Saturday, June 8, 2013

Kisah Kita - Bab 40

taken from here  

Iqram cepat-cepat mengemas beg kerja dan baju-bajunya yang bersepah. Biik chaletnya yang menghadap laut itu memang cantik kerana menyajikan permandangan indah matahari terbit kepadanya setiap pagi namun wajah isterinya yang amat dirinduinya itu merupakan permandangan yang terindah baginya dan sesungguhnya sepanjang tiga hari dia di Terengganu dia berasa terseksa. Iqram yang ditugaskan untuk melihat perkembangan tapak projek di Pulau Redang terpaksa berjauhan dengan Mia kerana Mia tidak dapat mengambil cuti. Selesai berkemas, Iqram segera keluar dari biliknya. Kelihatan Muiz sedang menunggunya di tempat menunggu sambil meneguk air mineral. Kulit Muiz yang putih itu kelihatan merah akibat haba. Beberapa orang gadis yang lalu lalang mencuri pandang ke arah Muiz yang tampak segak walaupun hanya memakai t-shirt dan seluar jean.

“Hmm siap dah? Aku dah tolong kau check-out” Muiz bingkas bangun dari tempat duduknya.

“Oh terima kasih” Iqram mendekati Muiz yang sudah siap sedia dengan beg galas dan bagasi. Muiz turut diarah oleh Datuk Muqri untuk mengikuti Iqram supaya dia mendapat gambaran yang jelas tentang projek syarikat mereka.

“Okey dah jom gerak. Kau tahu tak kita ni guest yang paling awal check-out dari sini kau tahu? Tahulah rindu adik aku tapi kau memang over” usik Muiz sambil galak menggelakkan Iqram yang sudah tersengih.

“Yela, memang pun. Agak-agaklah belum sampai tiga bulan kahwin dah kena outstation mestilah rindu” balas Iqram dengan ketawa kecil.

“Aku tak tahulah tapi aku agak rasa tak boleh blah bila kita check-out lepas Subuh kot! Dah tu kau ambil flight paling awal dari sini ke KL. Ni memang kes angau” Iqram hanya tersengih apabila mendengar bebelan Muiz. Mana taknya, kawan tu tidur lewat kerana menonton perlawan bola sepak malam tadi tapi kena bangun pagi semata-mata rindunya kepada Mia.

Di luar lobi resort, sebuah teksi telah sedia menunggu mereka. Mereka memasukkan beg-begnya ke dalam bonet kereta sambil dibantu oleh pemandu teksi.

“Ke airport kan encik?” tanya pemandu teksi itu untuk kepastian.

“Ye. Ke airport pakcik” jawab Iqram dengan senyuman. Muiz sudah lena tidur sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Bahana tidur lewat lagi. Iqram mengeluarkan telefon pintarnya lalu mendial nombor telefon isterinya. Malangnya Mia tidak menjawab panggilan telefonnya walaupun sudah tiga kali dia mendial semula.

‘Hmm maybe Mia busy’ bisik Iqram menenangkan hatinya yang sudah gelisah. Malam tadi dia tidak dapat menjawab panggilan dari isterinya kerana dia sudah terlena akibat kepenatan. Kerja yang sepatutnya disiapkan dalam masa lima hari dipendekkan kepada tiga hari kerana tidak mahu berjauhan lama-lama dengan isterinya. 



Mia keluar dari bilik pembedahan dengan wajah yang lesu. Pembedahan yang memakan masa 10 jam itu benar-benar membuatkan mental dan fizikalnya terasa amat letih. Pembedahan pemindahan jantung sememangnya memakan masa yang banyak dan perlu dilakukan dengan teliti. Mia segera bangun ke bilik rehat untuk membersihkan diri kerana dia perlu menqada solat Subuh.

Selesai solat, Mia kembali ke pejabatnya. Telefon pintanya yang diletak didalam almari dihidupkan.

‘Erkk 10 misscall!’ terkejut Mia apabila melihat panggilan yang tak terjawab dari suaminya.

“Hadui, mesti dia risau” Mia terus mendial nombor telefon suaminya tapi hampa panggilannya tidak dijawab.

“Doktor? Kenapa tak balik rehat?” tanya Nadia, jururawat yang turut sama dalam pembedahan tadi. Nadia yang sudah berkemas sengaja menjenguk bilik doktor muda itu sebelum pulang.

“Oh Nadia, saya dah nak balik dah ni. Jomlah gerak sekali” Mia mencapai beg tangannya dan keluar dari biliknya.

‘Hmm nantilah call dia balik’ bisik Mia dalam hati. Sebenarnya Mia sudah tidak sedap hati apabila Iqram tidak menjawab pangilan telefonnya.

“Eh doktor fikir apa tu?” Nadia hairan apabila melihat Mia yang seperti mengelamun.

“Tak ada apalah. Nadia balik naik apa ni?” Sengaja Mia bertanya untuk menutup malu yang dia sedang mengelamun teringat kat encik suami yang tak menjawab telefon.

“Suami saya ambil. Dia dah tunggu kat cafe” Nadia membalas dengan wajah yang ceria. Mana tak seronok, suami tercinta sanggup menjemput.

“Eh suami Nadia tak kerja ke hari ni?” Mia membelek jam tangannya yang menunjukkan angka 8.30 pagi.

“Kerja, dia masuk lambat hari ni” jawab Nadia dengan senyuman tak lekang dibibir.

“Baiklah doktor, saya pergi dulu. Tu hah suami saya, sampai tertidur tunggu saya kat sini. Assalamualaikum” Nadia pergi mendapatkan suaminya yang sudah tertidur di salah sebuah meja di cafe.

Mia memandang mereka dengan penuh rasa bahagia. Seronok melihat pasangan itu yang seudah lama berkahwin tetapi masih lagi mesra bagaikan pengantin baru. Mia mencapai telefon pintarnya dan terus menaip mesej untuk suaminya. Selesai menaip dia menyimpan semula telefon pintarnya ke dalam beg dan segera melangkah ke tempat meletakkan kenderaan.




Penerbangan dari Pulau Redang memakan masa sejam terasa bagaikan 10 jam. Iqram yang risau kerana Mia tidak mengangkat panggilannya betul-betul merimaskan Muiz.

“Kau kenapa? Ada bisul ke apa kat punggung kau tu? Pening kepala aku dengan kau ni” marah Muiz. Muiz memang cepat marah jika tidurnya tak cukup.

“Err Muiz, tadi kita try call Mia tapi dia tak jawab. Sekarang pula bateri handphone ni bantai habis pula. Malam tadi lupa nak charge” terang Iqram dengan muka gelisah.

“Dah tak payah nak risau sangat. InsyaAllah adik aku tu tak apa-apa. Lagi 20 minit lagi kita nak mendarat. Kau tak bawa power bank ke?” Muiz membetulkan duduknya. Kepalanya terasa pening akibat kurang tidur.

“Tertinggal kat chalet tadi” Iqram menjawab dengan sengihan di wajahnya.

“Macam-macam la kau ni! Balik nantilah kau charge, aku pun tak bawa” Muiz memejamkan matanya. Kepalanya semakin pening dengan kerenah Iqram yang agak menjengkelkannya.

“Muiz kau okey tak ni?” Iqram memandang wajah abang iparnya yang berkerut-kerut menahan sakit.

“Aku sakit kepala” jawab Muiz pendek. Tangannya mengurut-urut kepalanya perlahan.

Sir, are you okay?” tanya seorang pramugara yang tiba-tiba muncul. Biasalah naik penerbangan kelas pertama, layanan haruslah bagus.

Can you please get me a painkiller? I’m having a headache” pinta Muiz. Pramugara yang bernama Ricky itu terus menganggukkan kepala dan meninggalkan Muiz seketika. Ricky kembali dengan peti kecemasan ditangan. Dia menghulurkan dua biji panadol Actifast kepada Muiz dan segelas air.

Thank you” ucap Muiz. Dia menelan dua biji pil penahan sakit itu dengan segera.

You are welcome sir. Anything else sir?” tanya Ricky dengan sopan.  Muiz hanya menggelengkan kepala.

“Muiz kau nak minyak angin tak?” tanya Iqram risau.

“Kau ada ke?” Muiz masih mengurut-urut kepalanya sambil memejamkan mata.

“Tak ada. Tapi saja tanya kot boleh minta dari pramugara tadi” jawab Iqram.

“Tak apalah, lagipun sekejap lagi kita dah nak sampai” Muiz menjawab dengan mata yang masih memejam.

Iqram memandang kasihan kepada abang ipar dan juga sahabat baiknya itu. Dalam masa yang sama dia sudah tak sabar untuk bertemu dengan isterinya.




Mia memandu Jaguar XFR masuk ke dalam perkarangan banglo milik Puan Risa dan Encik Aqif.  Mia dan Iqram tinggal di sini diatas permintaan Puan Risa sendiri.

“Mama rasa sunyi kalau kamu duduk rumah lain”ayat syahdu dari ibu mertuanya itu cukup membuatkan Mia tidak sampai hati untuk pindah keluar dari situ. Lagipun dia faham yang Iqram anak tunggal dan sebagai isteri, Mia harus akur yang syurga suaminya terletak di bawah tapak kaki mama Risa. Mia juga sebenarnya tiada masalah untuk tinggal bersama mertuanya memandangkan dia sudah menganggap mereka seperti ibubapa kandungnya sejak dulu lagi.

“Assalamualaikum, nenek”ucap Mia sebaik sahaja terlihat Hajah Suraya yang sedang berehat di taman mini banglo itu. Hajah Suraya bangun untuk mendapatkan Mia yang sedang berjalan ke arahnya.

“Waalaikumussalam. Dah balik pun cucu nenek” Mia bersalaman dengan Hajah Suraya. Hajah Suraya sememangnya menyenangi Mia dan mula jatuh sayang dengan cucu menantunya sejak kali pertama dia bertemu dengan Mia.

“Nenek dah sarapan?” tanya Mia. Tangannya dipaut pada lengan Hajah Suraya manja. Sengaja dia ingin bermanja dengan Hajah Suraya pagi ini.

“Dah. Tadi mama kamu ada masakkan mee goreng. Jom nenek temankan kamu makan” Hajah Suraya sudah menarik tangan Mia masuk ke dalam rumah. Mia hanya tersenyum dengan gelagat neneknya itu. Mereka terus menuju ke ruang makan. Terdapat semangkuk besar mee goreng diletakkan dibawah tudung saji berwarna putih itu.

“Nenek marilah makan sekali. Tak seronoklah makan sorang” kata Mia sambil tangannya menyenduk mee goreng itu ke dalam pinggan.

“Nenek dah kenyang Mia, kamu makanlah nenek temankan” Hajah Suraya dengan senyuman. Seronok apabila melihat Mia sudah mula menikmati mee goreng yang dimasak oleh anaknya sebelum pergi kerja pagi tadi.

“Ala, tak seronoklah. Nah makan sikit, Mia suap” Mahu tak mahu terpaksa juga Hajah Suraya makan apabila Mia menyuakan mee goreng itu ke mulutnya.

“Sedap kan? Mama Risa memang pandai masak kan nenek?” Hajah Suraya hanya mengangguk setuju. Seronok melihat Mia berceloteh.

Sedang mereka enak menikmati sarapan, tiba-tiba loceng pagar mereka berbunyi.

“Sekejap ye nenek? Biar Mia tengok siapa yang datang” Mia bangun dari duduknya. Sebaik sahaja Mia melihat gerangan si penekan loceng itu, Mia terus tersenyum gembira. Iqram sudah tak dapat menyembunyikan rasa rindunya dengan berlari memeluk Mia sebaik sahaja isterinya membuka pintu pagar automatik itu.

“Dey! Korang ingat korang tengah buat drama Hindustan ke apa? Terang benderang ni buat scene tak patut kat depan rumah!” marah Muiz sambil mengeluarkan beg-beg mereka dari bonet teksi. Iqram dan Mia hanya tersengih apabila dimarahi oleh Muiz.

“Abang” Mia melepaskan pelukan Iqram dan mendekati abangnya yang nampak lesu.

“Abang sakit ke? Kenapa pucat ni?” tanya Mia setelah bersalaman dengan Muiz.

“Abang sakit kepala la Mia. Ikutkan nak balik rumah tapi rasa nak jenguk Mia dulu. Yelah Mia kan makin busy sekarang susah juga nak jumpa Mia ni” sempat juga Muiz beseloroh  namun gurauannya itu membuatkan mata Mia sudah bergenang. Mia terasa dirinya adik yang tak berguna apabila abangnya berkata begitu.

“La apasal nangis ni? Abang gurau jela. Kan baru minggu lepas abang jumpa Mia? Haish nah Iqram peluk balik isteri kau ni! Nangis pulak” Muiz yang masih bergurau itu membuatkan Mia geram. Dia mencubit pinggang Muiz sekuat hatinya. Geram abangnya masih kuat mengusiknya.

“Sakitlah Mia. Yelah abang salah dah jom masuk. Abang nak tumpang rehat kejap. Kepala ni pening lagi” Iqram hanya tersenyum melihat gelagat dua beradik itu.

“Nanti Mia ambil minyak angin ye?” Mia memaut lengan Muiz dan membawa abangnya masuk. Iqram membuntuti mereka dengan beg yang penuh di tangan. Mana taknya dah Mia paut tangan Muiz maka dengan beg Muiz pun dia kena angkatlah.

“Assalamualaikum” Muiz dan Iqram memberi salam sebaik sahaja tiba dipintu utama kediaman itu.

“Waalaikumussalam. Oh kamu dah balik. Patutlah lama Mia kat depan tu. Nenek baru nak pergi jenguk” Muiz dan Iqram segera mendapatkan Hajah Suraya untuk bersalaman.

“Nenek tengah sarapan ke ni?” tanya Iqram apabila terlihat sebuah pinggan yang berisi mee goreng yang sudah tinggal separuh.

“Bukan, ni Mia punya. Nenek temankan dia je. Dia pun baru balik” Hajah Suraya menjawab pertanyaan cucunya.

“Mia baru balik?” Iqram bertanya sambil memandang tepat ke wajah isterinya.

“Ye baru lepas settlekan heart transplant operation. Mau 10 jam jugalah Mia dalam bilik bedah. Mia try call abang semalam tapi tak dapat” Mia menerangkan kepada suaminya dengan tenang.

“Oh tu la sebab Mia tak angkat call abang pagi ni” kata Iqram sambil mengenggam lembut tangan isterinya. Mia hanya menganggukkan kepalanya. Muiz yang memandang hanya tersenyum.

“Eh marilah makan. Mia ni pun tengah makan berhenti sebab nak buka pintu pagar tadi” pelawa Hajah Suraya dengan senyuman tak lekang di bibir.


Mia beransur ke dapur untuk mengambil pinggan untuk suami dan abangnya. Gembira apabila dia dapat makan bersama dengan dua lelaki yang penting didalam hidupnya tak lupa juga Hajah Suraya yang disayanginya. Dia berdoa supaya kebahagian yang dikecapi ini sentiasa berkekalan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...