Tuesday, August 13, 2013

Kisah Kita - Bab 51

taken from here  

Sudah seminggu sejak insiden sampul surat tidak beralamat itu berlaku. Hubungan Syazrina dan Hazeem masih baik dan Hazeem masih lagi dalam proses memikat gadis itu walaupun berkali-kali Syazrina menyatakan yang mereka hanya sesuai berkawan baik.

Hazeem menelek jam tangannya, dia ada temu janji dengan seorang klien syarikat papanya. Sejak sebulan yang  lepas, papanya telah menyuruhnya kembali bekerja di syarikat milik mereka dan dia terpaksa mengikut perintah papanya walaupun dia tidak begitu meminati bidang perniagaan.

“Assalamualaikum, Encik Hazeem ke?” seorang lelaki berumur awal 20an mendekati Hazeem lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Hazeem berdiri menyambut kedatangan klien papanya itu.

“Waalaikumussalam, Encik Salleh. Sila duduk,” pelawa Hazeem lalu memanggil pelayan untuk mengambil pesanan. Mereka memulakan perbincangan setelah air yang dipesan tiba. Selepas sejam, Encik Salleh meminta diri memandangkan perbincangan mereka sudah tamat dan hanya perlu berjumpa sekali lagi untuk menandatangani perjanjian.

Hazeem berjalan-jalan disekitar pusat membeli-belah tanpa arah tujuan. Terasa malas untuk kembali ke pejabat memandangkan dia sudah memaklumkan yang dia tidak akan masuk ke pejabat hari ini. Bekerja dengan papanya sememangnya fleksibel namun dia rindukan pekerjaannya dahulu.

Sedang dia berjalan menyusuri butik-butik pakaian yang terdapat disitu, matanya tertancap pada kelbat seseorang yang amat dikenalinya.

“Rin..” baharu sahaja dia mahu mendekati gadis itu seorang lelaki dengan selamba memaut bahu Syazrina dengan mesra. Apa yang membuatkan Hazeem semakin terbakar ialah Syazrina langsung tidak menepis tangan lelaki itu malahan nampak gembira disamping lelaki yang memaut bahunya.

“Tak sangka aku buta dengan kebaikan dia selama ni,” monolog Hazeem sendiri sebelum meninggalkan pusat beli-belah itu dengan langkah yang kecewa.

Syazrina yang asyik memerhatikan abaya-abaya dari luar butik terkejut apabila Megat Syazrin memaut bahunya mesra. Hubungannya dengan abangnya itu memang mesra sejak kecil lagi.

“Ateh ni, terkejut Rin. Dah siap dah membeli?” Syazrina tersenyum melihatkan beg-beg kertas ditangan abangnya. Megat Syazrin memang suka membeli-belah dan tak lokek mengeluarkan belanja untuknya.

“Rin nak abaya tu ke? Jom kita masuk tengok jom,” Megat Syazrin menarik tangan adiknya masuk ke dalam butik abaya. Syazrina hanya menurut langkah abangnya yang tak kenal penat apabila mula membeli-belah boleh kalah perempuan.

“Rin, nah pergi cuba abaya-abaya ni,” Megat Syazrin menghulurkan lima abaya yang dipilihnya kepada Syazrina. Pelbagai corak dan fesyen abaya dipilih oleh Megat Syazrin khas untuk adik kesayangannya. Dalam adik beradiknya, hanya Megat Syazrin yang memanggilnya Rin berbanding yang lain mengelarkannya Acu.

“Ateh, banyaknya!” Terbeliak mata Syazrina melihat abaya-abaya yang dihulur Megat Syazrin yang hanya tersengeh melihatkan reaksi terkejutnya.

“Ateh suruh Rin pergi cuba je. Dah pergilah masuk fitting room. Ateh nak tengok lawa tak Rin pakai abaya,” Megat Syazrin menolak Syazrina masuk ke dalam bilik persalinan. Mahu tak mahu Syazrina hanya menurut perintah abangnya.

Setelah beberapa minit, Syazrina keluar dari bilik persalinan. Hari ini dia terpaksa menjadi model abaya untuk abangnya. Walaupun penat, dia seronok dapat meluangkan masa bersama-sama abangnya ini.

“Ateh, lawa tak?” tanya Syazrina sambil memusing-musingkan badannya dihadapan Megat Syazrin. Dalam adik beradiknya, Megat Syazrin yang lembut melayannya berbanding abang-abangnya yang lain.

“Subhanallah, cantik adik Ateh ni. Try yang lain pula,” Lebar senyuman Syazrina setelah dipuji abangnya. Dia masuk semula ke dalam bilik persalinan untuk mencuba abaya yang lain. Paling kelakar apabila Megat Syazrin sempat mengambil gambarnya tadi dan dia tahu pasti abangnya itu menghantar gambarnya kepada abang-abangnya yang lain.

Habis tak habis, sepuluh helai abaya dibeli Megat Syazrin untuk Syazrina petang itu. Hampir meloncat jantung Syazrina apabila abangnya menghulur lagi lima abaya yang mempunyai rekaan yang berlainan di kaunter ketika hendak membuat pembayaran. Mentang-mentanglah abangnya itu baharu sahaja mendapat bonus.

“Ateh, banyak sangat Ateh belanja Rin hari ni. Terima kasih ye,”Megat Syazrin hanya tersenyum namun menumpukan perhatiannya pada jalan raya.

“Ateh belanja sebab Rin cantik sangat bila pakai abaya. Bukan selalu Ateh dapat belanja Rin, asyik Along dengan Angah je kan,” ujar Megat Syazrin dengan senyuman yang tersungging dibibir.

“Rin tahu tak yang kita dapat discount 40% dan kad keahlian tadi?” Megat Syazrin ketawa teringatkan tauke butik abaya yang memberikannya diskaun dan kad keahlian sepanjang hayat kerana berbelanja banyak dibutiknya.

“Haha..kad tu atas nama Ateh ke?” Syazrina turut sama ketawa. Tadi dia sibuk memilih corak abaya yang diminati.

“Eh taklah nama Rin la. Nama Ateh buat apa.”

“Hehe mana tahu nak pergi beli untuk bakal isteri ke?” usik Syazrina lalu menayangkan barisan giginya yang putih.

“Hahaha..pandailah Rin buat cerita,” Megat Syazrin menarik hidung Syazrina. Syazrina menggosok-gosok hidungnya perlahan. Sakit juga hidungnya apabila ditarik sebegitu. Dia senyum kembali apabila melihat wajah abangnya yang tersengih menumpukan perhatian kepada pemanduan.


“Apa ni Lou? Kenapa perempuan tu dengan Hazeem still together? Bukan ke kau jamin yang rancangan kau tu boleh buat diorang break?” marah Tanya kepada orang suruhannya.

“Manalah aku tahu. Aku dah buat ikut perancangan tapi masih tak berhasil. Apa kata kau je yang buat,” balas Lou lalu mula bangun dari tempat duduknya.

“Eh kau nak ke mana?” Tanya mula cemas apabila Lou mula menarik daun pintu. Bimbang Lou ingin menarik diri dari rancangan mereka.

“Tandaslah! Kenapa nak kena minta permission kau juga ke?” marah Lou sambil keluar dan menghempas kuat pintu.

“Hmm tak boleh jadi ni. Nampaknya aku kena lebih agresif,” fikir Tanya lalu menghenyakkan tubuhnya ke sofa. Lou yang baharu sahaja pulang dari tandas kembali duduk berhadapan dengan Tanya.

“Lou, nampaknya kita kena guna plan C,” ujar Tanya lalu bangun mencapai tas tangannya.

“Tanya, kau jangan jadi gila! Plan ni merbahaya! Silap hari bulan boleh lingkup bisnes papa kau!” bentak Lou sambil menarik tangan Tanya yang sudah dihadapan pintu.

“Aku tak kira! Hazeem milik aku bukan perempuan tu!” Tanya merentap tangannya lalu meninggalkan Lou. Lou meramas rambutnya geram dengan anak bekas ketuanya yang degil. Ikutkan hati, mahu sahaja dia mengikat Tanya dirumah kosong ini dan biar dia yang melakukan semua kerja-kerja jahat demi gadis yang dipujanya sejak dahulu lagi. Bertambah pedih hatinya yang Tanya sanggup menanggung risiko demi lelaki yang tak mencintai Tanya sepertimana dirinya.


“Hazeem, eh lama gila tak jumpa kau. Sihat?” Syazrina mendekati Hazeem yang sedang membelek buku di rak.

“Sihat,” jawab Hazeem acuh tak acuh. Sakit hatinya apabila berdepan dengan gadis yang menghancurkan hatinya. Sangkanya Syazrina gadis yang baik namun peristiwa seminggu lepas membuatkan dia sudah tawar hati dengan gadis itu.

“Kau sibuk ye? Weh kau tahu tak ada pameran buku strategi peperangan sekali dengan replika istana-istana lama kat muzium minggu depan. Kau nak pergi tak?” Wajah teruja Syazrina dipandang geram oleh Hazeem.

“Kenapa kau tak ajak jantan-jantan kaya lain yang kau dok berkepit hah?” Tersentak Syazrina dengan nada kasar yang digunakan oleh Hazeem. Berubah sangat perangai Hazeem hari ini. Syazrina memandang Hazeem dengan muka berkerut.

“Kau cakap apa ni? Jantan-jantan kaya pebendanya? Ada orang hantar gambar lagi ke kat kau? Kali ni aku naik apa pulak?  Mercedes? Tesla?!” marah Syazrina. Benci apabila dirinya dituduh sebegitu oleh sahabatnya sendiri.

“Oh kiranya banyak jugaklah jantan kaya kau kenal?! Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri okey? Huh, pakai je tudung tapi perangai teruk!” Hazeem meletakkan semula buku di rak sebelum berlalu meninggalkan Syazrina di kedai buku itu. Syazrina yang tidak berpuas hati mengejar Hazeem yang sudah meluru menuju ke seberang  jalan.

“Hazeem!” teriak Syazrina sambil berlari mendapatkan jejaka itu. Hazeem menoleh kearah Syazrina yang masih gigih mengejarnya. Tiba-tiba dia terlihat sebuah kereta meluncur laju kearah Syazrina, Hazeem segera berlari lalu menolak gadis itu ke tepi sebelum tubuhnya melayang dilanggar kereta.

“Astaghfirullahalazim, Hazeem!” Syazrina yang luka dipergelangan tangan akibat ditolak Hazeem mendapatkan jejaka yang terkulai diatas jalanraya. Dia segera menelefon ambulans. Ramai yang sudah berkerumun disekeliling mereka hanya menunjuk pandangan simpati. Kereta yang melanggar Hazeem sudah tidak kelihatan.

“Anak, mari pakcik hantarkan dia ke hospital. Lama kalau nak tunggu ambulans petang-petang ni,” kata seorang pakcik tua yang mendekati mereka. Syazrina yang sejak tadi hanya duduk menangis segera mengangguk. Hazeem diangkat masuk ke dalam kereta pakcik itu dengan diikuti oleh Syazrina. Hazeem dibawa ke Pantai Medical Centre yang kebetulan berdekatan dengan lokasi kemalangan. Syazrina turut menelefon ibubapa Hazeem untuk memaklumkan tentang keadaan anak mereka. Menggigil lutut Syazrina apabila Hazeem dikejarkan ke bilik kecemasan sebaik sahaja tiba dihospital.

“Sabar ye nak? Kalau tak ada apa-apa pakcik balik dahulu ye? Pakcik kena balik Terengganu. Ni nombor telefon pakcik, kalau ada apa-apa anak telefon pakcik ye?” Pakcik tua itu menghulurkan kad bisnes kepada Syazrina sebelum meninggalkannya menunggu diluar bilik kecemasan.

Laungan azan kedengaran dicorong pembesar suara hospital mengejutkan Syazrina yang terlena dikerusi menunggu. Segera dia bangun menuju ke surau hospital untuk menunaikan solat. Sempat juga dia menunaikan solat hajat mendoakan keselamatan Hazeem yang masih didalam bilik kecemasan.

Sedang dia melipat telekung, dia mendapat panggilan telefon dari abangnya. Syazrina segera keluar dari surau untuk menjawab panggilan telefon kerana terdapat beberapa muslimah yang masih bersolat didalam surau.

“Assalamualaikum Acu kat mana ni?” suara kasar Alongnya menerpa sebaik sahaja dia mengangkat telefon.

“Waalaikumussalam Along...” Syazrina terus menangis memikirkan keadaan Hazeem yang masih kritikal.

“Acu kenapa ni? Acu kat mana? Siapa kacau Acu?!” bertubi-tubi soalan Megat Syazrul membuatkan Syazrina semakin galak menangis.

“Along, Acu kat hospital. Kawan Acu kena langgar lari sebab nak selamatkan Acu,” cerita Syazrina sambil menangis teresak-esak. Kali kedua dalam hidupnya dia terasa lemah dan memerlukan sokongan abang-abangnya. Kali pertama ketika ayahnya meninggal dunia dahulu.

“Okey Along datang sekarang.” Syazrina menyimpan semula telefon ke dalam beg galasnya lalu duduk semula ke tempat menunggu.

“Puteri, apa yang terjadi? Macam mana Hazeem boleh kena langgar?” Tengku Adnan segera menyoal Syazrina sebaik sahaja tiba di hospital.

“Hazeem kena langgar sebab nak selamatkan saya,” jawab Syazrina sambil menangis. Berubah wajah Tengku Khairina sebaik sahaja mendengar yang anaknya dilanggar kerana ingin menyelamatkan gadis dihadapannya ini.

“Sebabkan kau Hazeem kena langgar? Kau berdendam dengan siapa ni Puteri Syazrina binti Megat Syahrul sehinggakan nyawa anak aku jadi taruhan?” tengking Tengku Khairina tanpa mempedulikan mata-mata manusia yang mula memandang ke arah mereka.

“Astaghfirullahalazim Kay, bawa mengucap! Sini hospital bukan rumah kita yang awak nak tengking-tengking macam ni,” tegur Tengku Adnan sambil mengusap lembut belakang isterinya yang mula hilang sabar.

“Auntie, uncle..saya tak berdendam dengan sesiapa pun. Tapi sejak akhir-akhir ni saya dan Hazeem ada terima gambar-gambar yang dikirim dalam sampul surat tak beralamat. Mulanya gambar saya kemudian gambar Hazeem. Saya rasa ada orang yang berniat tak baik kepada Hazeem,” cerita Syazrina sambil menyeka air matanya.

“Puteri ada simpan gambar-gambar tu?” tanya Tengku Adnan lembut.

“Gambar saya tu ada dalam simpanan Hazeem tapi yang gambar Hazeem tu dia dah koyak,” terang Syazrina. Wajah Tengku Khairina mula mengendur setelah mendengar cerita Syazrina. Tengku Adnan menganggukkan kepala tanda faham.

“Acu!” kelihatan Alongnya bersama-sama Muiz menuju kearahnya dengan wajah cemas. Syazrina yang terkejut dengan kehadiran Muiz kaku dihadapan jejaka itu.

“Assalamualaikum, saya Megat Syazrul abang kepada Syazrina,” Megat Syazrul menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Tengku Adnan. Dia menundukkan kepalanya sedikit kepada Tengku Khairina. Tengku Adnan menjawab salam Megat Syazrul dan bersalaman.

“Ni Muiz anak kepada Muqri kan?” Muiz terus mendapatkan Tengku Adnan untuk bersalaman.

“Ye saya. Anak uncle Adnan ke yang kat dalam tu?” tanya Muiz prihatin lalu matanya memandang Syazrina sekilas. Hatinya tertanya-tanya akan hubungan Syazrina dengan anak Tengku Adnan.

“Begitulah Muiz. Mari kita doakan dia selamat,” ujar Tengku Adnan lemah. Dia memapah Tengku Khairina yang menangis ke kerusi lalu duduk disebelah isterinya.


Syazrina terus menceritakan segala-galanya kepada Alongnya. Muiz yang berada disebelah Megat Syazrul turut memasang telinga namun dia hanya menunjukkan wajah selamba dihadapan Syazrina kononnya dia langsung tidak mendengar. Didalam hatinya dia berasa cemburu apabila melihatkan gadis itu menitiskan air mata untuk jejaka yang bernama Tengku Hazeem itu. Dia bangun untuk menemani Tengku Adnan dan Tengku Khairina setelah merasakan yang Syazrina tidak memerlukannya. Muiz menenangkan kedua pasangan suami isteri itu sebelum meminta diri untuk menunaikan solat setelah mendengar laungan azan Isyak. Dalam hatinya dia berdoa agar Tengku Hazeem selamat walaupun Tengku Hazeem bakal menjadi saingan terhebatnya untuk mendapatkan Syazrina.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...