Tuesday, April 16, 2013

Kisah Kita - Bab 32

Taken from here 


Mia duduk termenung di birai katilnya. Abangnya sudah melaporkan diri untuk bertugas hari ini maka tinggallah dia bersama-sama Makcik Kartika dan pembantu-pembantu rumahnya yang lain di Teratak Damai. Lagi tiga minggu baharulah dia akan melaporkan diri di IJN. Mia bangun lalu mengemaskan katilnya. Sejak selepas Subuh tadi, dia hanya membaca novel sambil berbaring diatas katilnya. Sudah lama dia tidak bermalas-malasan sejak dia tamat belajar dahulu.

Mia meletakkan novel yang sudah habis dibacanya itu semula ke rak buku. Rak buku yang berwarna putih itu penuh dengan novel-novel tempatan dan luar negara. Buku-buku ilmiah juga turut memenuhi ruang di rak buku Mia. Mia memang suka membaca dan mengumpul pelbagai jenis buku. Hobinya itu turut dikongsi dengan papanya. Di Teratak Damai, terdapat sebuah perpustakaan ditingkat bawah tanah rumah mereka. Perpustakaan itu turut menjadi bilik bekerja Datuk Muqri dan tempat mereka beriadah suatu ketika dahulu, ketika arwah mamanya masih hidup.

Perbualannya dengan Iqram ketika kenduri doa selamat dirumahnya minggu lepas membuatkan fikiran Mia sedikit terganggu. Lelaki itu masih berjaya mengusik hatinya walaupun sudah tujuh tahun dia tidak bertemu muka dengan lelaki itu. Pada malam itu hatinya terusik dan membuatkan otaknya semakin berserabut.


Malam itu, baik Iqram atau Mia, kedua-duanya hanya membisu sambil menunduk memandang kaki sendiri. Masing-masing kelu untuk memulakan bicara.

‘Ah sudah, tak leh jadi ni’ getus Iqram dalam hati. Dia mula berdehem kuat untuk menarik perhatian Mia.

“Err..Mia sihat?” soal Iqram sambil memandang sekilas kearah Mia yang duduk di bangku berdekatan dengan bangku yang didudukinya.

“Alhamdulillah sihat.” Mia menjawab pendek sambil kakinya menguis-guis tanah. Dia masih menunduk memandang kaki sendiri. Terasa malu pula untuk bertentangan mata dengan Iqram.

“Masih marahkan kita ke?” tanya Iqram lagi. Dia agak berkecil hati apabila Mia tak melayannya sebagaimana Mia melayan Doktor Hariz tadi. Mia dan Doktor Hariz nampak mesra tapi kaku pula bila berdepan dengannya.

Mia hanya menggelengkan namun dia masih tak sanggup memandang Iqram. Hatinya bergetar kuat apabila terasa jejaka itu sedang memerhatikan dirinya. Dalam diam dia beristighfar untuk menenangkan hatinya. Dia sendiri keliru dengan perasaannya terhadap Iqram Qayyum.

“Kenapa? Dah tak suka nak pandang kita ke? Tak apalah.” Iqram bingkas bangun dari bangku itu. Dia sudah terlalu kecewa dengan reaksi Mia terhadapnya. Benci sangatkah gadis itu terhadapnya sehinggakan tak sanggup memandang mukanya lagi?

“Iqram!” Mia terjerit kecil apabila Iqram mula bangun dan hendak melangkah pergi. Namun tak sanggup pula dia hendak menarik tangan Iqram untuk menghalang lelaki itu meninggalkannya. Iqram yang tidak meneruskan langkahnya itu melegakan hati Mia. Iqram menoleh dengan muka meminta penjelasan.

“Mia dah tak marah dengan Iqram tapi Mia rasa malu nak berdepan dengan Iqram sebab kita dah lama tak jumpa” jelas Mia panjang lebar sambil memandang tepat ke wajah Iqram. Iqram memandang lama ke wajah yang sentiasa menghiasi mimpinya sejak dahulu lagi. Mencari kebenaran dalam setiap butir kata-kata yang diluahkan oleh Mia tadi. Mia tertunduk malu apabila perasan dirinya diperhatikan lama oleh Iqram.

“Betul ke? Jadi kenapa tak pernah balas emel kita? Kenapa tak cuba contact kita? Tiap-tiap kali birthday Mia kita cuba call Mia tapi Mia tak pernah nak jawab. Kenapa Mia buat macam tu?” tanya Iqram bertubi-tubi. Perasaan marah, geram dan rindu kini bercampur baur didalam hatinya.

“Nak jawab apa emel Iqram kalau tiap kali pun hantar gambar Einstein? Lagipun Mia malulah nak contact Iqram dulu. Pasal yang call tu Iqram call nombor mana? Handphone Mia kan Mia tinggal kat Malaysia ni!” balas Mia geram. Dia menyilangkan tangannya sambil memusingkan badannya membelakangi Iqram yang ternganga.

Iqram terkedu memikirkan jawapan yang diberikan Mia tadi. Otaknya berusaha keras untuk menghadam segala maklumat yang baharu diterimanya. Salah diakah selama ini? Adakah dia tak cukup berusaha untuk berhubung semula dengan gadis ini? Baru dia perasan yang selama ini dia hanya berhubung dengan Muiz melalui emel dan Skype. Dia tak pernah tahu pun nombor telefon dua beradik itu ketika di London.

“Mia..maafkan kita” ucap Iqram ikhlas. Mia masih kaku membelakangi Iqram. Marahnya mula mengendur tapi hatinya masih sakit bila memikirkan seperti dirinya dipersalahkan oleh Iqram. Mia menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan untuk menenangkan hatinya.

“Hmm sudahlah tak guna kita nak bergaduh lagi. Einstein sihat?” tanya Mia sambil memandang sekilas ke muka Iqram. Iqram kembali duduk ditempat duduknya tadi sambil memusingkan badannya menghadap Mia.

“Alhamdulillah sihat. Tu la peneman tidur kita dan alarm clock untuk bangun Subuh” jawab Iqram dengan nada gembira. Sengaja dia menciptakan suasana yang ceria untuk dia dan Mia. Lega hatinya apabila Mia mula tersenyum kembali kearahnya.

“Mesti makin comel kan? Mia rindu kat dia” Mia teringatkan Einstein yang menjadi peneman waktu rehatnya ketika berada tingkatan empat dahulu.

“Einstein je ke? Kat kita?” soal Iqram sambil tersenyum nakal kearah Mia. Muka Mia sudah memerah apabila melihat senyuman menggoda Iqram. Hati Mia bergetar hebat sekali lagi.

‘Adoilah..ni mesti sahabat yang ketiga tu dah datang’ getus Mia dalam hati.

“Hmm Iqram, tak eloklah kita berdua-duaan macam ni.” Mia sudah berasa tidak selesa dengan keadaan mereka yang berdua-duaan dihadapan kolam ikan koi ini. Ramai tetamu yang sudah beransur pulang dan kelihatan papanya dan ibubapa Iqram sibuk melayan tetamu. Muiz, Hamdan dan Firdaus pula masih galak berborak dimeja bulat dihujung laman.

“Mia kita ada sesuatu yang kita nak cakapkan dari dulu.” Iqram memandang Mia yang sudah mula berdiri. Mia hanya memandang Iqram dengan wajah yang malu-malu.

“Mia tahu tak yang kita sukakan Mia dari dulu?” Persoalan Iqram itu menyebabkan Mia menunduk malu.

“Ye kita sukakan Mia sejak kita mula duduk sebelah Mia. Perasaan tu tak pernah berubah sampailah sekarang. Mia sukakan kita tak?” Iqram memandang Mia meminta jawapan.

“Kalau Iqram tanya suka atau tak, Mia akan jawab suka. Tapi Mia masih keliru sama ada Mia cintakan Iqram ataupun tidak” jawab Mia jujur. Dia sememangnya masih keliru terhadap perasaannya sendiri. Iqram ada tempat dihatinya namun dia tidak tahu sedalam manakah perasaannya terhadap lelaki itu.

Okay kita nak tanya. Kalau Mia nampak kita berjalan berdua-duaan dengan perempuan lain Mia cemburu tak?” Iqram sudah mula menguji hati Mia.

“Tak kalau perempuan mama Risa” jawab Mia sambil berloyar buruk. Mia tersengih memandang wajah Iqram yang menahan geram.

“Ish budak ni! Jawab elok-elok okay?” marah Iqram. Dalam hatinya dia menahan tawa. Tak sangka Mia sudah pandai bergurau dengannya.

“Yelah. Cemburulah” jawab Mia sambil mencebik. Geram kerana Iqram memarahinya.

“Kalau nampak kita layan perempuan lain kecuali mama dengan mesra Mia cemburu tak?”

“Cemburu”

“Kalau kita hilang tiba-tiba Mia rindu tak?”

“Hilang pergi mana? Kalau pergi tandas tak kot” jawab Mia yang masih cuba berlelucon

“Mia!”

“Rindulah! Kalau Iqram tiba-tiba hilang, Mia pergi cari” jawapan Mia itu menerbitkan senyuman diwajah Iqram. Sah gadis itu turut berkongsi perasaan yang sama dengannya. Mia menekup mulut dengan kedua-dua belah tangannya apabila tersedar yang dia sudah terlepas cakap.

“Okay confirm kita bertunang bulan depan!” Iqram terus membuat keputusan setelah mendapat jawapan yang ditunggu-tunggu dari Mia.

“Hah?!” Terkejut gorila Mia apabila mendengarkan keputusan Iqram yang agak mendadak baginya. Belum hilang lagi jet lag dia kini sudah dikejutkan dengan keputusan Iqram yang agak tidak masuk akal.

“Kenapa nak kahwin terus ke? Abang tak kisah” balas Iqram dengan senyuman senget bajet playboy.

“Iqram tak rasa mendadak sangat ke?”

“Tak sebab dah tujuh tahun Iqram tunggu Mia. Iqram tak nak Doktor Hariz atau lelaki lain dapat Mia dulu. Kalau ikutkan hati, malam ni juga Iqram jumpa papa minta izin nak nikah dengan Mia” Iqram menyatakan hasrat hatinya sambil matanya memandang tepat ke wajah Mia. Wajah Iqram tanpa senyuman itu menunjukkan betapa seriusnya lelaki itu dengan keputusan yang baru dibuatnya.

“Iqram..bagi Mia masa untuk fikir dulu boleh? Mia serabut sangat sekarang” pinta Mia sambil memandang Iqram. Wajah Iqram berkerut-kerut memikirkan jawapan yang baru diterima dari Mia. Seketika kemudian barulah wajah itu kembali tenang.

“Baiklah kalau itu yang Mia nak. Kalau boleh jangan lama sangat ye?” Iqram tersenyum sambil memandang Mia.

“InsyaAllah” jawab Mia pendek.

Kini sudah seminggu dia memikirkan tentangan cadangan Iqram yang mahu meminangnya. Sudah seminggu juga dia bersolat istikarah dan dia mendapat jawapan yang sama. Terus Mia mencapai telefon bimbitnya lalu mendial nombor Iqram. Lama juga dia menunggu sebelum Iqram menjawab panggilannya.

“Assalamualaikum Mia” Iqram terus memberi salam sebaik sahaja mengangkat telefon. Lebih-lebih lagi nama Mia yang terpapar di skrin telefon bimbitnya.

“Waalaikumussalam. Iqram, Mia dah buat keputusan” Mia menarik nafas dalam-dalam. Iqram dihujung talian pula sudah mula keluar peluh dingin didahinya.

“Mia setuju bertunang dengan Iqram.” Dengan satu nafas Mia berjaya menamatkan debaran menggila dari jantung Iqram.

“Alhamdulillah” Iqram mengucap syukur. Hatinya berbunga riang. Terasa ingin sahaja dia melompat dan mengumumkan kepada dunia yang gadis yang ditunggu selama ini kini bakal menjadi suri hidupnya.

“Baiklah. Nanti kita bincang dengan mama dan ayah kita untuk hantar rombongan meminang ye? Terima kasih sebab sudi terima kita” ucap Iqram. Bibirnya menguntum senyuman bahagia.

“Mia yang patut ucap terima kasih sebab Iqram sudi tunggu Mia” jawab Mia malu-malu.
               
“Kira tak sia-sialah kita tunggu Mia. Baiklah Mia, kita nak kena masuk balik bilik mesyuarat sebab tengah meeting ni. Nanti apa-apa kita call Mia okay? Assalamualaikum” Iqram menamatkan talian setelah Mia menjawab salamnya. Iqram sudah merangka perancangannya untuk meminang Mia didalam otaknya. Akhirnya detik yang ditunggu bakal muncul tak lama sahaja lagi. Iqram tersenyum lebar sambil melangkah masuk ke bilik mesyuarat.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...