Sunday, August 25, 2013

Kisah Kita - Bab 52

taken from here  

Setelah lima jam, bunyi pintu bilik kecemasan yang terkuak membuat Syazrina yang setia menunggu bersama ibubapa Hazeem dan abang-abangnya menerpa ke arah doktor yang baharu sahaja keluar dari bilik kecemasan.

“Keluarga pesakit ke?” laju Tengku Adnan dan Tengku Khairina menganggukkan kepala.

“Pesakit sudah melepasi tempoh kritikal dan kini kita hanya mampu berdoa agar pesakit cepat sedar. Ada gegaran dan darah beku diotaknya dan kami sudah pun buang darah beku tu” terang doktor sebelum meminta diri.
               
“Alhamdulillah” ucap Syazrina lantas meruap mukanya. Megat Syazrin memaut bahu Syazrina lalu melemparkan senyuman buat adiknya. Lega hatinya apabila lelaki yang menyelamatkan adiknya sudah melepasi saat kritikal.

“Puteri baliklah dulu, Hazeem pun dah selamat” saran Tengku Adnan. Kasihan melihat gadis itu yang sanggup bersengkang mata menunggu diluar bilik kecemasan. Abang-abang gadis itu pula kelihatan sangat prihatin dengan adiknya sehinggakan sanggup datang sebaik sahaja mengetahui Syazrina di hospital.

“Uncle, auntie..saya..” belum sempat Syazrina menghabiskan ayatnya, katanya sudah dipintas Muiz.

“Betul cakap Uncle Adnan tu Rin, kau baliklah dulu. Apa-apa nanti aku beritahu.” Syazrina hanya memandang Muiz dengan pandangan geram. Tak suka apabila Muiz masuk campur dalam halnya.

Muiz yang sedar dirinya diperhati hanya menunjukkan wajah selamba. Dia sebenarnya kasihan dengan Syazrina yang tampak keletihan. Nampak sangat gadis itu penat dari segi fizikal dan mental.

“Hmm marilah kita balik Acu, bonda tadi dah call Alang. Alang tak beritahu bonda sebab takut dia risau pula” pujuk Megat Syazriz. Bonda mereka kini berada di Mekah kerana mengerjakan umrah. Megat Syazriz mahu bondanya menumpukan perhatian dalam menjalani ibadah disana dan tak mahu bondanya susah hati.

“Baiklah..auntie, uncle. Saya balik dulu. Muiz jangan lupa beritahu kalau ada apa-apa perkembangan Hazeem” pamit Syazrina. Muiz mengangguk setuju. Abang-abang Syazrina yang sedang bersalaman dengan Tengku Adnan dipandang Tengku Khairina dengan senyuman tawar. Mereka berenam meninggalkan ibubapa Hazeem dan Muiz di ruang kecemasan. Muiz duduk melepaskan lelah sambil berbual sedikit sebanyak dengan ibubapa Hazeem.

“Muiz..” Muiz tersentak apabila Syazrina mendekatinya. Sangkanya gadis itu sudah pulang. Syazrina menghulurkan beg plastik berisi minuman dan roti sandwich  kepadanya dan juga kepada ibubapa Hazeem kemudian Syazrina berpatah balik kepada Muiz.

“Muiz..aku minta maaf sebab marah kat kau tadi” tutur Syazrina. Muiz hanya memandang gadis itu tanpa berkelip. Terpegun apabila gadis kasar itu boleh pula bersopan dan minta maaf kepadanya. Syazrina mula melangkah pergi apabila Muiz tidak membalas kata-katanya. Sangkanya lelaki itu sedang berkecil hati dengannya.

“Rin..terima kasih. Oh ye jangan risau, aku tak terasa pun. Pergilah balik, aku tahu kau penat.” Muiz melemparkan senyuman ikhlas kepada Syazrina. Gadis itu tertunduk malu melihatkan wajah Muiz yang bagaikan bercahaya-cahaya. Argh melebih pula kau Rin! Syazrina menggelengkan kepala dan terus keluar dari kawasan bilik kecemasan dengan tergesa-gesa. Muiz tersengih melihatkan telatah Syazrina yang mula malu-malu dengannya.


Seminggu kemudian..
 Hazeem yang sudah sedar empat hari yang lepas membuang pandang ke jendela hospital. Sepanjang dia ditahan di wad, banyak kali juga Syazrina dan abang-abangnya datang melawatnya. Malu apabila lelaki yang disangkakan kekasih Syazrina rupa-rupanya ialah abang kandung gadis itu. Syazrina bagaimanapun tidak menyalahkannya kerana wajah mereka memang berlainan.

“Rin ni ikut muka ayah, kami semua pula ikut muka bonda tu yang kami semua hensem-hensem” gurau Megat Syazrin ketika datang melawatnya kelmarin. Muiz, anak kepada Datuk Muqri juga selalu melawatnya sehinggakan membuatkannya serba tak kena. Dia terharu namun pada masa yang sama dia cemburu melihat cara Syazrina memandang jejaka itu. Tak sangka Muiz kenal rapat dengan papanya.

“Hazeem apa yang kamu menungkan tu?” tegur Tengku Khairina. Anak lelaki tunggalnya itu sering termenung semenjak tersedar dari koma. Sepanjang Hazeem koma, Tengku Khairina tak putus-putus berdoa dan alhamdulillah dia sudah mula berubah ke arah yang lebih baik. Dia sudah mula bertudung dan mempelajari ilmu agama bersama-sama suaminya.Anak perempuannya Tengku Khalidah turut memuji perubahannya.

“Mama, bila sampai?” Hazeem segera menyalami mamanya. Tengku Khairina tersenyum lalu mengusap ubun-ubun anak terunanya itu.

“Baru je. Ni mama ada masakkan sup ayam untuk kamu. Nak makan sekarang?” pantas Hazeem menganggukkan kepalanya. Sejak dari kecil, mamanya memang jarang memasak untuk mereka. Sesungguhnya dia sentiasa cemburu apabila rakan-rakan sekolahnya menceritakan tentang masakan ibu mereka.

Tengku Khairina segera mengeluarkan sup yang diletakkan didalam termos dan menghidangkannya kepada Hazeem. Hazeem menikmati masakan mamanya dengan penuh berselera walaupun rasa sup itu agak lain dari apa yang pernah dimakannya.

“Rasa lain kan? Mama letak ginseng dalam sup tu. Auntie Kwan yang ajar mama” terang Tengku Khairina. Kelakar melihat muka anaknya yang bertukar pelik sejak suapan pertama namun Hazeem cuma diamkan sahaja dan makan dengan penuh berselera.

“Selain ginseng, mama ada letak kurma merah. Makan banyak-banyak supaya cepat sikit kamu sembuh” sambung Tengku Khairina. Hazeem mengangguk lalu meneruskan suapan sehingga habis.

“Papa mana mama?” Hazeem bertanya setelah beberapa ketika.

“Papa datang petang sikit. Ada mesyuarat dengan Datuk Muqri katanya,” kata Tengku Khairina yang sedang membersihkan termos disinki. Hazeem yang ditempatkan didalam bilik kelas pertama sememangnya memudahkan mereka yang melawatnya kerana terdapat bilik mandi dan sofa untuk berehat.

Hazeem mengangguk faham. Kini terdapat projek kerjasama diantara syarikatnya dan Morse Holding. Tengku Adnan dan Datuk Muqri pula semakin rapat dari hari ke hari kerana masing-masing mempunyai visi dan misi yang sama iaitu mahu memartabatkan perniagaan dengan ciri-ciri Islamik. Usahasama mereka turut mendapat perhatian media dan semakin banyak syarikat yang mula mengikuti cara mereka sekaligus mewujudkan komuniti perniagaan berlandaskan hukum syarak lagi suci tanpa korupsi.

“Hazeem, kalau kamu nakkan Rin, mama dengan papa boleh tolong pinangkan” tersentak Hazeem apabila mamanya ingin pinangkan Syazrina untuknya.

“Be..betul ke ni mama?” Hazeem cuba bangun dari katilnya tapi sempat ditahan oleh mamanya.

“Isy kamu ni. Kot ye pun suka, janganlah gelabah sangat! Kamu kan sakit.”  Dengan tangan yang patah dan kaki yang berbalut simen Hazeem hanya tersengih dari tempat pembaringannya.

“Lupa sebab excited” Tengku Khairina menggelengkan kepala dengan telatah anaknya. Dia sudahpun duduk di birai katil anaknya.

“Tapi mama..Hazeem risau Rin tak terima,” wajah Hazeem yang mendung dipandang pelik oleh Tengku Khairina. Bukankah Syazrina itu teman wanita anaknya kerana gadis itu sering melawat anaknya  bersama abang-abangnya. Gadis itu nampak prihatin dengan keadaan Hazeem.

“Rin hanya anggap Hazeem kawan baik dia sahaja mama” bagaikan dapat membaca fikiran mamanya Hazeem menyatakan hal yang membuatkan dia bersedih. Tengku Khairina mengelus lembut wajah anak terunanya.

“Hazeem cintakan Rin?” pertanyaan Tengku Khairina disambut dengan anggukan kecil Hazeem.

“Hazeem banyakkan berdoa supaya Allah lembutkan hati Rin untuk terima Hazeem. Tapi jika tiada jodoh, kamu kena redha,” Tengku Khairina memegang kemas tangan anaknya bagaikan ingin menyalurkan semangat. Hazeem mengukirkan senyuman lalu merapatkan dirinya dengan mamanya. Sekalipun dia ditakdirkan bukan untuk Syazrina, dia masih ada Allah dan mama yang menyayanginya.


“Rin!” Mia mendapatkan Syazrina yang sedang menunggunya di Baskin Robbins dengan wajah yang ceria. Sudah lama dia tidak bertemu dengan sahabatnya dek kesibukannya. Nabila yang turut mengikut hanya tersenyum melihat telatah mak buyung itu. Lagi seminggu dia akan disatukan dengan Hamdan dan sekarang dia sedang mengira detik-detik sebelum menjelang hari bahagianya itu.

“Amboi seronoknya dia sampai lupa bagi salam” usik Syazrina. Tangannya sudah mula mencubit pipi tembam Mia. Mia segera memberikan salam. Seronok sangat jumpa Syazrina sampai lepas laku.

“Biasalah mak buyung ni. Baru tiga bulan tapi makin tembam tang pipi sebab terlebih seronok la tu,” Nabila mula mengusik Mia yang tersengih suka.

“Yang awak pula membilang hari kan Nabila? Hehehe..” Mia mula mengusik Nabila yang sudah memerah mukanya. Syazrina turut mengetawakan Nabila yang mula malu-malu.

“Oh ye, Hazeem macam mana? Dengar kata dia dah makin sembuh lepas fisio” Nabila segera  mengubah topik.Tak sanggup diusik lagi oleh kedua-dua rakannya.

“Alhamdulillah dah makin sembuh. Sekarang dia dah boleh berjalan tapi dengan bantuan tongkat la,” jawab Syazrina lalu menyuapkan aiskrim kepada Mia. Perasan yang Mia dari tadi asyik menjeling ke arah aiskrimnya. Dia pun memang sengaja membeli aiskrim dalam bekas sederhana supaya dapat berkongsi dengan sahabat-sahabatnya.

“Sedap!” ucap Mia dengan penuh teruja. Lagaknya macam tak pernah makan aiskrim sahaja. Nabila hanya ketawa dengan telatah Mia. Syazrina menyuap lagi aiskrim kepada Mia yang perangai kalah kanak-kanak Ribena.

Setelah berbual selama sejam, mereka mula beredar dari premis perniagaan itu. Mahu pula pekerja lelaki disitu acap kali merenung mereka setiap kali mereka ketawa membuatkan mereka naik seram.

“Syazrina!” Tanya mendekati Syazrina dengan wajah serabut. Bau minuman keras yang kuat menusuk hidung mereka dan Mia sudah mula berasa mual.

“Jauhkan diri kau!” tegah Syazrina namun Tanya tidak mempedulikan larangan Syazrina dan terus ketawa bagaikan orang yang sudah hilang akal.

“Kenapa? Tak biasa dengan bau arak? Kolot!” Tawa Tanya makin menyakitkan telinga dan bau arak yang kuat sangat menjijikkan mereka.

“Kau nak apa lagi perempuan gila?” tanya Syazrina berang. Gelagat Tanya cukup menjengkelkannya.

“Kau tak ikut cakap aku kan? Jauhkan diri dari Jim!!” tengking Tanya. Tubuh Syazrina ditolak kasar sehinggakan gadis itu jatuh terduduk. Mia yang terkejut segera membantu Syazrina untuk berdiri semula. Wajah Tanya dipandang dengan penuh benci. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia membelasah Tanya namun memikirkan tentang keselamatan kandungannya, Mia hanya menahan rasa.

“Hoi perempuan! Apasal kau berkasar hah?!” Nabila yang pada mulanya hanya mendiamkan diri mula berang. Kelakuan Tanya kali ini memang melampau. Tanya hanya tersengih dengan kata-kata Nabila.

“Kau tahu tak? Sebab kau Jim accident dan hampir pegang title OKU? Orang yang aku nak bunuh tu kau! Tapi kenapa Jim selamatkan kau!! Kau patut mati!!!” Tanya sudah mula menjerit-jerit bagaikan sudah hilang akal.

“Kau yang langgar Hazeem! Kurang ajar kau!” Syazrina meluru lalu melepaskan tumbukan dipipi kiri Tanya. Kesabarannya memang sudah hilang. Tak sangka Tanya begitu agresif sehinggakan ada niat untuk membunuhnya. Tanya yang terdorong ke belakang akibat ditumbuk Syazrina mengeluarkan sesuatu dari poket seluar jeannya.

“Kau akan mati hari ni!!” jerit Tanya lalu berlari ke arah Syazrina dengan pisau belati ditangan.

“Rin!!” Nabila yang ternampak Tanya mengeluarkan pisau segera meluru untuk menyelamatkan Syazrina. Tusukan pisau itu terkena perut Nabila. Tanya mula kaget apabila darah membuak keluar dari tubuh Nabila yang begitu hampir dengannya.

“Jangan..kacau..kawan..aku..lagi..” ucap Nabila lalu matanya memandang tepat ke arah Tanya. Tanya segera melepaskan pisau ditangan lalu melarikan diri.

“Astaghfirullahalazim..Nabila!” Air mata mula membanjiri wajah Syazrina. Mia terkaku melihatkan Nabila yang sudah rebah.

“Mia! Tolong Nabila!” Syazrina memangku tubuh Nabila yang mula lemah. Darah yang masih membuak-buak keluar ditahannya dengan cardigannya. Mia segera mendapatkan Nabila.

“Nabila! Kau tak boleh mati lagi! Abang Dan tunggu kau” Kelihatan bibir pucat Nabila tersenyum mendengarkan nama bakal suaminya. Mia sudahpun membuat panggilan telefon  ke hospital berdekatan. Dia dan Syazrina segera memapah Nabila masuk ke dalam keretanya. Mia memandu laju dan sepanjang perjalanan dia berdoa semoga sahabatnya selamat.

“Rin, Mia, saya nak minta maaf jika saya ada buat apa-apa kesalahan sepanjang kita berkawan. Tolong beritahu mak ayah saya yang saya minta maaf dan halalkan makan minum saya. Abang..Abang Hamdan. Beritahu Abang Hamdan jangan bersedih jika saya pergi. Saya gembira sejak saya kenal dengan dia,” Dengan susah payah Nabila menyampaikan pesanannya dipangkuan Syazrina. Syazrina hanya menganggukkan kepala. Air matanya deras membasahi pipi.

“Rin, jangan nangis. Saya sayangkan awak dan Mia” ucap Nabila lalu mengesat air mata Syazrina. Syazrina mencapai tangan Nabila lalu mengucup tangan sahabatnya itu.

“Aku pun sayangkan kau Nabila. Maafkan aku dan Mia jika kami ada buat salah kat kau. Kuatkan semangat kau Nabila.” Syazrina mengusap pipi Nabila yang semakin pucat. Mia yang sedang memandu hanya beristighfar. Air matanya yang laju mengalir dikesatnya kasar.

“Ya Allah Rin..sakitnya” Nabila yang mengerang dengan wajah yang berkerut membuatkan Syazrina semakin kaget.

“Sabar Nabila. Kita dah nak sampai,” Syazrina meramas tangan Nabila yang makin sejuk.

Setibanya di hospital, Nabila dikejarkan ke bilik kecemasan. Mia dan Syazrina menunggu diluar bilik dengan baju yang mempunyai tompokan darah Nabila.

“Kita doakan dia selamat ye? InsyaAllah Nabila tak akan apa-apa,” kata-kata yang terbit dari mulut Mia sebenarnya untuk mententeramkan hatinya dan Syazrina yang masih menangis.

“Mia..aku takut,” luah Nabila lalu memeluk Mia. Di dada Mia, dia menghamburkan tangisan. Sebelum ini Hazeem, kini Nabila pula. Semangatnya sudah mula rapuh.

“Rin, sekarang ni kita kena berdoa dan tawakal kepada Allah. Jangan nangis ye” biarpun dia menasihatkan supaya Syazrina jangan menangis namun dirinya sendiri tidak dapat menahan air matanya dari membasahi pipinya.

‘Ya Allah selamatkanlah sahabatku’ doa Mia lalu memeluk erat Syazrina yang sudah menggongoi dalam pelukannya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...