Wednesday, March 6, 2013

Kisah Kita - Bab 3

taken from here 
Mia Hana memandang sepi ke luar jendela. Papanya outstation sejak seminggu yang lalu membuatkan suasana dirumah mereka bertambah sunyi.
"Mama.." Mia tidak dapat membendung perasaan rindunya terhadap mamanya yang meninggal dunia 10 tahun yang lalu kerana sakit jantung. Masih teringat keadaan mamanya yang terbaring kaku diatas katil hospital. Ketika itu dia baharu berusia enam tahun. Muiz yang ketika itu berusia tujuh tahun bertindak menjadi pelindungnya apabila papanya seperti nanar dek kehilangan isteri yang tercinta. Dirinya dan abangnya tidak langsung dipedulikan oleh papa. Hampir setahun dia menumpang kasih dengan nenek dan datuknya yang tinggal bersama mereka selepas kehilangan mamanya. Neneknya, Hajah Ramlah telah menemui Illahi dua tahun yang lepas, setahun selepas suaminya, Haji Hashim meninggal dunia. Mia dan Muiz ibarat kehilangan tempat bermanja selepas kematian nenek dan datuknya. Papanya, Muqri Hakim semakin sibuk menguruskan perniagaannya. Mia tahu papanya masih tidak dapat menerima kehilangan mamanya sengaja menyibukkan diri dengan perniagaannya yang secara tidak sengaja mengakibatkan dia dan Muiz tidak ubah seperti anak yatim piatu. Perangai papanya itu yang membuatkan hatinya menjadi keras dan beku sehingga ke hari ini.

"Eh Mia, menung apa tu?". Muiz yang baharu pulang dari membeli barang dapur menegur adiknya yang kelihatan walang.
Mia hanya tersenyum sambil mengelengkan kepala.
"Mana Makcik Tika, Mia?". Muiz mencari-cari orang gaji yang setia dengan mereka sejak mamanya meninggal dunia. Makcik Kartika, janda yang ditinggalkan suaminya yang curang dengan sahabat baiknya. Makcik Kartika yang kehilangan tempat bergantung diambil kerja oleh arwah nenek dan datuk mereka.
"Makcik kat taman. Tadi Mia nampak dia ralit menyiram pokok-pokok bunga". Mia menjawab sambil memandang abang kesayangannya.
"Ni adik abang ni dah mandi belum? Petang ni kita ada latihan tahu?". Muiz dan Mia, kedua-dua mereka menyertai persatuan Taekwondo dan seni mempertahankan diri yang lain. Semuanya bermula sejak Mia sentiasa dibuli ketika di sekolah rendah. Muiz yang ketika itu marah adiknya dibuli pernah membelasah teruk beberapa orang pelajar yang akhirnya insaf tidak membuli Mia lagi. Muiz yang bimbang jika ada yang membalas dendam mengajak Mia menyertai persatuan seni mempertahankan diri bersama-sama dengannya. Kini kedua-dua mereka memegang tali pinggang hitam Taekwondo, silat dan pangkat judan dalam Judo. Semuanya berkat latihan intensif yang diberikan oleh guru-guru mereka yang turut bersimpati dengan nasib mereka. Latihan pula diadakan empat kali seminggu untuk memastikan mereka tidak lupa apa yang pernah diajar oleh guru mereka dan untuk memperkemaskan lagi teknik.
"Tahu, tadi sensei ada telefon Mia". Guru Judo mereka Mr. Kent rapat dengan adik beradik ini. Mr. Kent yang tidak mempunyai anak menganggap mereka seperti anaknya sendiri. Isteri Mr. Kent, Auntie Cecillia menghidap barah rahim terpaksa membuang rahimnya lalu menghapuskan peluang untuk mereka mempunyai anak sendiri. Pernah Auntie Cecillia meminta cerai kerana tidak mampu memberikan zuriat kepada Mr Kent namun hasratnya ditolak mentah-mentah. Mr Kent yang setia dengan cinta mereka tidak sanggup mencintai perempuan lain selain isterinya.

"Mia, abang ada study group lepas Maghrib nanti. Ulangkaji matapelajaran tingkatan empat dengan Hamdan dan Firdaus. Mia nak ikut?"
"Abang buat study group kat mana?". Pelik dengan semangat abangnya hari ini. Selalunya Muiz hanya akan mula ulangkaji apabila musim peperiksaan mendekati.
"Rumah Hamdan. Jumpa dia tadi masa abang beli barang. Dia beritahu Firdaus yang semangat nak ulangkaji awal-awal jadi malam ni kami cadang nak ulangkaji subjek Fizik dari awal. Mia ni nak ikut ke tidak?"
"Baiklah Mia ikut".
"Bagus. Eh dah Asar ni. Mia, panggil Makcik Tika ajak solat sekali". Muiz memang rajin mengimamkan solat mereka. Katanya sebagai praktis untuk dia dan ganjaran 27 kali ganda pahala solat berjemaah tidak mahu dilepaskan.
Mia mendapatkan Makcik Kartika yang sudah siap menyiram pokok.
"Makcik dah Asar, abang ajak solat sama"
Sejuk hati Makcik Kartika apabila melihat mereka dua beradik. Walaupun mereka masih muda namun tuntutan agama tetap dijalankan dengan taat.
"Baiklah, makcik pun dah nak masuk ni"
Makcik Kartika menyimpan alatan berkebunnya ke dalam setor dan terus ke bilik air membersihkan dirinya.

Usai solat Asar. Mia dan Muiz bersiap untuk ke latihan Judo mereka hari ini. Latihan bermula pada pukul 5.20pm. Sengaja Mr. Kent mengaturkan waktu begitu kerana dia faham ramai anak muridnya yang beragama Islam menunaikan solat Asar dan dia tidak mahu mereka tergopoh-gapah.
"Kami pergi dulu ye makcik?". Lalu tangan Makcik Kartika disalami oleh dua beradik itu.
"Bawa motor elok-elok ye Muiz? Ingat adik kat belakang". Nasihat Makcik Kartika.
Muiz hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum ke arah wanita yang tidak kedekut mencurahkan kasih sayang kepada mereka.
Mia yang lengkap bertopi keledar memeluk pinggang Muiz. Bukan dia tidak tahu perangai abangnya yang suka menyakatnya. Pernah sekali dia malas memeluk abangnya, abangnya sengaja membawa motor dalam keadaan terhuyung-hayang dan hampir membuatkan dia terjatuh.
"Abang suruh peluk kan tadi?". Muiz memandang Mia sambil tersengih tak ubah macam kerang busuk.
'Sewel abang aku ni!' bentak Mia dalam hati.

Sampai sahaja di gelanggang latihan atau dipanggil 'dojo', Mr. Kent sedang menanti mereka dengan senyuman.
"Dah sampai dah anak-anak sensei. Mia, tadi Muiz buat jahat tak?" Arif sangat Mr. Kent dengan perangai Muiz yang suka menyakat Mia.
Mia hanya tersenyum dan mengelengkan kepala.
"Sensei ni, Mia je ke? Tak nak tanya Muiz ke? Tanyalah 'Muiz, Mia ada buat jahat kat Muiz tak?'" Sengaja Muiz mengusik Mr. Kent dengan mengajuk cara percakapannya. Mia hanya tersenyum dengan gelagat abangnya. Hanya abangnya sahaja yang boleh membuatkan dia tersenyum riang.
"Sudahlah tu Muiz. Jom nanti lambat pula kita mula latihan". Kepetahan Mr. Kent berbahasa Melayu cukup mengagumkan anak-anak muridnya.
Didalam dojo, kelihatan 20 orang anak muridnya yang lain sudah mula memanaskan badan dengan senaman ringan. Muiz dan Mia mengambil tempat dihujung sekali dan mula melakukan senaman ringan.

Tepat jam 6.30 petang, mereka tiba dirumah. Muiz mengambil tempat duduk di sofa berhadapan televisyen sambil melepaskan lelah. Mia terus ke dapur mengambil air, terasa dahaga sangat tekaknya. Lalu diambil segelas lagi air untuk abangnya.
"Abang, air". Mia terus duduk disebelah abangnya. Latihan selama satu jam tadi dah cukup membuatkan mereka keletihan. Hari ini dia terpaksa menjadi sparring partner untuk abangnya kerana tidak cukup murid.
"Terima kasih". Muiz mencapai gelas dari tangan Mia dan terus meneguk rakus air dari gelas tadi.
"Larat lagi ke abang nak pergi study group malam nanti?". Mia bertanya sambil matanya tertumpu kearah televisyen. Zikir di Astro Oasis memang sangat menenangkan hatinya.
"Larat. Don't worry about me okay sis? I know you love me but this is too much" Muiz mula berdrama dengan Mia. Suka betul dia apabila Mia menunjukkan muka tidak puas hati kearahnya.
"Quit your drama bro! Mia tanya elok-elok, dia buat main pula" cebik Mia. Sengaja dia berpura-pura merajuk dengan abangnya.
"Eh budak-budak ni! Busuk-busuk balik terus duduk atas sofa. Dah-dah pergi mandi!" Makcik Kartika yang dari tadi memerhati gelagat dua beradik itu dari jauh mula menegur.
"Woo makcik tadi mengintai kami ye?". Muiz mula mengusik Makcik Kartika pula.
Mia terus bangun dan terus melangkah menuju ke biliknya di tingkat dua.
"Mia jadi kan ikut abang?", tanya Muiz.
"Ye jadi"

Sampai sahaja dibiliknya, Mia terus menuju ke bilik mandi untuk mandi dan membersihkan diri. Biliknya bertemakan warna hijau epal benar-benar mendamaikan mata yang memandang. Dia bernasib baik kerana biliknya dilengkapi dengan bilik mandi begitu juga dengan bilik abangnya. Mamanya yang mereka bentuk rumah yang mereka duduki ini. Rumah yang dinamakan 'Teratak Damai' merupakan projek terakhir mamanya sebelum diserang penyakit lamanya. Bilik abangnya pula dicat warna biru lembut yang merupakan warna kegemaran abangnya sejak dulu.
"Mia cepat turun solat!" laung Muiz dari tingkat bawah.
Laungan abangnya mematikan khayalannya.
"Ye, sekejap!"
Mia terus turun ke tingkat bawah dan mula menyertai solat berjemaah yang diimamkan oleh abang kesayangannya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...