Sunday, May 26, 2013

Kisah Kita - Bab 38

taken from here 


Majlis resepsi dirumah banglo milik Encik Aqif dan Puan Risa berjalan dengan penuh jayanya. Majlis yang bertemakan warna kelabu itu tampak elegan dan memikat hati para hadirin.

Tamat majlis, Iqram masuk ke dalam bilik tidurnya. Kelihatan Mia yang sudah menukar pakaian bermain-main dengan Einstein. Kucing yang menjadi pengikat antara dia dan Mia walaupun Mia jauh nun di London dahulu. Iqram duduk disebelah Mia yang ralit bermain dengan Einstein tanpa menyedari kehadirannya di situ.

“Hai sayang, terus lupa abang bila jumpa boyfriend lama?” usik Iqram sambil mengambil Einstein dari tangan Mia dan terus meletakkan Einstein diatas ribanya.

“A..A..abang, bila masuk?” Mia tergagap-gagap akibat terkejut dengan kehadiran Iqram.

“Baru je tadi” jawab Iqram sambil mengusap-usap Einstein yang seronok diusap memejamkan mata diriba Iqram.

“Abang pergilah mandi dan tukar baju. Dah lewat ni.” Mia mengambil semula Einstein dari ribaan Iqram. Seronok pula bermain berebut Einstein dengan Iqram malam-malam ni.

‘Huk?! Malam..malam..malam pertama aku dengan dia’ memerah terus muka Mia apabila teringatkan yang malam ini merupakan malam pertama untuk mereka berdua.

“Mia? Mia?” Iqram mengipas-kipaskan tangannya di muka Mia yang sedang mengelamun. Mia hanya tersedar apabila Iqram mencubit pipinya lembut.

“Err..a..abang pergilah mandi dulu. Einstein ni nanti Mia letak dalam sangkar dia balik.” Iqram mengangguk lalu bangun masuk ke dalam bilik mandi. Mia turut bangun untuk pergi memasukkan Einstein ke dalam sangkar yang sudah diletakkan di tingkat bawah rumah.


Iqram sudah siap mandi apabila Mia masuk semula ke dalam bilik. Tadi Mia sempat berbual dengan mama Risa dan ayah Aqifnya didapur. Seronok mertuanya mengusiknya tadi yang hanya tersenyum malu-malu. Dia hanya berjaya melepaskan diri apabila kedua-dua mertuanya disergah oleh Hajah Suraya kerana seronok mengetawakannya. Hajah Suraya memang nenek terbaik!

“Hmm Mia pergi mana tadi?” tanya Iqram sebaik sahaja Mia duduk di meja solek untuk memakai losyen malam.

“Letak Einstein dalam sangkar pastu borak-borak dengan mama dan ayah” Mia menyapu losyen di tangan, leher dan kakinya. Selesai menyapu losyen, Mia bergerak menuju ke katil. Berdebar-debar degupan jantung Mia sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di birai katil. Bertambah debaran apabila Iqram menutup lampu dan mendekatkan diri kepadanya. Dia hanya terdengar Iqram membaca doa dan selepas itu dia sudah tak ingat apa-apa.



Syazrina gelisah berdiri di hadapan Perpustakaan Negara. Hari ini, dia sudah berjanji dengan Hazeem untuk bertemu disini. Sudah lima minit dia menunggu jejaka itu dan dia sudah mula bosan. Sebelum ini sudah beberapa kali dia mengajak jejaka itu untuk bertemu namun tidak sekali pun Hazeem bersetuju. Entah kenapa jejaka itu agak misteri tapi cukup membuatkan Syazrina lebih bersemangat untuk lebih mengenali Hazeem.

“Assalamualaikum Rin, maaf aku terlambat” Hazeem mendekati Syazrina yang sudah duduk ditangga Perpustakaan Negara.

“Waalaikumussalam, hmm aku ingat kau lupa ke apa” Syazrina mengibas pakaiannya lalu berdiri menghadap Hazeem.

“Takkanlah aku nak lupa, kau mesej aku setiap sejam kot” balas Hazeem. Dia sebenarnya agak tertekan apabila Syazrina kerap menghantar mesej yang sama.

“Hahaha..aku saja je nak bagi kau tension. Okey la jom masuk! Aku dah tak sabar nak explore library ni!” Syazrina tersengih menayangkan barisan giginya yang teratur kepada Hazeem. Hazeem hanya menggelengkan kepalanya. Pening jugalah nak melayan gadis yang nakal ini.

“Woot woot, kau menung apa lagi? Cepatlah!” Syazrina yang sudah berdiri dihadapan pintu masuk mencekak pinggang. Hazeem dengan malas menaiki tangga dan mendapatkan Syazrina.



Puas membelek buku dan membaca buku-buku yang tidak lagi dijual di dalam mahupun luar negara, Syazrina dan Hazeem meninggalkan Perpustakaan Negara setelah tiga jam bertapa didalam perpustakaan yang serba canggih itu.

“Hmm nak balik terus ke?” tanya Hazeem sambil menoleh kearah jam tangannya.

“Kau nak balik dah ke? Aku ingat nak pergi jumpa kawan aku sekejap. Dia kerja dalam IJN depan tu. Nak ikut?” Sengaja Syazrina mengajak Hazeem untuk menemaninya berjumpa dengan Mia. Dia sebenarnya ingin memperkenalkan Mia dengan kawan barunya ini.

“Hmm boleh juga. Bukan selalu dapat masuk dalam IJN” balas Hazeem. Alang-alang sudah keluar, tak salah jika dia berjalan sepuas-puasnya hari ini.

“Okey jom” Syazrina terus melangkah menuju ke IJN yang terletak tidak jauh dari Perpustakaan Negara. Dia mengerling kearah Hazeem yang hanya membuntutinya tanpa kata. Jejaka itu berperangai agak pelik dari orang lain tetapi dia senang bercakap apa sahaja dengan Hazeem. Itu yang membuatkan dia tertarik dengan jejaka itu.

“Weh apasal bila aku ajak kau keluar, kau macam susah je nak keluar dengan aku?” tanya Syazrina tiba-tiba.

“Dah kau ajak aku time tak sesuai dan tempat yang kau nak pergi tu tempat yang aku tak nak pergi” jawab Hazeem selamba.

“Apahal pulak? Aku ajak pergi PBAKL, tengok wayang pacak pastu PC fair je bukan pergi konsert ke apa!” Syazrina agak tidak puas hati dengan jawapan Hazeem yang dianggap acuh tak acuh.

The main reason is I hate crowd okay? Aku tak suka bersesak-sesak dengan orang, ni aku setuju datang perpustakaan ni pun sebab aku tahu tak ramai orang datang sini” Hazeem memandang muka Syazrina dengan muka tanpa perasaan.

Syazrina mengangguk faham. Dia pun bukan suka bersesak-sesak dengan orang ramai tapi keranan cintanya kepada buku, dia sanggup bersesak asalkan dia dapat membeli buku yang diingini dengan harga yang berpatutan dan banyak buku-buku menarik yang dipamerkan ketika pesta buku hari itu.

“Hmm kau datang sini naik apa?” Hazeem memandang Syazrina dengan wajah tak percaya. Soalan itu sepatutnya ditanya sejak awal dia tiba tadi.

“Naik kereta la, kenapa?” tanya Hazeem pelik.

“Dah kau tak suka crowd, mesti kau tak naik LRT ke komuter ke apa. Saja je aku tanya” Syazrina tersengih lalu tertawa kecil. Dia membayangkan muka cemberut Hazeem apabila terpaksa bersesak-sesak. Nak-nak lagi kalau naik komuter pada waktu kemuncak.

Tiba-tiba telefon pintar milik Syazrina berbunyi. Dia menjawab setelah melihat nama pemanggil yang tertera di skrin.

“Waalaikumussalam. Ye dah nak sampai dah. Kat kafe ye? Okay aku terus pergi sana” Syazrina menyimpan semula telefon pintarnya ke dalam beg silangnya. Beg silangnya itu memang sentiasa menemaninya sejak zaman belajarnya lagi.

“Jom kawan aku dah tunggu dah tu” Syazrina melangkah dengan lebih laju meninggalkan Hazeem. Hazeem hanya menggelengkan kepala sambil turut melajukan langkahnya untuk menyaingi Syazrina yang sudah jauh ke hadapan.



Setibanya di kafe IJN, mata Syazrina meliar mencari kelibat Mia. Agak sukar untuknya untuk mengesan Mia kerana ketika itu ramai doktor yang sedang berehat dengan memakai lab coat. Hazeem hanya mendiamkan diri disebelah Syazrina. Ingin membantu pun dia bukan kenal siapa kawan yang dimaksudkan Syazrina.

“Rin! Kat sini!” Mia yang duduk selang tiga meja dari tempat mereka berdiri melambaikan tangan kearah Syazrina. Syazrina berjalan mendapatkan Mia yang cantik berbaju kurung berwarna hijau muda hari ini. Tudung labuh Mia yang berwarna krim itu cukup membuatkan Mia tampak menawan hari ini. Aura pengantin barulah katakan.

“Mia, kau dah lama tunggu ke?” tanya Syazrina sebaik sahaja dia melabuhkan punggung.

“Tak adalah lama sangat. Ni Rin dari library kat depan tu ye?” Mia tersenyum memandang Syazrina dan rakannya.

“Haah. Mia, ni kawan aku. Nama dia Hazeem. Aku kenal dia ni pun time kita pergi KLCC hari tu” terang Syazrina. Hazeem hanya senyum apabila dirinya diperkenalkan oleh Syazrina.

“Saya Mia Hana. Hazeem pun peminat buku juga?” Mia dengan ramah meperkenalkan dirinya kepada jejaka yang bernama Hazeem itu.

“Ya. Saya memang suka dengan buku sejak kecil lagi” balas Hazeem dengan senyuman. Entah kenapa terasa murah pula senyumannya untuk kawan Syazrina ini. Mungkin sebab gadis itu nampak baik dan sopan dimatanya.

“Hazeem masih belajar atau sudah bekerja?” Sudah macam temuduga pula Mia bersoal jawab dengan jejaka bernama Hazeem ini. Dia sebenarnya ingin menyelidik lelaki yang berkawan dengan Syazrina ini.

“Saya bekerja sebagai web developer kat Cyberjaya” jawab Hazeem tanpa sebarang rasa curiga. Syazrina terus ketawa apabila melihat sesi soal jawab diantara Mia dan Hazeem yang nampak kelakar itu.

“Amboi Mia, dah macam interview apa entah” kata Syazrina dengan tawa yang masih berbaki.

“Oh maaf ye kalau saya banyak tanya.” Mia tersipu malu apabila kelakuannya itu dapat disedari oleh Syazrina.

“Tak apa. Biasalah soalan biasa je tu” jawab Hazeem.

“Oh kenapa Rin tak bawa dia hari tu masa majlis kahwin Mia?”

“Dia sibuk masa tu. Lagipun, dia bukan suka tempat ramai orang tak begitu Encik Hazeem” Hazeem hanya mengangguk tanda mengiyakan apa yang diperkatakan oleh Syazrina.

“Maaflah, masa tu saya tengah busy dengan projek baru. Selamat pengantin baru ye Mia” Hazeem mengucapkan kata-kata itu dengan ikhlas. Dia sudah dapat mengagak yang Mia sudah berpunya apabila melihat cincin dan inai di jari Mia ketika mereka baru sampai tadi.

Thanks” balas Mia pendek. Syazrina dan Hazeem masih didalam proses mengenali jadi tak banyak yang dapat dia baca dari gerak tubuh pasangan itu.

“Asyik berborak je, nak makan apa? Biar Mia belanja ye?” Belum sempat mereka membalas, Mia sudah memanggil pelayan untuk memesan makanan.

“Saya nak mee goreng dan air laici ais, Hazeem? Rin?” tanya Mia.

“Sama!” jawab mereka serentak. Kelakuan mereka itu membuatkan Mia ketawa kecil. Comel betul budak berdua ni

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...