Tuesday, March 19, 2013

Kisah Kita - Bab 20

taken from here 

“Qayyum, kenapa balik basah kuyup macam ni? Kenapa tak call mama?” tegur Puan Risa dihadapan pintu masuk kediaman mereka.

“Tak apalah mama, Qayyum tak nak susahkan mama” jawab Iqram sambil menyambut tuala yang dihulurkan oleh Puan Risa.

Dek terlalu kecewa dengan layanan Mia, Iqram meredah hujan lebat yang turun dipertengahan jalan. Dia mahu cepat sampai dirumah untuk menenangkan fikirannya.

“Susah apa? Mama kan dah beritahu yang mama balik awal hari ni? Tak apalah kamu pergi mandi cepat nanti demam pula” Puan Risa terus mengambil beg sekolah Iqram. Iqram mengangguk lemah dan terus memanjat tangga untuk ke biliknya. Badannya sudah terasa seram sejuk jadi dia memang harus lekas mandi.

Selesai mandi, Iqram menunaikan solat Asar dan menyiapkan kerja sekolah. Einstein bagaikan faham dengan kemelut dihati Iqram kerana kucing itu setia menemaninya dipangkuan ribanya. Iqram mengusap-usap kepala Einstein sambil tangannya laju menulis karangan Bahasa Inggeris. Banyak pula ideanya petang ini.

Selesai menulis, Iqram mengurut kepalanya yang sakit. Dicapainya kotak first aid kit diatas rak meja belajarnya. Kotak pertolongan cemas itu memang sentiasa berada didalam bilik sebagai langkah berjaga-jaga. Iqram mengeluarkan dua biji pil paracetamol lalu ditelan. Dia meminum sedikit air untuk mengelakkan dia tercekik ubat. Sakit kepalanya mula berkurangan setelah lima minit. Iqram memejamkan matanya seketika. Dia sudah tidak tahu cara untuk melembutkan hati Mia. Salah dia juga kerana cemburu tak tentu hala dan sengaja menguji Mia walaupun Mia sudah meminta maaf. Iqram meraup mukanya sambil melepaskan keluhan.

“Einstein, agak-agak sampai bila Mia nak marah kita ni?” Einstein hanya memandang Iqram dengan mata bulatnya bagaikan faham yang tuannya kini dalam keresahan. Iqram mengangkat Einstein dan diletakkan di atas lantai. Kakinya sudah hampir kebas menampung Einstein yang semakin berisi.

Malam itu demam Iqram masih tidak surut. Encik Aqif dan Puan Risa sudah penat mengajaknya ke klinik namun Iqram tetap degil tidak mahu ke klinik kerana dia yakin dia akan sembuh setelah mendapat rehat yang cukup. Ayah dan mamanya terpaksa akur kerana jarang sekali Iqram berdegil sebegini.

“Baiklah kalau Qayyum tak mahu ke klinik ayah takkan paksa tapi kalau esok pun tak baik lagi, kita pergi klinik ya?” Encik Aqif cuba berdiplomasi dengan Iqram. Risau benar apabila anaknya itu mula demam akibat meredah hujan. Iqram terus mengangguk tanda setuju.


Keesokan harinya, Iqram bangun dengan kepala yang berat. Dicapainya tuala untuk membersihkan diri kerana hampir masuk waktu Subuh dan dia perlu bersiap untuk ke sekolah. Selesai mandi, Iqram terus menunaikan solat Subuh berjemaah dengan ayah dan mamanya.

“Qayyum, kamu masih demam ni. Kita ke klinik ye? Hari ni kamu tak perlu ke sekolah. Ingat tak janji kamu dengan ayah semalam?” Tangan Encik Aqif melekap di dahi anaknya.

“Qayyum pergi berehat dulu. Nanti pukul 10 pagi nanti kita ke klinik ye sayang” Puan Risa mengelus lembut pipi anak terunanya. Kasihan anaknya berdemam semata-mata tidak mahu menyusahkannya semalam.

“Mama tak pergi kerja?” tanya Iqram sambil memandang Puan Risa. Puan Risa menggelengkan kepala.

“Maaf Qayyum dah menyusahkan mama. Kalau semalam kita ke klinik mesti Qayyum tak demam macam ni” Iqram menyesal kerana berdegil apabila ayah dan mamanya menyuruhnya ke klinik semalam. Entah kenapa dia berasa terlalu yakin dengan sistem imun badannya.

“Tak mengapalah Qayyum, anak mama ni lagi penting dari syarikat mama. Dah pergi masuk bilik dan berehat.” Puan Risa mencium dahi anak terunanya. Tidak mungkin dia akan meninggalkan anaknya yang sakit dirumah keseorangan walaupun Iqram Qayyum sudah berumur 16 tahun kerana padanya anaknya itu masih memerlukan jagaannya lebih-lebih lagi dalam keadaan Iqram yang lemah sekarang.

“Baiklah, Qayyum nak ambil gambar Einstein dan MMS pada Mia sekejap. Lepas tu Qayyum berehat ye mama” jawab Iqram sambil tersenyum kearah mamanya. Dia berasa terharu yang mamanya sanggup tidak bekerja kerana ingin menjaganya. Mamanya seorang ahli perniagaan yang sangat tegas dan berwibawa. Syarikat rekaan dalaman mamanya sudah menempah nama di dalam industri dan kini tersenarai didalam bursa saham Malaysia. Namun mamanya masih ingin mengekalkan gaya hidup yang bersederhana dan itu yang membanggakannya.

“Aik sakit-sakit pun ingat lagi kat Mia ye?” tegur Encik Aqif sambil tersengih kearah Iqram. Iqram hanya tersenyum lemah. Janjinya tetap akan ditunaikan walaupun Mia tidak mahu melayannya.

“Einstein meh ambil gambar” Einstein sudah terbiasa dengan rutin hariannya, bergambar setiap pagi. Setiap pagi Einstein akan menunggu diatas kerusi belajar Iqram.

Setelah itu, Iqram terus menuju ke katil. Kepalanya masih pening dan dia perlukan rehat.

“Qayyum, makan ubat dulu.” Puan Risa yang masuk menatang dulang yang berisi air dan ubat. Iqram yang sudah terlelap tidak sedar akan kehadiran mamanya. Puan Risa mengusap kepalanya anaknya dengan penuh kasih.

Puan Risa mencapai telefon pintar Iqram yang terletak di meja sisi katil. Dicarinya nombor Mia Hana lalu dia menghubungi gadis itu.


Mia yang ketika itu ralit melihat gambar yang dihantar Iqram terkejut apabila Iqram menelefonnya. Dia berkira-kira sama ada hendak menjawab atau tidak. Bila teringatkan yang Iqram masih setia menghantar MMS padanya setiap pagi, dia terus menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam Mia, ni mama. Qayyum demam panas jadi dia tak ke sekolah hari ni. Kamu tolong beritahu cikgu kamu ye? Mama pun ambil cuti hari ni nak temankan Qayyum ke klinik. Teruk sangat demamnya.” Mia tergamam apabila mengetahui Iqram demam teruk. Terasa kasihan yang lelaki itu masih sanggup menggagahkan diri menghantar MMS walaupun dia sedang demam teruk. Patutlah gambar Einstein nampak sedikit bergoyang.

“Baiklah mama. Nanti Mia beritahu cikgu. Mama jangan risau sangat ye? Mia doakan Iqram cepat sembuh” Puan Risa tersenyum apabila mendengar kata-kata Mia.

“Baiklah. Mia ke sekolah dengan abang kan? Suruh dia berhati-hati bawa motor tu ye? Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam mama” jawab Mia sambil mematikan panggilan.

Mia termenung seketika memikirkan keadaan Iqram. Apabila tersedar yang dia perlu ke sekolah, Mia terus mencapai beg sekolahnya dan turun ke tingkat bawah untuk bersarapan.


“Hai lambat Mia turun? Selalunya siap tunggu abang lagi” tegur Muiz yang sedang menyuap nasi goreng kedalam mulutnya.

“Tadi mama Risa call Mia. Dia beritahu yang Iqram demam teruk dan tak boleh ke sekolah hari ni” jelas Mia sambil menyenduk sedikit nasi goreng kedalam pinggannya.

“Mesti dia kena hujan semalam. Hmm tak apa, balik sekolah nanti kita pergi lawat dia. Biar abang call sensei beritahu yang kita tak datang petang ni okay?” Muiz menghabiskan nasi gorengnya dan mencapai segelas air suam. Mia hanya menganggukkan kepalanya. Dia sebenarnya memang mahu mengajak abangnya tetapi dia malu jika abangnya mengejeknya jadi didiamkan sahaja. Tak sangka abangnya pula yang mengutarakan cadangan untuk melawat Iqram. Muiz memang baik kalau dengan kawan-kawannya.

“Dah cepat sikit makan tu. Kot ye pun risau pakwe sakit, ingatlah kita ni nak pergi sekolah ye?” Muiz tidak melepaskan peluang untuk mengusik Mia yang dari tadi asyik menguis-guis nasi goreng di dalam pinggannya.

“Mana ada! Abang ni..” Mia memprotes.

“Hmm tak nak lawat Iqram la ni? Okay abang pergi dengan Firdaus dengan Hamdan jela” usik Muiz lagi. Muka Mia sudah memerah geram.

 “Tak apalah biar Mia naik teksi je” balas Mia sambil menjeling abangnya.

Fuiyo sampai rela naik teksi semata-mata nak tengok pakwe sakit” semakin galak Muiz mengusik dan dia terus berlalu keluar untuk menghidupkan motosikalnya. Tahu sangat jika lama dia disitu, Mia pasti akan menyerangnya dengan jurusan tangan ketam berbisa.

Mia hanya menggelengkan kepala memikirkan abangnya yang tak habis-habis mengusiknya. Dia mempercepatkan suapan nasi gorengnya.

“Makcik Tika, kami pergi dulu” Muiz dan Mia bersalaman dengan Makcik Kartika yang sedang membersihkan laman.

“Baiklah. Belajar elok-elok” pesan Makcik Kartika.

“Okay macam biasa, peluk abang elok-elok ye Mia? Kang tertinggal pula” gurau Muiz sambil memecut laju motosikalnya. Sekolah akan bermula 15 minit lagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...