Sunday, April 28, 2013

Kisah Kita - Bab 33

taken from here 


Iqram tersenyum sendiri apabila mengenangkan yang dia bakal diikat dengan gadis idamannya tak lama lagi. Tanpa sedar gelagatnya itu diperhatikan oleh mama dan ayahnya yang sedang beristirehat di ruang tamu.

“Amboi sukanya dia” usik Encik Aqif kepada satu-satunya anak terunanya. Gembira apabila memikirkan yang anaknya akan diikat dengan Mia Hana, anak angkatnya yang amat disenangi olehnya.

“Hehehe..mestilah suka. Mama dengan ayah pergi meminang dengan nenek kan petang nanti?” Iqram sengaja bertanya soalan yang sudah diketahui jawapannya sejak semalam lagi.

“Taklah tak jadi” jawab Puan Risa pendek dengan muka tanpa perasaan. Tersentak Iqram apabila mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh mamanya tadi. Hampir luruh jantungnya namun dia menarik nafas lega apabila melihat mamanya tersenyum sinis kearahnya.

“Eh Risa, tak baik sayang usik anak kita macam tu. Tengok dia dah buat muka sembelit dia tu” kata Encik Aqif sambil ketawa terbahak-bahak. Lucu apabila melihat anaknya yang gusar.

“Saja menyakat. Dia asyik tanya dari semalam, naik malas Risa nak jawab” balas Puan Risa sambil ketawa. Seronok dapat mengenakan Iqram yang terlalu teruja dengan pertunangannya yang bakal berlaku petang nanti.

Iqram hanya tersengih melihat kedua ibubapanya yang seronok mengetawakannya. Memang dia sangat teruja dengan pertunangan dia dan Mia. Pertunangan yang bakal menamatkan pernantian kasihnya selama tujuh tahun.

“Amboi rancak kamu gelakkan anak kamu Risa? Dulu masa keluarga Aqif datang nak meminang kamu, kamu pun lebih kurang je perangai dengan Qayyum tu. Jam kat rumah tu naik biul bila kamu asyik tengok  je” perli Hajah Suraya. Perlian Hajah Suraya itu mengundang tawa Encik Aqif dan Iqram.

“Ha..kantoi!” Encik Aqif terus menerus menggelakkan Puan Risa yang sudah memerah mukanya. Bahagia mengimbau kembali detik ketika keluarganya meminang Risa.



Aqif sudah tak senang duduk di dalam kereta bersama-sama dengan sepupunya yang setia menemaninya. Mahu sahaja dia menerobos masuk ke kediaman Hajah Suraya namun sempat ditahan oleh sepupunya, Aiman.

“Aqif, kau jangan. Kang tak pasal-pasal kau kena kapak dengan bakal mertua kau!” tegah Aiman apabila melihat Aqif yang sudah berkira-kira mahu meluru keluar dari kereta.

“Man, kau rasa Risa setuju tak?” tanya Aqif dengan wajah yang kusut.

“Beb kau ni kenapa? Mestilah setuju. Dia yang suruh kau datang meminang kan?” Aiman sudah mencerun memandang Aqif yang sudah tak senang duduk. Bagaikan ada duri yang terlekat dipunggungnya kini.

“Macam mana kalau parents dia tak setuju?” Aqif sudah memikirkan yang bukan-bukan. Bimbang jika ibubapa Risa tidak menyukai dirinya.

“Kau cari lainlah” jawab Aiman sambil ketawa lepas.

“Oii agak-agaklah! Aku tengah risau ni!” Aqif sudah mencekak kolar baju Melayu teluk belanga Aiman. Geram dengan sepupunya yang suka menyakat.

“Oit tercekik aku!” Aiman menepis tangan Aqif yang masih mencekak kolar bajunya. Dia sebenarnya agak terkejut dengan kelakuan agresif sepupunya itu. Dia faham akan debaran yang sedang melanda sepupunya kini.

“Kau doa banyak-banyak yang diorang setuju yang kau nak tunang  dua bulan je sudah” tambah Aiman sambil menepuk bahu Aqif yang masih runsing.

Dari kejauhan kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berlari kearah mereka. Sepupu mereka yang paling muda, Khairi segera menjengahkan kepala ke tingkap kereta mereka.

“Abang Aqif! Mak suruh beritahu abang yang diorang setuju” lancar Khairi yang berumur lapan tahun itu menuturkan kata-kata yang ditunggu-tunggu oleh Aqif sejak dari tadi.

“Alhamdulillah” serentak Aqif dan Aiman mengucapkan syukur. Ketahuilah pernantian itu suatu penyeksaan.

“Ha..abang ingat apa tu?” tegur Puan Risa kepada Encik Aqif yang tersenyum-senyum sejak tadi.

“Tak ada apalah. Kita bawa cincin sajakan?” tanya Encik Aqif sengaja mengubah topik.

“Haah. Saja je Mia tu nak yang ringkas” balas Puan Risa. Permintaan Mia yang hanya mahu disarungkan cincin tanda pertunangan disambut baik oleh dia dan Encik Aqif. Puan Risa sendiri kurang berkenan dengan budaya majlis tunang yang dirai mengalahkan majlis kahwin di Malaysia kini.



Cincin platinum jenama Cartier koleksi Solitaire 1895 bakal disarungkan ke jari manis Mia Hana Binti Muqri Hakim itu dipandang dengan penuh kasih oleh Iqram. Biarpun hanya cincin tunang, Iqram mahukan yang terbaik untuk bakal suri hatinya. Dia menutup bekas cincin itu dengan cermat dan dia menghulurkannya kepada mamanya yang sudah bersiap untuk ke rumah Datuk Muqri.

“Nah mama, cincinnya” Iqram menghulurkan bekas cincin itu kepada Puan Risa yang sedang menyembur wangian Lola dari Marc Jacob dipergelangan tangannya.

“Eh Qayyum, bila masa pula Qayyum beli cincin ni? Mama ingat nak bagi cincin mama je” kata Puan Risa lalu mengambil bekas cincin dari tangan anaknya.

“Dah lama juga Qayyum beli. Cincin ni memang khas untuk Mia” Iqram tersenyum kearah mamanya yang terkejut dengan bekas cincin jenama Cartier itu.

“Kalau macam tu okaylah. Jom turun, ayah kamu mesti dah tunggu kat bawah. Tadi punya semangat dia nak pakai baju Melayu baru semata-mata nak pergi meminang Mia untuk kamu” Puan Risa ketawa kecil mengingatkan gelagat Encik Aqif yang tak sabar-sabar hendak meminang anak angkatnya sendiri.

Iqram hanya mengangguk dan menuruti mamanya yang sudah turun dari tingkat atas banglo mereka. Dalam hati dia turut berdebar memikirkan tentang pertunangannya dan Mia Hana. Sudikah Mia untuk menjadi miliknya dalam masa terdekat ini?



“Apa?! Nak bertunang sebulan je? Habis tu papa setuju ke?” Mia sudah tidak senang duduk apabila papanya menyatakan yang keluarga Iqram mahukan mereka berkahwin setelah sebulan bertunang.

“Mia tak setuju ke?” Datuk Muqri memandang wajah resah anak gadisnya. Mia jelas kali kurang bersetuju untuk disatukan dalam masa yang terdekat ini kerana banyak hal yang perlu diselesaikan selain dari majlis kahwinnya.

“Memang tak setuju! Ya Allah, macam mana ni papa?” Mia memandang cincin pertunangannya yang sudah tersarung di jari manisnya. Hatinya terpaut dengan rekaan ringkas tapi elegan cincin itu. Hatinya yang resah cuba ditenangkan dengan beristighfar.

“Risa pesan jangan risau sebab dia akan tolong Mia buat semua persiapan. Kamu ni jangan fikir banyaklah” nasihat Datuk Muqri sambil mengusap kepala Mia.Anaknya nampak cantik dengan baju kurung berwarna putih gading dan dipadanan dengan tudung putih labuh.

“Bukan apa papa..Mia tak rasa Mia dah sedia nak jadi isteri Iqram” balas Mia sambil memandang papanya yang nampak tenang. Papanya memang sentiasa tenang bukan sepertinya yang kadangkala suka berfikiran negatif.

“Mia, papa pasti yang Mia dah bersedia cuma Mia kurang yakin sajakan?” Datuk Muqri memeluk bahu anak gadisnya sambil memandang Mia dengan penuh kasih. Anak yang dahulunya terabai selepas kematian isterinya kini sudah berjaya dalam kerjaya dan kini bakal menjadi suri hati orang lain.

“Iqram seorang lelaki yang baik. Sepanjang dia bekerja dengan papa, papa tengok dia seorang yang pandai membawa diri dan menghormati orang lain. Pekerja bawahannya juga senang dengannya. Peribadinya sebagai seorang Muslim juga membuatkan papa tak teragak-agak untuk menyerahkan anak kesayangan papa ini kepada dia. Iqram yang papa kenal tak pernah tinggalkan solat walaupun sibuk bekerja. InsyaAllah dia boleh menjadi ketua keluarga yang baik untuk Mia dan anak-anak Mia nanti” jelas Datuk Muqri panjang lebar. Sejak dari dahulu lagi dia memang berkenan dengan peribadi Iqram yang bagus pada matanya.

“Baiklah papa. Lega hati Mia bila dengar papa cakap macam tu. InsyaAllah Mia dah boleh terima hakikat yang Mia bakal menjadi isterinya sebulan lagi” balas Mia sambil memeluk tubuh papanya. Keyakinan Datuk Muqri terhadap Iqram menyebabkan hati Mia lega dan yakin untuk menerima Iqram Qayyum.

“Eh..eh sempat lagi dia nak manja-manja dengan papa? Budak manja ni la..habislah Iqram nak layan” usik Muiz sambil melangkah masuk ke kamar adiknya. Datuk Muqri hanya tersenyum memandang anak terunanya yang segak berbaju Melayu berwarna kuning. Bergaya ala Diraja katanya. Nasib baik tidak dipadankan dengan sampin, tengkolok dan keris kalau tak mahu serupa sultan.

“Muiz pula bila nak kenalkan calon isteri Muiz?” sengaja Datuk Muqri mengutarakan soalan cepumas kepada anak terunanya yang suka mengacau Mia. Mia ketawa mengejek apabila meliht abangnya yang sudah terkulat-kulat.

‘Padan muka! Kacau orang lagi! Syabas papa!’ getus hati Mia.

“Err belum ada lagi la papa..tak apa biar Mia kahwin dulu” balas Muiz sambil mencubit pipi Mia. Geram apabila adiknya itu mengetawakannya. Mia menjeling Muiz sambil mengusap pipinya yang pijar dicubit abangnya.

“Ala sekarang ni je abang boleh kacau Mia. Nanti bila Mia dah kahwin, biar Iqram take over” kata Muiz sambil mengambil tempat disebelah kanan adiknya.

“Abang..” Mia memeluk abangnya kemas. Hatinya sayu memikirkan yang masanya untuk bersama abangnya akan berkurangan setelah dia mendirikan rumah tangga. Matanya mula bergenang dengan air mata.

“La..nangis buat apa? Nak abang pindah duduk sekali dengan Mia ke nanti lepas kahwin?” Muiz kaget apabila melihat Mia sudah menangis teresak-esak. Datuk Muqri hanya menggeleng kepala melihat telatah anak-anaknya.

“Dah tak payah nak nangis! Apa ni..lagi sebulan nak kahwin dah buat sad love story. Kalau Mia rindu abang, just call me and I’ll be there ASAP okay?” pujuk Muiz sambil mengesat air mata Mia. Mia hanya mengangguk mendengarkan pujukan Muiz itu.

“Abang tinggal dengan Mia ye nanti?” pinta Mia dalam sendu. Muiz memandang dengan muka tidak percaya. Tak sangka adiknya akan membuat permintaan yang agak tak boleh blah.

“Oiii agak-agaklah weh! Mia ni takkan nak berkepit je dengan abang walaupun dah lepas kahwin dengan Iqram? Ah takde..abang duduk sini dengan papa. Kalau Mia rindu datang je sini. Iqram tu bukan diktator nak rantai kaki Mia” nasihat Muiz sambil memegang bahu Mia. Mia hanya tersengih mengingatkan permintaannya yang agak keterlaluan.

“Hee..Mia gurau je tadi. Saja nak tengok abang sanggup tak berpisah dengan Mia” kata Mia sambil tersengih kepada Muiz. Muiz mencubit pipi Mia geram. Haru juga jika Mia benar-benar mahukan dia tinggal bersama apabila sudah berkahwin.

“Lagi sebulan je Mia..lepas tu kita kena panggil Mia, Puan Mia Hana” usik Muiz lagi. Datuk Muqri hanya ketawa kecil apabila melihat Mia yang sudah memuncung tanda protes. Tak suka digelar ‘Puan’ oleh abangnya.

‘Maisarah, anak kita dah nak kahwin’ bisik Datuk Muqri dalam hati. Dirinya kini bahagia melihatkan kedua anaknya kini berada dekat dengannya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...