Saturday, March 23, 2013

Kisah Kita - Bab 24

taken from here 

Sudah dua minggu peperiksaan SPM berakhir. Muiz kini bersiap sedia untuk terbang ke Kota London. Puan Rose dan Mr. Russel sudah menguruskan segala persiapan untuk Muiz sambung belajar disana. Mereka juga menggalakkan Muiz untuk mencari universiti yang berhampiran dengan kediaman mereka supaya Muiz tidak perlu tinggal di asrama. Muiz hanya menurut kerana dia tahu mereka bimbang akan masalah sosial yang melanda dikalangan remaja apabila jauh dari pengawasan ibubapa dan dia tahu datuk dan neneknya mahukan yang terbaik untuknya. Dia akan mengambil A-level dan terus meneruskan pengajiannya di Kota London. Dalam masa yang sama dia akan mempelajari selok-belok dunia perniagaan dari datuknya.

Puan Risa dan Encik Aqif sibuk menyediakan makanan untuk majlis barbecue dihalaman rumah mereka. Muiz, Mia, Hamdan dan Firdaus turut datang membantu mereka. Sengaja Puan Risa mengadakan majlis ini untuk meraikan Muiz yang bakal ke London. Encik Muqri dan Makcik Kartika turut dijemput untuk memeriahkan majlis. Majlis itu turut disertai oleh beberapa rakan-rakan sekolah Muiz dan Mia.

“Rasa segan pula apabila Risa yang buat majlis untuk anak saya. Sepatutnya saya yang buat majlis” kata Encik Muqri. Malu rasanya apabila anaknya diraikan oleh orang lain.

“Eh anak-anak Muqri tu kami dah anggap macam anak kami sendiri. Jadi tak mengapalah kalau saya buat majlis” balas Puan Risa sambil tersenyum kearah Encik Muqri. Encik Aqif hanya mengangguk setuju.

“Terima kasih Risa. InsyaAllah seminggu sebelum Muiz bertolak, saya nak buat majlis doa selamat. Nanti Aqif dengan Risa datanglah ye?” ajak Encik Muqri bersungguh-sungguh.

“InsyaAllah” balas Encik Aqif dan Puan Risa serentak.

“Okay dah siap mari serbu!” laung Muiz dari tempat membakar. Berpeluh-peluh dia dan Hamdan membakar ayam, ikan dan daging. Mia menyediakan air bersama Makcik Kartika manakala Iqram dan Firdaus bertugas menyusun atur meja dan kerusi.

Selain barbecue, terdapat makanan lain yang disediakan untuk santapan tetamu. Ada spaghetti, nasi goreng, kuehteow, mee dan beraneka jenis kek. Kebanyakannya disediakan oleh Puan Risa dan Makcik Kartika. Mia hanya membantu apa yang patut sahaja. Kedua –dua wanita itu amat cekap didapur memang berbeza benar dengan Mia.

Sementara itu di zon ‘pembakaran’,
“Muiz nanti ajar kita bawa motosikal boleh?” pinta Iqram apabila dia menolong Muiz mengangkat ayam yang sudah siap dibakar.

“Lah kau tak tahu bawa motor ke? Patutlah dah boleh ambil lesen pun kau tak pergi ambil” balas Muiz sambil mengetawakan Iqram. Dia dulu diajar oleh arwah datuknya Haji Hashim ketika umurnya baharu berusia 11 tahun. Arwah datuknya sengaja mengajar awal sebab mahu Muiz senang bila mengambil lesen. Sememangnya ajaran arwah datuknya dulu memang berkesan sebab dia lulus dengan senang ketika ujian JPJ dahulu.

“La gelak pula. Nak ajar ke tak nak?” Iqram geram apabila diketawakan oleh Muiz. Muiz kalau boleh gelak memang susah nak berhenti.

“Yelah-yelah aku ajar. Nak aku ajar bila?”

“Esok petang boleh?”

“InsyaAllah boleh je” Muiz terus tersengih kearah Iqram. Tak sangka ada juga budak lelaki yang tak reti bawa motor.

“Kau tahu tak yang Mia yang nampak lembik tu pun reti bawa FZ8 aku tu?”

“Biar betul?!” Iqram sedikit terjerit. Dia sememangnya tidak menyangka yang Mia boleh membawa motosikal berkuasa tinggi Muiz. Dia tahu yang Mia bukan budak perempuan yang lembik kerana Mia sering mewakili sekolah untuk acara seni mempertahankan diri dan dia sendiri pernah menyaksikan flying kick yang dibuat Mia ketika terkurung bersama dengan gadis itu didalam setor dulu. Tapi motor besar tu...

“Kenapa? Tak percaya? Adik aku tu bawa motor aku tu  seminggu lepas dia dapat lesen motor dia” terang Muiz. Masih teringat adiknya merayu supaya dia meminjamkan FZ8nya. Pada mulanya dia ragu-ragu namun setelah didesak secara berterusan, dia terus bersetuju. Mia memang cekap mengendalikan FZ8 miliknya walaupun baharu pertama kali menunggang motor itu membuatkan Muiz tidak kisah setiap kali adiknya ingin menggunakan motornya.

“Okay esok kita datang rumah Muiz” kata Iqram. Muiz mengangguk sambil tersengih dengan gelagat teruja Iqram. Apa punya budak da..


Keesokan harinya, Iqram bersiap sedia untuk ke rumah Muiz. Ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah kawannya itu. Selama ini bukan mereka tidak pernah mengajak Iqram namun Iqram sering menolak kerana berasa malu dan kalau tiada apa-apa urusan mustahak dia sememangnya lebih suka bersantai dirumahnya sendiri. Terasa berdebar pula untuk bersemuka dengan Encik Muqri. Semalam dia sudah berkenalan dengan papa Muiz dan Mia. Pada mulanya dia ingatkan mat salleh mana yang salah masuk majlis rupa-rupanya lelaki mat salleh itu adalah papa kawan baiknya. Patutlah muka Muiz dan Mia nampak lain sedikit dari muka Melayu biasa.

“Qayyum! Dah siap ke belum? Ayah dah nak keluar ni” laung Encik Aqif dari tingkat bawah.

“Sudah ayah! Sekejap!” Iqram terus keluar dari bilik dan terus turun ke tingkat bawah. Kelihatan ayahnya sudah masuk kedalam kereta dan menghidupkan enjin. Dia terus menyalami mamanya dan masuk kedalam kereta.

“Bersiap macam nak pergi meminang anak orang je Qayyum ni” usik Encik Aqif. Iqram hanya ketawa sambil menggelengkan kepala.

Mereka tiba dihadapan Teratak Damai selepas 10 minit perjalanan.

“Baiklah ayah nak terus ke tempat kerja ni. Nanti petang ayah ambil.” Iqram mengangguk sambil mencium tangan ayahnya.

Muiz sudah bersedia menunggunya ditempat parkir motosikal. Iqram terpegun apabila melihat kediaman Muiz dan Mia. Teratak Damai, memang padan dengan namanya. Mia tersenyum apabila melihat kedatangan Iqram. Dia terus ke dapur untuk menyediakan minum petang untuk mereka.

“Okay aku ajar kau cara bawa honey aku dulu okay? Kalau terus bawa baby ni kang mahu ke longkang” gurau Muiz. Iqram ketawa apabila mendengar nama gelaran motor-motor sahabatnya itu.

“Okay nah kunci. Cuba start motor ni” Iqram terus menyambut kunci yang dihulurkan Muiz kepadanya. Dengan sekali percubaan, motosikal itu berjaya dihidupkan. Dia tersenyum bangga kearah Muiz.

“Sebenarnya kalau kau tekan butang starter ni pun dah boleh hidup motor ni” kata Muiz sambil ketawa berdekah-dekah. Tak sangka Iqram menggunakan cara tradisional untuk menghidupkan motornya itu. Iqram memandang geram kearah Muiz yang suka sangat mengetawakan orang.

“Hihi..jangan marah. Okay sekarang cuba masukkan gear dan pulas minyak perlahan-lahan” arah Muiz dengan muka sedikit serius. Iqram memasukkan gear dan motosikal mula bergerak. Dia berlatih membawa motor didalam laman sahaja. Selepas 15 minit, Iqram sudah pandai mengawal dan mula yakin untuk membawa motosikal tanpa bantuan Muiz.

“Jom cuba bawa atas jalan raya” cadang Muiz.

“Eh boleh ke? Kita tak ada lesen lagi ni?” balas Iqram yang takut-takut tapi mahu.

“Alah tak apa. Sekejap je. Kau bawa, aku bonceng kat belakang. Kejap aku ambilkan helmet” Muiz terus masuk kedalam rumah untuk mengambil helmet. Mia memandang risau kearah Iqram.

“Abang, bahayalah. Iqram baru sangat belajar bawa motor ni” tegur Mia. Entah kenapa dia berasa tidak sedap hati apabila abangnya mahu mengajar Iqram membawa motor diatas jalan raya.

“Tak apalah. Abangkan ada kat belakang dia. Jangan risaulah” kata Muiz. Mereka terus keluar dari halaman Teratak Damai setelah lengkap memakai topi keledar.

“Okay Iqram bawa macam kau bawa kat rumah aku tadi.” Iqram hanya mengangguk. Pada mulanya dia berasa takut namun setelah beberapa ketika dia mula yakin dan mula membawa laju.

“Jom pergi jalan besar nak?” cadang Iqram. Muiz bersetuju. Fikirnya jalan besar pun bukannya ada banyak kenderaan waktu-waktu sekarang. Iqram membelok di persimpangan untuk ke jalan besar.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Muiz mencadangkan mereka berpatah balik dan Iqram bersetuju. Sedang Iqram ingin membelok, tiba-tiba sebuah kereta meluru laju kearah mereka. Iqram yang gagal mengawal motosikal bertembung dengan kereta itu. Muiz terpelanting ke bahu jalan dan Iqram terseret diatas jalan raya.

“Muiz!” jerit Iqram apabila dia melihat sahabatnya terkulai layu di tepi pembahagi jalan. Dia cepat-cepat bangun tanpa mempedulikan kecederaannya dan menuju kearah Muiz. Pemandu kereta tadi turut turun melihat.

“Tolong bawakan ke hospital! Tolong!” Iqram sudah mula menangis apabila melihat Muiz tidak sedarkan diri. Darah membuak-buak keluar dari kepala Muiz. Pemandu kereta itu terus mengangkat Muiz dan membawa mereka ke hospital berdekatan.

Muiz dimasukkan ke bilik kecemasan. Iqram terus menelefon Mia dan ayahnya. Selesai menelefon dia duduk sambil menangis memikirkan keadaan Muiz. Mereka pasti tidak akan terlibat dalam kemalangan jika dia tidak ke jalan besar. Muiz pasti tidak akan cedera jika dia bertegas tidak mahu membawa motosikal diatas jalan raya.

“Adik, mari bersihkan luka adik dulu” tegur seorang jururawat apabila melihatkan Iqram masih tidak berhenti menangis sejak tiba dihospital itu tadi. Pemandu kereta itu tadi sudah pun beredar setelah menghantar mereka. Dia meninggalkan kad namanya kepada Iqram. Dia ingin bergegas ke tempat lain. Iqram membiarkan jururawat lelaki itu membersihkan lukanya. Lukanya tidak dalam dan tidak seserius kecederaan Muiz.

“Iqram! Abang macam mana?” tanya Mia cemas sebaik sahaja sampai di hospital. Dia terkejut dengan keadaan Iqram yang sedang dibersihkan lukanya oleh jururawat lelaki itu.

“Muiz dalam bilik kecemasan. Dia kritikal” Iqram menjawab sambil menangis. Jururawat lelaki itu terus meninggalkan Iqram setelah selesai tugasannya sempat juga dia menepuk-nepuk bahu Iqram sebagai tanda memberi semangat.

“Semua salah kita! Kita yang ajak Muiz pergi jalan besar! Semua salah kita” Iqram mula menjerit-jerit menyalahkan dirinya sendiri. Mia terkejut dengan pengakuan Iqram. Mukanya mula memerah menahan marah. Sudah hilang rasa simpatinya kepada lelaki dihadapannya ini.

“Kau?!!” jerit Mia. Dia ditahan Hamdan yang kebetulan baharu sampai bersama Firdaus ketika dia hendak meluru memukul Iqram. Hampir luruh jantungnya apabila mengetahui yang abangnya kemalangan dan kini dia berdepan dengan penyebab abangnya cedera.

“Aku benci kau!!!” jerit Mia sambil meronta-ronta. Hamdan memperkemaskan pegangannya. Hamdan terus membawa Mia jauh dari bilik kecemasan apabila ditegur oleh jururawat bertugas.

Iqram bagaikan hilang daya apabila mendengarkan yang kini dia dibenci oleh gadis itu.

‘Ah memang semua salah kita. Maafkan kita Mia’ bisik Iqram didalam hati sambil menangis melutut diatas lantai. Firdaus terus memeluk Iqram sambil menenangkan sahabatnya itu.

“Kita sama-sama doakan Muiz selamat ye Iqram?” Firdaus terus menarik Iqram bangun. Dibawanya Iqram kembali ke tempat duduknya tadi.

Encik Muqri, Encik Aqif dan Puan Risa tiba 10 minit selepas itu. Encik Muqri menenangkan Iqram apabila Iqram meraung-raung meminta maaf kerana mengakibatkan Muiz terlibat dalam kemalangan.

“Ini semua qada’ dan qadar. Iqram doakan Muiz selamat. Nanti kita buat solat hajat ye?” kata Encik Muqri. Didalam hatinya dia berdoa supaya anaknya selamat. Dia tidak sanggup kehilangan insan yang disayanginya lagi namun dia akur dengan takdir Allah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...