Tuesday, March 19, 2013

Kisah Kita - Bab 21

taken from here 

Petang itu mereka melawat Iqram selepas solat Asar. Firdaus dan Hamdan turut mengikut dua beradik itu. Mereka datang dengan menaiki kereta Firdaus. Firdaus yang lahir pada awal bulan Januari memang beruntung dapat mengambil lesen awal dan lebih bermakna lagi apabila ibubapa Firdaus turut menghadiahkan kereta Perodua Myvi SE kepadanya.

Myvi SE yang berwarna Ivory White itu berhenti betul-betul dihadapan rumah Iqram. Mereka terus keluar dari perut kereta dan memberi salam. Kelihatan Puan Risa keluar menyambut mereka dengan wajah yang gembira sambil menjawab salam.

“Mari parking kereta tu kat dalam. Auntie bukakan pagar.” Firdaus masuk kedalam kereta dan menghidupkan semula enjin. Mia, Muiz dan Hamdan terus bersalaman dengan Puan Risa.

“Ayah belum balik ye mama?” tanya Muiz sebaik sahaja melabuhkan punggung diatas sofa. Mia mengambil tempat disebelah abangnya tetapi dia terus berdiri apabila melihat mama Risanya menatang dulang berisi jug air dan gelas.

“Biar Mia buat mama” Mia terus menyuruh mama Risa duduk. Puan Risa tersenyum dengan perlakuan Mia yang sopan itu.

"Ayah kamu outstation. Minggu depan baru balik." jawab Puan Risa

“Hamdan, Firdaus korang tak payah nak tayang muka pelik okay? Mama dengan ayah Iqram ni dah ambil kitorang jadi anak diorang walaupun bukan secara rasmi” jelas Muiz yang hampir meledak ketawa apabila melihat Hamdan dan Firdaus tercengang apabila mendengar dia dan Mia memanggil Puan Risa dengan panggilan ‘mama’. Serentak mereka mengangguk apabila mendengar penerangan Muiz.

“Iqram macam mana Auntie?” tanya Firdaus sambil mengambil gelas berisi air oren yang terhidang dihadapannya.

“Alhamdulillah dah baik sikit dari pagi tadi. Tadi suhunya 40°C tapi nasib baik lepas Zohor tadi auntie check suhunya dah turun 38°C. Takut kalau panas sangat boleh kena sawan budak tu” terang Puan Risa yang ternyata kelihatan risau dengan demam panas anaknya.

“Doktor cakap apa auntie?” tanya Hamdan pula. Risau pula dengan keadaan sahabatnya.

“Doktor cakap kalau demam teruk lagi esok, dia suruh auntie bawa pergi hospital sebab takut virus” Mia terus memegang tangan mama Risanya untuk memberi sedikit kekuatan. Puan Risa memandang Mia sambil tersenyum tawar.

“Kalau kamu semua nak tengok Qayyum, silalah naik ke biliknya di tingkat atas. Dia tu macam mana pun mesti nak kena rehat didalam bilik sendiri. Tadi auntie suruh dia baring kat bilik bawah ni senang untuk auntie tengok tapi dia tak nak sebab dia nak baring dikatil sendiri katanya” ujar Puan Risa.

“Mari mama bawakan ke bilik Qayyum” kata Puan Risa sambil menarik tangan Mia. Muiz tersengih melihat Mia yang malu-malu. Puan Risa meninggalkan mereka dihadapan bilik Iqram. Sengaja dia ingin mereka berbual dengan lebih selesa.

“Assalamualaikum Iqram! Kami datang nak beraya” gurau Muiz sambil menolak perlahan pintu bilik Iqram.
“Waalaikumussalam. Mari la masuk. Duduk-duduk, kejap lagi kita jamu kuih” balas Iqram dengan gurauan. Tahu sangat Muiz yang kuat bergurau memberi salam.

Iqram yang ketika itu sedang terbaring lemah menggagahkan diri apabila melihat kawan-kawannya datang melawatnya. Spontan dia tersenyum apabila melihat Mia yang malu-malu masuk kedalam biliknya.

“Maaflah bilik kita bersepah sikit. Tak sempat nak kemas pagi tadi. Pening sangat rasanya” kata Iqram apabila melihat rakan-rakannya terpaksa mengangkat buku sekolahnya yang diletakkan diatas sofa. Buku-buku itu sebenarnya dia keluarkan dari beg dengan tujuan untuk mengemas buku untuk esok tapi tak sempat dia menyudahkannya dia berasa pening yang teramat sangat.

“Eh tak apalah. Dah lebih kurang bilik Mia je” usik Muiz. Mia yang malu terus mencubit abangnya. Mui menjerit kesakitan dek penangan jurusan tangan ketam Mia.

“Sakitlah! Abang tinggal nanti!” marah Muiz.

“Tak apa, kita bukan naik motor hari ni. Firdaus boleh hantar Mia” jawab Mia sambil memberikan senyuman sinis kepada abangnya yang sudah memuncung geram.

“Firdaus drive ke hari ni?” tanya Iqram.

“Haah baru je dapat lesen” jawab Firdaus sambil tersenyum ke arah Iqram.

“Einstein mana?” tanya Mia tiba-tiba. Terkejut Iqram apabila Mia bertanyakan tentang Einstein. Dia sebenarnya berasa sedikit terkilan kerana Mia melebihkan Einstein walaupun dalam keadaan dia yang sedang sakit ini.

“Dia main-main kat bawah kot. Selalu kita biarkan dia bergerak bebas.” Iqram menjawab tanpa memandang kearah Mia.

“Eh Mia ni, kucing tu juga dia tanya. Pagi tadi bukan main risau dengan Iqram sampai sanggup nak datang sini naik teksi kalau abang tak nak bawa. Ni alih-alih dah jumpa tanya pasal kucing tu pula” sengaja Muiz membocorkan rahsia adiknya apabila melihat Iqram seperti berjauh hati dengan Mia.

“Abang!” marah Mia. Mukanya membahang apabila melihat Iqram yang sudah tersenyum memandangnya. Mia hanya menunduk malu apabila Iqram tak puas-puas merenung kearahnya. Wajah Iqram sempat ditelitinya tadi. Pipi dan bibir Iqram yang memerah akibat demam panas nampak comel dimatanya.

‘Ah sewel kau Mia, orang tu tengah sakit lagi kau fikir bukan-bukan’ Mia memarahi dirinya sendiri.

“Kau apasal redah hujan semalam Iqram? Punyalah banyak tempat berteduh lagi mau redah ka?” marah Hamdan. Terasa geram pula memikirkan kawannya itu sakit disebabkan meredah hujan lebat. Memang lebat sungguh hujan semalam sehingga dia pun singgah berehat disurau sementara menunggu hujan berhenti.

“Err saja je kita nak balik cepat” jawab Iqram. Gerun apabila Hamdan yang bersuara garau itu memarahinya.

“Hamdan, budak ni tengah sakit lagi kau nak lemahkan semangat dia ke? Bawa bersabar.” Firdaus menegur perbuatan Hamdan yang agak kasar itu. Dia turut berasa gugur jantungnya setiap kali Hamdan menengking. Suara garau Hamdan itu memang mengerunkan.

“Hihi..sorry. Sakit hati bila tengok kau lemah macam ni. Lain kali janganlah nak meredah hujan sangat kalau sistem imun tu tak cukup kuat. Lagipun hujan sekarang ni banyak bahan kimia dek pencemaran udara” nasihat Hamdan.

Iqram terharu dengan perhatian yang diberikan oleh rakan-rakannya itu.

“Terima kasih sebab sudi datang melawat kita. Kita pun dah sihat sikit jadi insyaAllah esok kita pergi sekolah” Iqram terus mengukirkan senyuman manis kepada rakan-rakannya.

“Ala small matter la kawan. Ni kau jangan lupa makan ubat yang doktor beri dan minum banyak air” Muiz memberi nasihat sambil menepuk-nepuk bahu Iqram.

“Mia, ada apa-apa ke kat sekolah hari ni?” tanya Iqram sambil memandang Mia.

“Hari ni ada pembahagian kumpulan untuk projek Fizik. Cikgu yang tentukan kumpulan. Mia sekumpulan dengan Emir dan Iqram pula dengan Jun Hong” jelas Mia. Iqram hanya menganggukkan kepala. Walaupun terasa sedikit cemburu namun dia cepat-cepat menghapuskan perasaan itu kerana itu yang membuatkan hubungan dia dan Mia menjadi teruk. Lagipun bukan Mia yang memilih untuk sama kumpulan dengan Emir.

“Tak boleh tukar ke Mia?” tanya Muiz.

“Tak boleh sebab cikgu yang tentukan. Budak perempuan lain dah ada pasangan sendiri”  Muiz turut mengangguk. Dia tidak selesa apabila adiknya sekumpulan dengan lelaki. Lebih-lebih lagi kerja secara berpasangan.

“Baiklah Iqram, aku rasa kami dah kena gerak dah ni. Lagipun kau perlukan rehat yang banyak. Kami minta diri dulu ye” kata Firdaus sambil bangun dari sofa. Dia bersalam dengan Iqram diikuti dengan Muiz dan Hamdan. Mia hanya memandang dari tepi.

“Mia kalau nak tinggal sini pun tak apa kan Iqram?” gurau Muiz apabila melihatkan adiknya yang masih berdiri tegak memandang Iqram. Tanpa sedar Iqram mengangguk namun cepat-cepat dia menggelengkan kepala.

Mia yang sudah mencubit abangnya. Hanya tersenyum melihat aksi Iqram yang menggelabah.

‘Hehehe..penangan demam panas la tu’ getus Mia dalam hati.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...