita Iqram".
"Oh Iqram. Yang marah-marah tu namanya Hamdan. Maaflah dia ni memang baran sikit, pantang orang sentuh atau usik dia mulalah nak naik angin"
"Hamdan, kita nak minta maaf". Iqram menghulurkan tangan untuk meminta maaf. Tangannya disambut oleh Hamdan yang sudah sejuk hati.
"Maafkan aku juga sebab berkasar dengan kau tadi". Hamdan yang bagaikan menyedari kesilapan diri tersenyum kecil sambil meraupkan mukanya.
"Alamak, dah 7.30! Cepat weh nanti lambat pula kita, tak pasal-pasal kita jadi bahan tontonan ramai"
"Okay!" jawab Iqram dan Hamdan serentak.

Kelihatan empat orang pelajar diatas pentas dihukum kerana lewat. Mereka terpaksa menyanyikan lagu 'Negaraku' sebanyak tiga kali sambil berjalan itik diatas pentas. Murid-murid yang lain hanya memandang simpati tetapi ada juga yang mengetawakan mereka.
"Fuh nasib baik kita sempat sampai tadi. Seminit lewat mahunya kita pun jadi macam budak-budak tu". Firdaus meneguk air dari bekas airnya sambil memandang kasihan ke arah murid-murid yang didenda.
"Yela nasib baik sungguh. Tadi kita berlanggar dengan Hamdan pun sebab kita nak cepat. Mama kita pun dah pergi kerja kalau tak bolehlah tumpang mama kita", kata Iqram yang masih mengah.
"Hmm kalau kau tumpang mama kau. Tak adalah kau jumpa dan kenal dengan kami ni Iqram oii". Hamdan yang sejak tadi hanya diam bersuara.
"Betul juga. Setiap yang berlaku ada hikmahnya".
 Iqram menjawab sambil melontarkan pandangannya ke arah pentas.
"Hmm kesian kat diorang" kata Iqram sambil memandang simpati kearah murid-murid yang dihukum
"Nak buat macam mana, dah peraturan sekolah. Peraturan sekolah langgar sekali sekala tak apa tapi kalau peraturan Allah jangan sesekali" tegur Firdaus sambil menghulurkan bekas airnya kepada Iqram.
"Oh, terima kasih". Huluran bekas air itu disambut Iqram. Kebetulan dia tertinggal bekas airnya di rumah dek terlalu tergopoh-gapah. Nasib baiklah dia sempat bersolat Subuh kalau tidak pasti tak lengkap harinya.
"Kau kelas mana Iqram? Ke kau tak tahu kau masuk kelas mana lagi?", tanya Hamdan.
"Kelas 4 Alpha tak silap kita. Mama kita yang uruskan pertukaran sekolah ni semua sebab kita baru sampai dari kampung Sabtu yang lepas"
"La kau muda setahun dari kami la ni!". Firdaus yang terkejut kerana sangkanya mereka sebaya.
"Kau sama kelas dengan adik Muiz, Mia Hana" Hamdan tiba-tiba mencelah.
"Oh ye? Kalau macam tu kita nak pergi bilik guru nak cari guru kelas kita. Assalamualaikum"
"Waalaikumussalam" jawab Firdaus dan Hamdan serentak
 "Eh tunggu. Kau tahu ke bilik guru kat mana?" tanya Firdaus.
"Err..tak tahu" jawab Iqram jujur.
"Ceit! Awat hang tak tanya kami yang senior ni? Dah jom biar kami tunjukkan. Nanti entah ke mana kau merayau" tegas Hamdan yang terkeluar loghat utaranya.

Sampai sahaja di bilik guru, Firdaus membawa Iqram berjumpa dengan Cikgu Saharah, guru kelas 4 Alpha. Hamdan pula masuk ke kelas dahulu untuk memberitahu guru kelas mereka yang Firdaus lewat kerana membantu murid baharu.
"Cikgu, ini Iqram murid baharu dan dia kata dia sepatutnya masuk ke kelas 4 Alpha. Itu yang saya bawa dia berjumpa dengan cikgu" terang Firdaus kepada Cikgu Saharah.
"Oh Iqram. Baiklah, terima kasih ye Firdaus. Sekarang kamu boleh pulang ke kelas. Biar saya uruskan Iqram". Cikgu Saharah memandang kearah mereka sambil tersenyum.
"Sama-sama cikgu. Okay la Iqram nanti waktu rehat kita jumpa" kata Firdaus sambil melangkah keluar dari bilik guru.
"Mari Iqram saya bawakan awak ke kelas". Cikgu Saharah mula bangun dari tempat duduknya dan menuju ke arah pintu keluar bilik guru.
"Iqram baru pindah ke sinikah?"
"Ye cikgu" jawab Iqram pendek.
"Sebelum ni, Iqram duduk di mana?" tanya Cikgu Saharah lagi.
"Kuala Kubu Bharu, cikgu"
"Oh tak adalah jauh sangat dari sini"
"Ye cikgu. Ada la dalam 30km"
Tidak sampai lima minit, mereka tiba didepan pintu kelas 4 Alpha.
"Iqram tunggu sebentar ya? Biar cikgu buat pengumuman kat rakan sekelas Iqram"

Kelas yang hingar bingar tadi terus senyap sunyi apabila melihatkan ketibaan guru kelas mereka.
"Selamat sejahtera cikgu!" ucap ketua kelas yang berbangsa Cina yang kemudiannya diikuti oleh murid-murid lain.
"Selamat sejahtera murid-murid. Hari ini kita ada pelajar baharu yang akan masuk dalam kelas kita. Cikgu harap kamu semua boleh bergaul rapat dengan dia".
"Iqram mari masuk" arah Cikgu Saharah setelah membuat pengumuman
Iqram melangkah masuk ke kelas 4 Alpha. Terasa dirinya diperhatikan oleh semua murid didalam kelas itu kecuali seorang murid perempuan yang sibuk membaca.
"Baiklah Iqram kamu duduk disebelah Mia Hana memandangkan hanya satu sahaja tempat kosong yang ada sekarang".
Dengan kadar segera, Iqram menuju ke tempat duduknya kerana tidak mahu menganggu sesi pembelajaran.
'Mia Hana? Rasanya macam Hamdan ada sebut nama itu tadi' bisik Iqram didalam hati.
"Mia, kamu tidak kisahkan Iqram duduk disebelah kamu buat sementara waktu?".
Mia Hana hanya memandang Cikgu Saharah sambil menggelengkan kepala lalu meneruskan bacaannya.
'Nampak sangat dia tak peduli' getus hati Iqram apabila melihatkan reaksi Mia Hana.
"Assalamualaikum, nama kita Iqram Qayyum", Iqram cuba memulakan bicara dengan Mia Hana yang terlalu asyik dengan bacaannya.
"Waalaikumussalam, Mia Hana" jawab Mia Hana perlahan tanpa memandang kearah Iqram.
"Baiklah kelas, hari ini merupakan hari pertama persekolahan. Saya tahu kamu semua fikir yang tingkatan empat merupakan tahun bulan madu kerana tiada peperiksaan yang besar. Ternyata tanggapan kamu semua salah kerana bermula daripada tingkatan empatlah kamu patut berusaha jika kamu impikan kejayaan dalam peperiksaan SPM tahun hadapan. Faham tidak?", tegas Cikgu Saharah.
"Baik cikgu!" jawab murid-murid 4 Alpha dengan bersemangat.
"Baguslah begitu. Ingat kamu belajar bukan untuk sesiapa tetapi untuk diri kamu sendiri. Kamu yang menentukan masa depan kamu bukan cikgu atau ibubapa kamu faham?"
"Faham cikgu"
"Hari ini cikgu mahu kamu semua tulis diatas sehelai kertas azam kamu dan cara kamu untuk mencapainya", arah Cikgu Saharah.
Semua murid kelas 4 Alpha mengeluarkan kertas dan menulis azam masing-masing.
"Hmm macam budak-budak", getus Mia Hana perlahan namun masih dapat didengar dengan jelas oleh Iqram. Ternyata Mia Hana tidak menyukai tugasan yang Cikgu Saharah berikan.
Iqram hanya berdiam diri dan menulis azamnya diatas kertas kajang.
"Baiklah, cikgu mahu kamu semua masukkan kertas azam kamu semua didalam kotak ini", Cikgu Saharah mengeluarkan kotak hitam ala-ala kotak mengundi dan dia meletakkan kotak tersebut diatas meja guru.
Seorang demi seorang murid kelas 4 Alpha memasukkan kertas azam mereka.
"Cikgu doakan azam kamu semua tercapai dan ingatlah kalau berazam tanpa usaha ibarat menadah air dengan bekas bocor", nasihat Cikgu Saharah.

1 comment:

Unknown said...

Ni kisah waktu firdaus ,muiz ,iqram dgn hamdan waktu sklah ke? Wahhh bestnyee . smbungan novel ni novel IRA kan ?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...