Monday, May 20, 2013

Kisah Kita - Bab 37


taken from here 

Majlis yang berlangsung di kediaman Datuk Muqri itu kelihatan meriah dengan kehadiran tetamu yang berbilang kaum dan rakan-rakan pengantin yang tak putus-putus. Mia yang cantik berjubah yang direka khas hanya tersenyum apabila disapa oleh tetamu yang hadir. Bajunya tidak menampakkan tubuh badan dan hiasannya pula tidak berlebihan membuatkan semua yang memandang berasa kagum dengannya. Yelah anak Datuk tapi masih bersederhana dalam berpakaian. Sesekali Mia mencuri pandang kearah Iqram yang sibuk melayan tetamu bersama-sama dengan papanya. Selesai upacara bergambar tadi, ramai tetamu yang datang beramah mesra dengan mereka sehinggakan Mia berasa pening namun dia masih tersenyum kerana dia tidak mahu mengguriskan hati tetamu. Syazrina baharu sahaja meminta diri untuk makan bersama-sama dengan abang-abangnya meninggalkannya keseorangan ditempat duduknya.

Sedang Mia asyik melayan perasaannya, tiba-tiba satu suara yang amat dikenalinya menegurnya dari belakang.

“Assalamualaikum Hana” Mia segera menoleh kearah suara itu. Doktor muda ini tampak lebih cengkung dan bagaikan hilang sinar dari matanya.

“Waalaikumussalam, Hariz. Baru sampai ke? Dah makan?” Hariz hanya tersenyum kecil apabila dihujani pelbagai pertanyaan dari gadis yang telah mencuri hatinya sejak kali pertama mereka bertemu namun tiada jodoh diantara mereka. Dia hadir pun semata-mata untuk memenuhi permintaan Datuk Muqri yang banyak berjasa kepadanya.

“Taklah, Hariz dah makan dah. Hana nampak cantik hari ni” Hariz menguntum senyum kepada Mia Hana yang kelihatan sangat cantik hari ini.

‘Kau bagaikan bidadari yang turun dari syurga, tapi sayang kini kau merupakan bidadari milik Iqram sepenuhnya’  Hariz mengeluh didalam hati. Wajahnya masih dimaniskan dengan senyuman dalam keterpaksaan.

“Terima kasih” Mia mengukirkan senyuman ikhlas kepada lelaki yang hanya dianggap sebagai abang itu. Di dalam hati, dia berdoa supaya Hariz dapat bertemu jodoh dengan wanita yang selayaknya dengan Hariz yang sangat baik itu.

“Assalamualaikum Doktor Hariz, makin kacak doktor sekarang” Iqram menegur bekas pesaing cintanya dahulu dengan senyuman ikhlas. Tangannya terus melingkari pinggang Mia. Tadi dia hampir dibakar api cemburu apabila melihat Hariz mendekati isterinya. Namun sempat dia beristighfar dan berfikir yang baik-baik sahaja.

“Waalaikumussalam, biasa sahaja. Selamat pengantin baru, Iqram, Hana” Tutur Hariz sambil tersenyum kepada pasangan pengantin itu.

“Terima kasih, Doktor Hariz bila lagi?” Pertanyaan Iqram itu sedikit sebanyak membuatkan Hariz tersentak. Namun dia masih mengawal air mukanya supaya tidak begitu ketara.

“Siapa yang nak kat saya ni? Ada yang saya suka pun dah jadi milik orang” jawab Doktor Hariz lalu memandang tepat ke wajah Mia. Mia hanya menunduk, dia berasa tidak selesa dengan pandangan yang dilemparkan oleh Hariz itu.

“La, apa nak risau? Doktor kan hensem? Bunga bukan sekuntum doktor, buka hati dan minda, insyaAllah satu hari nanti doktor akan jumpa zaujah yang bakal menjadi bidadari untuk doktor. Banyakkan berdoa.” Sempat juga Iqram memberi sedikit nasihat kepada doktor muda yang tampak kecewa itu. Bukan dia tidak tahu yang doktor itu menaruh perasaan kepada isterinya.

“InsyaAllah, doakan untuk saya ye Iqram? Baiklah, saya nak beransur dululah. Semoga kalian berbahagia sehingga ke syurga ya” Doktor Hariz melangkah pergi setelah bersalaman dengan Iqram dan kemudiannya Datuk Muqri yang berdiri tidak jauh dari mereka. Mia hanya memandang langkah longlai doktor muda itu dengan perasaan yang penuh simpati.

“Sayang tengok apa lagi? Dia dah pergi pun. Jom Hamdan nak kenalkan seseorang pada kita” Iqram menarik tangan Mia yang masih terpinga-pinga itu. Mia hanya menurut dengan rela.



Tiba di gazebo, Iqram membawa Mia mendekati sahabat-sahabatnya. Muiz yang sedang asyik bergelak ketawa dengan Firdaus terus tersenyum sinis apabila melihat Iqram memimpin tangan adiknya menuju kearah mereka.

“Eh Iqram, tak larinya adik aku tu sampai nak kena pegang-pegang dalam kawasan rumah ni” usik Muiz. Mia segera ingin melepaskan tangannya dari genggaman Iqram namun Iqram mengemaskan lagi genggamannya.

“Tak apalah dah halal” balas Iqram lalu ketawa kecil. Mia hanya memandang geram kearah Iqram yang sempat mengenyitkan mata kearahnya.

“Oh ye, mana Hamdan? Tadi kata nak kenalkan seseorang kepada kita?” tanya Iqram. Matanya meliar mencari sahabatnya yang bertubuh tegap itu.

“Kat sini la bro, tulah mentang-mentang dapat bini lawa terus tak nampak orang” tegur Hamdan sambil berjalan mendekati pasangan pengantin itu. Disebelah kelihatan seorang gadis yang manis berbaju kurung berwarna merah jambu lembut dan dipadankan dengan tudung berwarna krim.

“Nabila?!” serentak pasangan pengantin itu bersuara.

“Amboi sehati sejiwa nampak?” usik Firdaus. Nampak kelakar pula apabila Iqram dan Mia tercengang apabila melihat gadis pilihan Hamdan itu.

“Ye saya, selamat pengantin baru ye Iqram dan Mia” ucap Nabila dengan senyuman ikhlas.

“Woah bro, aku tak sangka kau sangkut gak dengan budak sekolah kita ni?” Muiz memandang Hamdan dengan wajah yang kurang percaya. Dulu dia, Firdaus dan Hamdan agak tidak menyenangi tingkahlaku Nabila yang tergedik-gedik namun kini gadis itu tampak lebih sopan dan matang.

“Haha hidup ni mana boleh dijangka. Ni hah aku nak beritahu yang minggu depan aku nak bertunang dengan budak ni. Aku buat majlis kecil je, korang datang la buat teman aku” ujar Hamdan dengan bibir yang tak lekang dengan senyuman.

“Hapa?!!!” Serentak Muiz, Firdaus, Iqram dan Mia terjerit. Hamdan ni memang suka bikin gempak.

“Ek eleh, apasal? Iqram yang bertunang kejap pastu terus kahwin tak ada pula korang nak terkejut babun ke apa? Sengal betul. Dah tutup mulut korang kang masuk lalat aku biorkan je” tegur Hamdan dengan muka serius. Suaranya yang garau pun dah cukup buat orang ketaq lutut inikan pula disertakan dengan muka yang serius. Boleh terkucil kanak-kanak bila tengok muka kawan tu.

“Serius ke ni? Fuiyoh kawan kau senyap-senyap je dah ada. Patutlah kau cakap aku dengan Firdaus ni je yang jadi bujang lapok” Muiz mendekati Hamdan lalu menyekeh kepala sahabatnya itu. Hamdan hanya membiarkan sahaja perbuatan Muiz itu, tahu sangat sahabatnya itu geram dengannya.

“Muiz sekeh lebih sikit untuk bahagian aku dengan Iqram” tambah Firdaus sambil ketawa. Nabila tersenyum memerhatikan gelagat mereka tiga sahabat.

“Cantik Nabila sekarang. Sejak bila Nabila dengan Hamdan ni?” Sengaja Mia menanyakan soalan cepumas kepada Nabila yang hanya tersenyum sejak tadi.

“Saya suka dia sejak dari sekolah lagi. Sampai habis sekolah, saya cuba dapatkan tempat belajar yang sama dengan dia supaya saya dekat dengan dia. Dah macam stalker saya masa  tu tapi saya tak kisah sebab saya memang sukakan dia. Kami mula bercinta pun selepas dia masuk polis. Itu pun saya yang minta. Soal malu tu dah lama saya tolak ke tepi” terang Nabila panjang lebar. Mia tercengang dengan pengakuan berani Nabila. Tak sangka Nabila merupakan gadis yang sangat tabah.

“Haih macam-macamlah korang, dah korang nak datang tak masa majlis tunang aku tu?” keras Hamdan mengeluarkan setiap tutur katanya sehinggakan mereka disitu tergamam. Aik apasal kawan ni tiba-tiba angin?

“Err kau marah ke apa ni?” tanya Firdaus takut-takut.

“Hehe tak lah saje je test garang kat korang. Hah, tau takut. Nak datang ke tidak?” tanya Hamdan dengan nada yang dilembutkan sedikit dari tadi.

“Mestilah nak!” jawab mereka serentak. Tersengih Hamdan dengan gaya kanak-kanak sahabat-sahabatnya. Umur dah suku abad pun perangai tak ubah-ubah.



Majlis mereka hanya tamat setelah jam menunjukkan jam 5 petang. Tetamu-tetamu sudah pun beransur pulang dan yang tinggal hanya beberapa orang pekerja yang sedang membersihkan perkarangan Teratak Damai itu.

Mia berbaring diatas katilnya sambil mengeliat membetulkan urat-urat. Terasa lega apabila dapat merehatkan badannya yang penat sejak malam tadi.

“Amboi penatnya isteri abang” tegur Iqram yang baru melangkah masuk ke dalam bilik isterinya. Mia yang sedang berbaring bingkas duduk akibat malu ditegur Iqram. Sempat juga dia tersengih kepada suaminya.

“Penatlah, Iqram tak penat ke?” Mia cuba menanggalkan tudung yang setia menutup kepalanya sepanjang kenduri tadi.

‘Haih berapa banyak pin yang mak andam ni taruk’ keluh Mia sambil tangannya terkial-kial ingin membuka tudungnya. Siang tadi pun dia memerlukan bantuan Syazrina untuk membuka tudungnya ketika ingin menunaikan solat Zohor. Nasib baiklah Syazrina tetap setia berada disisinya dan membantu apabila dia memerlukan sebarang bantuan.

“Bukan Iqram sayang, panggil abang. Kan dari hari tu abang dah pesan? Mari abang tolong” Dengan pantas Iqram menolong membuka pin-pin yang disematkan ditudung labuh Mia.

‘Mesti panas bini aku ni sampai dua lapis tudung kena pakai’ getus Iqram dalam hati. Mia hanya membiarkan Iqram membantunya. Terharu apabila suaminya prihatin dengan keadaannya.

“Okey dah siap! Mia mandi dululah lepas ni kita boleh solat sama-sama” Mia mengangguk setuju dengan cadangan suaminya. Tangannya terus mencapai tuala yang tergantung dirak dan dia terus melangkah masuk ke bilik mandi. Badannya perlu disegarkan dan dia ingin bersih ketika menghadap Illahi.

Iqram hanya memerhatikan langkah isterinya dengan senyuman. Dia segera membuka beg pakaiannya dan mengambil baju persalinannya. Tadi mamanya ada memesan yang dia perlu pulang ke rumah mereka untuk majlis resepsi esok.

Selepas 10 minit, Mia melangkah keluar dari bilik mandi dengan jubah mandi dan tuala dikepala. Iqram sedikit terpana dengan kecantikan isterinya itu.

 ‘Huish sabar oo, apa-apa pun tangguh malam esok’ Iqram mengingatkan dirinya sendiri. Tergoda juga apabila melihat isterinya yang seksi dengan jubah mandi paras lutut itu. Namun kehendaknya segera ditahan memikirkan yang mereka masih belum menunaikan solat dan larangan dari mamanya.

“Abang, pergilah mandi. Mia tunggu untuk solat sama-sama” tegur Mia yng sedang mencari pakaian didalam almari bajunya.

Iqram yang tersentak dari lamunannya terus mengangguk dan terus masuk ke dalam bilik mandi. Tanggungjawabnya pada Yang Esa masih belum tertunai jadi dia harus lekas.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...