Sunday, April 7, 2013

Kisah Kita - Bab 28

Wang Lee Hom. Taken from here 


Suasana di Queen’s Medical Centre (QMC)  yang sentiasa sesak dengan pesakit memang memeningkan Mia. Namun tugasannya sebagai doktor pakar jantung dihospital ini tetap dipikul dengan penuh tanggungjawab. Cardiologist, jawatan yang sentiasa mengingatkan Mia kepada arwah mamanya. Dia mengambil bidang perubatan setelah dirinya begitu tertarik dengan profession yang menyelamatkan nyawa manusia dan padanya nampak bergaya.

“Niat kena betul Hana, ramai yang cakap jadi doktor ni best sebab gaji banyak tapi ramai yang tak tahu yang kerja ni mengerah tenaga dari sudut mental dan fizikal. Tapi apa yang buat saya tetap dengan kerjaya ni ialah perasaan bahagia apabila dapat membantu mereka yang memerlukan” jelas Hariz apabila dia menyatakan hasratnya untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan. Jawapan skema Hariz itu sedikit sebanyak mempengaruhi Mia. Dia dan Hariz sering berhubungan melalui emel. Hariz bagaikan abang yang kedua kepadanya. Dia sangat menghormati lelaki itu kerana lelaki itu juga yang menyelamatkan Muiz dulu.

“Mia what are you doing?” tanya Doktor Danny Liew. Doktor muda yang berasal dari Malaysia ini merupakan satu-satunya kawan baiknya di QMC ini. Danny terus mengambil tempat dihadapan gadis yang bertudung labuh dan cukup manis dengan jubah dua lapis itu.

“Nothing” jawab Mia pendek sambil menghirup air coklat panas yang digemarinya sejak berhijrah ke London. Dipandangnya doktor muda itu sekilas. Wajah iras-iras Wang Lee Hom yang digemarinya itu membuatkan doktor muda itu sering menjadi igauan setiap jururawat dan pesakit di QMC. Pernah juga beberapa orang pesakit sanggup berpura-pura sakit semata-mata untuk bertemu dengan Doktor Danny Liew.
“Jauh termenung, ingat siapa tadi?” Satu lagi kelebihan Danny yang membuatkan Mia senang dengannya ialah dia sangat fasih berbahasa Melayu. Walaupun jauh diperantauan, lelaki itu masih suka berbahasa Melayu bila berbicara dengannya.

“Termenung lagi? Kacak sangat ke saya ni Mia?” Danny sudah ketawa kecil melihatkan Mia yang sudah memerah.

“Mana ada. Saya rasa saya nak balik semula ke Malaysia. Lagipun saya dah dapat tawaran kerja dari Institut Jantung Negara”  jelas Mia. Berubah terus wajah Danny apabila mendengarkan yang kawan baiknya ingin pulang semula ke tanahair tercinta.

“Betul ke ni? Hmm dah tinggal saya sorang-sorang..” rajuk Danny. Mia hanya tersenyum kepada kawan baiknya itu. Danny dan dia memang rapat dan mereka sering berbincang pelbagai perkara namun tidak pernah sekali menyentuh tentang hal perasaan. Danny juga sepertinya, berperwatakan dingin dan cuma mesra dengan orang yang disenanginya. Danny Liew juga dikenali sebagai Doktor Cool QMC namun gelarannya itu tidak mengurangkan jumlah peminat-peminat doktor muda itu.

“Danny tak nak balik ke Malaysia ke?” tanya Mia sambil memandang tepat ke wajah lelaki itu.

“Suatu hari nanti saya akan pulang juga ke sana. Tapi buat masa sekarang, saya nak timba pengalaman disini” kata Danny sambil menghabiskan air coklat panas yang dibelinya tadi. Mia hanya mengangguk faham.  

Punca utama dia pulang ke Malaysia ialah papanya, Datuk Muqri yang sering sahaja menelefon menyuruhnya dan abangnya pulang ke Malaysia.

“Rumah ni terasa kosong sangat bila Mia dan Muiz tak ada. Baliklah nak” ayat sedih papanya itu berjaya membuatkan Mia tersentuh. Muiz pula terus menguruskan pertukarannya ke Malaysia. Dia akan menguruskan salah sebuah anak syarikat Morse Holding di Malaysia nanti. Datuknya, Mr. Russel turut bersetuju dengan keputusan mereka itu. Kebetulan Mia pula mendapat tawaran pekerjaan di IJN. Terasa sudah sampai waktunya untuk dia berbakti untuk negaranya sendiri.

“Okay saya rasa saya nak masuk dulu. Jumpa esok” Danny Liew terus bangun sambil tersenyum kearah Mia. Mia hanya menganggukkan kepala. Waktu kerjanya sudah habis dan dia perlu pulang segera.

“Hana dah nak balik Malaysia?” tanya Doktor Hariz apabila dia berbual dengan doktor itu melalui Skype.

“Ya. Hana dapat tawaran kerja di IJN” jawab Mia sambil tersenyum. Dulu Hariz pernah meluahkan perasaannya kepada Mia namun Mia menolak dengan baik kerana Hariz hanya dianggap sebagai abang tidak lebih dari itu.

Pada mulanya Hariz tidak dapat menerima kenyataan dan berhenti berhubung dengannya namun setelah sebulan mendiamkan diri, Hariz mula menghubunginya kembali. Katanya dia tidak akan berputus asa untuk memikat Mia. Mia hanya membiarkan sahaja kerana siapa dia untuk menghalang perasaan Hariz?

“Dah lama tak jumpa Hana. Hana pun dah cantik bertudung sekarang” Hariz memandang skrin laptopnya dengan penuh kasih. Wajah gadis yang amat dicintainya itu sungguh manis dimatanya.

“Dulu pun Hana pakai tudung apa” balas Mia sambil mencebik. Dia selesa berbual dengan Hariz yang selalu menghiburkan hatinya.

“Pakai tapi tak labuh kan? Sekarang baru la nampak macam Muslimah sejati” kata Hariz. Mukanya memang sentiasa tersenyum apabila berbual dengan Mia Hana kesayangannya.

“Masih banyak yang perlu diperbaiki Hariz. Hana nak berubah perlahan-lahan” jelas Mia.

“Baiklah Hana saya ada kerja nak buat ni. InsyaAllah lain kali kita berborak lagi ye? Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam. InsyaAllah” balas Mia. Hariz kini sudah ada kliniknya sendiri. Dia membuka klinik kesihatan di sebuah taman perumahan. Klinik Hariz juga merupakan klinik panel syarikat papanya. Papanya sangat mempercayai Doktor Hariz.

“Mia buat apa?” tanya Muiz yang tiba-tiba menjengulkan kepala dipintu bilik Mia.

“Oh tadi Mia Skype dengan Hariz” jawab Mia sambil memandang abangnya. Kesan kemalangan dikepala abangnya sudah hampir hilang. Kemas betul jahitan Hariz.

“Amboi. Ada apa-apa ke dengan Doktor Hariz tu? Selalu sangat Skype dengan dia? Emel si Iqram tak pula Mia balas” usik Muiz sambil duduk dibirai katil Mia.

“Abang, Hariz tu Mia anggap macam abang sendiri je. Emel si Iqram tu malas Mia nak balas” jawab Mia sambil memusingkan badan menghadap muka abangnya. Kelihatan Muiz tidak senang dengan jawapannya.

“Mia ni marah lagi ke dengan Iqram? Tolonglah Mia, benda tu dah lama sangat berlaku. Mia tahukan abang sendiri pun tak pernah salahkan Iqram. Jadi jangan salahkan dia lagi. Abang tak suka kalau adik abang ni berdendam” bebel Muiz panjang lebar. Perkara yang dah berlaku tujuh tahun lepas itu bukan salah Iqram. Salah Muiz sendiri yang pandai-pandai mengajak Iqram test power diatas jalanraya.

“Abang ni. Mia nak balas apa kalau emel dia tu semua gambar Einstein? Takkanlah Mia nak balas oh comelnya Einstein tiap kali balas emel dia?” marah Mia sambil mencebikkan muka. Dia sememangnya agak berat hati hendak membalas emel lelaki yang pernah mengusik hatinya dahulu.

Dulu pernah juga Iqram menghantar emel memohon maaf diatas apa yang berlaku namun dia tidak tahu apa yang harus dibalas. Kesudahannya dia membiarkan sahaja emel lelaki itu tanpa balasan. Lelaki itu juga rajin menghantar emel yang penuh dengan gambar Einstein setiap hari. Makin cantik kucingnya itu. Kesungguhan Iqram menghantar gambar Einstein setiap hari sedikit sebanyak menyentuh hatinya dan dia sebenarnya sudah memaafkan Iqram namun dia malu untuk menyatakannya.

“Aik termenung pula dia? Hehehe..ingat kat sape?” usik Muiz sambil ketawa.

“Ingat kat Einstein la!” balas Mia sambil memuncung.

“Ke kat penjaga Einstein?” tawa Muiz masih tidak reda. Mia memandang geram kearah abangnya lalu dicubitnya lengan abangnya. Muiz sudah berhenti ketawa dan kini menjerit kecil. Cubitan berbisa Mia memang sangat menyakitkan dan hilang macho seketika apabila dia menjerit.

“Ya Allah. Sakitlah Mia! Sampai hati Mia buat abang macam ni. Sakit tau?! Tak nak kawan Mia” rajuk Muiz sambil memusingkan badan dari menghadap Mia.

‘Alolo comel pulak abang aku’ getus hati kecil Mia. Dia sudah tersengih sambil memandang Muiz yang sudah masam mukanya.

“Apa sengih-sengih?” marah Muiz. Geram pula melihat adiknya yang tersengih mengejek kearahnya.

“Ala abang ni, nak merajuk pula. Abang yang kacau Mia tadi kan? Dah-dah jom keluar nak? Mia belanja aiskrim” pujuk Mia sambil memeluk lengan Muiz. Diusap-usap bekas cubitannya tadi. Nampak merah, patutlah abangnya merajuk.

“Pujuk pun macam tak pujuk. Nasib abanglah dapat adik kaum ketam. Nak pergi mana?” marah Muiz memang tak lama kalau dengan adiknya ini. Mia lah satu-satunya adiknya. Nak marah pun tak sampai hati inikan pula nak merajuk. Memang tak lah.

“Kita pergi Melur nak?” cadang Mia sambil mengedip-kedipkan matanya kearah Muiz.

“Okay. Mia belanja” kata Muiz sambil tersengih.

“Boleh sangat abangku sayang” jawab Mia sambil menarik tangan Muiz. Muiz hanya tersenyum dengan gelagat adiknya itu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...