Friday, July 5, 2013

Kisah Kita - Bab 44

taken from here  

Syazrina memandang sekilas wajah Hazeem yang sedang menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Debaran didalam hatinya hanya Allah yang tahu. Siapa yang tak berdebar weh kalau diletakkan didalam situasi begini. Hari ini dia akan bertemu dengan ibubapa Hazeem. Jangan ditanya tentang sama ada dia bersetuju untuk menjalinkan hubungan serius dengan Hazeem atau tidak kerana dia sendiri masih pun belum pasti. Dia hanya mengikut kehendak Hazeem yang mahukan dia bertemu dengan ibubapa Hazeem.

Debaran itu semakin memuncak apabila Lamborghini Aventador milik Hazeem meluncur masuk ke dalam perkarangan banglo tiga tingkat. Ternganga sebentar mulut Syazrina melihatkan kemewahan banglo yang dah lebih kurang istana cuma tak ada hulubalang dengan dayang-dayang yang datang menyambut.

“Kau nak aku bentang karpet merah ke baru kau nak turun?” Hazeem yang sudah berdiri dihadapannya bercekak pinggang memandang Syazrina yang terleka.

“Err ada ke?” Syazrina lantas membuka tali pinggang keledarnya. Malu kerana boleh pula dia berangan dalam saat genting sebegini.

“Tak ada! Dah cepatlah! Diorang dah tunggu tu” Hazeem meninggalkan Syazrina setelah memberi arahan ala-ala komander.

“Aku sekeh jugak mamat sengal ni” gumam Syazrina perlahan sambil membuntuti Hazeem. Hari ini dia nampak ayu sekali dengan baju kurung Pahang dan tudung berwarna krim. Semua ini merupakan jasa Nabila yang membantunya berdandan apabila Nabila mengetahui yang dia akan berjumpa dengan keluarga Hazeem.

Hubungannya dengan Nabila semakin rapat selepas dia mengikut sekali apabila keluarga Hamdan meminang gadis itu dahulu. Nabila seorang yang ramah dan kalau tiba angin gila-gilanya macam-macam aktiviti pelik yang akan dilakukan oleh gadis itu termasuklah mengurat seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tujuh tahun ketika dia menemani Nabila ke KLCC minggu lalu. Terpinga-pinga budak lelaki itu apabila Nabila mengucupi pipi gebunya. Nabila bernasib baik kerana ibubapa kanak-kanak itu tidak marah dan hanya tersenyum melihat gelagat sengal Nabila. Apabila ditanya mengapa dia mencium budak lelaki itu, Nabila menjawab ianya hanya untuk suka-suka.

“Rin, kalau saya cakap saya ada power tengok masa depan awak percaya tak?” Syazrina hanya menggelengkan kepala apabila Nabila sudah mula mengarut.

“Tak percaya pula, budak tu nanti akan jadi lelaki hensem awak tau? Kalah Cristiano Ronaldo” tambah Nabila dengan riak muka yang bersungguh-sungguh.

“Jadi tu sebab kau cium dia?” soal Syazrina dengan muka bosan.

“Taklah saya geram tengok pipi gebu dia..hahahha” Nabila membalas dengan tawa yang panjang.

Hazeem yang tiba-tiba berhenti berjalan menyebabkan Syazrina terlanggar belakang badan Hazeem. Syazrina mengetawakan dirinya yang asyik berkhayal sehingga tak perasan kawan tu brek mengejut. Patutlah Hazeem berhenti kerana mereka sudah sampai dipintu banglo mewah itu. Hazeem membuka sendiri pintu setelah salam yang diberi sebanyak tiga kali tidak berjawab.

“Mana la diorang ni” Hazeem menanggalkan kasut dan meletakkannya di rak kasut yang tersedia. Syazrina turut mengikut kelakuan Hazeem itu. Bibirnya terkunci setelah melihat keindahan dekorasi banglo mewah milik keluarga Hazeem ini, memang gaya bangsawan.

“Oh Hazeem kamu dah sampai? Maaflah kami sedang beristirehat di atas tadi” seorang lelaki yang agak berumur turun dari tangga dengan cukup bergaya. Hazeem mendapatkan lelaki itu lalu bersalam dengannya.

“Assalamualaikum papa, ni kawan Hazeem, Syazrina” Syazrina hanya senyum dan menunduk sedikit tanda hormat kepada papa Hazeem. Papa Hazeem hanya tersenyum nipis kepadanya.

“Mana mama, papa?” Mata Hazeem melilau mencari mamanya. Selalunya dimana ada papa, disitu ada mamanya.

“Ada je, sekejap lagi dia turun” Papa Hazeem mengambil tempat di sebuah sofa yang terletak diruang tamu.

“Mari duduk” Hazeem dan Syazrina duduk disebuah sofa untuk tiga orang. Ruang tengah antara mereka dibiarkan kosong. Papa Hazeem tersenyum dengan kelakuan mereka. Sedikit sedap hati kerana Hazeem dan Syazrina masing-masing menjaga perlakuan.

“Apa nama penuh kamu?” Pertanyaan dari papa Hazeem membuatkan Syazrina yang sedikit leka tersentak. Nasib baik soalan biasa kalau tak mahunya kena laser.

“Puteri Syazrina binti Megat Syahrul” jawab Syazrina dengan senyuman. Dia perasan yang Hazeem menahan tawa apabila mengetahui nama penuhnya. Budak perempuan yang kasar kalah jantan tapi nama ayu bukan main, siapa tak gelak beb?

“Jadi kamu dari keturunan Megat Terawis la ni?” Syazrina hanya mengangguk. Dia sebenarnya kurang tahu sangat tentang asal usul keturunannya. Dulu arwah ayahnya sering bercerita tentang keturunan mereka namun dia sudah tidak begitu mengingatinya.

“Oh keturunan Megat, patutlah Hazeem berani bawa balik jumpa kami” kata satu suara dari arah belakang. Syazrina segera menoleh kearah suara sumbang itu. Terasa nada menyindir dari suara itu dan sesungguhnya dia sudah nak panas hati tapi masih ditahap terkawal. Wanita yang bertubuh sedikit gempal dengan rambut kembang ala-ala mak datin itu berjalan perlahan kearah ruang tamu.

“Mama!” Hazeem bangun dari tempat duduknya dan bersalam dengan mamanya. Syazrina turut bingkas bangun dan menyalami wanita itu namun belum sempat dia mencium tangan mama Hazeem, wanita itu sudah menarik semula tangannya. Nampak sangat tak suka.

“Mama ni Syazrina, kawan Hazeem” Hazeem memperkenalkan Syazrina pada mamanya dengan wajah yang ceria. Syazrina hampir terjelepok melihat Hazeem yang tersenyum ceria dan dia ternampak bagaikan ada cahaya yang bersinar-sinar dari wajah Hazeem. Hehe hebat betul ilusi Syazrina.

Mama Hazeem mengambil tempat disebelah papa Hazeem. Wajah mama Hazeem nampak garang dan kurang mesra tak kurang juga papa Hazeem yang kelihatan selamba tanpa sebarang riak.

“Ni mama dan papa saya, Tengku Adnan dan Tengku Khairina” Hazeem yang perasan akan suasana yang kurang mesra antara mereka segera membuka bicara. Takut nanti ada juga yang beku dalam suasana dingin sebegini.

Uncle, Auntie sihat?” Syazrina menanya sekadar untuk berbasa-basi. Mahu tergelak Syazrina mendengarkan Hazeem membahasakan dirinya sebagai saya selalu sangat beraku-kau dengan Hazeem.

“Sihat” jawab kedua-duanya pendek. Baik Tengku Adnan mahupun Tengku Khairina, keduanya bagaikan acuh tak acuh sahaja melayan tetamu.

“Hmm ayah dan ibu Puteri kerja apa?” tanya Tengku Adnan tiba-tiba. Mahu tersedak air liur sendiri Syazrina apabila digelar ‘Puteri’. Apa ni? Tak cool dah aku!

“Ayah saya dah meninggal dan bonda saya pula menguruskan kedai runcit tinggalan arwah ayah saya” jawab Syazrina dengan menempel senyuman diwajahnya. Suka tak suka mereka berdua orang tua maka layak dihormati.

“Oh takziah. Berapa orang adik-beradik?” soal Tengku Adnan lagi. Mukanya masih tanpa perasaan seperti tadi. ‘

Ni Hazeem mesti berjangkit muka papa dia ni’ getus Syazrina dalam hati.

“Ada enam orang termasuk saya. Saya ada lima orang abang dan saya anak bongsu” jawab Syazrina dengan sopan. Rasanya aura nama Puteri itu dah meresap masuk ke dalam dirinya. Tiba-tiba pula boleh bertukar ayu.

Seorang pembantu rumah mendekati ruang tamu dengan menatang gelas dan satu jag air. Syazrina segera menghadiahkan senyuman kepada pembantu rumah itu dan dia membalasnya. Dengan senyap pembantu rumah itu menyusun gelas dan menuangkan air ke dalam gelas itu. Sebentar kemudian, dia kembali dengan menatang beberapa jenis kuih dan kek. Dia hanya menunduk hormat dan meminta diri setelah selesai tugasnya.

“Silalah makan Puteri” pelawa Tengku Adnan lembut. Syazrina hanya menjamah sebiji kuih cara dan karipap yang terhidang. Seleranya bagaikan tak mahu datang sedangkan kuih cara dan karipap adalah kuih kegemarannya. Hatinya sedikit terubat dengan perubahan suara Tengku Adnan yang pada mulanya dingin.

“Dah lama ke kenal Hazeem?” Tengku Khairina memulakan sesi soal jawabnya.

“Sudah beberapa bulan auntie” jawab Syazrina lantas menghadiahkan senyuman manis untuk Tengku Khairina namun tidak berbalas.

“Baru beberapa bulan dah fikir nak kahwin?” Tersedak Syazrina apabila Tengku Khairina menyentuh tentang perihal kahwin. Syazrina meneguk sedikit air untuk menghilangkan perit ditekaknya.

“Mama, saya tak bincang lagi hal kahwin dengan dia” Hazeem yang diam sejak tadi mula bersuara.

“Habis tu yang datang sini ni untuk bincang apa?” Tengku Khairina menunjuk muka sedikit lega namun masih kelihatan garang.

“Hazeem baru nak kenal-kenalkan dia dengan mama dan papa” jawab Hazeem dengan sopan. Syazrina memandang sisi wajah Hazeem yang tenang dan sopan tatkala berbicara dengan mama dan papanya. Hilang terus wajah poyo dan tak ada perasaan mamat tu.

“Oh macam tu, kami ni ingat kamu datang nak minta izin kahwin. Dahlah kamu ni bukan selalu balik sini Hazeem” Tengku Adnan mencapai kuih karipap lalu mengunyah dengan penuh berselera. Sejak dari tadi Tengku Khairina hanya meminum jus dan langsung tidak menyentuh kuih-muih dan kek. Nak sahaja Syazrina bertanya ‘diet ke?’ tapi takut pula dilepuk oleh Tengku Khairina.

Seteleh berbual hampir dua jam, Hazeem meminta diri untuk pulang. Syazrina menarik nafas lega apabila seksaannya sudah tamat. Terseksa sungguh nak melayan mama dan papa Hazeem. Tengku Adnan nampak sudah boleh menerimanya tapi Tengku Khairina tetap dengan gaya tak suka dan penuh divanya. Syazrina hanya berserah sahaja, dia pun tidak mahu berfikir panjang kerana baginya jika sudah tertulis yang jodohnya adalah Hazeem, berpisah bagaimanapun tetap akan bersatu semula dan jika bukan bercinta bagai nak mati pun takkan dapat bersama jua.



Mia dan Iqram dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Percutian dua hari satu malam di Port Dickson dimanfaatkan sebaiknya oleh pasangan suami isteri ini. Sebelum pulang tadi mereka sempat melawat tempat-tempat menarik di Lukut dan membeli buah tangan untuk sahabat dan keluarga mereka.

“Abang, kita singgah ambil Einstein ye?” Einstein dihantar ke pusat penjagaan haiwan sepanjang mereka bercuti kerana undang-undang hotel yang tidak membenarkan mereka membawa haiwan peliharaan masuk. Mula-mula Mia agak berat hati untuk meninggalkan Einstein namun setelah dipujuk oleh Iqram, akhirnya Mia bersetuju untuk meletakkan Einstein di pusat penjagaan haiwan yang agak terkenal di ibu negara.

“Okey, rindu sangatlah tu kat Einstein” Iqram mencuit dagu Mia yang sibuk melihat gambar Einstein diskrin telefon pintarnya. Dia masih menyimpan gambar-gambar yang Iqram kirimkan padanya ketika zaman persekolahan.

Tiba di pusat penjagaan itu, Mia segera turun dari kereta. Dia sudah tak sabar-sabar untuk bertemu dengan kucing kesayangannya. Setibanya di lobi, wajah gelisah seorang penjaga disitu mengamit perhatian Mia.

Hi I’m Mia, I come to pick up my cat, Einstein” Mia menghadiahkan senyuman kepada penjaga yang bernama Siti itu.

“Miss Mia, saya nak minta maaf. Semalam Einstein cuba lari dan masa nak melintas dia kena langgar dengan kereta” jawab Siti itu takut-takut. Mia jatuh terjelepok diatas lantai apabila mengenangkan yang kucing kesayangannya sudah mati. Iqram yang baru tiba di pintu pusat penjagaan itu berlari mendapatkan isterinya yang sudah basah dengan air mata namun tiada esakan kedengaran. Hanya air mata yang laju menuruni pipi polos isterinya.

“Einstein..Einstein dah tak ada” Iqram juga hampir terduduk mendengarkan yang kucing yang selama ini menjadi temannya sepanjang ketiadaan Mia kini sudah tiada.

“Sabar sayang, Allah lebih sayangkan Einstein. Bangun sayang, mari kita balik” Iqram memapah Mia yang masih lemah. Air mata Mia masih tidak berhenti mengalir. Tanpa sedar matanya turut bergenang dengan air mata. Apa pun dia redha dengan ketentuan Allah dan sudah tertulis yang nyawa Einstein hanya sehingga semalam dan matinya bukan disisi mereka.

“Err encik, bangkai Einstein sudah kami tanam. Kami ingin meminta maaf diatas kecuaian kami. Encik ambillah semula duit deposit yang encik bayar semalam. Kami gagal menjalankan tanggungjawab kami” ucap Siti lalu menghulurkan sebuah envelop berisi wang.

“Tak perlulah Siti, sudah ajal kucing kami semalam. Saya halalkan sahaja wang deposit tu” ucap Iqram sebelum meninggalkan pusat penjagaan itu dengan Mia yang masih menangis.

Tiba di kereta, Iqram memakaikan tali pinggang keledar untuk isterinya. Sedih apabila melihat Mia yang masih senyap tapi air matanya masih mengalir. Keretanya segera meninggalkan tapak pusat jagaan itu. Tempat di mana dia dan Mia kehilangan kucing yang menjadi penghubung mereka.

“Abang, Mia tak rasa Mia boleh bela kucing lagi sampai bila-bila” Mia yang tiba-tiba bersuara mengejutkan Iqram yang sedang memandu.

“Baiklah sayang. Sayang, ingatlah yang hidup pasti mati. Kita pun sama cuma kita tak tahu bila saat itu akan tiba namun ia pasti akan tiba. Abang harap Mia tabah hadapi ujian Allah ni dan redha dengan pemergian Einstein. Abang juga sedih sebab Einstein tu ibarat pengubat rindu abang pada Mia sepanjang Mia di London dulu tapi abang faham tiada yang kekal kecuali Allah. Sayang sabar ye” Iqram memegang kejap tangan Mia dengan tangan kirinya sementara tangan kanannya mengawal stereng. Mia mengangguk faham lalu mengesat air matanya.

“Terima kasih sebab ingatkan Mia. Maaf tadi Mia terlalu ikutkan perasaan” Mia memandang Iqram dengan senyuman kecil diwajahnya. Iqram mengesat bekas air mata Mia lembut. Mata dan hidung isterinya yang merah tidak mencacatkan sedikit pun kejeitaan Mia.

“Baguslah kalau sayang faham” Iqram menumpukan semula perhatian kepada pemanduannya. Hari ini tertulis satu kisah sedih untuk dia dan Mia namun dia tahu banyak kisah yang akan tertulis untuk dia dan isterinya selagi dia masih diizinkan oleh-Nya untuk bernafas di bumi ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...