Sunday, April 28, 2013

Kisah Kita - Bab 34


taken from here 

Sudah lama perasaannya telah diketahui oleh Hamdan. Hubungannya dengan jejaka itu juga terjalin semenjak dia meluahkan perasaan cintanya kepada jejaka itu. Namun, bagaikan ada sesuatu yang membuatkan Nabila runsing dan ragu-ragu dengan perhubungan mereka. Mereka pasangan kekasih namun dirinya tidak pernah dilayan sepertimana layanan seorang kekasih.

Sudah 30 minit Nabila menunggu Hamdan di cafe Coffee Bean sehinggakan pelayan-pelayan disitu kerap kali mengerling kearahnya sambil melontarkan senyuman. Mungkin faham dirinya yang resah menunggu kekasih hatinya yang tak kunjung tiba.

“Ah tak boleh jadi ni!” Nabila bingkas bangun dari tempat duduknya. Belum sempat dia melangkah pergi, dia dikejutkan oleh satu suara yang ditunggu-tunggunya.

“Dah nak balik ke?” tegur Hamdan yang baharu sahaja sampai dengan lengkap berpakaian seragam.

‘Macam tak ada baju lain je dia ni!’ bentak Nabila dalam hati. Namun dia akui yang Hamdan tampak lebih segak didalam uniformnya. Dia memasamkan muka memandang kearah Hamdan yang berdiri dengan muka serius dihadapannya.

“Kenapa lambat?” tanya Nabila sambil menyilangkan kedua-dua belah tangannya.

“Aku dah cakap kan yang aku sibuk sekarang? Kau juga yang nak sangat jumpa. Ni aku dah datang ni kenapa nak marah?” kata Hamdan sambil memandang tepat ke wajah Nabila.

Aku-kau, panggilan yang paling tidak disukai oleh Nabila. Acap kali dia mengutarakan supaya panggilan lebih manja digunakan setelah hubungan mereka termaterai namun hampa kerana Hamdan lebih selesa dengan panggilan itu.

“Saya dah tunggu lama tau tak? Kenapa tak call beritahu yang awak akan lambat?” soal Nabila lagi.

“Kau ni, aku kalau bertugas memang aku tinggalkan telefon aku kat dalam laci. Macam tak faham-faham lagi dengan aku je kau ni” marah Hamdan. Dia mendengus kasar sambil berlalu meninggalkan Nabila yang terkulat-kulat dihadapan Coffee Bean.

“Dah kau ni nak pergi tengok wayang ke tak? Kata cerita tu start pukul 3. Ni dah 2.45 kau nak bergaduh kat sini ke kau nak tengok wayang?” soal Hamdan sambil menjungkitkan sebelah kening.

“Mestilah tengok wayang!” balas Nabila sambil berjalan beriringan dengan Hamdan. Dipautnya lengan Hamdan dengan manja.

“Kau ni jaga sikit tingkahlaku boleh? Aku tak suka la macam ni” marah Hamdan sambil menepis tangan Nabila. Nabila malu sendiri mengingatkan kelakuannya yang agak keterlaluan tadi. Entah kenapa dia rasa ingin bermanja dengan kekasihnya itu.

“Maaf” itu sahaja yang dapat diucap oleh Nabila sambil menundukkan muka. Dia malu dengan dirinya sendiri.

“Hmm yela. Dah jom” Hamdan meneruskan langkahnya ke arah panggung wayang yang terletak tidak jauh dari cafe Coffee Bean itu. Dalam diam dia tersenyum mengingatkan muka Nabila yang memerah malu setiap kali ditegur olehnya.

Mia memandang pelik kearah nombor telefon yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Nombor yang tak dikenali itu sudah dua kali menelefonnya namun dia tidak mengangkat kerana berada didalam bilik mandi tadi.

“Hello, may I know who is on the line?” jawab Mia berhati-hati.

“Assalamualaikum Mia! Ni aku Rin. Weh aku nak ajak kau keluar pukul 10 ni. Kau free tak?” Mia hanya tersenyum mendengarkan suara pemanggil yang amat dikenalinya itu.

“Waalaikumussalam, oh Rin. Nak pergi mana?” tanya Mia lalu duduk dibirai katilnya yang baharu dikemas. Biliknya kini agak berselerak dengan barang-barang untuk majlis perkahwinannya yang akan tiba tak sampai sebulan sahaja lagi.

“KLCC! Aku nak pergi Kinokuniya dan jalan-jalan kat Aquaria. Kau boleh pergi ke tak ni?” tanya Syazrina kurang sabar. Dari nada suaranya, Mia tahu yang sepupu Hamdan itu teruja untuk ke KLCC.

“Oh boleh sangat. Boleh saya tengok sikit barang-barang untuk hantaran kahwin nanti” balas Mia sambil tersenyum bahagia. Dia sudah membeli sedikit barangan untuk hantaran kahwinnya. Dia menganggap membeli hantaran itu seumpama membeli hadiah untuk bakal suaminya dan itu membuatkan dia bertambah teruja untuk membeli hantaran kahwinnya.

“Woah ini sudah bagus. Ok set. Err..Mia ambil aku boleh? Aku tak ada kenderaan nak gerak ni” pinta Syazrina. Memandangkan dia baharu sahaja tamat pengajian dan masih belum bekerja, dia menangguhkan dahulu hasrat untuk memiliki kereta. Selalunya hanya abang-abangnya tak pun Hamdan yang rajin menghantarnya ke mana-mana. Kata mereka ianya lebih selamat jika dibandingkan dengan menaiki kenderaan awam.

“Oh tak jadi masalah. Nanti sebelum pukul 10 nanti Mia ambil ye? Dekat rumah Hamdan kan?” Mia memang tidak kisah untuk mengambil Rin yang sudah dianggapnya sebagai adik. Kelakuan Rin yang selamba itu sering membuatkan dirinya terhibur.

“Eh tak, rumah aku selang lima buah je dari rumah Hamdan. Tak apa nanti aku tunggu kat simpang. Lagi senang macam tu” jelas Syazrina. Dalam kepalanya dia sudah berfikir pakaian apa yang harus dipakai.

“Okay tak ada masalah. Jumpa nanti ye. Assalamualaikum” Mia menamatkan panggilan lalu meletakkan semula telefon bimbitnya diatas meja solek.

“Hmm pakai jubah seluar la. Senang sikit nak jalan-jalan” Mia seronok memikirkan yang dia akan keluar berjalan-jalan dengan Rin hari ini. Sudah lama dia tidak keluar dengan kawan perempuan sejak dia dikhianati ketika zaman sekolah rendahnya dahulu.

Mereka tiba di KLCC tepat jam 11 pagi. Mia memarkirkan Jaguar XFR merah miliknya didalam ruang parkir KLCC. Hadiah dari datuknya, Mr Russel sempena dia menamatkan pengajian dari universiti Oxford dengan ijazah kelas pertama. Abangnya pula mendapat Porche 911 GT3 yang dipilihnya sendiri.

“Kita jalan Aquaria dulu la ye. Dah alang-alang kita kat sini” ajak Syazrina sambil menarik tangan Mia. Dia begitu teruja kerana ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke Aquaria. Sebelum ini, dia diketawakan oleh abang-abangnya setiap kali dia mengajak mereka melawat Aquaria walaupun mereka sudah berada didalam KLCC.

“Macam kanak-kanak Ribena. Malaslah jom kita pergi makan lagi bagus” Jawapan dari alongnya, Syazrul itu betul-betul mengecewakan hatinya. Alongnya kini bertugas sebagai juruterbang TUDM jarang sekali pulang ke rumah kerana bertugas.

“Rin ingat apa tu? Jom masuk. Mia dah beli tiket dah” Mia mengipas-gipaskan dua helai tiket masuk Aquaria dihadapan mata Syazrina yang sedang mengelamun.

“Eh lajunya kau. Meh aku bayar duit tiket tu” Syazrina terus menyeluk beg silangnya untuk mengeluarkan dompet duitnya tapi kelakuannya itu segera ditahan Mia.

“Tak apa. Biar Mia belanja okay? Lagipun Rin kan tak kerja lagi?” tegah Mia lembut. Syazrina hanya menggaru-garukan kepalanya yang tak gatal. Rasa malu dan serba salah pula apabila Mia membayarkan harga tiketnya. Sudahlah tadi Mia yang menjemputnya dari rumah. Terkejut beruk Syazrina apabila melihat sebuah kereta Jaguar merah berhenti dihadapan rumahnya ketika dia hendak menutup pintu pagar.

“Err okay tapi nanti makan biar aku belanja okay? Tak biasa la aku kalau asyik bergantung kat orang” balas Syazrina sambil berjalan beriringan dengan Mia. Mia hanya tersenyum dengan keletah Syazrina yang agak kelam-kabut itu.

Mereka berjalan-jalan sambil mengambil gambar hidupan laut yang terdapat di Aquaria. Mia dan Syazrina juga berpeluang memberi makan kepada ikan-ikan. Pengalaman yang membuatkan Syazrina tersenyum riang sepanjang mereka di Aquaria.

Setelah menghabiskan masa lebih kurang dua jam didalam Aquaria, Mia dan Syazrina keluar untuk menunaikan solat Zohor didalam surau yang terdapat didalam KLCC. Usai solat, mereka makan tengahari di restoren Koryo-won. Entah mengapa tekak mereka bagaikan serasi inginkan makanan Korea untuk makan tengahari mereka.

“Rin nak makan apa?” tanya Mia sambil membelek-belek menu ditangannya. Pelayan restoren itu setia menunggu dengan nota menu ditangannya.

“Bulgogi! Ttokbegi bulgogi jusaeyo!” Syazrina terus memesan set bulgogi untuk dirinya sendiri.

“Dolsot Bibimbap please” pesan Mia pula. Dia turut memesan peach tea untuknya dan Syazrina.

Setelah 15 minit, makan yang dipesan tiba dan mereka menikmati makanan yang terhidang dengan penuh berselera.

“Tak sangka kau pun suka Korean food” kata Syazrina sambil meneguk peach teanya.

“Oh biasa je. Mia memang suka cuba pelbagai jenis makanan asalkan halal” jawab Mia sambil tersenyum mesra.

Okay next time kita pergi makan makanan Jepun pula okay?” cadang Syazrina sambil tersengih. Seronok kerana dapat geng yang kuat makan sepertinya. Sangkanya Mia seorang yang menjaga pemakanan kerana badan Mia yang langsing ala-ala model walaupun terlindung dek jubah seluarnya yang longgar. Dia perasan pun ketika dia terlihat gambar potret milik Mia yang terpampang besar dibilik tidur Mia ketika menumpang mengambil wuduk dirumah Mia dulu.

“Okay boleh je” Mia terus bersetuju. Tak sangka Syazrina sanggup mengajaknya keluar lagi.

 Selesai makan, mereka berjalan-jalan disekeliling KLCC. Sengaja Mia melihat-lihat barangan yang diperagakan disetiap kedai. Dia berkira-kira untuk membeli jam tangan berjenama Omega untuk Iqram. Tiba-tiba dia terlihat kelibat Iqram. Baru sahaja dia mahu memanggil, dia terlihat seorang gadis berjalan kearah Iqram dan Iqram dengan mesra melayan gadis itu. Hati Mia sakit dipagut cemburu namun dia segera beristighfar.

“Eh tu kan Iqram? Woi Iqram!” panggil Syazrina dengan agak lantang. Iqram yang sedar dirinya dipanggil terus bergerak menuju kearah Syazrina dan Mia. Gadis yang bersamanya itu turut mengekor.

“Assalamualaikum. Mia dengan Rin buat apa kat sini?” tanya Iqram mesra sambil memandang kearah Mia. Muka Mia yang masam itu dipandangnya dengan penuh hairan.

“Waalaikumussalam. Amboi kau dah bertunang pun dating dengan perempuan lain ye?” marah Syazrina sambil menjeling kearah gadis disisi Iqram. Geram pula apabila melihat gadis itu yang memandang dia dan Mia dari atas ke bawah.

“Eh dating apa? Ni kawan satu tempat kerja. Tadi kami ada lunch dengan team engineer. Kenalkan tunang kesayangan Iqram, Mia Hana dan ni pula Rin” Iqram memperkenalkan Mia dan Syazrina kepada gadis itu tanpa segan silu.

“I Harlina, maaflah kalau Mia salah sangka. Tadi mereka semua kena balik site sebab ada accident tu yang tinggal kami berdua je. Ni pun kami dah nak balik” terang Harlina sambil tersenyum kearah Mia dan Syazrina.

‘Patutlah pandang aku lain macam, tunang rupanya. Hmm boleh tahan cemburu’ bisik Harlina dalam hati apabila melihat reaksi Mia yang agak kurang senang dengannya tadi. Matanya masih menyorot memandang Mia yang dirasakan kurang daya tarikan kerana berjubah seluar dan tudung labuh tidak seseksi dan semoden dirinya.

“Baiklah Iqram, I pergi dulu ye. See you in the office” Harlina tersenyum manja sambil menjeling kearah Mia dan Syazrina. Menyampah pula dengan Syazrina yang memandangnya dengan pandangan yang tajam.

“Gedik do. Hmm Mia, aku pergi Kinokuniya jap. Kau nak ikut ke nak borak dengan Iqram ni?” tanya Syazrina. Banyak buku yang ingin diborong olehnya kali ini kerana along dan angahnya baharu sahaja memasukkan wang kedalam akaun banknya.

“Hmm biar Mia dengan kita okay? Nak berborak dengan Mia sekejap” kata Iqram sambil tersenyum. Syazrina hanyamenganggukkan kepalanya tanda faham.

Okay Mia, apa-apa call okay?” pesan Syazrina sambil berlalu meninggalkan pasangan tersebut.

“Mari sayang” pelawa Iqram sebaik sahaja Syazrina jauh dari mereka.

“Nak pergi mana?” tanya Mia sambil memandang Iqram. Hatinya masih geram dengan tingkahlaku Harlina yang dianggap mengada-ada itu.

“Harrods nak?” cadang Iqram sambil tersenyum memandang Mia. Mia hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

Tiba di cafe Harrods, Iqram menceritakan tentang perihal kerjanya dan menerangkan tentang apa yang berlaku tadi dengan jelas kepada Mia. Dia tak mahu Mia salah sangka tentang hubungannya dengan Harlina kerana dalam hatinya cuma ada Mia. Hubungan yang terjalin setelah tujuh tahun terpisah itu amatlah berharga bagi Iqram.

“Mulai sekarang, Mia panggil kita abang okay? Biar praktis awal-awal, tak lama lagi kita kan nak kahwin” pinta Iqram sambil memandang kearah Mia yang sudah menunduk malu. Mia membalas dengan mengangguk sahaja namun sudah membuatkan hati Iqram berbunga-bunga.

“Malu ke? Tak apa nanti biasalah” kata Iqram lalu ketawa kecil. Senang hati kerana marah Mia tidak lama dan tak lama lagi Mia akan menjadi miliknya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...