Wednesday, July 10, 2013

Kisah Kita - Bab 46

taken from here  

Porsche 911 GT3 meluncur masuk di perkarangan rumah teres dua tingkat milik keluarga Syazrina. Kebetulan pintu pagar terbuka maka Muiz mengambil keputusan untuk menghantar Syazrina terus ke muka pintu. Kan betul-betul menjamin keselamatan? Kelihatan kelima-lima abang Syazrina sedang duduk beristirehat di luar rumah. Muiz terus mematikan enjin dan keluar dari kereta. Syazrina hanya menggelengkan kepala lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Malas nak menyertai kumpulan abangnya dan Muiz kerana pasti dia akan menjadi mangsa usikan mereka.

“Assalamualaikum The Megats” ucap Muiz dengan senyuman melebar, seronok berjumpa dengan abang-abang Syazrina yang sekepala dengannya. Dia berkenalan dengan mereka ketika kenduri Mia dan Iqram dahulu dan terus menjalinkan persahabatan dengan abang-abang Syazrina yang sempoi ini.

“Waalaikumussalam, ceh kau rupanya Muiz. Ingatkan anak jutawan mana sesat masuk rumah kami ni. Tapi memang betul pun..hahaha” Megat Syazrul menyambut kedatangan Muiz dengan senang hati. Muiz anak orang berada namun tidak sekali pun dia melihat Muiz bangga dengan kedudukannya membuatkan dia senang bergaul dengan Muiz.

“Abang Rul ni, yang jutawan tu papa bukan aku. Eh korang cuti-cuti ni duduk rumah je ke?” Muiz mengambil tempat disebelah Megat Syazrin. Megat Syazril yang sememangnya agak pendiam meminta diri untuk masuk ke dalam rumah sebentar. Muiz hanya menghantarnya dengan senyuman.

“Ala biasa la kami ni kalau balik sini memang lepak kat rumah je la. Kenapa kau nak ajak kami keluar ke?” tanya Megat Syazrin. Muiz tersengih memandang Megat Syazrin yang sebaya dengannya.

“Jom keluar esok nak? Korang pun ada kat sini sampai esok je kan?” Muiz mengutarakan cadangan sambil memikirkan tempat-tempat menarik. Megat Syazril keluar dengan membawa air dan biskut. Tahu sangat kalau mereka berborak memang lama.

“Eh susah-susah je Abang Ril” Muiz yang segera mengambil dulang yang ditatang oleh Megat Syazril dan diletakkan di meja kayu dihadapannya.

“Susah pebenda? Meh la makan malam kat sini. Hari ni bonda aku masak gulai tempoyak ikan patin. Kau suka kan?” pelawa Megat Syazril lalu duduk di tempat kosong bersebelah Megat Syazriz. Adiknya itu sibuk bermain PSP dan sejak tadi dia hanya menyampuk apabila perlu.

“Err okey. Dah lama aku tak makan gulai tempoyak ikan patin. Kira langkah kanan la aku hari ni. Terima kasih ye sudi ajak aku” Dirumahnya, Makcik Kartika jarang sekali memasak hidangan itu kerana papanya tidak suka dengan bau tempoyak.

“Berbalik kepada rancangan kau tadi. Nak keluar pergi mana Muiz? Sunway Lagoon?” Megat Syazrizal yang sedang membaca membuntangkan matanya kepada Megat Syazrul. Ingat mereka kanak-kanak ke nak pergi Sunway Lagoon? Sungguh tak mencabar.

“Along, takkan kita yang dah tua bangka ni nak pergi Sunway Lagoon? Buat malu jela” bangkang Megat Syazrizal dengan muka tidak puas hati. Dalam ramai-ramai, dia seorang sahaja yang berani membangkang apabila berdepan dengan Megat Syazrul.

“Aku gurau jela. Aku pun malu nak pergi sana, dahlah buat tambah dosa je tengok makhluk-makhluk yang pakai tak cukup kain” Megat Syazrul menggeleng-gelengkan kepala, kali terakhir dia ke Sunway Lagoon adalah ketika umurnya belasan tahun kerana mengikut rombongan sekolah. Sepanjang di sana, dia beristighfar dan hanya duduk berehat bersama guru-guru pengiring. Sedih melihat ramai remaja Islam memakai pakaian mandi yang tidak menutup aurat dan sememangnya nampak sendat.

“Dah tak payah nak pecah kepala. Aku nak ajak pergi mandi air terjun kat Batang Kali korang okey tak?” Muiz meneguk air teh yang dihidang oleh Megat Syazril.

“Okey!” jawab mereka berlima serentak dengan muka teruja. Muiz hanya tersengih melihat keletah The Megats.

“Oh ye, kau hantar Acu balik kan tadi Muiz? Kau keluar pergi mana dengan adik aku tu?” soal Megat Syazriz tiba-tiba. Muiz hampir tersedak dengan soalan tak boleh blah Megat Syazriz.

“Aku terjumpa dia dekat Pavi tadi Abang Riz, risau pula fikir budak tu balik sorang jadi aku ajak la tumpang aku” Megat Syazriz mengangguk faham.

“Thanks sebab tumpangkan adik kami tu. Budak tu boleh je kalau nak suruh kami ambil tapi biasalah dia tu kononnya nak berdikari, last-last kau juga yang hantar dia” ujar Megat Syazrizal sambil tangannya mencapai biskut marie.

“Tadi pun mula-mula dia macam tak mahu tapi bila aku cakap tak apa baru budak tu setuju” tanpa sedar, Muiz turut berjangkit dengan Megat Syazrizal dengan membahasakan Syazrina sebagai ‘budak’ tapi memang Syazrina lagi muda daripadanya.

“Siapa budak?” Syazrina yang muncul tiba-tiba di belakang Muiz membuatkan Muiz tersentak. Dengan baju t-shirt labuh kuning dipadankan dengan seluar putih dan tudung berwarna kuning cair, Syazrina nampak cantik dimata Muiz. Wajah Syazrina yang agak kelat sedikit pun tidak menjejaskan kecantikan asli gadis itu.

“Err..kau..kau la budak! Kau kan lagi muda dari kami semua” tergagap-gagap Muiz menjawab. Kuat sangat pesona budak kasar ni. Dia beristighfar untuk menenangkan jiwanya yang berkocak.

“Suka hati kau je. Aku nak ucap terima kasih sebab tolong hantar aku. Bonda suruh kau makan malam kat sini dan sekejap lagi bonda balik” Syazrina berlalu masuk semula ke dalam rumah setelah menyampaikan pesanan bondanya. Malu untuk bertentang mata lama-lama dengan Muiz.

“Macam apa je budak tu. Hah, tu bonda pun dah keluar arahan maka confirm kau makan sini malam ni. Boleh kita solat jemaah sekali karang” ajak Megat Syazrizal. Muiz mengangguk setuju, lagipun papanya tiada dirumah dan dia tak sabar untuk menikmati gulai tempoyak ikan patin yang dimasak oleh bonda The Megats.



Hazeem mendengus kasar sebaik sahaja membuka sampul surat yang baru diterimanya tadi. Sampul surat yang kosong tak beralamat itu rupa-rupanya mempunyai isi yang cukup melukakan hatinya. Gambar-gambar Syazrina bersama dengan anak jutawan yang terkenal di Malaysia itu dicampak ke dinding. Segera dia mencapai telefon pintar dan mendial nombor Syazrina. Dia mahukan penjelasan dari gadis itu.

“Assalamualaikum, kita keluar. Aku ambil kau sekarang” panggilan ditamatkan tanpa sempat Syazrina menjawab apa-apa. Hazeem beristighfar untuk menyingkirkan perasaan marah dan cemburunya yang meluap-luap. Gambar-gambar yang dicampak dikutip semula dan diletakkan semula ke dalam sampul surat tadi. Apa-apa pun penjelasan dari Syazrina mesti dituntut dan dia mengharapkan gadis itu tiada sebarang hubungan dengan anak jutawan itu.

Tidak sampai 20 minit, Hazeem tiba dihadapan pintu pagar rumah Syazrina. Syazrina yang sudah sedia menunggu, meloloskan diri ke dalam Lamborghini milik Hazeem. Wajah kelat Hazeem dipandang sekilas.

“Assalamualaikum, kau nak bawa aku pergi mana ni?” tanya Syazrina setelah hampir lima minit berlalu tanpa kata antara dia dan Hazeem.

“Waalaikumussalam, nanti kau tahulah” balas Hazeem dingin. Matanya langsung tidak memandang Syazrina dek masih sakit hati dengan gambar-gambar yang diterima tadi. Syazrina menjungkitkan kedua-dua belah bahunya bagai menyatakan ‘apa-apa jela’.

Tiba di Tasik Titiwangsa, Hazeem memarkirkan keretanya dan terus keluar dari kenderaannya. Syazrina yang terpinga-pinga dengan kelakuan Hazeem hanya mengekori pemuda itu dari belakang.

“Kau terus terang dengan aku, apa hubungan kau dengan anak lelaki Datuk Muqri?” Hazeem membuka bicara setelah agak lama mendiamkan diri. Syazrina yang ralit memerhati permandangan tasik tersentak dengan soalan Hazeem.

“Dia abang Mia merangkap kawan kepada abang-abang aku. Kenapa?” jawab Syazrina setelah menenangkan diri seketika.

“Kau suka dia?” Hazeem terus bertanya tanpa berselindung. Hatinya berdebar-debar menantikan jawapan dari gadis yang sudah mula mendapat tempat dihatinya.

“Aku senang dengan peribadi dia. Kalau kau tanya aku cintakan dia atau tak, aku tak ada jawapan” Syazrina membalas sambil melemparkan pandangan ke arah tasik.

“Apa perasaan kau terhadap aku?” soal Hazeem lagi. Syazrina hanya mampu tersenyum dengan soalan Hazeem itu.

“Aku anggap kau sebagai sahabat yang punya minat yang sama dengan aku” Hazeem memejam mata menahan kesakitan didada setelah mendengar jawapan Syazrina. Sakitnya tidak tergambar dengan kata-kata.

“Jadi tiada perasaan cinta untuk aku?” Hazeem melepaskan keluhan yang berat. Matanya memandang wajah sisi Syazrina yang nampak tenang.

“Ada perasaan sayang ikhlas untuk seorang sahabat” Lega Syazrina setelah meluahkan perasaannya kepada Hazeem.

“Rin, tak mungkin ke kau pupuk perasaan sayang tu kepada cinta?” soal Hazeem dengan nada mendesak. Syazrina mati kutu apabila melihatkan wajah Hazeem yang kusut. Lain yang diharap, lain pula yang jadi.

“Aku...” belum sempat Syazrina menghabiskan kata-kata. Hazeem sudah memberikan isyarat ‘tutup mulut kau’.

“Tak apa aku beri kau masa dan dalam masa yang sama aku akan cuba pikat kau ikut cara aku” putus Hazeem dengan semangat berkobar-kobar. Dia tak akan sekali-kali melepaskan gadis sebaik Syazrina.

“Okey” balas Syazrina lemah. Dia tidak sanggup melukakan hati sahabatnya lagi, dalam masa yang sama dia berdoa supaya Hazeem ditemukan dengan gadis yang mencintai sahabatnya itu.

“Hmm, sebenarnya ada orang hantar gambar-gambar kau dengan anak jutawan tu kat aku” terang Hazeem setelah lama membisu.

“Gambar? Gambar apa?” hampir luruh jantung Syazrina memikirkan kemungkinan gambar superimpose yang selalunya menjatuhkan maruah orang yang terkena.

Hazeem berlari semula ke keretanya untuk mengambil sampul surat yang diterimanya pagi tadi. Tidak sampai dua minit dia sudah kembali berdiri disebelah Syazrina.

“Nah aku dapat pagi tadi, tu yang buat aku hangin” jelas Hazeem lalu menghulurkan sampul surat berisi gambar itu kepada Syazrina. Tanpa membuang masa, Syazrina meneliti setiap gambar yang merakamkan dia dan Muiz di Pavilion semalam. Gambar apabila Muiz menanyakan pendapatnya tentang tali leher sehinggalah dia menaiki kereta Muiz diteliti dengan senyuman dibibir. Hatinya lega kerana ianya bukan gambar superimpose.

“Nasib baik bukan superimpose. Aku terserempak dengan dia semalam kat Pavi. Dia ajak aku tumpang balik sebab risau aku balik sorang-sorang” Syazrina menerangkan hal yang sebenarnya tanpa dipinta oleh Hazeem. Dia tidak suka jika ada yang berprasangka dengannya.

“Aku ingatkan kau lebih suka Porsche dari Lamborghini” Syazrina memandang tajam ke arah Hazeem. Kata-kata Hazeem yang sinis tadi cukup menyakitkan hatinya. Cepat-cepat dia beristighfar menyingkirkan perasaan marahnya.

“Aku lebih sukakan Buraq” balas Syazrina dengan nada yang sinis juga. Buraq tunggangan Nabi Muhammad S.A.W ternyata lebih hebat jika nak dibandingkan dengan Porche atau Lamborghini. Tersentak Hazeem dengan jawapan Syazrina yang sememangnya tak dijangka.

“Maaf jika kau terasa. Hmm dahlah, mari aku belanja kau minum” Hazeem beredar menuju ke restoren Arab di tasik itu. Syazrina hanya mengekor Hazeem yang sudah jauh ke hadapan. Hatinya sedikit terubat apabila Hazeem sudah memohon maaf. Siapa dia untuk tidak memaafkan Hazeem sedangkan Nabi Muhammad S.A.W yang mulia pun mengampunkan kesalahan umatnya.

“Hmm Hazeem aku rasa orang yang hantar gambar-gambar tu mesti ada niat tak baik kat kau” ujar Syazrina tiba-tiba. Hazeem hanya menjungkitkan bahu tanda tak peduli.


“Aku tak boleh halang orang nak buat jahat kat aku tapi aku cuma boleh berdoa supaya dijauhkan dari hasad dengki dan kekejaman orang lain” jawab Hazeem dengan muka selambanya. Syazrina hanya tersenyum dengan kata-kata Hazeem. Benar kata sahabatnya yang kita tak dapat menghalang namun kita masih boleh berdoa supaya Allah melindungi kita dari sebarang kejahatan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...