Sunday, September 22, 2013

Kisah Kita - Bab 56

taken from here 

Enam tahun kemudian..

Syazrina menarik bagasinya menuju ke pintu utama lapangan terbang antarabangsa. Sengaja dia merahsiakan kepulangannya dari pengetahuan sesiapa. Pulangnya setelah menamatkan pengajian di Seoul National University dan berkhidmat selama 3 tahun di negara orang.

“Rin!” Mahu terbeliak mata Syazrina melihat kelibat Muiz yang berlari-lari mendapatkannya. Dah macam ketika menghantarnya ke Korea Selatan dulu lagaknya. Apa yang membuatkan dia bertambah pelik, macam mana Muiz tahu yang dia akan pulang hari ni? Fuh, misteri..

“Dah tutup mulut kau, ternganga punya luas bila nampak aku. Bak sini beg!” Muiz segera menarik bagasi Syazrina dan terus berjalan meninggalkan Syazrina yang masih tercengang. Syazrina mula berlari anak untuk bersaing dengan Muiz yang langkahnya ternyata lebih panjang.

“Muiz, macam mana..” belum sempat Syazrina menghabiskan ayatnya Muiz sudah mencelah.

“Twitter” jawab Muiz pendek dengan pandangan mengejek. Syazrina segera mengeluarkan telefon pintarnya. Mesej selamat tinggal dari sahabatnya, Chan Hee di laman Twitter berserta dengan gambar dia bersama rakan-rakannya ketika jamuan perpisahan semalam dipandang geram. Tapi macam mana Muiz tahu penerbangan yang mana dia ambil?

“Dahlah tak payah nak fikir lebih-lebihlah. Jom” Muiz memasukkan bagasi Syazrina ke dalam boot keretanya. Ferrari California 30 berwarna biru milik Muiz dipandang dengan pandangan tidak percaya. Selama lima tahun dia di Korea Selatan, boleh kata dalam setahun mahu dua, tiga kali Muiz akan datang bersama-sama dengan bonda dan abang-abangnya untuk melawatnya. Kadangkala Muiz datang sendiri mengatakan dia ada urusan perniagaan. Tapi memang betul pun, Morse Hotel yang dibuka di daerah Gangnam-gu bertaraf lima bintang milik syarikat Morse Holding. Hotel yang bercirikan Islam satu-satunya di Korea Selatan dan dia tahu Muiz sering berulang-alik dari Malaysia ke Korea Selatan bukan hanya kerana ingin bertemu dengannya.

“Kenapa? Tak suka aku datang ambil kau ke?” tanya Muiz geram setelah melihat gadis itu hanya terpaku dihadapan pintu keretanya. Syazrina memandang Muiz pelik. Hairan tiba-tiba sahaja Muiz marah.

“Yelah mana tahu kalau kau nak Tengku Hazeem yang datang ambil kau,” sindir Muiz dengan mimik muka yang masam. Sengaja dia menekan nama Tengku Hazeem untuk melihat reaksi Syazrina. Penat dia mengorek maklumat penerbangan dari sahabat Syazrina di Seoul. Tambahan pula dia sanggup membatalkan janji temu dengan klien semata-mata untuk menjemput gadis pujaannya tapi dia hampa dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Syazrina.

Syazrina berusaha untuk menahan tawa. Kelakar melihat ahli perniagaan yang terkemuka di Malaysia kini merajuk dan lagaknya seperti budak-budak yang tak dapat gula-gula. Segera dia mengambil tempat disebelah Muiz yang masih merajuk.

“Dah tunggu apa lagi? Jomlah, laparlah” ujar Syazrina lalu menghadiahkan senyuman manis buat Muiz. Muiz menguntum senyum memandang Syazrina. Senang sangat hatinya terpujuk dengan gelagat gadis yang bertudung itu.

“Nak makan apa? Korean food?” tanya Muiz dengan suara yang teruja. Enjin kenderaan dihidupkan dan Ferrari California 30 miliknya laju meninggalkan lapangan terbang antarabangsa.

“Ek eleh, dah bertahun aku dok telan Korean food takkan lah balik Malaysia nak telan Korean food lagi? Nak makan Malaysian food la!” Muiz hanya mengangguk tanpa mengalihkan pandangan dari jalanraya.

“Balik rumahlah kalau macam tu,” ujar Muiz dengan senyuman. Syazrina memerhatikan sisi muka Muiz yang kacak memakai kacamata Ray-Ban. Terpaku sekejap dengan kekacakan jejaka disebelahnya kini. Muiz yang sedar dirinya diperhati Syazrina hanya tersenyum.

“Woi kau dengar tak?” tanya Muiz sambil mengipas-gipas tangannya dimata Syazrina yang masih terpaku. Ketika itu keretanya yang sedang berhenti dilampu isyarat.

“Hah? Apa benda?” Syazrina yang malu cuba mengawal gugupnya dengan berdehem.

“Aku hantar kau balik rumah terus okey? Bonda kau dah siap masak dah. Konon nak surprisekan orang..” Muiz mengetawakan Syazrina yang masih malu. Tadi dia sudah memaklumkan kepada bonda Syazrina yang dia akan menjemput gadis itu di lapangan terbang. Abang-abang Syazrina juga sudah sedia menanti gadis itu dirumah mereka.

“Oh ye? Hehe rindu nak jumpa bonda.” Syazrina tersenyum mengingatkan bondanya yang sering risau akan dirinya. Mana tak risau, satu-satunya anak gadis dalam keluarga belajar di luar negara dan tamat sahaja pengajian tidak mahu terus balik ke Malaysia. Sungguhnya Syazrina ingin mengambil peluang mencari pengalaman bekerja di negara orang. Mujur sahabatnya, Lee Chan Hee membantunya mendapatkan pekerjaan di syarikat kejuruteraan milik keluarga Chan Hee di Korea Selatan. Di sana banyak ilmu dan pengalaman ditimba. Kagum dengan teknologi dan kegigihan orang sana dalam mengkaji dan mencipta teknologi baharu.

“Teringat pakwe kat Korea ke? Dah tak usah mimpi nak balik sana balik. Bonda gerenti ikat kaki kau kat Malaysia,” tegur Muiz setelah melihat Syazrina yang agak lama mendiamkan diri. Teringat sahabat Syazrina, Lee Chan Hee yang sering bersama dengan gadis itu setiap kali dia ke Korea Selatan. Cemburu bukan main apabila melihat Syazrina melayan Chan Hee dengan mesra di hadapannya. Namun dia bersyukur kerana Syazrina mengatakan yang dia hanya menganggap Chan Hee sebagai sahabatnya apabila ditanya oleh bondanya.

“Haah dah la ramai pakwe-pakwe hensem aku tinggalkan kat Korea nun. Kau cakap je nak muka macam mana, Lee Jong Suk? Kris? Sehun? Chunji..” balas Syazrina dengan nada mengejek.

“Eleh aku tahu yang aku lagi hensem dari diorang semua tu. Entah original entah plastik,” jawab Muiz tak mahu kalah. Entah nama lelaki Korea mana yang disebut oleh Syazrina membuatkan dia rasa cemburu namun ditahankan sahaja perasaannya.

“Cakap jela kau jealous..” ujar Syazrina dalam nada mengejek. Muiz hanya ketawa sambil menggelengkan kepalanya.

“Apa-apa jelah” Muiz membelokkan keretanya masuk kedalam perkarangan rumah Syazrina. Syazrina yang teruja dapat pulang ke rumah segera mendapatkan bondanya sebaik sahaja keluar dari kereta Muiz.

“Assalamualaikum bonda, rindunya” Syazrina mengetatkan pelukannya pada tubuh bondanya. Puan Norehan hanya tersenyum dengan gelagat anak bongsunya. Lega hatinya kini, satu-satunya anak perempuannya sudah ada di depan matanya.

“Amboi bonda je ke? Kitorang ni macam mana?” tanya Angahnya lalu mendepakan tangannya. Syazrina segera memeluk Megat Syazril.

Group hug!!!” entah dari mana datang abang-abang yang lain turut menerpa memeluknya. Terasa lemas dipeluk sebegini namun dia seronok dapat berjumpa dengan abang-abangnya yang sempoi.

“Udahlah tu bang oii, lemas budak tu!” tegur Kak Zara, isteri Alongnya. Ditepinya terdapat si kecil Megat Zahran yang ketawa suka melihat gelagat ayahnya dan pakcik-pakciknya.

“Betul tu Kak Zara, kang patah balik budak tu ke Korea tu kang!” Kak Amani isteri Angahnya pula menambah. Puteri Adelia yang berada didalam dukungan umminya hanya memandang dengan mata yang bulat.

Kini kesemua abang-abangnya telah mendirikan rumah tangga. Megat Syazrul dan Megat Syazril mendirikan perkahwinan setelah setahun dia di Korea Selatan. Manakala Megat Syazriz, Megat Syazrizal dan Megat Syazrin berkahwin dua tahun selepas itu didalam satu majlis yang sama. Kata bondanya senang supaya dia tak perlu balik banyak kali ke Malaysia semata-mata untuk menghadiri majlis perkahwinan abang-abangnya.

“Okey dah lepas rindu. Jom masuk, aku tahu kau mesti laparkan Acu?” Megat Syazriz menarik tangan adik bongsunya masuk ke dalam rumah. Isterinya Tengku Hanis hanya tersenyum memerhatikan suaminya yang teruja menyambut kepulangan adik kesayangan.

“Weh sorry Muiz, tertinggal pula kau. Meh la masuk,” pelawa Megat Syazrin lalu memaut bahu Muiz. Nasib baik perbezaan ketinggiannya dengan Muiz tidak begitu ketara.

“Takpelah seronok tengok korang buat jejak kasih kat depan rumah tadi. Hahaha..” Sungguh Muiz sukakan suasana meriah di rumah Syazrina. Dirumahnya hanya ada dia dan papanya serta orang-orang gaji. Suasana meriah hanya dapat dirasai apabila Mia dan Iqram pulang ke Teratak Damai dengan anak-anak saudaranya. Sebut pasal anak saudara, kini dia mempunyai dua orang anak saudara iaitu Ikmal Qayyim dan Myra Humairah. Kedua-dua anak saudaranya amat rapat dengannya dan boleh dikatakan setiap minggu dia akan ke rumah Iqram semata-mata untuk bertemu dengan anak saudaranya.

“Terima kasih ye Muiz, sudi pergi jemput Rin ni kat airport. Konon budak ni nak surprise kan kita. Mahu kelam-kabut kami bila si Muiz ni beritahu yang kamu nak balik hari ni Rin. Ikutkan hari ni bonda nak balik kampung, mahu kamu balik tengok rumah kosong takde orang baru kamu tau apa erti surprise,” bebel Puan Norehan geram.

“Hihi kira Rin nasib baiklah ni sebab Muiz sudi nak jemput ye? Thanks ye Muiz,” jawab Syazrina sambil tersengih malu ke arah Muiz. Muiz hanya ketawa dengan gelagat Syazrina yang sering membuatkannya senang hati.

“Amboi, sukanya dia. Jom la ke meja makan, akak dah hidangkan makanan. Jemput makan semua. Muiz jangan malu-malu ye?” Kak Irdina isteri kepada Atehnya menjemput mereka ke meja makan. Sifat kakak-kakak iparnya yang peramah dan ringan tulang sangat disenangi olehnya dan bondanya. Boleh kata setiap kali dia menelefon bondanya, ada sahaja yang diceritakan oleh bondanya tentang kebaikan kakak-kakak iparnya. Setiap kali dia pulang bercuti, dia hanya berehat dan semuanya diuruskan oleh kakak-kakak iparnya yang sedia ramai. Memang bercuti sakanlah!

“Mana malulah Kak Irdina, dah biasa dah makan sini,” balas Muiz dengan senyuman. The Megats memang selalu mengajaknya ke rumah bonda mereka setiap kali mereka berkumpul. Al-maklumlah masing-masing dah punya keluarga dan bila berkumpul sekali memang meriah dan Muiz tidak pernah dianggap sebagai orang luar.

“Jomlah makan kang masuk angin pulak budak Korea tu,” gurau Megat Syazriz lalu bangun menuju ke meja makan. Syazrina hanya ketawa dengan usikan Alangnya. Tiba-tiba langkahnya ke meja makan terhenti. Bondanya memandangnya dengan muka pelik.

“Alamak, bagasi Rin dalam boot kereta Muiz!” Syazrina segera berlari keluar dari rumah namun tak sampai seminit, dia kembali mendekati Muiz.

“Muiz, nak kunci kereta?” Muiz tergelak besar dengan gelagat Syazrina yang sangat kelakar padanya. Comel pula muka gadis itu ketika malu-malu meminta kunci kereta daripadanya.

“Why don’t you just sit here and take your lunch? I’ll help you with the luggage later okay?” kata Muiz sambil bangun menarik kerusi mempelawa Syazrina duduk. Syazrina yang masih malu-malu duduk di kerusi yang ditarik oleh Muiz sambil diperhati oleh abang-abang dan kakak-kakak iparnya dengan pandangan yang tak dapat diterjemah oleh akalnya. Bondanya pula hanya menayang muka selamba.

“Okay mari makan. Muiz baca doa makan,” arah Puan Norehan lalu menadah tangan untuk berdoa. Muiz menganggukkan kepala sebelum memulakan bacaan doa. Syazrina yang duduk berhadapan dengan Muiz sempat mencuri pandang ke arah jejaka itu. Dalam diam dia gembira dapat makan bersama keluarga dan juga insan yang sudah mendapat tempat dihatinya.



“Mommy, daddy said we will go picnic later in the evening. But why he’s still not home?” petah Ikmal bertanya kepada Mia yang sedang memasak didapur. Mia hanya tersenyum mendengarkan pertanyaan putera kecilnya. Myra yang hanya mengikut abangnya mengingatkan tentang dia dan Muiz ketika kecil dahulu.

Ikmal, insyaAllah daddy will be here in 10 minutes. He called me just now. Myra dah mandi ke belum?” Myra hanya menganggukkan kepalanya. Myra seorang yang pendiam tak seperti abangnya Ikmal yang petah berbicara.

“Tapi abang tak mandi lagi,” perlahan Myra menuturkan kata-kata. Ikmal hanya tersengih melihat ibunya yang sudah menjengilkan mata kepadanya.

“Alah mommy, pagi tadi kan dah mandi. Abang bukan main kat luar pun,” balas Ikmal mempertahankan diri.

“Tapi tadikan kita dah panjat..”belum sempat Myra menghabiskan kata-kata, mulutnya dipekup oleh Ikmal.

“Panjat apa?!” Mia sudah mencekakkan pinggang dihadapan kedua-dua anaknya.Bukan dia tak tahu yang anak-anaknya suka memanjat pokok rambutan dibelakang rumah mereka.Pokok rambutan yang ditanam oleh bapa mertuanya itu memang selalu menjadi tempat bermain Ikmal dan Myra walaupun beberapa kali ditegah olehnya. Bimbang jika mereka terjatuh ketika memanjat dan bergayut dipokok itu.

“Panjat pokok,mommy,” Ikmal mengaku sambil menundukkan kepalanya. Takut hendak bertentang mata dengan ibunya yang dah mula menyinga. Mia memandang kedua-dua anaknya yang sudah menikus. Mia menundukkan sedikit badannya supaya sama paras dengan ketinggian Ikmal dan Myra.

“Ikmal, Myra dengar sini. Mommy marah bukan sebab mommy tak sayang kamu. Bahaya tahu panjat pokok? Kalau jatuh nanti berdarah macam mana? Sakit pula tu,” ujar Mia sambil mengusap kepala kedua-dua anaknya.

“Baik mommy,” jawab Ikmal dan Myra serentak. Mia tersenyum lalu mengucup pipi kedua-dua putera dan puterinya.

“Mia dah siap dah ke kek tu?” tanya Puan Risa sambil mencubit geram pipi Ikmal dan Myra.

“Nenek! Atuk tak balik lagi ke?” Ikmal segera duduk diriba neneknya. Myra pula hanya mengekor abangnya.

“Dah, atuk kat taman tu.” Puan Risa mengusap kepala Ikmal dengan penuh kasih. Cucu sulungnya itu memang rapat dengannya. Myra pula agak pemalu namun agak manja dengan datuknya.

“Okeylah abang nak pergi cari atuk. Adik, jom!” Ikmal menarik tangan Myra untuk mengikutnya. Tersenyum senang Puan Risa dengan gelagat cucu-cucunya. Ikmal sangat melindungi adiknya dan akan pastikan adiknya sentiasa ada dihadapan matanya. Siapa yang cuba membuli Myra pasti akan kena dengan Ikmal.

“Kek dah siap dah mama. Mia tengah bakar Shepherd pie.” Mia menghidangkan teh hijau untuk ibu mertuanya.

“Petang –petang ni teringat pula kat arwah nenek,” sayu Puan Risa bersuara. Mia yang sedang menuang air teh turut merasa kesedihan. Hajah Suraya sudah selamat kembali ke rahmatullah dua bulan yang lepas dek sakit tua.

“Mia pun mama. Malam ni kita baca Yasin untuk arwah nenek ye mama?” pujuk Mia lalu mengesat air mata ditubir matanya.

“Eh sayang kenapa nangis ni?” Iqram yang baharu sahaja pulang terkejut melihat mama dan isterinya menangis didapur. Macam kena dera pun ada.

“Tak ada apa la abang, rindu kat arwah nenek je.” Mia segera menyalami tangan Iqram setalh Iqram bersalaman dengan Puan Risa.

“Abang pun rindu. Hmm mana budak-budak sunyi je rumah,” tanya Iqram lalu mengucup dahi isterinya. Puan Risa hanya buat-buat tak nampak. Tahu sangat sifat romantis anaknya itu diwarisi dari ayahnya.

“Budak-budak kat luar dengan atuknya. Abang pergilah mandi panggil sekali Ikmal. Kita kan nak pergi picnic petang ni?”saran Mia lalu menolak perlahan tubuh Iqram untuk keluar dari dapur.

“Yelah-yelah..baru nak manja-manja dengan dia. Abang pergi panggil Ikmal ye sayang?” Iqram mencium pipi Mia yang malu-malu lalu mengenyitkan sebelah matanya sebelum beredar mencari anak sulungnya. Mia hanya tersenyum dengan gelagat suaminya.

“Hmm macam-macam bapak budak tu. Mia nak tambah apa-apa lagi tak?” tanya Puan Risa sambil memasukkan makanan ke dalam bakul rotan.

“Rasanya dah tak ada apa-apa. Mama, Mia naik atas dululah ye? Nak solat sekejap” Puan Risa hanya tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Mia menantu yang sopan dan menyenangkan hatinya. Sejak dulu lagi dia melayan Mia seperti anak perempuannya sendiri. Kurang sedikit kesedihannya apabila ada anak, menantu dan cucu yang tinggal bersamanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...