Tuesday, June 25, 2013

Kisah Kita - Bab 41

taken from here 

Tanya membelek gambar-gambar yang diberikan oleh penyiasat peribadinya. Gambar-gambar Hazeem dan Syazrina itu cukup membuatkan dia panas hati walaupun hubungannya dengan Hazeem sudah lama berakhir.

“Bodoh!” jerit Tanya. Gambar-gambar itu dilempar berselerak diatas meja pejabatnya. Tengku Hazeem bin Tengku Adnan merupakan targetnya sejak setahun lepas. Bersusah-payah dia cuba mendapatkan perhatian lelaki itu namun semuanya berakhir apabila Syazrina membongkarkan kecurangannya kepada Hazeem.

“Jim, kau memang bodoh! Perempuan tomboy takde kelas tu jugak yang kau nak! Tak apa aku akan sedarkan kau yang aku lagi bagus dari perempuan bodoh tu!” Tanya ketawa kecil apabila memikirkan rancangan jahatnya. Tanya mencapai telefon pintarnya dan terus mendial nombor telefon orang suruhannya.

“Lou, aku ada kerja untuk kau” Tanya meletakkan telefon setelah memberi arahan kepada orang suruhannya. Papanya, Gerard Tan merupakan bekas ahli kongsi gelap yang sudah lama cuci tangan namun Tanya masih menyimpan nombor-nombor telefon bekas konco-konco papanya. Mereka pula dengan senang hati menerima arahan dari Tanya kerana habuan yang ditawarkan sememangnya lumayan. Sejak cuci tangan, Gerard Tan menceburi bidang hartanah dan kadangkala dia turut menggunakan khidmat bekas konco-konconya untuk menakut-nakutkan pesaingnya yang lain.

Tengku Hazeem pula merupakan anak lelaki tunggal Tengku Adnan, usahawan berjaya di Malaysia dan kini Gerard Tan inginkan tender projek dari syarikat Tengku Adnan yang bernilai berbillion ringgit. Tanya disuruh untuk mendekati Tengku Hazeem supaya syarikatnya boleh mendapat tender itu tanpa bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi lain namun apabila mengetahui yang Tanya sudah berpisah dengan Tengku Hazeem, Gerard Tan semakin berang dan terus memberi kata dua kepada Tanya sama ada berusaha untuk mendapatkan kembali Tengku Hazeem atau dia akan menyerahkan segala hartanya kepada adik lelaki Tanya, Simon. Ugutan dari papanya itu lagi membuatkan hati Tanya semakin membengkak dengan dendam.

“Jim, I’ll get you by hook or by crook!” Gambar Hazeem dan Syazrina yang sedang ketawa gembira direnyuk dan dibaling kedalam tong sampah.




“Apa? Kau nak ada hubungan serius dengan aku?!” Hampir tersedak Syazrina apabila Hazeem tiba-tiba meluahkan perasaannya kepada gadis itu.

“Yelah! Apa kau ingat aku kawan dengan kau ni main-main ke apa?” balas Hazeem. Dihulurnya sehelai tisu kepada gadis yang berjaya mencuri hatinya. Syazrina menyambut huluran tisu dengan muka pelik.

“Weh serius ke ni? Aku rasa macam tak percaya pulak” Syazrina memandang tepat ke wajah Hazeem lalu meneguk air laici.

‘Ceit tawar je air ni!’ Syazrina meneguk air laici itu dengan rakus. Dahaga pula tekaknya apabila terkejut macam ni.

“Serius la. Aku nak ajak kau jumpa dengan mak ayah aku Sabtu ni” Hazeem turut meneguk air laici yang dipesannya.

“Ceit tawar air ni! Mamak ni saje nak kasi aku panas” gumam Hazeem perlahan namun masih boleh didengar oleh Syazrina dengan jelas.

“Err..aku tak tahu la weh. Aku dengan kau baru je kawan takkan nak terus jumpa mak ayah kau. Lagipun aku pun tak tahu aku ni suka dengan kau ke apa” Syazrina meluahkan segala yang terbuku dihatinya kepada Hazeem. Hazeem lelaki yang baik dan dia selesa apabila bersama dengan lelaki itu namun untuk berperasaan lebih dari seorang kawan mungkin agak sukar baginya kerana dia sememangnya tidak arif dengan hal-hal berkaitan dengan hati dan perasaan.

“Kau tak suka aku ke?” tanya Hazeem dengan muka serius. Ternyata dia agak bengang dengan jawapan yang diberikan oleh Syazrina.

‘Erk pakcik ni buat muka serius!’ bisik Syazrina dalam hati. Tak pernah-pernah dia melihat Hazeem yang serius sepanjang perkenalan mereka.

“Aku..tak tahu la. Weh bagi la aku masa nak fikir. Ni tak, terus nak aku jumpa mak ayah kau. Mau nak pengsan aku rasa kau tau?” Syazrina membetulkan duduknya. Terasa macam berbisul pula punggungnya apabila berdepan dengan Hazeem yang serius.

“Okay aku bagi kau masa. Tapi aku nak jawapan yes atau ye je dari kau okay?” Hazeem menghabiskan air laici didalam gelasnya.

“Dah nak Asar ni, meh aku hantar kau balik!” Hazeem bingkas bangun dari tempat duduknya. Tempat meluahkan perasaannya memang unik dan tak romantik langsung. Warung mamak 24 jam yang tak menarik langsung itu menjadi tempat dia meluahkan perasaan kepada gadis yang berjaya mencuri hatinya.

‘Yes atau ye? Ceh cakap jela nak paksa aku terima’ bentak Syazrina dalam hati. Didalam otaknya dia sedang memikirkan sama ada untuk menerima atau menolak luahan perasaan Hazeem yang dia sendiri pun tidak tahu sangat tentang asal usul lelaki itu.

“Woi cepatlah kang lambat pula kau sampai rumah!” marah Hazeem yang sudah membukakan pintu kereta untuk Syazrina. Lamborghini Aventador LP 700-4 Roadster milik Hazeem cukup membuktikan yang Hazeem bukan orang sembarangan namun tidak pernah sekalipun Syazrina bertanya tentang keluarga lelaki itu. Baginya biarlah ianya diceritakan oleh Hazeem sendiri dan dia tidak mahu dianggap penyibuk.

“Sabarlah pakcik!” Syazrina terus meloloskan badannya ke dalam kereta. Ramai yang memandang kearah mereka. Agak-agaklah naik Lamborghini tapi makan kat warung. Syazrina sememangnya tidak kisah dengan pandangan yang diberikan oleh manusia-manusia di warung itu. Sudah banyak kali Hazeem membawanya ke warung dengan menaiki Lamborghini sehinggakan dia sudah lali dengan pandangan cemburu orang ramai. Kereta sport milik Hazeem meluncur laju meninggalkan perkarangan warung mamak itu.



Sepanjang perjalanan, mereka hanya mendiamkan diri. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Syazrina hanya tersedar dari lamunan apabila kereta Hazeem membelok masuk kedalam kawasan perumahannya.

“Err..aku serius nak dengan kau jadi aku harap kau fikir dalam-dalam” luah Hazeem sebelum keretanya meluncur laju meninggalkan Syazrina yang terpinga-pinga dihadapan pagar rumahnya.

“Ceh tak romantik langsung! Tapi kalau romantik mesti aku dah pengsan..hahaha” Syazrina ketawa sendiri membayangkan Hazeem versi romantik.

“Rin, apasal kamu gelak sorang-sorang depan pagar tu? Buang tabiat ke apa?” tegur bondanya, Puan Norehan.

“Err tak ada apalah bonda, dah masak dah?” Syazrina terus bersalaman dengan bondanya yang sedang berdiri dihadapan pintu rumahnya.

“Sudah, kalau tunggu kamu tak makan kita hari ni” sindir Puan Norehan. Anak gadisnya yang berperangai kasar ini sering memeningkan kepalanya namun Syazrina seorang yang mendengar katanya. Sejak kematian suaminya, Megat Syahrul, anaknya ini yang sering menemaninya kerana anak-anaknya yang lain sudah bekerja dan duduk jauh darinya.

“Bonda, diorang semua balik kan hari ni?” Syazrina teringatkan abang-abangnya yang berpakat ingin pulang ke rumah mereka hari ini.

“Haah tadi Along telefon cakap dia tengah ambil Achik kat rumah sewa dia, diorang naik satu kereta je Along cakap” Puan Norehan mengemas-gemas sedikit ruang tamu rumahnya yang sememangnya tak bersepah. Yelah hanya dia dan Syazrina sahaja dirumah itu. Rumah teres dua tingkat tinggalan arwah suaminya itu merupakan tempat berteduh dia dan anak-anaknya sejak dari dahulu lagi. Anaknya yang sulung, Megat Syazrul mengikut jejak arwah suaminya dengan menyertai TUDM setelah mendapat sokongan dari arwah suaminya dahulu. Arwah suaminya meninggal akibat darah tinggi tiga tahun lepas dan ketika tu anak sulungnya baharu sahaja tamat latihan ketenteraannya.

“Bonda masak apa je? Jangan cakap gulai ikan patin masak tempoyak” tanya Syazrina. Beg galasnya diletakkan di sofa dan dia terus menuju ke dapur untuk melihat lauk-pauk yang dimasak oleh bondanya.

“Itukan lauk wajib kalau Along balik, kamu ni saje la tu nak gaduh dengan Along. Kang kawan tu tak nak bagi duit belanja ke kamu baru kamu tahu” Syazrina hanya tersengih menayangkan gigi kepada bondanya itu. Bondanya kini menguruskan kedai runcit tinggalan arwah ayahnya bersama dengan mak ngahnya, Puan Khalida.

“Hehehe..saje je. Asyik gulai tempoyak ikan patin je. Cer try test lauk lain. Gulai ikan dorry ke ikan jerung ke”  Sengaja Syazrina berlelucon dengan bondanya. Tahu sangat muncung Alongnya mesti panjang jika bondanya tidak memasak masakan kegemarannya itu apabila dia pulang.

“Banyaklah kamu punya gulai ikan jerung! Dah jangan banyak cakap, pergi kemas-kemas sikit bilik abang-abang kamu. Lagi elok dari kamu dok merapu kat sini. Oh ye, kamu ni dah solat Asar belum?” Menjengil mata Puan Norehan apabila Syazrina menggelengkan kepala.

“Dah tu nak bonda bentang kain kapan kat sini baru kamu nak pergi solat ke? Dah pergi bersihkan badan dan solat pergi!!!” Bergema suara Puan Norehan memarahi Syazrina. Bagaikan bergegar rumah teres dua tingkat milik arwah Megat Syahrul dengan suara nyaring Puan Norehan. Mencicit Syazrina berlari mendaki tangga ke tingkat atas rumahnya. Amarah bondanya bukan boleh dibuat main!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...